{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Sambutan dalam senario baharu

Posted:

Sambutan dalam senario baharu

Sambutan dalam senario baharu

KETIKA menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara, perasaan bercampur-baur menyelubungi hatinya memandangkan dia baru sahaja bergelar isteri.

Sedar peluang tersebut tidak perlu disia-siakan, Nor Syahilla Abdul Aziz, 26, nekad meneruskan cita-citanya dengan sokongan padu daripada suami, Mohd. Khairul Aiman Hamdan, 26.

Bersama-sama merantau ke ibu negara Scotland, Edinbrugh, pasangan ini tidak mahu cabaran hidup menetap di negara orang menjadi penghalang mengecapi gelaran Doktor Falsafah Matematik Aktuari.

Dengan tempoh pengajian selama tiga tahun, pasangan ini memilih untuk tinggal di sebuah flat dua bilik di Calder Grove, Edinburgh, Scotland.

Memikul tanggungjawab sebagai isteri dalam suasana yang baharu tidak membuatkan Nor Syahilla berasa payah atau mengalah kerana banyak dibantu oleh suami yang bekerja sambilan di sebuah kedai berhampiran kediaman mereka.

Tahun ini merupakan tahun pertama pasangan ini menyambut hari lebaran di Edinbrugh. Seperti kebanyakan keluarga Malaysia di sana, ia diraikan dengan kesederhanaan bersama teman-teman lain.

Bagi mereka, komuniti pelajar dan warga Malaysia merupakan penawar rindu terhadap keluarga di tanah air.

"Selama 26 tahun kami menyambut lebaran bersama keluarga. Oleh itu, tipu jika tidak berasa sedih dan pilu kerana kami di sini. Tambahan pula tahun ini merupakan kali pertama kami menyambut Syawal sebagai suami isteri.


KEHADIRAN teman-teman mengubat kerinduan kepada keluarga di Malaysia.


"Mujur, rakan-rakan senegara bersama-sama menganjurkan majlis rumah terbuka. Tahun ini, kami berkumpul di taman awam The Meadows bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya baru-baru ini.

Merindui juadah lemang dan dodol durian, menurut wanita ini, mereka tidak dibenarkan untuk menyediakan makanan lazim lebaran itu memandangkan keadaan setempat dan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Bukan sahaja lemang, lampu minyak yang kami pasang hanya bertahan selama lima minit sebelum terpadam akibat angin kencang," kongsinya.

Walaupun demikian, dia tetap menyediakan beberapa hidangan tempatan terutamanya juadah kegemaran suami iaitu kuah lodeh dan ayam masak minang mengikut resipi yang diperoleh daripada ibu mertuanya.

"Bahan-bahan mentah tidak sukar ditemui kerana banyak kedai runcit Asia dan halal di sini. Jika memerlukan barangan tertentu, baru kami meminta ahli keluarga mengirimkannya dari Malaysia," jelas beliau.

Selain pelajar warga Malaysia, hidangan tersebut juga akan dikongsi bersama rakan-rakan berbangsa asing.

"Saya pernah menghidangkan beberapa jenis masakan tempatan kepada rakan-rakan yang datang ke rumah. Menggemari sate, kuah kacang dan nasi impit, mereka tidak dapat menahan kepedasan masakan kita.

"Bagi membolehkan mereka menikmati kelazatan makanan Malaysia, saya cuba mengurangkan rasa pedas untuk hidangan raya ini," ujarnya.

Dengan Ramadan kali ini disambut pada musim panas dengan waktu siang adalah sehingga 19 jam, Nor Syahilla mengakui ia satu pengalaman yang mencabar khususnya pada hari pertama apabila mereka lupa bersahur.

"Pada masa sama, kami diserang cirit-birit sehari sebelum Ramadan. Ini menambahkan lagi cabaran berpuasa di negara Eropah," katanya sambil memaklumkan sembahyang tarawih dilaksanakan berdua di rumah kerana masjid terdekat memulakan solat itu pada pukul 11.30 malam.


HIDANGAN berbuka puasa tetap disediakan dalam suasana kesederhanan sungguhpun berjauhan daripada keluarga.


Cahaya mata

Lain pula cerita pasangan suami isteri, Zulkarnain Ahmad dan Ruzaimie Ahmad, 27, apabila Syawal kali ini merupakan kali pertama disambut bersama anak sulung mereka, Qistina Az-Zahra Zulkarnain atau mesra dengan panggilan Zahra.

Jika sebelum ini kedatangan hari raya hanya disambut dengan keriangan anak-anak saudara, kini hari raya bertambah ceria dengan kehadiran Zahra yang lahir pada September 2012.

"Seperti ibu bapa muda yang lain, keterujaan menyediakan keperluan hari raya pasti terarah kepada anak-anak. Begitu juga dengan kami, semua persiapan seperti baju kurung, kasut dan perhiasan kepala sudah dicari seawal bulan Ramadan lagi," ujar Ruzaimie yang berasal dari Sandakan, Sabah.

Tambahnya, persiapan awal dilakukan bagi mengelak kesesakan di pusat beli-belah pada saat-saat akhir Ramadan.

"Pergerakan agak terbatas untuk memilih baju kanak-kanak kerana ramai orang mula sibuk mencari keperluan masing-masing. Disebabkan itu, beberapa item seperti perhiasan kepala dan kasut akan saya tempah secara online," jelasnya yang ditemui ketika membeli-belah di ibu kota Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sungguhpun tidak menetapkan jumlah tertentu ketika berbelanja untuk anaknya, Ruzaimie memaklumkan, beliau tetap beringat dan berjimat.

"Sebelum ini, saya hanya membeli baju-baju untuk anak saudara sahaja, jadi kali ini rasa seronok dapat berbelanja untuk anak sendiri," ujarnya sambil memberitahu, sebagai langkah penjimatan, dia akan membeli pakaian bersaiz lebih besar memandangkan tumbesaran bayi yang pantas.

Pemergian abah

Pemergian ayahanda tercinta, Othman Ahmad, 71, beberapa hari sebelum kedatangan bulan Ramadan tahun ini meninggalkan kesan mendalam kepada Nurdhiya'aizat Othman, 23, yang mesra dengan panggilan Dhiya.

Walau kesedihan menyelubungi diri, dia tetap reda dan menerima dengan tabah kerana percaya ia ketentuan daripada Yang Maha Esa.

"Namun begitu, saya tetap bersyukur kerana dapat berada di sisi arwah pada saat-saat dia menghembuskan nafas terakhir," ujarnya kepada Kosmo!.

Bercerita kembali detik itu, dia baru sahaja pulang dari Paris, Perancis atas urusan kerja bersama sebuah portal hiburan tempatan.

"Sehari selepas saya pulang, kakak mengajak balik ke Raub, Pahang untuk menjenguk abah. Malam itu, saya sempat menyuapkan minuman bercoklat kegemarannya dan dia menyatakan bahawa dia amat merindui saya sepanjang berada di luar negara.

"Mak ada beritahu, sewaktu di sana, abah selalu bertanyakan bila saya akan pulang kerana takut tidak sempat untuk bertemu," ujarnya.

Dengan nada sedih beliau menambah: "Namun pada keesokan hari iaitu pada 6 Julai lalu, mak mengejutkan saya untuk membacakan surah Yasin sebab abah kelihtatan seperti mengalami masalah sesak nafas. Selepas dua kali bacaan, beliau menghembuskan nafas terakhir."

KEHADIRAN cahaya mata sulung, Zahra, membawa kegembiraan kepada Zulkarnain dan Ruzaimie.


Raut wajah lelaki ini berubah apabila teringat kemeriahan sambutan Aidilfitri di kampung halaman dengan bapanya menjadi penggerak utama dalam menyiapkan juadah hari raya.

"Dari dulu dia yang akan uruskan penyediaan lemang. Setiap kali menjelang Aidilfitri mesti arwah sibuk mencabut bulu ayam dan memasak lemang walaupun dia duduk di atas kerusi roda.

"Arwah sentiasa berkata, anak dan cucu ramai, jadi lebih puas makan lemang jika dibuat sendiri," ujar Dhiya yang bakal melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Hubungan Awam Antarabangsa dan Komunikasi Global di Universiti Cardiff, Wales, United Kingdom pada September ini.

Tanpa disedari, matanya berlinang air mata mengenangkan tahun ini dia tidak lagi dapat mencium tangan bapanya pada pagi Syawal.

"Tidak sangka raya tahun lepas merupakan kali terakhir bersamanya. Setiap pagi Syawal, mesti salam dan mohon maaf dengan abah dulu. Paling menggembirakan apabila dua kali abah memakai baju yang saya tempah khas untuknya.

"Kami sekeluarga merasakan kesempatan yang diberikan untuk menjaga arwah sepanjang dia sakit merupakan satu nikmat yang Allah pinjamkan," kata Dhiya.

Satu pesanan yang tidak akan saya lupa, ujarnya, jangan tinggalkan solat dan jaga mak dengan baik.

"Pada saya, tiada apa yang lebih penting daripada mendengar pesanan daripada insan yang pasti tiada pengganti," akhirinya.

Seni perubatan Kru Khmer

Posted:

Seni perubatan Kru Khmer

Seni perubatan Kru Khmer


PARA pelajar sekolah perubatan tradisional Kru Khmer diajar mengenai variasi daun dan cara penyembuhan secara semula jadinya.


CICAK yang direndam di dalam wain mungkin bukan satu ubat penyembuh asma yang biasa, tetapi ia merupakan satu bentuk perubatan alternatif masyarakat Kemboja yang kini diajar di sebuah sekolah perubatan tradisional.

Sejak generasi ke generasi, perubatan tradisional Kru Khmer yang menggunakan akar, kulit kayu dan daun-daun untuk merawat kesakitan biasa telah disampaikan melalui mulut ke mulut seperti bapa kepada anak-anaknya.

Sehubungan itu, bagi terus menghidupkan seni purba tersebut dan menjadikan ia sebagai satu industri, Kementerian Kesihatan Kemboja telah membuka sebuah sekolah perubatan tradisional Kru Khmer setelah berjaya memperoleh dana dari Jepun.

Sekolah yang dibuka pada tahun 2009 itu setakat ini telah melatih hampir 345 orang pengamal perubatan Kru Khmer. Pembelajaran di sekolah berkenaan memberi fokus terhadap aspek kebersihan dan anatomi.

"Penubuhan sekolah ini sangat bermanfaat kepada masyarakat Kemboja kerana kami diajar cara yang betul dan selamat untuk merawat pesakit," ujar Kraing Dhein yang merupakan seorang pelajar di sekolah tersebut.

Dia memberi contoh, sejenis kulit kayu tertentu dikatakan dapat membantu menghasilkan susu ibu yang banyak, manakala buah durian digunakan untuk rawatan sakit sendi.

Tambahnya, terdapat juga rawatan yang sangat berbahaya seperti wain buatan sendiri yang dipercayai dapat membantu wanita untuk mengandung.

"Latihan di sini sangat profesional berbanding pengajaran daripada nenek moyang.

Murah

"Pelajar didedahkan kepada pelbagai subjek penting seperti kod etika rawatan yang jarang diketahui sebelum ini," ujar Kong Sokdina, Pengurus Projek CatMO iaitu sebuah organisasi perubatan tradisional yang menguruskan pengajian di sekolah itu.

Sepanjang lima bulan latihan, pelajar akan dibawa berkunjung ke ladang-ladang herba untuk mempelajari variasi daun dan cara penyembuhannya secara semula jadi. Antara pengajaran yang disampaikan adalah cara mengenal pasti ramuan yang berperanan sebagai antibiotik dan antiseptik.

Lokasi terakhir yang dilawati ialah wilayah selatan Kampot, kawasan yang menyimpan pelbagai spesies daun-daun unik.

"Di sini, kami boleh menemui akar-akar yang tidak wujud di kawasan lain," ujar Pengerusi Persatuan Penyembuh Tradisional Kemboja, Prof. Ky Bouhang.


PARA doktor mendakwa kebergantungan terhadap rawatan tradisional mampu memberikan kesan negatif kepada pesakit kronik.


Hampir 80 peratus populasi Kemboja tinggal di kawasan luar bandar yang kebanyakannya tidak mempunyai hospital dan doktor. Jika terdapat sebuah pusat perubatan sekali pun, penduduk setempat tidak mampu membayar kos perubatan yang tinggi.

Oleh itu, kaedah tradisional menawarkan alternatif yang lebih murah dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada mereka.

Di pinggir Pasar Orussey di Phnom Penh, beberapa pengamal perubatan Kru Khmer menimbunkan hasil-hasil alam untuk perubatan seperti daun kering, akar, organ-organ haiwan dan bahan-bahan lain.

Tauch Sreythoeun telah membuka gerainya selepas menamatkan pengajian di sekolah perubatan tersebut.

"Sebilangan pelanggan mencari daun-daun yang boleh mengurangkan masalah demam. Saya akan memberikan mereka beberapa akar sebagai kaedah rawatan," ujarnya.

Penyakit ringan

Pesakit kebiasaannya bertemu pengamal Kru Khmer untuk mencari penyelesaian masalah penyakit-penyakit ringan seperti sakit perut dan kepenatan yang tidak memerlukan rawatan daripada doktor profesional.

"Ubat tradisional membantu penduduk miskin yang tidak mampu ke hospital atau berjumpa doktor," kata pelajar Kru Khmer, Soung Kimsath.

Beberapa pengikut kaedah ini mengatakan disiplin perubatan ini mampu mengatasi ubat moden secara menyeluruh.

Seorang pesakit, Pov Rany kerap berjumpa pengamal perubatan tradisional itu selepas dia mempunyai masalah sista di dadanya.

"Saya percayakan perubatan tradisional. Ia sangat efektif dan baik untuk kesihatan. Saya tidak mendapatkan rawatan moden kerana ia mengandungi bahan kimia dan kadangkala menyediakan ubat palsu," ujarnya.

Para doktor memberi amaran bahawa kebergantungan kepada ubat tradisional membahayakan pesakit terutamanya penyakit serius. Tetapi situasi itu sukar dibendung di Kemboja kerana ia mendapat permintaan yang tinggi.

Penduduk negara itu mempercayai kebaikan perubatan kuno berbanding mengunjungi farmasi tempatan yang menjual ubat-ubatan mahal dari Barat yang kebanyakannya ubat tiruan.

Kepercayaan terhadap rawatan tradisional itu mujarab berlandaskan pemikiran bahawa ia dibantu oleh semangat roh nenek moyang mereka. Orang Kemboja percaya pengamal Kru Khmer mempunyai keupayaan untuk mengusir roh-roh jahat daripada tubuh pesakit.

"Saya pernah merawat wanita yang menghidap penyakit kayap melalui tiupan magis saya. Hari ini dia boleh bekerja di ladangnya, selepas gagal diubati oleh perubatan moden," ujar Ky Bouhang. - AFP

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat