Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Krismas bersama GarfieldOleh ALIF ABU BAKAR BARANGAN Garfield ditawarkan kepada para pengunjung Empire Shopping Gallery. POPULARITI kartun klasik, Garfield masih teguh meskipun sudah menjangkau usia 35 tahun. Sejak diperkenalkan pada tahun 1978, karakter animasi yang mengangkat kisah kemalasan seekor kucing oren berbelang bersama tuannya, Jon Arbuckle itu tidak pernah gagal menggeletek hati orang ramai di seluruh dunia. Barangkali peralihan generasi membuatkan kita terfikir, adakah kartun seperti Garfield akan terluput begitu sahaja? Tambahan pula pengenalan siri animasi baharu yang lebih moden menjadi pilihan majoriti kanak-kanak pada masa ini. Namun itulah tuah menjadi Garfield, kehadirannya masih disambut girang tanpa dibatasi usia. Kanak-kanak menyukainya kerana secara asasnya kanak-kanak memang tertarik dengan apa jua kartun tanpa mengambil kira lama atau baharu karakter tersebut. Orang dewasa pula melihat Garfield sebagai memori indah saat mereka masih seorang budak. Lantas, kelebihan milik Garfield dijadikan kesempatan oleh Empire Shopping Gallery, Subang Jaya, Selangor bagi menghiburkan para pengunjungnya sepanjang bulan Disember ini. Bermula 7 Disember lalu hingga 29 Disember ini, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan mini Garfield dan rakan-rakan di ruang tengah pusat beli-belah itu. Sejajar dengan perayaan Krismas yang bakal disambut pada 25 Disember ini, penglibatan Garfield bersama rakan-rakannya iaitu Odie, Arlene dan Nermal bakal menyemarakkan lagi suasana beli-belah pengunjung pada hujung minggu. "Kami memilih untuk meraikan Krismas bersama Garfield dan rakan-rakan pada tahun ini kerana ia adalah karakter animasi yang digemari ramai. Para pengunjung pasti terhibur dengan persembahan nyanyian dan tarian selama 30 minit daripada keseluruhan 24 persembahan. PERSEMBAHAN Garfield dan rakan-rakan pasti menghiburkan momen membeli-belah orang ramai yang berkunjung ke Empire Shopping Gallery sepanjang Disember ini. "Pengunjung boleh menyaksikan aksi menghiburkan ini pada hari Sabtu pukul 2, 4 dan 6 petang manakala jadual persembahan hari Ahad ditetapkan pada pukul 1, 3 dan 5 petang," ujar Pengurus Pusat Empire Shopping Gallery, Elena Lee. Selepas persembahan, para pengunjung diberi kesempatan untuk merakamkan foto bersama Garfield dan rakan-rakan untuk diabadikan dalam lencana comel. Lencana tersebut akan disiapkan dalam tempoh yang singkat dan boleh dibeli pada harga RM10 untuk dijadikan tanda ingatan. Selain Garfield, Empire Shopping Gallery turut menawarkan pengalaman beli-belah mengujakan sepanjang bulan ini dengan adanya bengkel menghasilkan boneka jari, kemunculan ikon Krismas, Santa Claus, pertunjukan interaktif bersama badut dan pelbagai aktiviti menghiburkan. Hadiah istimewa Kolaborasi bersama HSBC pada tahun ini juga membolehkan pusat beli-belah itu mewujudkan kempen perayaan yang menguntungkan pengunjung. Antaranya, memberikan cawan Garfield istimewa dan sarung penyimpan kot musim sejuk bernilai RM50 kepada pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya RM300 dalam satu hari. Jumlah perbelanjaan itu tidak boleh melebihi dua resit daripada mana-mana kedai di dalam Empire Shopping Gallery. Bagaimanapun, pengunjung yang membayar menggunakan kad kredit HSBC hanya perlu berbelanja minimum RM200. Hadiah istimewa tersebut boleh dimiliki pengunjung bermula 15 November lalu sehingga 1 Januari 2014, selagi stok masih ada. Pusat beli-belah itu turut menawarkan hadiah misteri eksklusif buat pemegang kad HSBC yang boleh ditebus di kaunter HSBC sekiranya nilai belanja mencecah RM300 ke atas dalam satu resit. Pemegang kad Mastercard pula berhak menerima krim tangan terapi 25 gram (g) Crabtree & Evelyn apabila berbelanja RM300 ke atas dalam satu resit atau produk yang sama berjisim 50g untuk jumlah perbelanjaan melebihi RM500 dengan maksimum dua resit menerusi kad kredit. | |
Posted: Rangkuman Seni Bali
LUMRAH seorang anak seni untuk berkelana ke negeri orang, merasai udara setempat, mengenali kontra budaya yang seterusnya dijadikan ilham dalam karya agung mereka. Mengikut langkah sama seperti seniman terdahulu, dua pelukis perintis terbang ke Bali, Indonesia untuk membuat eksplorasi dan eksperimentasi dengan cara tersendiri. Najib Ahmad Bamadhaj, 26, dan Ahmad Hisyamuddin Abdullah, 24, mengikuti program residensi yang dianjurkan selama sebulan oleh galeri G13, Kelana Jaya. Bali, terkenal seantero dunia sebagai satu lokasi yang kuat pegangan budaya dan identitinya. Setiap isi perutnya dituai mengikut adat yang disemai sejak turun-temurun. Lantas, mencetus inspirasi seni kepada pencintanya. "Senario seni di Bali sangat berbeza berbanding keadaan dalam negara kita. Sedang kita tercari-cari identiti perlambangan diri, mereka kekal dengan cita rasa yang sedia kukuh dijaga sekian lama," ujar Najib. Kedua-duanya dibawa ke kawasan yang signifikan dengan budaya dan seni Bali. Sempat mereka berkunjung ke Ubud, Kintamani dan Nusa Penida sambil bertukar-tukar idea bersama pelukis-pelukis tempatan. Ketika di sana, mereka sempat mengikuti kempen seni tempatan, Not For Sale, yang memperjuangkan hak masyarakat Bali yang semakin kehilangan tanah akibat dijualkan kepada orang luar. Sekembali Najib dan Ahmad Hisyamuddin ke tanah air, mereka hadir dengan idea iaitu merangkumkan setiap hasil yang diperoleh di Bali dalam satu lukisan. "Gabungan idea dalam satu lukisan itu lahir ketika berada di Malaysia. Ia jarang dilakukan kebanyakan pelukis kerana sedar dengan cabaran yang bakal dihadapi," ujar Ahmad Hisyamuddin yang berasal dari Marang, Terengganu. Najib menambah, cabaran itu tidak dapat dielakkan kerana setiap pelukis mempunyai kekuatan dan cara tersendiri. "Perlu ada perbincangan dan hubungan secara terus antara pelukis bagi memastikan setiap lukisan yang dihasilkan tidak terlalu menonjolkan seseorang pelukis," ujarnya. TEMA Tempatan seperti masalah pembelian tanah Bali oleh orang luar menjadi salah satu elemen yang dibawakan oleh kedua-dua pelukis. Kepuasan melukis "Bagaimana mahu mengukur kadar kepuasan sedangkan karya yang tercipta dihasilkan melalui dua cita rasa? "Pada kami, kepuasan itu subjektif. Kepuasan melukis secara bersama dapat dirasai apabila melihat karya yang terhasil tampak berseni dan abstrak," ujar Ahmad Hisyamuddin. Sebanyak 11 lukisan berjaya dihasilkan yang dipecahkan kepada tiga tema iaitu Makanan, Semangat Alam dan Semasa. Menerusi tema Makanan, ia terjadi disebabkan terkesan dengan faktor kebersihan dan kesahihan halal makanan yang terdapat di Bali. Umum sedia mengetahui, majoriti penduduk negeri itu beragama Buddha walaupun agama Islam mendominasi republik Indonesia. Agama Buddha juga melalui proses asimilasi dengan keteguhan budaya dan alam sehingga mencipta kepercayaan tersendiri. Ia diperjelaskan oleh Najib dan Ahmad Hisyammudin melalui dua lukisan bertemakan Semangat Alam. Terkesan selepas menyertai kempen Not For Sale, mereka mendedikasikan dua buah lukisan kepada dilema yang membelenggu penduduk Bali. Program residensi di Bali merupakan kali kedua yang diadakan oleh galeri G13. Ia merupakan salah satu inisiatif bagi merancakkan dunia seni lukis tempatan dengan memberi peluang kepada pelukis muda. "Pemilihan peserta bukan berdasarkan pertandingan atau sebarang peraduan. Mereka dipilih mengikut kredibiliti dan kesungguhan yang tersemai dalam diri sebagai seorang seniman. "Selepas terpilih, mereka perlu membentangkan idea-idea sebelum ditempatkan di Bali. Ia sebagai panduan kepada pelukis agar mereka tidak lari daripada subjek asal," jelas Pengarah galeri G13, Kenny Teng. – HAFIZ AHMAD |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |