Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Instedt rancang bina kampus baharu
- Pilih jururawat setelah gagal jadi guru
- JHEV bantu baik pulih bumbung dapur rumah bekas tentera
Instedt rancang bina kampus baharu Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST Oleh Haniza Hassan SYAZA Syazwana Nyaspan (kiri) dan Junaifie Afikin Jamaluddin menunjukkan plak anugerah mereka pada Konvokesyen ke-8 Instedt di Persada, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/Raja Jaafar Ali JOHOR BAHRU 29 Dis. - Sebagai persediaan untuk mencapai status kolej universiti pada tahun depan, Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (Instedt) merancang membina sebuah kampus baharu di Bandar Penawar, Kota Tinggi tidak lama lagi. Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Shahrul Azila Mohd. Salleh berkata, hingga kini perancangan membina kampus yang lengkap dengan asrama itu masih dalam permohonan kebenaran untuk merancang. Beliau berkata, kampus yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan itu dirancang dibina di atas tanah seluas 20 hektar melibatkan beberapa fasa dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun. "Kita masih dalam proses memohon untuk kebenaran merancang dan kita harap impian ini akan tercapai selaras dengan sasaran untuk mendapat status kolej universiti tahun depan. "Kampus baharu itu dijangka dapat menampung kira-kira 5,000 penuntut dan membuka lebih banyak peluang kepada orang ramai untuk belajar," katanya selepas majlis konvokesyen Instedt ke-8 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini. Seramai 488 graduan yang menerima diploma masing-masing terdiri daripada penuntut jurusan Diploma Kejururawatan, Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Perakaunan, Diploma Pengurusan Pelancong dan Diploma Teknologi Maklumat. Pada majlis berkenaan, Junaifie Rafieyana Afikin Jamaluddin, 21, graduan Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat menerima Anugerah Khas Pengerusi Eksekutif manakala pemegang Diploma Kejururawatan, Syaza Syazwana Nyaspan, 24, menerima Anugerah Pengerusi Eksekutif. Instedt berjaya berkembang menjadi salah sebuah kumpulan pendidikan tinggi swasta milik bumiputera yang terbesar di Johor sejak penubuhannya pada 1997 dan kini menawarkan 13 kursus. Shahrul Azila berkata, bagi memenuhi pasaran kerja di negara ini, Instedt mengorak langkah dengan menawarkan kursus baharu iaitu Diploma Kesetiausahaan Sains Kesihatan yang dirangka meliputi pelbagai aspek bagi membolehkannya relevan dengan persekitaran. "Pengambilan pertama kursus berkenaan telah dilakukan pada Jun lalu dengan kemasukan 50 penuntut. Mereka akan mengikuti kursus itu selama tiga tahun termasuk menjalani latihan amali," katanya. Beliau memberitahu, semua kursus yang ditawarkan menekankan program akademik bersifat hibrid, setaraf dengan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara yang turut mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) selain relevan dengan permintaan pasaran kerja. |
Pilih jururawat setelah gagal jadi guru Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST JOHOR BAHRU 29 Dis. - Biarpun tidak dapat menunaikan impian arwah ibunya untuk menjadi seorang guru, pemegang Diploma Kejururawatan Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (Instedt), Syaza Syazwana Nyaspan, 24, terus mengatur langkah dengan memilih bidang kejururawatan sebagai kerjaya. Anak kelahiran Batu Pahat itu sungguh beruntung apabila ibunya memberi sokongan padu kepadanya biarpun bukan bidang perguruan yang menjadi pilihannya. Beliau yang menerima Anugerah Pengerusi Eksekutif pada majlis konvokesyen Instedt ke-8 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini mampu tersenyum lebar apabila diterima bekerja di sebuah hospital di Klang, Selangor beberapa bulan lalu. "Saya bukan tak cuba dalam bidang perguruan, mungkin rezeki saya sudah tertulis dalam bidang kejururawatan dan saya bersyukur kerana keluarga sangat menyokong keputusan ini. "Alhamdulillah, segala usaha dan pengorbanan saya berbaloi dan kejayaan ini atas dorongan semua pihak termasuk keluarga, pensyarah dan rakan-rakan," katanya yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.65. Seramai 488 graduan yang menerima diploma masing-masing dalam konvokesyen itu terdiri daripada penuntut jurusan Diploma Kejururawatan, Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Perakaunan, Diploma Pengurusan Pelancong dan Diploma Teknologi Maklumat. Ditanya tentang resipi kejayaannya, anak bongsu daripada 10 beradik itu memberi tumpuan sepenuhnya semasa dalam kelas dan sering membuat nota ringkas bagi memudahkannya memahami dan mengingati kursus yang diajar. "Saya seorang yang aktif dalam aktiviti kelab. Jadi, saya perlu bijak bahagikan masa antara kedua-duanya supaya seimbang iaitu masa dalam kelas saya memberi sepenuh fokus supaya tidak ketinggalan berbanding penuntut lain," katanya. |
JHEV bantu baik pulih bumbung dapur rumah bekas tentera Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST SHAHRUDDIN Md. Salleh (dua dari kiri) menunjukkan siling dan bumbung rumah Ahmad Basri Borhan (kiri) yang siap dibina sambil perhatikan oleh Shamsudin Rais (dua dari kanan) di Kampung Terus Darat, Panchor, di Pagoh, Johor, semalam. PAGOH 29 Dis. - Kesempitan hidup seorang veteran tentera sehingga tidak mampu membaiki kerosakan bumbung di bahagian dapur rumahnya sejak empat tahun lalu akhirnya mendapat perhatian Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV). Sebanyak RM11,000 dihulurkan oleh JHEV menerusi Bantuan Baik Pulih Rumah 1Malaysia dengan menggantikan keseluruhan bumbung dan siling rumah Ahmad Basri Borhan, 63, dari Lorong Haji Borhan, Kampung Terus Darat, Panchor dekat sini yang siap minggu lalu. Ahmad Basri berkata, keluarganya kini hidup lebih selesa kerana sebelum ini dapurnya tidak dapat digunakan jika hujan kerana bahagian bumbung bocor. "Sebelum ini saya tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk membaiki kerosakan bumbung. Dapur rumah kami berkeadaan demikian selama empat tahun. "Saya hanya bekerja sebagai penoreh getah dan melakukan kerja- kerja kampung untuk menanggung lapan orang anak dan pendapatan sedia ada cukup makan sahaja," katanya semasa menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh hari ini. Ahmad yang bersara awal dalam pasukan tentera pada 1995 dan kemudian bekerja sebagai pemandu lori berkata, permohonan untuk mendapatkan bantuan tersebut dibuat menerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar baru-baru ini. Dia yang turut menerima bantuan warga emas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak setahun lalu bersyukur dengan keprihatinan kerajaan terutama JHEV dan PBTM terhadap nasibnya. Ditanya sebab berhenti awal, Ahmad Basri memberitahu, dia terpaksa berbuat demikian meskipun baki perkhidmatan tinggal setahun setengah lagi kerana terpaksa pulang ke kampung untuk menjaga isterinya yang menghidap strok. Ketika itu dia sedang berkhidmat di Sibu, Sarawak dan bertugas di sana tanpa membawa keluarga ke sana dan setahun selepas berhenti, isterinya meninggal dunia. Datuk kepada 17 orang cucu itu berkata, pada 2010 dia terpaksa berhenti sebagai pemandu lori setelah menghidap penyakit kencing manis sehingga dua jari kaki kiri serta kanan dipotong dan keadaan tersebut menyukarkan lagi hidupnya. Sementara itu Ketua PBTM Muar, Shamsudin Rais berkata, pihaknya akan terus komited membela nasib bekas tentera tidak berpencen menerusi bantuan yang disediakan kerana tidak mahu jasa mereka diabaikan selain hidup dalam keadaan daif. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |