Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Hollywood terima Priyanka"AKU seorang budak yang pelik, tidak berkeyakinan, datang daripada keluarga yang sederhana dan mempunyai tanda putih di kaki, tetapi hari ini kaki ini telah menjual lebih 12 buah jenama terkenal!" ujar Priyanka Chopra yang pernah berdepan isu diskriminasi kaum dan buli di Amerika Syarikat. Menjalani kehidupan sebagai seorang gadis berbangsa India di Amerika Syarikat, biarpun cuma tiga tahun, nyata telah mematangkan perjalanan hidup anak kepada pasangan ahli fizik, Ashok dan Madhu Chopra itu. Kanvas hidup Priyanka yang pada mulanya ingin menggenggam segulung ijazah kejuruteraan itu berubah apabila dia ditabalkan sebagai Miss World dan Miss World Continental Queen of Beauty (Asia & Oceania) - kedua-duanya pada tahun 2000. Sejak itu, pembabitannya dalam bidang seni mula diintai produser dan pengarah filem terkenal di India. Maka terjun pula Priyanka dalam dunia lakon layar menerusi filem Humraaz dan sebuah filem bahasa Tamil, Thamizhan. Andaaz, Aitraaz, Fashion, Kaminey, 7 Khoon Maaf dan Barfi! merupakan sebahagian daripada 50 buah filem yang telah melonjakkan namanya hingga mendapat perhatian beberapa pengarah Hollywood. "Saya seorang yang suka bersaing dan sejak di bangku sekolah lagi saya akan bersaing untuk menjadi yang terbaik! Malah, ketika menyertai Miss India dan Miss World juga, semangat itu yang saya tanamkan dalam diri sehingga menobatkan saya sebagai pemenang paling muda dalam sejarah ketika itu. "Apabila terjun ke bidang lakonan, saya akan pastikan setiap filem lebih baik daripada sebelumnya dan mencari bahagian yang paling sukar. "Ia kelihatan seperti kita membahayakan diri sendiri tapi dengan mencuba sesuatu yang berbeza kita akan dapat merasai peluang untuk menjadikan hidup lebih menarik," ungkapnya. PRIYANKA CHOPRA mula menempah nama di Hollywood. Filem animasi terbaharu Disney, Planes yang menampilkan suaranya untuk karakter Ishani menjadi pencetusnya. Hollywood Mengejutkan apabila produksi Disney turut mendekati Priyanka sekitar dua tahun lalu untuk mendapatkan suaranya bagi watak Ishani dalam filem animasi terbaharu, Planes yang telah mula ditayangkan di Malaysia pada 15 Ogos lalu. Bergandingan dengan bintang ternama Hollywood, antaranya Dane Cook dan Teri Hatcher, Priyanka memberitahu, dia berusaha menyalurkan budaya India dalam karakter Ishani dan pada masa sama, cuba untuk tidak berlebih-lebihan menyampaikan loghat Bollywood dalam karya Hollywood itu. "Ia suatu pengalaman yang menakjubkan. Watak Ishani merupakan penyesuaian kendiri lebih daripada faktor budaya semata-mata - mencipta karakter dalam sebuah bilik kecil itu berbanding berada di set penggambaran," kongsi Priyanka. Merealisasikan Ishani, Priyanka meminjamkan suaranya untuk karakter kapal terbang kecil berwarna kuning-jingga yang digambarkan sebagai pelumba berwajah Pan-Asia. Unik dan memberikan tafsiran lebih jelas terhadap peribadi Priyanka, Ishani turut dihiasi corak inai berwarna hijau pada bahagian hidungnya. "Ia umpama memberikan nafas kepada sebuah karakter kartun yang paling seksi, anggun dan berkeyakinan tinggi. Ishani percaya bukan lelaki sahaja mampu bersuka ria," jelas Priyanka tentang karakter Ishani. Filem keluaran sampingan daripada karya animasi pecah panggung Disney, Cars itu menampilkan kisah mengenai impian sebuah kapal terbang kecil bernama Dusty Crophopper yang ingin menyertai perlumbaan bertaraf dunia. Malangnya, Dusty tidak dicipta untuk berlumba. Namun, dia mendapatkan bantuan daripada kapal terbang pelumba yang berpengalaman untuk menyertai perlumbaan Wings Around the Globe. SIAPA sangka jelitawan popular ini merupakan anak kepada kepada pasangan ahli fizik. Exotic Priyanka turut menambahkan kredit portfolio kerjaya seninya sebagai penyanyi. Gadis kelahiran Jamshedpur, India itu mempertaruhkan vokalnya dalam sebuah lagu versi muzikal, khusus untuk runut bunyi Planes. Lagu yang diberi judul, Ishani's Song itu disampaikan Priyanka melalui karakter Ishani untuk menjawab pertanyaan wartawan yang meragui keupayaan kapal terbang ringan tersebut dalam memenangi perlumbaan. Tidak cukup sekadar itu, Priyanka disunting juga oleh produser muzik Red One Production, Nadir Khayat yang pernah menerbitkan lagu-lagu hit Lady Gaga untuk berkolaborasi bersama penyanyi rap antarabangsa, Pitbull. Uniknya, single yang diberi judul Exotic itu apabila Priyanka memasukkan lirik bahasa Hindi selain gerakan tari ala Bollywood dalam klip video lagu tersebut. Malah, lagu yang kini menduduki carta 15 lagu terbaik Billboard Amerika Syarikat itu akan menjadi lagu tema perlawanan bola sepak Guinness International Champions Cup tahun ini. Tuah Priyanka tambah bersinar apabila Red One mengikat janji untuk menerbitkan keseluruhan albumnya dan terbaharu sebuah single berjudul In My City menampilkan Will.i.am telah dilancarkan. Katanya: "Kami ada banyak kejutan lagi selepas ini." | |
Ia pendidikan seks, bukan porno Posted: Ia pendidikan seks, bukan pornoOleh HARYATI KARIM
FILEM Laga belum pun menemui penonton kerana dijangka berada di pawagam pada tahun depan. Bagaimanapun, filem yang mengisahkan permainan sabung ayam itu terlebih dahulu mencuri perhatian apabila sedutan filem itu yang memaparkan babak ranjang mula tersebar di internet. Walaupun babak ranjang antara aktor tersohor, Wan Hanafi Su dan pelakon jelita, Marsha Milan Londoh diselitkan dalam durasi yang cukup singkat, namun babak atas katil dengan Marsha hanya berkemban itu tetap menimbulkan persoalan. Mungkinkah pengarah, Ismail Yaacob mempergunakan babak tersebut untuk menarik perhatian penonton ke pawagam, walhal filem itu dibarisi ramai pelakon handalan lain seperti Nasir Bilal Khan, Eman Manan, Ruminah Sidek, Syazwan Zulkifli, Zaidi Omar, Rosyam Nor dan Fadilah Mansor. Bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut, ikuti temu bual Kosmo! bersama Wan Hanafi Su dan juga Marsha yang bergandingan sebagai suami isteri dalam filem itu. Kosmo!: Sedutan filem Laga ada memaparkan babak atas katil antara Marsha dan Wan Hanafi Su yang menunjukkan anda berkemban. Adakah Marsha bersedia dengan impak penerimaan orang ramai? MARSHA: Nama pun berlakon, jadi apabila berada dalam set penggambaran, saya profesional. Saya tidak fikir orang akan mempertikaikan kerana babak tersebut sebenarnya tidaklah seperti orang fikirkan. Anda banyak berkemban dalam filem itu, tidakkah anda rasa diri anda dieksploitasi untuk melariskan filem? Saya tidak pernah rasa diri dieksploitasi sebagai pelaris filem kerana sepanjang penggambaran, termasuklah babak itu, saya cukup selesa. Terpulang kepada penonton mahu menilainya tetapi nasihat saya, tonton dahulu filem ini sebelum menghentam hanya kerana satu babak panas itu sahaja. Adakah pengarah memberitahu anda terlebih dahulu tentang adegan panas itu sebelum penggambaran bermula? Sebelum penggambaran bermula, pengarah awal-awal sudah beritahu saya terdapat babak atas katil bersama Wan Hanafi Su. Dia menerangkan kepada saya tentang syot dan keperluan babak itu secara terperinci. Sebagai pelakon, saya juga tidak mahu masalah timbul di kemudian hari hanya kerana satu babak itu. Sebagai pelakon, sejauh mana anda meletakkan had apabila diminta melakonkan aksi ranjang mahupun berpakaian seksi dalam filem? Paling penting saya harus selesa dengan babak dan pakaian yang diberikan. Jika saya tidak selesa, saya tidak akan melakonkan babak yang diminta pengarah. Bagaimanapun sebagai pelakon, saya harus fleksibel. Pengalaman anda berlakon dengan Wan Hanafi Su? Terus terang ini pengalaman pertama dan peluang yang saya tidak akan lepaskan. Dia seorang pelakon yang hebat dan banyak mengajar saya di set penggambaran. Malah disebabkan dia, mudah untuk saya melakonkan babak-babak yang agak berat. WAN HANAFI SU mahu penonton jangan terus menjatuhkan hukuman terhadap lakonan 'panas'nya bersama Marsha. Kosmo!: Adakah Wan Hanafi Su sedar babak atas katil bersama Marsha bakal menimbulkan kontroversi apabila filem itu dikeluarkan? WAN HANAFI SU: Ingin saya tegaskan, babak itu bersifat mendidik bukannya nampak seperti filem porno. Ini kerana dalam skrip sebelum babak itu, bidan ada katakan, jika ingin dapat anak harus mengangkat kaki isteri tinggi-tinggi, jadi hanya babak itu yang dipaparkan. Tidak ada sebarang babak ghairah seperti yang difikirkan orang ramai. Bagaimana pula impak kepada anda sebagai pelakon handalan, tidakkah babak itu menjejaskan imej anda? Saya okey sahaja, memang sepanjang kerjaya lakonan inilah kali pertama dan saya gembira dapat melakonkan babak sedemikian. Rasanya selepas tonton sepenuhnya filem ini, tidak akan ada sebarang impak negatif kerana saya bukannya melakonkan babak rogol. Adakah keluarga anda tahu tentang babak itu? Alhamdulillah, keluarga saya amat memahami kerjaya saya sebagai pelakon, mereka menerimanya dengan baik. Saya harap penonton membuat penilaian selepas mereka menonton bukanlah berdasarkan triler sahaja kerana saya sendiri seronok melihat hasil filem ini di bawah arahan Ismail Yaacob. | |
Posted: Sabri Yunus pernah dihinaOleh HARYATI KARIM SEBAGAI 'orang lama' dalam industri perfileman tanah air, Sabri Yunus telah memenangi pelbagai anugerah kerana kredibilitinya. Terkini, Sabri memenangi anugerah Pelakon Komedi Lelaki Terbaik TV dalam Anugerah Lawak Warna. AKTOR dan pengarah, Sabri Yunus cukup terkenal dengan karya-karya berkualiti. Deretan anugerah telah berada dalam genggamannya dan terbaharu, dia telah merangkul anugerah Pelakon Komedi Lelaki Terbaik TV dalam Anugerah Lawak Warna baru- baru ini. Kemenangan menerusi drama komedi Kampung Semarah Padi arahan aktres Melissa Saila itu boleh dianggap sebagai kebangkitannya yang dilihat akhir-akhir ini bertambah popular. "Saya bersyukur, sebelum saya bergelar pelakon komedi, saya terlebih dahulu terlibat dengan karya teater yang berat. Selepas terlibat dengan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, barulah saya dikenali sebagai pelakon komedi. "Bagaimanapun, saya masih kekal dengan dua jiwa, serius dan komedi. Meskipun banyak terlibat dengan karya komedi, saya tidak pernah melepaskan karya yang serius. Alhamdulillah, peminat dapat menerima dengan baik sama ada saya berlakon komedi mahupun serius," katanya. Bercerita lebih lanjut tentang kebangkitannya hari ini, bapa kepada tiga orang anak itu menjelaskan, sejak pemergian isteri tercinta, Norryana Yusof pada tahun 2006 akibat penyakit kanser, kerjaya seninya turut merosot. "Sejak isteri saya meninggal dunia, hidup saya jadi gelap dan saya mula memperlahankan kerjaya seni. Selepas tahun 2010, barulah saya kembali aktif," tuturnya. Dalam tempoh lima tahun menyepi daripada sebarang aktiviti seni, akui Sabri, dia berasa cukup rugi kerana membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa sebarang hasil karya. "Memang cukup rugi. Dalam tempoh saya bersedih itu saya tidak buat apa- apa. Namun dalam saya menyepi, timbul banyak idea dan inspirasi yang menyebabkan saya ingin aktif semula dan mengisi segala kekosongan yang saya tinggalkan sebelum itu," jawabnya. Kini, pada usia 52 tahun, Sabri sedar yang dia harus menghasilkan karya-karya berkualiti, bukannya mengejar populariti semata-mata. "Bila saya kembali aktif, saya harus kejar dengan cepat perkembangan industri seni tetapi waktu itu sudah ramai karyawan yang lebih muda dan kreatif. Jadi, saya tidak boleh menghasilkan sebuah karya untuk popular sahaja. "Sesuai dengan kematangan usia saya, karya yang dihasilkan harus berkualiti dan juga meninggalkan kesan bukan sahaja untuk penonton tetapi diri saya sendiri sebagai pengkarya," luahnya yang cukup terkenal sebagai tukang karut dalam siri popular Karoot Komedia X. Mengimbas kembali perjalanan seninya, Sabri memanjatkan kesyukuran kerana terlalu banyak pahit manis yang telah ditelannya sebagai anak seni. Pengalaman dihina penonton telah membuatnya menjadi lebih berani dan menjadi Sabri Yunus yang dikenali hari ini. "Bukan mudah untuk bergelar pelawak kerana bagi saya melawak ini satu kerja yang cukup bahaya. Ramai yang tidak tahu, ketika saya popular bersama sitkon Pi Mai Pi Mai Tang Tu, selama dua tahun saya tidak berani mengambil sebarang persembahan pentas untuk berlawak. "Sebenarnya saya takut persembahan saya tidak menjadi. Namun, atas pelawaan rakan waktu itu pada tahun 1988, saya beranikan dan akhirnya apa yang saya takutkan berlaku. "Bayangkan, sedang saya membuat lawak dan boleh dikatakan syok sendiri, tiba-tiba ada penonton muncul di depan pentas minta saya turun. "Katanya sudahlah, kami nak tengok Ramlah Ram pula. Waktu itu ND Lala sebagai pengacara turut memanggil saya ke belakang pentas, rupanya persembahan saya terlebih masa dan penonton sudah bosan," katanya. Walaupun pengalaman pertamanya tidak menjadi seperti yang diharapkan, kata Sabri, peristiwa itu banyak mengajarnya untuk menguasai pentas dan penonton dengan lebih baik. "Jika sebelum ini saya asyik menipu promoter kata saya sibuk walhal saya takut untuk buat persembahan seorang diri, tetapi sejak persembahan pertama itu saya menjadi lebih berani dan bijak mengatur masa supaya lawak saya tidak bosan," ceritanya. Terbaharu, Sabri menerusi produksinya Balang Rimbun, bakal menerbitkan sebuah drama komedi berjudul Mat Three Four yang akan menemui penonton pada bulan November depan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |