{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Menangani kesenjangan ekonomi-politik

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh Reezal Merican Naina Merican

MENGURUS ekonomi sesebuah negara tidak semudah yang disangka. Jalan populis melampau, menempah sengsara generasi akan datang. Harus diakui, majoriti rakyat sangat terbelenggu dengan beban kos sara hidup yang semakin meninggi.

Kelmarin, penulis menghabiskan masa yang agak lama mendengar rungutan, keluhan, kerisauan rakyat terbanyak mengenai kenaikan kos sara hidup mereka seharian. Mereka yang selesa untuk berkongsi keluhan, tidak segan silu menceritakan mengenai kesan kos sara hidup kepada diri mereka dan keluarga.

Masing-masing mempunyai cerita dan keluh kesah sendiri. Anak yang ada di institusi pengajian tinggi memerlukan belanja tambahan. Anak kurang upaya memerlukan perhatian. Seorang anak remaja yang berminat mendaftar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) juga perlukan tindakan dan respons. Semua ini perlu didengari dengan rasa yang cukup rendah diri, bahawa besarnya amanah seorang wakil rakyat untuk mengisi kehendak rakyat.

Itu hanya tugasan sebagai pemimpin kecil di kawasan Kepala Batas. Bagaimana agaknya dengan Perdana Menteri yang terpaksa memikirkan kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Sudah tentu bebannya jauh lebih besar dan menguji.

Gema Politik 2013

Dalam menelusuri suasana politik sepanjang 2013, penulis boleh membuat kesimpulan bahawa pilihan raya umum adalah kemuncak kepada segala-galanya. Persaingan populariti kepimpinan, pertandingan keutuhan parti, perseteruan mendapat mandat dan kepercayaan rakyat menjadi latar belakang yang sangat menduga. Media sosial menjadi saksi, bagaimana fitnah menjadi modus-operandi politik yang bersifat lepas bebas.

Segalanya dijual dan dihidangkan kepada rakyat. Atas nama kesejahteraan rakyat kononnya, janji-janji manis dibiarkan bertebaran. Harga minyak, elektrik dan kereta turun. Pendidikan diberikan percuma. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan. Ironinya, dengan janji yang semuluk itupun, mereka tidak mampu mendapat mandat dan kepercayaan rakyat.

Sudah barang tentu, ada angkubah lain yang menjadi impian dan kemahuan rakyat. Nyata, secara strategik dan bulat tekad, rakyat mahukan kepimpinan yang lebih dipercayai. Rakyat mahukan kenderaan politik yang lebih berhemah dalam mengimbangi cabaran ekonomi dan politik semasa. Rakyat menghargai barisan yang mampu menyediakan polisi tuntas dan khusus, sekali gus menyedia Malaysia ke pentas ekonomi yang lebih meyakinkan.

Hari ini, mereka kembali menyalakan amarah rakyat dengan menggunakan alasan yang sama. Kos sara hidup dijadikan alasan mereka untuk melakukan usaha menggugat kestabilan politik. Suara minoriti mahu dibangkitkan untuk mendapat tarikan politik. Rakyat pastinya boleh melihat trend politik sama mahu dibangkitkan dalam banyak siri politik jalanan sebelum ini.

Apakah pembangkang sudah hilang keyakinan untuk bersaing membentang hujah di dalam Parlimen? Apakah ini sahaja jalan pintas politik yang mereka mahukan? Apakah tiada noktah kepada usaha merosak fabrik perpaduan dan kestabilan politik negara? Mungkin pembangkang cukup naik angin apabila melihat laporan Economist Intelligence Unit: Risk of Social Unrest in 2014', yang meletakkan Malaysia di dalam kumpulan low risk seperti yang dibahaskan oleh artikel, Ripe for rebellion?: Where protests is likeliest to break out yang dibentangkan The Economist baru-baru ini.

Malaysia diletakkan dalam kalangan 31 buah negara yang berada di dalam kategori risiko sangat rendah/berisiko rendah (very low risk/low risk) di dalam kajian tersebut. Ini sekali gus memberi makna, bahawa ada kebijakan pengurusan ekonomi dan politik yang dilaksanakan kerajaan yang mendapat pengiktirafan media antarabangsa.

2014: Masih Dengan Gendang Perang?

Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan rentak politik pasca PRU13 dengan keperluan kita menjejak jalan national reconciliation yang disambut dingin oleh pembangkang. Berdasarkan untung-rugi politik, mereka merasakan ia tindakan yang mungkin merugikan. Politik mesti diatur dengan kaedah ugut, dendam, protes, ketidakstabilan dan huru hara. Ini agaknya jenama politik yang mereka mahukan.

Gerak politik yang lebih non-partisan di peringkat domestik diperlukan dalam mengurus ekonomi dunia yang semakin mencengkam. Persaingan antara negara jadi lebih kompetitif. Kehilangan niche dan kelebihan boleh berlaku dalam sekelip mata.

Menurut banyak kajian ekonomi antarabangsa, antara negara yang dijangka mencatat peratusan pertumbuhan ekonomi luar biasa adalah: Sudan Selatan (35.0 %), Macau (13.5 %), Sierra Leone (11.2 %), Turkmenistan (9.2 %), Bhutan (8.8 %) dan Libya (8.8 %). Ini di atas kertas. Apa yang berlaku di Sudan Selatan pada ketika ini, mungkin menjadikan peratusan pertumbuhan kembali merosot.

Kita harus menerima hakikat, bahawa kita sudah melangkaui zaman pembangunan yang sedemikian sifatnya. Cabaran kita adalah mencari rentak pertumbuhan ekonomi baru yang lebih tinggi rantaian nilainya. Tanpa sabotaj pihak tertentu, sudah pasti pelaburan berbilion ringgit dapat kita realisasika. Malangnya, di atas jalur kepentingan politik, ia disabotaj kumpulan yang berkepentingan.

Rakyat perlu tahu bahawa dosa mensabotaj ekonomi negara sendiri ini hanya boleh dilakukan kumpulan yang tidak bertanggungjawab - dan tidak wajar kita ampunkan sampai bila-bila. Apabila kepentingan politik mendahului rasional dan hemah yang sewajarnya, kita kembali kepada amalan politik jahiliyah dan jahat sifatnya.

Menangani Kesenjangan Ekonomi-Politik

Dalam sidang Parlimen yang lalu, sewaktu bangkit berbahas di Parlimen, seringkali penulis mengingatkan bahawa kita perlu sama-sama melihat sempadan ekonomi yang lebih menjanjikan pertumbuhan kepada negara secara keseluruhannya. Beban ini tidak seharusnya menjadi beban kerajaan semata-mata.

Pembangkang juga perlu memainkan peranan. Pada pandangan penulis, ada empat (4) jurang yang perlu kita utamakan dalam pada kita menyusun langkah pemerkasaan ekonomi tahun 2014 dan seterusnya.

Kesenjangan pendapatan Bumiputera berbanding kaum lain;

Kesenjangan pendapatan intra-etnik (menangani jurang antara Bumiputera kaya dan miskin);

Kesenjangan pendapatan bandar-luar bandar;

Kesenjangan pendapatan kumpulan berpendapatan sederhana dan berpendapatan tinggi (tanpa mengira kaum);

Kerajaan pada hakikatnya sedang melihat kepada garis-garis besar kesenjangan ekonomi-politik yang dinyatakan di atas. Yang menjadi masalah, adalah kelemahan pelaksanaan dan elemen pertanggungjawaban semua pihak dalam memastikan ia dapat dilaksana secara berkesan dan tuntas.

Dalam menyusun ritma ekonomi yang tepat, sudah pasti kita perlu melakukan beberapa usaha koreksi yang agak menyakitkan. Namun, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Barisan Nasional (BN) juga tidak akan berhenti memikirkan inisiatif untuk membantu rakyat. Komitmen akujanji perlu dilihat dalam konteks satu penggal/5 tahun - dan bukannya beberapa bulan selepas PRU.

Selamat tahun baru 2014 - dan semoga kita mampu menjadi ahli politik dan rakyat yang lebih bertanggungjawab.

PENULIS ialah Ahli Parlimen Kepala Batas dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Himpunan guling kerajaan langkah terdesak

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Dari Jendela Tok Ki

PENGANJURAN perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini dilihat sebagai langkah terdesak sesetengah pihak yang anti proses demokrasi dan mempunyai misi peribadi.

Enam bulan lalu rakyat telah membuat pilihan untuk kerajaan yang ada meneruskan khidmatnya yang sah selama lima tahun lagi. Apakah proses demokrasi yang telah dan sedang berjalan tidak memadai untuk menguji pilihan rakyat terhadap pelbagai isu yang dibangkitkan.

Mungkin agaknya kumpulan ini terpengaruh dengan perhimpunan menggulingkan kerajaan yang berlaku di Thailand kerana terdapat sebilangan pemimpin yang masih terkilan dan kempunan untuk menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan.

Kecenderungan anarki ini adalah sesuatu yang tidak harus dibenarkan di Malaysia kerana kesannya terhadap keselamatan dan kesejahteraan negara adalah besar.

Suara majoriti harus dihormati. Apa salahnya tunggu lima tahun lagi untuk tunaikan proses demokrasi supaya pilihan rakyat dihargai.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu berlaku siri demonstrasi di seluruh negara kerana tidak mahu mengiktiraf keputusan pilihan raya dan berbagai isu ditimbulkan untuk menggambarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil.

Ironinya bila proses mengangkat sumpah di Parlimen sedang berjalan, demonstran jalanan membaringkan diri di pintu masuk Parlimen melakukan protes terhadap keputusan pilihan raya tetapi pada masa yang sama pemimpin pembangkang mengangkat sumpah menerima pelantikan sebagai ahli parlimen.

Hal yang sama terjadi apabila dalam ucapan Presiden UMNO merasmikan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini dengan menyelitkan kenyataan Anwar Ibrahim menafikan isu kemasukan 40,000 orang Bangladesh terlibat dalam pilihan raya dan kenyataan awal beliau sebelum pilihan raya sebagai sesuatu yang bercanggah tidak ada reaksi dan tindakan diambil.

Dua isu ini sangat jelas menunjukkan bahawa bukan sangat kebenaran mempertahankan prinsip yang mahu diperjuangkan tetapi ia dilihat sebagai tindakan terdesak supaya kegagalan proses demokrasi terjadi dan dakwaan yang dibuat diterima sebagai benar dan sahih.

Masyarakat di Malaysia tidaklah terlalu naif atau lemah untuk menilai benar atau salahnya akan sesuatu isu. Mengapa kebebasan menyatakan kebenaran semacam ingin dipaksakan kepada rakyat sedangkan kumpulan ini selalu menyatakan bahawa kebebasan menyuarakan pandangan adalah hak asasi manusia.

Dalam tradisi Islam tidak ada kebebasan mutlak melakukan apa saja kerana batas undang-undang dan etika harus dihormati. Dalam kamus kelompok anarki mereka seolah-olah boleh melakukan apa saja asal cita-cita politik mereka tercapai.

Ada maksud yang tersirat mengapa perhimpunan seperti ini direncana? Seperti juga himpunan yang lalu ia akan menemui kegagalan kerana rakyat sudah tahu hasrat mereka. Tidak ada isu-isu yang substantial yang ingin diperjuangkan.

Sebaliknya dalam kalangan mereka banyak isu yang menimbulkan kesedaran umat Islam terjadi. Isu Kalimah Allah, faham pluralisme agama, isu-isu Comango yang menyentuh kepentingan hak asasi dan agama di Malaysia , isu Syiah yang sedang berbangkit adalah antara isu yang mereka tidak jawab dengan jelas.

Apakah ini maksud tersirat supaya mereka dapat mengalihkan perhatian rakyat kepada isu-isu yang mereka sendiri timbulkan dan terjebak dengannya kepada isu-isu semasa dengan harapan sentimen rakyat dapat dibakar dan memihak kepadanya.

Justeru perhimpunan guling kerajaan 31 Disember ini tidak lebih sebagai suatu gimik politik kelompok berkepentingan untuk menarik perhatian rakyat.

Cita-cita mereka, kalau dengan proses demokrasi kuasa masih kekal di tangan pemerintahan yang ada mengapa tidak dicuba cara yang sedang berlaku di Thailand sekarang.

Golongan terdesak ini mempunyai agenda peribadi yang perlu disempurnakan kerana menunggu PRU-14 apa-apa boleh terjadi dalam kepimpinan Pakatan Pembangkang kerana akibat tsunami politik PRU-13 rakyat sudah mula sedar betapa pentingnya Malaysia memiliki agenda perpaduan dan persefahaman dalam kalangan rakyat dalam membangun negara.

Pendekatan ekstrem atau pelampau sedang ditolak oleh masyarakat. Kalau masa-masa yang lalu demonstrasi jalanan gagal, penulis yakin perhimpunan ini juga akan gagal.

Masih ramai orang yang rasional yang dapat membezakan proses demokrasi dengan perhimpunan haram yang melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan negara.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat