{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Songket tenunan tangan siap sebulan

Posted:

Songket tenunan tangan siap sebulan

Songket tenunan tangan siap sebulan



APABILA bercakap mengenai songket, pasti kita akan membayangkan negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Negeri-negeri itu memang terkenal dengan pembuatan songket dalam kalangan penduduk tempatan mahupun pelancong asing sejak sekian lama.

Namun, Mahkota Songket iaitu anak syarikat Lunas Atur Sdn. Bhd. membawa kelainan apabila menghasilkan kain songket yang dibuat sepenuhnya di Selangor.

Menurut pengurusnya, Leena Hassan, 33, idea menghasilkan sendiri tenunan songket ini bermula apabila bapanya, Hassan Mohd. Jamil, 66, menerima tempahan untuk membuat kain samping daripada songket untuk kakitangan tentera.

"Pada mulanya ayah saya hanya menjalankan perniagaan menjual aksesori untuk kakitangan tentera pada tahun 1993 dan melebarkan cabang perniagaannya kepada songket selepas menerima tempahan dengan mengupah pekerja-pekerja yang mahir untuk membuatnya.

"Melihatkan permintaan yang semakin memberangsangkan, kami bertindak membeli mesin tenunan songket sendiri termasuklah yang tradisional dengan dibantu oleh kakitangan lulusan Institut Kraf Negara," ujarnya yang mempunyai bangunan sendiri dikenali Latur setinggi empat tingkat di Alam Avenue, Shah Alam.

Tambahnya, harga bagi songket tenunan tangan ditentukan melalui penggunaan jenis benang dan rekaan eksklusif yang mampu mencecah harga ribuan ringgit.

"Rekaan eksklusif songket buatan tangan selalunya sering menjadi pilihan ahli-ahli perniagaan kerana satu rekaan sahaja yang dihasilkan dengan menggabungkan corak moden dan tradisional.

LEENA turut menghasilkan bermacam-macam produk songket yang lain seperti kotak hadiah, hamper, beg, selendang meja dan alas kusyen.


Gabung idea

"Penggunaan warna yang betul mampu menaikkan seri songket itu. Warna dan benang yang bersesuaian perlu dicuba terlebih dahulu sebelum mula menenunnya. Ini bagi memudahkan kami bermain dengan benang serta warna yang menarik. Ia tidak sama sekiranya kita hanya menghasilkan warna dengan menggunakan komputer.

"Pada peringkat awal dahulu, kami memilih warna berdasarkan logik sendiri tetapi ia tidak menjadi kerana warna dan pemilihan benang yang sesuai untuk songket memainkan peranan yang penting.

"Kami membuat rekaan sendiri hasil garapan idea bersama tiga orang kakitangan yang mahir dalam bidang pembuatan songket.

"Selalunya, kami akan menggabungkan idea rekaan yang diketengahkan oleh pekerja bagi menjaga kualiti dan tahap eksklusif songket itu," jelasnya sambil memberitahu, proses penghasilan songket tenunan tangan mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan.

Leena berkata, cabaran untuk mengendalikan perniagaan songket itu adalah memperoleh kepercayaan pelanggan kerana ramai orang yang tidak menyangka songket keluaran syarikatnya itu dihasilkan di Shah Alam.

"Mentaliti masyarakat sudah sinonim dengan songket yang terkenal di negeri-negeri Pantai Timur dan itu menjadi cabaran kepada kami untuk memperoleh kepercayaan mereka. Tetapi, apabila melihat kualiti songket kami, alhamdulillah pelanggan menyukainya.

"Sebenarnya, membuat kain songket tidaklah serumit mana tetapi ia tidak boleh disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa kerana hasilnya akan menjadi kurang menarik. Seseorang yang menghasilkannya juga tidak boleh berada dalam keadaan tertekan kerana ia memberi kesan ke atas kualiti produk yang dihasilkan.

"Saya sendiri pernah cuba untuk membuatnya tetapi hasilnya tidak begitu menarik dan kurang kemas. Justeru, saya hanya menyerahkan proses pembuatannya kepada mereka yang lebih mahir," ujarnya yang dibantu oleh suaminya, Mohamad Firdaus Mohd. Ramzi, 33.


SERAMAI tiga orang pekerja lulusan Institut Kraf Negara membantu Leena (dua dari kanan) untuk menghasilkan songket tenunan tangan.


Warna pudar

Katanya, lingkungan harga untuk songket keluaran syarikatnya bermula dari RM70 hingga RM8,000 bergantung pada rekaan dan jenis benang yang digunakan.

"Kami terpaksa bersaing dengan songket dari Pakistan dan India yang mempunyai harga yang jauh lebih murah tetapi berkualiti sehinggakan ada yang berharga hanya RM20. Namun, kebanyakan individu tidak mengetahui jenis songket yang mereka beli.

"Songket boleh diketahui berasal dari negara mana berdasarkan penggunaan benang kerana benang dari negara asing lebih leper dan ia berbeza dengan benang yang dikeluarkan di negara kita yang berbentuk bulat," katanya yang pernah menghasilkan songket untuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Jelas Leena, songket tidak boleh dibasuh, dilipat dan dijemur di bawah sinaran matahari kerana tindakan itu boleh menyebabkan warnanya pudar.

"Saya pernah dimarahi oleh pelanggan kononnya kain songket yang dibeli pada harga ribuan ringgit daripada kami tidak berkualiti kerana warnanya cepat pudar. Sebenarnya produk yang paling berkualiti pun jika terdedah terlalu lama pada cahaya matahari tidak akan tahan lama khususnya dari segi warna.

"Selain kain songket, kami juga ada menampilkan produk songket yang lain seperti kotak hadiah, kotak hamper, beg, selendang meja dan kusyen dengan lingkungan harga bermula dari RM7 hingga RM200.

"Sebagai perancangan, kami ingin jenama Mahkota Songket dikenali ramai dan berdiri megah setanding dengan jenama songket keluaran syarikat lain," ujarnya.

Juruterbang wanita pertama Afghanistan

Posted:

Juruterbang wanita pertama Afghanistan

Juruterbang wanita pertama Afghanistan

Niloofar Rhmani memenuhi cita-cita dan hasrat bapanya yang mahu dia menjadi juruterbang.


NILOOFAR memecah tradisi dengan menjadi juruterbang wanita pertama Afghanistan.


PADA 14 Mei lalu, Leftenan Niloofar Rhmani, 21, melakar sejarah apabila dia menjadi wanita pertama Afghanistan yang berjaya menamatkan latihan juruterbang.

Dia yang berasal dari Kabul itu merupakan salah seorang daripada lima graduan yang akan meneruskan ke tahap seterusnya untuk mengendalikan pesawat Cessna 208.

"Saya amat bangga kerana berjaya melakukannya. Saya juga sangat gembira kerana menjadi wanita pertama yang berjaya melakukannya. Saya terpaksa bekerja keras tetapi saya mahu membuktikan kepada wanita di negara ini bahawa kita boleh melakukannya," katanya.

Dia lulus kursus itu di Pangkalan Tentera Udara Shindand di wilayah Herat.

Dia diajar oleh pengajar daripada Tentera Udara Amerika Syarikat (AS).

Niloofar berkata, membesar di Afghanistan sebagai seorang wanita dan mempunyai impian untuk menjadi seorang juruterbang perlu berhadapan dengan banyak cabaran.

Namun, katanya, pengorbanannya itu sangat berbaloi.

"Untuk menjadi yang pertama dalam apa jua perkara memang mencabar," ungkapnya.

Wanita itu memberitahu, apa yang dapat diingatinya adalah dia teruja dengan langit dan menyedari bahawa juruterbang merupakan kerjaya yang diidam-idamkannya.

"Bapa mahu saya menjadi juruterbang. Ia merupakan cita-citanya. Tetapi, 40 tahun lalu, dia tidak dapat melakukannya (menjadi juruterbang). Saya mahu memenuhi impiannya itu dengan menjadi seorang juruterbang," katanya.


NILOOFAR menjadi antara lima graduan yang berjaya menamatkan latihan.


Permulaan hidup

Kata Niloofar, keluarganya turut menjadi pendorong dalam usahanya untuk menggapai cita-cita itu.

"Mereka sentiasa percaya dan menyokong saya. Saya tidak dapat melakukannya (menjadi juruterbang) tanpa keluarga dan tenaga pengajar," tambahnya.

Antara syarat untuk layak menjadi juruterbang adalah mengikuti kursus bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Kursus itu melibatkan tempoh antara enam bulan hingga satu tahun setengah.

Setelah mengikuti kursus itu, seseorang calon dikehendaki mengikuti program yang mengandungi tiga fasa yang berakhir dalam tempoh setahun.

Walaupun Niloofar dan rakan-rakannya mengambil masa untuk menjadi juruterbang, dia memahami bahawa ia hanya permulaan dalam kehidupan yang panjang dan mencabar.

"Ia akan menjadi sukar, tetapi saya tidak takut," katanya

"Ia aman di atas sana (udara). Saya hanya menumpukan perhatian semasa mengendalikan kapal terbang. Matlamat saya kini adalah untuk membantu negara saya mempunyai masa depan yang baik dan mempertahankan hak wanita.

"Saya sudah memecahkan tradisi untuk kaum wanita di negara saya," katanya kepada pemberita baru-baru.

Kejayaan wanita itu turut mendapat liputan meluas media di negaranya.

Pada 18 Julai lalu, dia ditemani seorang pegawai tentera udara AS, Kapten Aaron Marx mengendalikan sebuah pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul ke Kandahar.

Pesawat itu membawa beberapa pegawai Kementerian Pertahanan Afghanistan.

Dia kini bertugas sebagai juruterbang di Pangkalan Udara Kabul dengan berkhidmat untuk Batalion C208 dan C27.

Shims ingin ikut jejak abang

Posted:

Shims ingin ikut jejak abang

Shims ingin ikut jejak abang

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


PENGALAMAN semasa menuntut di Akademi Amerika Paris memberi kelebihan kepada gadis ini.


MEMEGANG status adik kandung kepada pereka fesyen ternama negara, Jovian Mandagie tidak memberi kelebihan kepada pemilik nama Shims Hashim.

Gadis berusia 21 tahun ini mengakui aura Jovian yang banyak menghasilkan busana untuk artis tempatan, membuatkan perasaan tertekan menjalar dalam dirinya.

"Namun, saya yakin dapat membina reputasi sendiri dengan kebolehan yang ada," mukadimah Shims yang berasal dari Kuala Lumpur ketika ditemu bual kru Jurnal di Bangsar baru-baru ini.

Teruja menceritakan proses bertatihnya dalam industri rekaan pakaian negara, Shims menceduk pengalaman dengan merantau ke Paris, Perancis untuk menimba ilmu.

"Saya mengambil Diploma Rekaan Fesyen di Akademi Amerika Paris, Paris selama dua tahun.

Bekal makanan

"Sememangnya ia penuh dengan cabaran tetapi ada sisi kebaikan kerana kebanyakan tenaga pengajarnya terdiri daripada pereka fesyen terkenal dunia.

"Selain itu, saya banyak terlibat di belakang tabir untuk setiap pertunjukan fesyen di Paris," terang anak gadis kepada usahawan wanita, Silvana Salim ini.

Cerita Shims, kehidupan di Paris banyak menguji kesabarannya.

Katanya, kebanyakan rakyat Perancis lebih gemar menggunakan bahasa ibunda mereka untuk berkomunikasi sesama mereka dan dengan pelancong asing.

Tambahnya, situasi itu sedikit sebanyak mengundang masalah baginya yang tidak begitu mahir dengan bahasa negara yang terkenal dengan Menara Eiffel itu.

"Sukar juga ya... tetapi saya tetap kuatkan semangat dan bersyukur kerana dapat bertutur bahasa Perancis dengan mudah.

"Walaupun tidak mahir sepenuhnya, sekurang-kurangnya saya dapat bertutur dalam empat bahasa iaitu Melayu, Indonesia, Inggeris dan Perancis," katanya.

Peliknya, semasa menuntut di akademi itu, gadis ini membawa bekalan makanan yang dimasak dari rumah sewanya semata-mata untuk menjimatkan perbelanjaan.

"Biasanya, saya akan memasak ayam masak lemak cili api, rendang ayam dan sayur goreng.

"Sebenarnya, ramai pelajar akademi yang membawa bekalan makanan kerana harga makanan yang mahal di sana," ujarnya.

Shims merupakan satu-satunya pelajar dari Malaysia di akademi itu pada masa itu.

Jumlah perbelanjaan bulanannya di Paris mencecah puluhan ribu ringgit.

"Saya hanya berjalan kaki sejauh 10 kilometer untuk pergi ke akademi itu.

"Justeru, badan saya kurus tidak seperti sekarang yang agak berisi," katanya sambil ketawa.

Kurang tidur

Tambahnya, ada masanya dia ingin pulang belajar di Malaysia sahaja tetapi lama-kelamaan hasrat itu dipendamkan begitu sahaja.

Sebaik sahaja tamat belajar, dia mengusahakan sebuah butik pakaian di Setapak, Kuala Lumpur kira-kira setahun lalu.

"Syukur kerana tempahan yang diterima agak menggalakkan. Tempahan pertama saya terima daripada seorang wanita yang menetap di Ipoh, Perak.

"Dia memesan pakaian berbentuk peplum sebanyak dua pasang dengan harga RM500. Sebenarnya, kos menghasilkannya lebih daripada itu tetapi kerana teruja, tempahan pertama saya itu disiapkan dengan sebaik-baiknya.

"Cuma dalam setiap corak pakaian yang dihasilkan saya akan memasukkan elemen tempatan serta tradisional supaya setiap busana tampak berbeza," ujarnya.

Peplum ialah pakaian mirip skirt pada blaus.

Dia memberitahu, tempahan pakaian yang diterima untuk Hari Raya Aidilfitri juga memberangsangkan.

"Jenuh juga untuk menyiapkannya dalam tempoh kurang sebulan sehingga jari-jari tangan luka kecil selain kurang tidur.

Lupakan cerita mengenai dunia fesyen, Shims juga ada cerita lucu semasa menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di Gold Coast, Australia pada tahun lepas.

Katanya, keputusan itu diambil empat hari sebelum Aidilfitri.

"Keluarga saya ada yang menetap di Malaysia, Indonesia dan Dubai. Jadi, kami ingin membuat kelainan dengan beraya di negara lain.

"Sememangnya itu merupakan keputusan yang mengejutkan kerana pada kebiasaannya, kami akan berhari raya di Kuala Lumpur," ujarnya.

Namun, suasana pada masa itu sedikit terjejas kerana lemang, rendang ayam dan serunding yang dibawa untuk bekalan semasa pagi raya tidak dibenarkan dibawa masuk oleh pihak imigresen di lapangan terbang.

"Kami terpaksa membuang kesemuanya dan hanya menikmati makanan Barat semasa hari raya pertama," katanya yang pernah menerima duit raya sebanyak RM2,000 semasa kecil yang diberikan oleh ibunya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat