{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Santai raya Umie, Erra, Zahida

Posted:

Santai raya Umie, Erra, Zahida

Santai raya Umie, Erra, Zahida

TIGA wanita ini berada dalam fasa kewanitaan yang cukup meyakinkan.


DUA primadona, Erra Fazira dan Umie Aida cukup handal dalam medan perfileman serta drama tanah air. Air mata dan senyuman mereka mudah sahaja meninggalkan bekas dalam hati. Ada sisi setiakawan yang tidak akan mereka biarkan sendiri walaupun sudah bergelar ibarat bintang bergemerlapan.

Sahabat, teman, rakan berkongsi cerita, melepaskan tawa dan meriuhkan suasana memunculkan satu nama yang cukup intim dalam ruang privasi mereka. Nama yang dimaksudkan itu ialah Zahida Rafik, wanita yang sering dilihat bersama, akrab dan sepertinya saudara kandung dalam kehidupan sehari-harian mereka. Melihat tawa dan kemesraan yang terjalin, hati sesiapa pun mudah berasa cemburu. Mereka persis wanita yang sempurna, memiliki segala yang diimpikan setiap wanita lain. Kemewahan, glamor dan hidup dalam limpahan populariti.

Menilai daripada pandangan mata kasar, mudah sahaja menyimpulkan kemeriahan hidup yang mereka jalani sama ada di depan kamera atau di belakang tabir. Pertemuan bersama wanita berbeza portfolio itu sebaliknya menjelaskan sesuatu bahawa apa yang dilihat tidak semestinya menepati apa yang yang sudah tersirat. Bayangan hari raya dunia Erra, Umie dan Zahida barangkali serba sempurna, serba mewah sesuai dengan kestabilan kewangan mereka yang terpancar daripada kelibat majlis-majlis hiburan, namun mereka juga seperti wanita biasa.

Warisi resipi ibu

Sanggup meminjamkan kediaman peribadi sebagai lokasi fotografi istimewa ini sudah mencerminkan bahawa Umie seorang yang cukup bersahaja. Cuma karakter serta portfolio yang terbina memungkinkan dirinya digeruni untuk disapa.

Hari raya semestinya topik wajib yang masuk dalam perbualan. Kata Umie, hari raya ialah sambutan kekeluargaan. Justeru, semua persiapan dan aktiviti hari raya harus melibatkan keluarga.

"Jadi, setiap kali raya, saya memang beraya di rumah ibu. Ibu saya ialah wanita yang sangat sempurna, dia akan sediakan lauk-pauk untuk hari raya. Saya pula hanya akan jenguk-jenguk sahaja, tolong sikit-sikit, tahu-tahu semua sudah masak.

"Pada setiap tahun, memang begitu. Saya juga terfikir untuk warisi kehandalan ibu. Tapi setakat ini, memang ibulah yang akan masak segala macam masakan di rumah," katanya yang ditemui kira-kira dua minggu sebelum 1 Syawal.

Menjenguk suasana Syawal Umie, tidak banyak yang boleh dikongsikan pelakon yang sedang menghiasi skrin televisyen menerusi drama bersiri Umie itu.

"Raya saya macam biasa. Bila sudah sampai pada usia begini, hari raya sudah jadi hari untuk anak-anak. Buat diri saya, cukuplah pakai baju yang selesa dan tidak perlu nak sarat dengan labuci atau sendat sana sini. Senang nak bergerak dan melayan tetamu yang datang," katanya yang akan berlepas ke Eropah bersama kakaknya, Erma Fatima untuk menjalani penggambaran beberapa buah drama di sana.

"Kebetulan dapat ke luar negara, bolehlah saya makan angin bersama teman-teman juga. Mujur suami (Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan) saya izinkan," jelas Umie yang bakal terlibat dengan projek teater di Istana Budaya dan Singapura sekembalinya dari Eropah nanti.

Penuhi kehendak keluarga

Sepi perkhabaran di bidang seni, Zahida mengaku perkara itu. Namun, dia sedar tempatnya barangkali bukan lagi untuk menjadi tatapan peminat seni hiburan. Pernah keinginannya untuk kembali beraksi tercetus hasil tawaran dan pujukan teman-teman. Namun, kerisauan dan perasaan tidak yakin terasa tebal bersarang di dada.

"Kali terakhir saya buat kerja seni mungkin sekitar empat tahun lepas. Ketika itu, saya bersama rakan kongsi melabur untuk penerbitan sebuah filem berjudul Mei di Indonesia. Selepas itu, saya banyak buat kerja-kerja bisnes dan menguruskan badan kebajikan yang saya kendalikan. Saya tak macam Erra dan Umie, mereka itu bintang yang masih masih bersinar-sinar," jelas Zahida sedikit merendah diri namun jauh sekali menyimpan cemburu.

Dia kini selesa mendekatkan diri dengan kerja amal serta membantu insan yang kurang bernasib baik.

"Saya tumpang gembira tengok aktiviti mereka. Sekarang mereka sibuk dengan penggambaran di Eropah pula. Saya diajak untuk bersama-sama ke sana tapi ada komitmen lain yang tidak boleh saya tinggalkan di Kuala Lumpur," getusnya bahagia atas ingatan dan persahabatan yang terbina.

Sepanjang hari raya, Zahida mengaku masanya ditumpahkan sepenuh hati untuk keluarga. Emosi raya meluap-luap sejak seminggu akhir Ramadan dek persiapan khususnya mempersiapkan barang dapur untuk menjamu selera sepanjang Syawal.

"Seminggu sebelum Syawal saya sudah sibuk penuhkan barang dapur. Ibu, ayah, adik-beradik dan anak saudara semua sudah sudah berkumpul. Kami memasak untuk hari raya pertama dan kedua macam buat kenduri maklumlah keluarga saya besar," katanya lagi.

Mengajak Zahida bercerita tentang kemeriahan raya sebagaimana yang dibayangkan umum, katanya, ada sesuatu yang berbeza berlaku ke atas dirinya.

"Tahun ini, saya hanya pakai baju-baju raya tahun lepas. Masih ada lapan pasang yang belum dipakai. Saya tidak hantar kain untuk dijahit sebab merasakan seolah-olah membazir untuk berhabis-habisan melaram dengan baju raya. Kali ini, saya banyak sediakan persiapan raya untuk anak-anak buah dan ibu bapa sahaja. Perasaan itu datang kerana saya melihat terlalu banyak baju yang tidak muat disimpan di dalam almari," ujar ketawa.

Tambah Zahida: "Walaupun jarang muncul pada majlis hiburan tapi, saya tetap perlukan baju untuk majlis-majlis korporat, saya juga jenis yang tidak gemar cari baju pada saat-saat akhir. Jadi, tahun ini, saya cuma pakai apa yang ada tapi ada juga pereka fesyen macam Michael Ong, Syaiful Baharim dan Wan Pa yang tetap jahitkan baju untuk saya."

Masa untuk melepaskan sesuatu - Erra Fazira

Primadona dengan wajah penuh kelembutan ini sedang menghitung hari. Pemergian ke negara-negara Eropah untuk tujuan kerja bersama rakan-rakan. Bukan sekadar menyiapkan beberapa drama arahan Erma. Angin dan aroma udara luar juga menuntut dia, Umie dan Erma untuk berlatih teater yang bakal dipentaskan di Esplanade, Singapura sepulangnya dia mengembara.

"Lepas balik dari Eropah, saya akan ke Singapura untuk pementasan teater bertajuk Akulah pada 29 Ogos ini. Jadi saya perlu membuat persiapan. Nasib baiklah Umie dan Erma yang terlibat sama ada di Eropah, jadi masa ini juga digunakan untuk persediaan dan hafal skrip," ujar Erra yang akan berangkat hari ini.

Berkongsi cerita atas tajuk glamor raya, satu aroma yang sentiasa menyelimuti sisi pandang ke arah Erra, dia ketawa sebelum menjawab.

"Saya pernah tengok rakan-rakan yang bukan daripada golongan artis lebih glamor dan meriah. Lebih gah daripada selebriti. Tetapi untuk saya, saya lebih suka yang santai dan selesa. Bukan jenis yang 'bling bling'.

"Sebagai artis, saya penat berdandan dan melawa untuk pelbagai jenis acara. Jadi, hari raya merupakan ruang untuk saya bersederhana, tidak perlu terlalu berdandan dan yang lebih penting menjadi diri saya sendiri," akuinya lembut.

Namun pengaruh rakan sebaya sedikit merubah emosi untuk beraya tahun ini. Ini semua gara-gara penampilan aktres Rozita Che Wan, rakan yang sentiasa tampil elegan sepanjang masa.

"Tahun ini saya terkena tempias kawan-kawan. Saya tersentuh apabila melihat Rozita Che Wan yang ada 30 pasang baju raya. Baju dia pula semuanya yang wow, tahap fasa karpet merah sampai buat saya rasa kurang semangat dan persiapan menyambut raya. Tetapi tahun ini saya pakai apa yang ada dulu sebab tidak sempat buat persiapan beria," ketawanya yang turut melihat peningkatan semangat persiapan raya dalam diri rakan baiknya, Umie.

"Kalau Zahida memang depan mata sudah nampak macam mana cerianya dia mahu menyambut raya. Dulu, Umie santai tetapi semenjak dua menjak ini, dia semakin bergaya. Sudah nampak peningkatan," sambungnya tentang dua rakannya yang turut bergaya dalam busana Salikin Sidek dalam sesi fotografi kali ini.

Sebelum menamatkan keterujaan bercerita tentang raya, ibu kepada Aleesya ini ditanyakan erti kemaafan.

Dia menjawab, lembut: "Kemaafan raya ialah apabila kita dengan ikhlasnya memohon. Masa untuk kita melepaskan sesuatu dan juga hari sebuah pengakuan dibuat.

"Memang kita boleh minta maaf bila-bila masa sebenarnya tetapi hari raya dijadikan istimewa terutamanya untuk orang yang mempunyai ego yang besar serta sukar menyebut perkataan maaf. Jadi, gunakanlah platform ini untuk memohon dan kita tidak akan berasa janggal jika benar-benar ikhlas," kata maaf Erra yang membawa maksud begitu mendalam.

Hafiz sedih dituduh jual agama

Posted:

Hafiz sedih dituduh jual agama

Hafiz sedih dituduh jual agama

HAFIZ tidak menyangka zikir bermelodi alunannya akan dijadikan boarding song dalam pesawat ke tanah suci Mekah.


ZIKIR dilagukan menjadi alunan yang asyik didengar malah melodinya menambah tenang hati dan pendamai tekanan. Itu antara ulasan ramai terhadap album Zikir Terapi oleh Hafiz Hamidun yang mendapat sambutan hangat sehingga sebanyak 150,000 unit terjual sepanjang setahun setengah berada di pasaran.

Meneruskan konsep yang sama, penyanyi dan komposer muda itu muncul pula dengan kesinambungan album zikir tersebut yang diberi nama Zikir Terapi 2. Mengandungi sebelas buah zikir seperti Rabbi Zidni, Ilahi Last dan Tubna Ilallah, album Zikir Terapi 2 sedikit berbeza berbanding album sebelum ini. Jika Zikir Terapi sebelum ini sarat bunyi-bunyi Arab, kali ini dia bermain pula dengan alunan muzik Nusantara seperti zapin, gamelan, gurindam dan dodoi.

Di sebalik kejayaan yang dilakar, Hafiz tidak terlepas daripada kecaman. Dia didakwa menjual agama kerana cakera padat (CD) serta cakera padat digital (DVD) album berkenaan laris di pasaran. Tidak puas diselar sebegitu, penganjuran Konsert Zikir Terapi tidak lama dahulu juga didakwa kononnya Hafiz mengaut keuntungan secara terang-terangan dengan membuat duit daripada kalimah dan puji-pujian kepada Allah.

"Saya sedih dengan tuduhan itu. Memang album Zikir Terapi itu hanya melagukan semula puji-pujian ke atas Allah dan rasul tapi setiap pekerjaan yang dilakukan ada kos. Saya dituduh menjual agama kerana mempopularkan zikir sedangkan bagi saya, usaha itu lebih kepada mempromosikan agama," kata Hafiz.

Tambah Hafiz: "Saya percaya album zikir ini salah satu usaha untuk mengajak masyarakat suka dan dapat menghafaz zikir. Ada pendapat beberapa pendakwah bahawa zikir itu merupakan satu ibadah. Jadi, tidak wajar memasukkan muzik ke dalamnya. Tapi pandangan saya, apa jua dakwah yang kita sampaikan, iman, akidah dan akhlak harus dijaga terlebih dahulu. Zikir bukan setakat boleh dialunkan dalam masjid malah ia juga sesuai dimainkan di dalam kereta atau di mana jua.

"Saya paling tersentuh apabila seorang pakar mata mengaku bahawa lagu-lagu dalam album saya dijadikan muzik terapi semasa pembedahan mata dijalankan," katanya.

Album Zikir Terapi 2 itu juga bakal dimainkan di dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai 'boarding song' bagi destinasi menuju ke tanah suci Mekah apabila tiba musim haji nanti.

"Saya tak pernah sangka usaha saya ini dapat dimanfaatkan untuk pelbagai sudut. Dulu tujuan saya hanya untuk menggalakkan orang berzikir. Sekarang, ia mampu jadi peneman dan penenang untuk ramai orang," kongsi Hafiz yang mudah tersenyum saat diusik soal pengganti apabila wanita yang diminatinya bakal berkahwin tidak lama lagi.

Pengarah Urusan Arteffect International itu selesa mengaku sedang tertarik pula terhadap seorang gadis yang baru beberapa bulan dikenalinya. Tidak mahu memikirkan soal jodoh secara terburu-buru, Hafiz berkata:

"Setakat ini baru dalam fasa suka. Kalau betul-betul sudah serius, siapa yang tidak mahu kahwin. Saya pun nak kahwin macam orang lain juga."

Langkah kedua Ila Damiaa

Posted:

Langkah kedua Ila Damiaa

Langkah kedua Ila Damiaa

ILA menyanyikan semula lagu Suasana Hari Raya sebagai tanda minatnya kepada Datuk Sharifah Aini.


PENYANYI bernama Ila Damiaa Johar membuat langkah pertama dalam dunia nyanyian melalui penyertaannya dalam sebuah rancangan realiti televisyen pada tahun 2010.

Biarpun tidak tersenarai sebagai peserta akhir rancangan Mentor 4, Ila Damiaa kekal mengikut acuan karier mentornya, rapper Joe Flizzow apabila dia tampil dalam single berjudul Untukmu selepas keluar daripada rancangan tersebut.

Biarpun lagu itu mengangkat namanya, tidak banyak kisah tentang penyanyi tersebut diketahui umum sementelah beritanya jarang disebarkan media.

"Biarpun lagu itu mendapat hit, masih ramai yang tidak kenal dengan saya dan hanya tahu nama sahaja. Bahkan ketika dengan lagu Malaysian Boy yang kini popular barulah nama saya sedikit dikenali. Menerusi lagu itu, saya hanya menyanyi beberapa rangkap sahaja.

"Lagipun saya tidak muncul di mana-mana majalah mahupun surat khabar sebelum ini. Sukar untuk peminat mengenali siapakah Ila Damiaa," ujar gadis tersebut dalam sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.

Kini sebagai langkah kedua, Ila tampil dengan beberapa formula untuk lebih dikenali. Selain bakal muncul dengan sebuah single baharu berjudul Di Sebalik, Ila turut menyambut kemeriahan hari lebaran dengan sebuah lagu raya.

Lagu Suasana Hari Raya yang dipopularkan oleh biduanita Datuk Sharifah Aini itu diberi nafas baharu oleh penyanyi tersebut. Ia dipopularkan semula sebagai tanda minatnya yang mendalam terhadap Sharifah Aini.

"Sebenarnya sukar untuk menyanyikan lagu Suasana Hari Raya kembali dengan cara yang berbeza kerana saya membesar dengan lagu itu dan ia menjadi ikutan setiap kali tibanya hari raya.

"Saya memilih lagu tersebut kerana ia dekat di hati saya malah ia merupakan lagu hari raya paling yang paling saya gemari," kata gadis berumur 24 tahun itu.

Sempena Syawal, Ila tidak akan bercuti lama. Sedar bahawa perjalanan dunia seninya masih jauh dan terpaksa bekerja kuat, jelas Ila, dia tidak kisah biarpun terpaksa mula bekerja beberapa hari selepas hari raya.

Aidilfitri pada tahun ini merupakan antara yang paling singkat untuk dia bersama keluarga apatah lagi pelbagai strategi dan jadual telah diaturkan oleh pihak pengurusannya, Kartel Records.

"Pada hari raya kali ini, saya hanya pulang sekejap sahaja ke kampung halaman di Kuching kerana bercuti seminggu sahaja. Sebenarnya, sambutan hari raya di sana akan diraikan selama sebulan berbanding di Semenanjung. Pada setiap hari, kami akan memakai baju kurung dan baju Melayu selama sebulan.

"Bagaimanapun, saya tetap gembira apabila pihak pengurusan memberi pelepasan untuk bercuti seketika. Walaupun tidak banyak aktiviti yang sempat dilakukan, peluang merakamkan foto bersama saudara-mara sudah cukup menggembirakan," katanya yang menggemari kek lapis Sarawak yang dicampur dengan coklat.

Selain menjadi penyanyi kepada lagu popular Malaysian Boy dan Untuk Mu, Ila juga pernah merakamkan beberapa buah lagu lain termasuklah Sukar dan Rahsia.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat