Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Lagi pemimpin tertinggi PKR Sabah keluar parti Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST KOTA KINABALU 30 Dis. - Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah terus menerima tamparan hebat apabila Timbalan Ketua Penerangan parti negeri, Musli Oli mengambil tindakan keluar parti berkuat kuasa hari ini. Tindakan itu diambil Musli selepas hilang keyakinan dan kepercayaan ke atas pendekatan PKR dalam menangani masalah negara. Beliau berkata, PKR dan pakatan pembangkang dilihat mengamalkan langkah penyelesaian berbentuk konfrontasi selain satu 'kewajipan' bagi mereka menggunakan kekerasan menentang kerajaan berbanding menggunakan pendekatan perbincangan atau rundingan. "Apa yang PKR buat sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah menentang kerajaan secara agresif dengan mempergunakan rakyat selain memainkan sentimen kebencian yang melampau. "Jika mereka benar-benar mahu membela rakyat, pembangkang boleh menggunakan pendekatan diplomatik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Pada 26 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan para pemimpin utama daripada 11 cabang parti di negeri ini mengisytiharkan keluar parti sekali gus menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN). Musli yang juga bekas Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri berkata, beliau seakan-akan terjaga daripada mimpi apabila penglibatannya dalam politik PKR tidak membuahkan hasil sebaliknya lebih terpengaruh kepada janji-janji manis parti tersebut dengan kandungan Buku Jingga. Katanya, antara janji manis PKR dalam Buku Jingga adalah mengembalikan beberapa perkara yang anggap wajar dikembalikan kepada rakyat dan negeri Sabah, khususnya mengenai Perkara 20, royalti minyak (2 peratus), Cabotage Policy dan soal autonomi yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 jika Pakatan Rakyat mengambil-alih Putrajaya sukar untuk dicapai. |
60 calon CWC MIC sahkan pemilihan telus Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST N. Rawisandran (dua kiri) menyerahkan memorandum berkaitan pemilihan parti tersebut kepada A. Prakash Rao (tiga dari kanan) di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 30 Dis. - Sebanyak 60 calon ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC daripada 88 orang yang bertanding tampil mempertahankan keputusan pemilihan parti itu November lepas. Menurut Bendahari MIC Selangor, N. Rawisandran, sejak pemilihan parti berakhir, terdapat kumpulan tertentu dan calon persendirian yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan kekalahan mereka secara terbuka. Jelasnya, mereka bertindak menjatuhkan imej parti dengan menuduh pemilihan MIC tidak telus dan terdapat penyalahgunaan kuasa untuk memenangkan calon tertentu. "Saya sendiri salah seorang daripada calon yang kalah, saya reda dengan keputusan para perwakilan. Mengapa apabila segelintir yang tidak menang ini membuat bising kononnya pemilihan tidak telus. "Inilah kali pertama dalam sejarah MIC kita menyaksikan sebanyak 88 orang bertanding untuk jawatan CWC. Kesemua 23 ahli CWC telah dipilih para perwakilan mengikut sistem perlembagaan parti secara demokrasi dan telus," katanya. Beliau berkata demikian selepas bersama-sama lebih 40 calon CWC menyerahkan memorandum yang menyokong dan mempertahankan keputusan pemilihan MIC sebagai telus dan bersih kepada Setiausaha Agung, A. Prakash Rao di ibu pejabat parti. Pemilihan parti MIC dilanda kontroversi apabila lebih 25 calon menggesa Presiden, Datuk Seri G. Palanivel untuk menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat dakwaan berlakunya penipuan dan penyalahgunaan kuasa dalam pemilihan naib presiden dan CWC pada perhimpunan agung parti itu di Melaka, 30 November lalu. Sementara itu, Prakash Rao berjanji akan menyelesaikan kemelut tersebut dalam mesyuarat pertama CWC Januari depan dan meminta semua pihak terbabit agar bersabar. "Kami akan menyiasat perkara ini dengan telus, ada pihak mahu jawatankuasa siasatan bebas, ada pula mempertahankan keputusan. "Perkara ini akan menjadi isu utama yang akan dibincangkan dalam mesyuarat CWC depan, selagi keputusan belum ada, saya harap semua orang bertenang dan tidak berbuat apa-apa yang mencemarkan imej parti," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |