Berita Harian: Ratu
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Ratu |
Posted: 07 Aug 2013 02:26 PM PDT Teruja sambut Syawal kerana tarikh lahir diraikan bersama umat Islam seluruh dunia Aidilfitri kembali lagi! Riak keceriaan terpancar pada wajah hampir seluruh umat Islam kerana meraikan kemenangan menunaikan ibadat sebulan berpuasa. Kedatangan 1 Syawal sememangnya dinanti. Sambutannya bukan saja dekat di hati tetapi turut membawa makna tersendiri kepada setiap individu. Begitulah bagi pemilik nama Aidil, Fitri atau Syawal pastinya lebih teruja setiap kali menyambut hari raya kerana ia detik paling istimewa dilahirkan pada bulan itu dan diraikan oleh semua umat Islam di seluruh dunia.
Bertubuh kecik molek, petah berbicara dan bijak mencuri perhatian umum adalah ciri menarik yang ada pada Khairul Rizqullah Al-Fitri Khairul Ikhsan, 4. Abang kepada Khairul Ziqrullah Al-Adha ini juga penyayang akan adiknya dan pandai mengambil hati kedua ibu bapa selain matang berbanding usia sebenar kerana sepanjang sesi temubual berlangsung, beliau lebih banyak mengalah kepada adiknya.
Nurazlina berkata, beliau bersyukur kepada Allah kerana walaupun lambat menerima kehadiran Al-Fitri dalam mahligai dibina, namun pada hari melahirkan cahaya matanya itu, beliau cuma berasa gelisah dan berdebar-debar saja, tapi tidak sakit. "Saya tidak berasa sakit dan masih boleh menikmati suasana ceria hari raya sehinggakan doktor pula yang risau melihat saya kerana Al-Fitri tidak mahu keluar. "Jadi doktor membuat keputusan mengeluarkan bayi saya menerusi pembedahan dan Alhamdulillah semuanya selesai dengan cepat, tapi saya tidak sedarkan diri selama dua hari akibat bius," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Tiga tahun tunggu Nurazlina terpaksa menunggu tiga tahun untuk mendapat anak sulungnya yang mempunyai karektor dan personaliti tersendiri berbanding adik, Al-Adha. "Nama Al-Fitri itu adalah nama pilihan nenek sebelah ayahnya kerana dilahirkan pada Aidilfitri dan cucu sulung sebelah suami dan cucu yang ke-33 emak saya. "Petah bercakap dan pandai mengambil hati siapa saja selain sanggup membiarkan lengannya digigit adik yang lebih aktif dan garang berbanding dia," katanya. Kedua-dua anaknya adalah anugerah Allah dan Al-Adha lahir pada saat umat Islam meraikan perayaan hari raya Aidiladha langsung melengkap nama untuk anak lelaki bongsunya itu. "Al-Adha dilahirkan secara normal dan saya juga tidak mengalami kesakitan sebelum melahirkan dia, tapi selepas itu barulah saya mengalami kesakitan bersalin. Untuk Aidilfitri kali ini, saya dan suami memilih baju Melayu merah hati untuk mereka dua beradik.
Nor Azam Fitri Ahmad Hidzir, ternyata gembira mendukung nama diberikan arwah datuknya, Kechik Din, sejak 28 tahun lalu, selain ada banyak cerita berlaku berkaitan hari kelahirannya. Katanya, sudah menjadi satu kebiasaan semua ahli keluarga yang melahirkan anak, datuknya akan memberi nama. "Saya dilahirkan selepas jam 12 tengah malam menjelang Aidilfitri yang mana ketika itu ibu bapa saya menganggap sudah masuk Syawal. "Bagaimanapun datuk memberi nama yang ada kaitan dengan Aidilfitri kerana berpendapat nama saya ini lebih selesa disebut berbanding nama 'Syawal," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini. Nor Azan Fitri yang menetap di Johor Bahru juga turut dikenali dengan panggilan Syawal dalam kalangan ahli keluarga dan rakan rapat kerana ibu bapa juga menyukai nama berkenaan. "Kiranya, nama saya lengkap gandingan Syawal dan Aidilfitri yang sangat sinonim dengan perayaan yang disambut seluruh dunia. "Ketika zaman sekolah dulu tiada apa yang istimewa mengenai nama saya kerana ada juga murid lain nama Fitri, cuma panggilan Syawal itu, hanya mereka yang rapat dengan saya saja menggunakan panggilan itu," katanya.
Bagi Penerbit Kanan dan Pengacara TV3, Ahmad Fedtri Yahya, beliau bersyukur dan gembira mendukung nama itu selain berasa istimewa kerana dilahirkan pada malam yang penuh berkat. "Saya dilahirkan pada malam 1 Syawal, 2 Ogos 1981 jam 12 tengah malam, 32 tahun lalu. Nama saya diberi oleh arwah bonda, Rajmah Othman. "Sepanjang saya lahir, bonda mengandungkan saya dengan kandungan yang lebih berat dan saya anak ke sembilan daripada 10 beradik," katanya. Ahmad Fedtri berkata, namanya jika dieja dengan huruf Jawi agak unik sedikit bunyi sebutannya kerana ayahnya mendaftarkan namanya itu dengan sebutan berdasarkan ejaan Jawi. "Saya amat berbangga dengan nama yang sungguh indah ini kerana secara automatik orang tahu saya lahir pada Syawal. "Kalau di Indonesia, Fitri adalah nama perempuan. Jadi, setiap kali memperkenalkan nama, ramai yang keliru dengan nama saya. Aidil Fitri kali ini akan diraikan secara sederhana kerana ibu sudah tiada dan kakak sulung saya juga baru meninggal dunia Disember lalu," katanya. Populariti nama Pelbagai cerita wujud di sebalik nama dan ia dipilih serta diberikan berdasarkan suasana semasa mahupun peristiwa yang berlaku ketika itu contohnya nama, Aidilfitri atau Syawal. Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN), Jainisah Mohd Noor, berkata JPN menerima pelbagai pendaftaran nama anak oleh ibu bapa dan selagi ia tidak bercanggah dengan peraturan ditetapkan JPN. Pemilihan nama Aidil atau Fitri, memang antara nama yang popular pada masa tertentu, terutama pada perayaan Aidilfitri. Bagaimanapun, katanya JPN tidak membuat klasifikasi rekod mengenai pecahan dari segi bila dan di negeri mana, nama ini kerap dipilih. "JPN ada menerima pendaftaran nama 'Aidil' dan 'Fitri,' tetapi kami tidak mengkelaskannya mengenai berapa ramai warga negara didaftarkan dengan nama ini dan di negeri mana ibu bapa memilih menamakan anak dengan nama berkenaan. Rekod pendaftaran adalah berdasarkan nombor daftar dan bukannya nama. "Diakui nama seumpama itu masih lagi didaftarkan sama ada ketika atau bukan bulan perayaan," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini. Mengenai 'populariti' menggunakan nama Aidil, Fitri mahupun Syawal, Jainisah berkata tidak dinafikan ramai ibu bapa memilih nama itu mengikut peristiwa tertentu. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Ratu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |