Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- 270 poster, iklan ah long diturun
- 2,000 pelajar terima sumbangan kelengkapan persekolahan
- YBU Holdings umum sumbangan RM5 juta kepada YBUDR
270 poster, iklan ah long diturun Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST Oleh AZHARI ZAINOODDIN PULAU PINANG 29 Dis. - Sebanyak 270 poster dan iklan ah long yang ditampal di merata tempat di seluruh negeri ini telah dipadam dan diturunkan dalam Op Cantas Khas, semalam. Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, operasi selama empat jam yang bermula pukul 8.30 pagi itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri. "Operasi kali ini adalah yang kedua kita adakan sejak 22 November lalu dan turut mendapat kerjasama sepenuhnya Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). "Dalam operasi kali ini, daerah Timur Laut menunjukkan jumlah poster dan iklan yang paling tinggi diturunkan iaitu 113 keping diikuti Seberang Perai Tengah (65), Seberang Perai Selatan (60) dan Seberang Perai Utara (32)," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam. Thaiveegan dalam pada itu menambah, polis akan memproses maklumat yang diperolehi melalui poster dan iklan yang diturunkan itu bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil kepada mereka terlibat. "Kita juga berharap pihak berkuasa tempatan seperti MPPP dan MPSP supaya mengeluarkan saman jika dapat mengenal pasti sindiket ah long yang terlibat," katanya. |
2,000 pelajar terima sumbangan kelengkapan persekolahan Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST Zambry Abd. Kadir (duduk, tengah) bersama sebahagian pelajar yang menerima sumbangan kelengkapan persekolahan dalam Program Kembali Ke Sekolah di Ipoh, Perak, kelmarin. IPOH 29 Dis. - Sramai 2,000 pelajar kurang berkemampuan di 59 Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menerima sumbangan kelengkapan persekolahan untuk sesi 2014 di bawah Program Kembali Ke Sekolah. Sumbangan berupa uniform, beg, kasut, tudung dan alat tulis itu ditaja oleh Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Badan Amal Isteri-Isteri Anggota Dewan Undangan Negeri Perak (Baiduri) di sini semalam. Program itu turut mendapat sokongan syarikat swasta antaranya Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Latex, Hovid yang menyediakan vitamin, pengeluar pakaian sekolah jenama Canggih yang memberi diskaun untuk pembelian pakaian sekolah serta KPerak dan Milo. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika berucap merasmikan majlis tersebut merakamkan penghargaan kepada Baiduri dan syarikat swasta atas inisiatif mereka membantu meringankan beban ibu bapa untuk menyediakan persiapan persekolahan anak-anak mereka. Beliau seterusnya menggesa lebih banyak syarikat swasta membantu kerajaan negeri melaksanakan projek kebajikan untuk rakyat. Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Zambry berkata, sumbangan seperti bantuan persekolahan tersebut tepat pada waktunya ketika rakyat berdepan dengan beban kos sara hidup semakin meningkat. "Sumbangan seperti ini dapat meringankan masalah ibu bapa terutama mereka yang mempunyai keluarga besar untuk mencari sumber kewangan sebagai persiapan untuk anak-anak mereka kembali ke sekolah," katanya. Yang turut hadir Yang Dipertua Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli, Pengerusi YBU, Datuk Saarani Mohamad dan Ketua Eksekutif YBU, Datuk Ismail Safian. Sementara itu, Saarani berkata, pelajar yang menerima sumbangan terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah. "Pemberian sumbangan ini adalah sebahagian misi Menteri Besar yang mahukan tiada rakyat tertinggal dan terpinggir terutama dalam pendidikan sempurna. "Sumbangan ini juga sudah tentu menceriakan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan," katanya. |
YBU Holdings umum sumbangan RM5 juta kepada YBUDR Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST Ismail Saffian (dua dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan YBU kepada wakil Persatuan Pemulihan Orang Cacat Perak sambil diperhatikan Khairul Azwan Harun (dua dari kanan) dalam majlis penyerahan cek sumbangan di Ipoh, Perak, baru-baru ini. IPOH 29 Dis. - YBU Holdings mengumumkan sumbangan korporat berjumlah RM5 juta kepada Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) sebagai menyokong usaha badan itu mengendalikan program pembasmian kemiskinan dan pengupayaan masyarakat untuk tahun 2014. Pengerusi YBU Holdings, Khairul Azwan Harun berkata, sumbangan itu bertujuan menyokong projek-projek yang dilaksanakan YBU sejak 2012. Menurutnya, sumbangan untuk tahun depan meningkat berbanding RM2 juta pada 2012 dan RM4.87 juta tahun 2013. Katanya, sumbangan itu selaras dengan visi kerajaan negeri yang sentiasa membantu YBU yang merupakan entiti korporat bertanggungjawab menjaga golongan bawahan di negeri ini. "Sumbangan ini akan digunakan bagi menampung projek YBUDR seperti program Infra Bina Upaya, Ikhlas Bina Upaya dan Imarah Bina Upaya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek sumbangan di sebuah hotel di sini baru-baru ini. Ketua Eksekutif YBU, Datuk Ismail Saffian menerima sumbangan cek berkenaan. Tambah Khairul Azwan, YBU Holdings turut berhasrat memberikan sumbangan dalam empat bidang atau kumpulan penerima yang melibatkan aktiviti sukan, pendidikan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO). "YBU Holdings amat komited dan mengambil berat tentang pembangunan rohani dan masyarakat di negeri ini," katanya. Beliau juga memberitahu, YBU Holdings akan merealisasikan cadangan memiliki Menara Bina Upaya tidak lama lagi yang akan dijadikan ibu pejabat baharu untuk semua kakitangan di bawah kumpulan YBU. "Insya-Allah tidak lama lagi kita akan mendapatkan sebuah bangunan atau menara untuk YBU. "Cadangan sudah dibuat dimana kita akan beli Wisma Bougainvillea yang terletak berdekatan dengan UTC Ipoh dan juga Pasar Besar Ipoh yang merupakan milik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |