Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: OKU anak Tumpat ke JepunSEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) tampak ralit membuat ukiran bermotifkan flora di atas sebuah bingkai kayu cengal. Jari-jemarinya tangkas mencapai pisau ukir bagi membentuk lubang dan lekuk agar ukiran itu kelihatan timbul. Sambil mengetuk-ngetuk dengan menggunakan tukul khas, lelaki bernama Mazri Mohammad itu turut membayangkan hasil yang bakal disiapkannya kelak iaitu sebuah bingkai cermin. Sebenarnya tukul tersebut sudah sekian lama digunakan oleh lelaki yang mesra disapa Mat itu. Ketika mencongak usia penglibatannya dalam bidang ukiran kayu sejak berusia 17 tahun, Mat berasa kagum kerana peralatan tukul dan pisau itu masih berbakti kepadanya sehingga sekarang. Mat kini sudah berusia 42 tahun. "Ia (peralatan itu) masih setia membantu menyara kehidupan saya. Kebanyakannya merupakan koleksi yang saya miliki ketika mula-mula mengikuti pembelajaran di sebuah bengkel khas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Jalan Bayam (Kota Bharu, Kelantan) sejak tahun 1988," katanya sambil mengeluarkan beberapa alat pengukir daripada sebuah kotak khas. Mat terpaksa bertongkat untuk bergerak kerana kaki kirinya lumpuh. Dia yang menjalani kehidupan normal sehingga berusia enam tahun mendapat masalah itu setelah menghidap demam panas yang teruk semasa kecil. Kesan akibat demam itu menyebabkan pertuturan Mat juga terganggu apabila suaranya kedengaran seperti sengau dan sukar untuk difahami maksud yang hendak disampaikannya. Enggan mengalah dengan kekurangan diri, Mat sebaliknya membuktikan bahawa golongan sepertinya juga mampu menonjolkan kebolehan yang dimiliki mereka. Hasil daripada pengetahuan yang ditimba ketika menjalani latihan pada suatu ketika dahulu, Mat menyara keluarganya dengan membuat ukiran kayu.
Kereta manual Mat seorang OKU kental. Dia bukan sahaja menggunakan kudrat tangan untuk berkarya, bahkan menggunakan segenap anggotanya yang normal untuk terus bekerja. Biarpun memerlukan tongkat untuk bergerak, Mat tetap mampu mengendalikan mesin pemotong kayu secara bersendirian. Bahkan, Mat juga boleh membuat perabot dan membina rumah. "Ukiran kayu merupakan sebahagian daripada minat saya. Hasil daripada pengetahuan yang ada, saya menerima tempahan untuk membuat perabot, biarpun terdapat kekangan peralatan mesin memproses. "Saya juga menerima tempahan membuat set kabinet dapur dan boleh memasangnya. Ramai yang menjangkakan bahawa saya tidak boleh melakukannya apatah lagi sebelah tangan saya perlu memegang tongkat manakala sebelah kaki lagi tidak berfungsi. Tetapi, saya membuktikannya dengan hasil kerja saya," katanya dengan jujur. Mat memberitahu, dia kini mula menjinakkan diri di dalam dunia pembinaan apabila para pelanggannya memberi kepercayaan kepadanya untuk melakukan kerja-kerja membina rumah. "Saya tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang pembinaan. Namun, mempelajarinya (kerja-kerja membina rumah) menerusi pengalaman dan pemerhatian saya sebelum ini. "Mungkin ramai yang sukar membayangkan bagaimana saya boleh memunggah bongkah simen atau memasang siling rumah. Namun, saya memang benar-benar boleh melakukannya," ujar Mat bersungguh-sungguh ketika ditemui Jurnal di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini. Mat telah berkahwin dengan Munira Mat Yusoff pada tahun 1999. Dia yang sudah 14 tahun mendirikan rumah tangga dikurniakan empat orang cahaya mata. Bagi memastikan anak-anaknya membesar seperti keluarga lain, Mat berusaha memperlengkapkan mereka dengan pelbagai kemudahan. Selain memiliki motosikal sendiri, Mat juga boleh memandu kereta seperti orang biasa. Biarpun kenderaan transmisi automatik lebih sesuai buat dirinya, Mat lebih selesa memandu kereta dengan gear manual. Kereta Proton Wira terpakai yang dibelinya beberapa tahun lalu diubah suai agar disesuaikan dengan dirinya yang hanya memiliki kaki normal di sebelah kanan. "Tiada masalah untuk memandu kereta bertransmisi automatik. Namun, menggunakan kereta manual lebih menjimatkan minyak. Saya melakukan pengubahsuaian pada bahagian pedal klac supaya dapat digunakan dengan menggunakan tangan," katanya yang memiliki lesen memandu sejak 20 tahun lalu. UKIRAN bermotifkan daun sirih merupakan sebahagian daripada hasil seni ukiran tangan Mat. Pingat perak di Jepun Mat yang merupakan anak kelahiran Kampung Masjid, Tumpat, Kelantan itu bukan sahaja pernah menyumbang bakat ukirannya di dalam negara sahaja, bahkan dia mempamerkan bakatnya itu ke peringkat antarabangsa. "Sehingga kini, banyak lokasi yang pernah saya kunjungi di seluruh dunia bagi mempamerkan produk dan melakukan demonstrasi ukiran tradisi Melayu ke seluruh dunia. Tapi, yang paling diingatinya adalah ketika berkunjung ke Jepun dalam kejohanan Abilympics Antarabangsa pada 2007. "Saya memperoleh pingat perak. Pastinya, saya rasa bangga kerana dapat membawa nama Malaysia di pentas kejayaan biarpun saya hanya insan OKU," ujar Mat yang pernah menyertai pertandingan yang sama di India dan Korea Selatan pada tahun 2003 dan 2011. Khidmat insan kerdil itu begitu besar dalam bidang pendidikan apabila pengetahuan dan pengalamannya dikongsi dengan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi dalam bidang berkaitan. "Apabila ada jemputan, saya akan mengajar penuntut yang mengikuti kursus ukiran kayu di ILP (Institut Latihan Perindustrian) di Bachok (Kelantan) selain dijemput melakukan demonstrasi di Lembaga Perkayuan di Jalan Bayam (Kota Bharu)," kata anak keempat daripada lapan beradik itu. Menceritakan pengalaman paling manisnya, menurut Mat, dia pernah diberi kepercayaan untuk membuat ukiran kayu di sebuah rumah banglo di Bukit Marak, Bachok, Kelantan. "Masa selama enam bulan diperlukan untuk menyiapkan ukiran termasuklah pada tiang, tangga, pintu dan tingkap. "Saya difahamkan oleh pemiliknya bahawa banglo itu disiapkan pada tahun 1997 setelah sebelas tahun ia dibina. Ia bagaikan sebuah mahligai yang indah," ujar Mat. Biarpun enggan bersuara merayu simpati, jauh di sudut hati Mat untuk melihat golongan sepertinya dibantu terutamanya OKU yang tidak tahu hala tuju mereka. "Sebenarnya, kita yang harus membantu diri sendiri, tidak kiralah sesukar mana pun hidup kerana kehidupan adalah amanah Allah. Jika ada kekurangan diri, kita kena kreatif untuk mencari kelebihannya. "Tidak perlulah merayu untuk mendapat pertolongan tanpa berusaha. Namun, pihak berkaitan juga harus membuka mata dengan menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan seperti saya," ujar Mat. | ||
Posted: Lipas, anai-anai lali racunOleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM SERANGAN anai-anai jika tidak dikawal boleh menyebabkan pintu dan perabot mengalami kerosakan yang teruk. MENGGUNAKAN motosikaljenis Modenas dan kereta Proton Iswara, Shahril Abdul Rahman dengan sabar menunaikan tugasan sehariannya. Cuma, pekerjaannya agak pelik iaitu pemburu serangga dan haiwan perosak seperti semut, lipas, anai-anai, tikus dan tupai untuk dimusnahkan. Sebenarnya, sebelum ini, pemuda berusia lewat 30-an itu telah menceburi pelbagai bidang pekerjaan. "Saya pernah belajar dalam bidang kejuruteraan di Jepun sebelum kembali bekerja di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor. Malangnya, ekoran kegawatan ekonomi pada tahun 1998, kilang itu ditutup," katanya. Sejak itu, jelas Shahril, dia pernah menjadi pemandu teksi, penebar roti canai dan jurukamera. Namun, pengalamannya bekerja di sebuah syarikat kawalan serangga di Kuala Lumpur telah membuatkan dia bertekad untuk menceburi perniagaan tersebut. "Saya teruja melihat kejayaan bekas majikan saya. Hanya bermula dengan sebuah motosikal sebelum dia memiliki sebuah van. Perniagaannya itu kemudian berkembang ke seluruh negara," ujarnya. Shahril telah mengusahakan perniagaan kawalan serangga, Bug Ezz Pest Control sejak tahun 1999. "Bugg itu ibarat serangan lebah manakala ezz itu sakit. Senang cerita, banyak nama yang saya pilih tetapi ia telah digunakan oleh syarikat lain," terang Shahril. Lelaki yang agak pendiam ini secara tiba-tiba teruja bercerita mengenai serangga kepada kru Jurnal. Cerita Shahril, semut api boleh mengakibatkan perabot berasaskan kayu mengalami kerosakan kerana serangga itu menjadikannya sebagai tempat kediamannya. "Semut api mempunyai gigi yang tajam dan kayu ibarat makanan yang mudah dikunyah. "Semut boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya makanan dan minuman tidak ditutup dengan sempurna," katanya. Lipas pula lebih tertarik kepada persekitaran yang panas dan lembap. Dalam pada itu, seorang juruteknik Servis Bug Ezz, Suhaimi Nappiah, turut menceritakan pengetahuannya tentang serangga perosak. Dia berkata, lipas tertarik dengan kulit bawang. "Ia adalah kerana kulit bawang sesuai untuk serangga itu untuk membiak kerana faktor haba serta kelembapan," katanya.
Penyembur racun Suhaimi turut berkongsi cara-cara untuk membunuh lipas dan anai-anai. "Jangan menggunakan penyembur racun serangga yang sama. "Ia akan menyebabkan serangga itu lali terhadap racun itu," katanya. Jelasnya, kedua-dua serangga itu akan membiak lebih cepat. Suhaimi berpendapat, sebanyak 45 peratus kediaman, lot perniagaan, restoran termasuk hotel terutamanya di bandar-bandar besar memerlukan pemeriksaan kawalan serangga. Tambahnya, keadaan persekitaran bangunan tersebut selain faktor bawaan dan semula jadi menyebabkan kawalan serangan itu perlu dilakukan. Ratu "Kebanyakan jiran rumah teres ketika kami melakukan perkhidmatan untuk membunuh tikus, lipas dan anai-anai, turut menghadapi masalah yang sama. Ia ibarat seperti penyakit berjangkit. "Malah, ada jiran yang tinggal sejauh 100 meter dari rumah yang mengalami masalah serangga perosak turut menghadapi masalah yang sama," ujarnya. Seorang lagi juruteknik Servis Bug Ezz, Shahrul Hisham Abdul Rahman berkata, pengalamannya yang tidak hampir dilupakan adalah apabila dia hampir terkena kipas siling. Menurutnya, kipas tersebut jatuh kerana serangan anai-anai . "Kejadian itu berlaku di sebuah rumah pelanggan di Shah Alam dua tahun yang lepas. "Sebenarnya, anai-anai seperti musuh yang kita tidak nampak kerana serangga itu merosakkan kayu di bahagian dalamannya. "Binaan kayu itu sudah pun rosak dan musnah. Mujurlah kipas meja itu tidak kena pada tubuh saya jika tidak lain ceritanya," katanya sambil tersenyum.
Tambahnya, terdapat juga kabinet dapur rumah pelanggannya musnah akibat serangan anai-anai. "Lebih tragis, ada pelanggan yang terpaksa menjual rumah mereka atau menyewa di rumah lain kerana hampir keseluruhan rumah mereka terjejas teruk kerana anai-anai tanpa mereka sedari. "Malah, mereka menjualnya dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran," katanya. Terangnya, ratu anai-anai didakwa mempunyai khasiat seks kepada kaum Adam kerana kandungan proteinnya yang tinggi. "Tapi, setakat ini saya tidak pernah menjumpainya jika tidak, mungkin anak saya ramai,' kata Shahrul Hisham bergurau. Dia turut berkongsi kisah lucu tentang pintu bilik utama pasangan suami isteri yang terpaksa di buang kerana serangan anai-anai. "Pintu bilik mereka tidak digantikan selama dua bulan untuk kami periksa sekiranya terdapat koloni anai-anai lain berhampiran dengannya," kata lelaki itu. Dia juga pernah digoda oleh seorang janda untuk memeriksa serangan lipas dan tikus yang berlaku di rumahnya di Serdang, Selangor. "Wanita itu pada mulanya berpakaian sopan termasuk bertudung. Pada pemeriksaan kali kedua, dia meminta saya datang pada waktu malam. Pada malam itu, dia berpakaian seksi termasuk bersolek. "Malah, dia memanggil saya dengan panggilan abang. Nasib baik saya ingat isteri dan anak menyebabkan saya tidak pergi ke rumah itu lagi," katanya sambil ketawa. Terang Shahrul Hisham, keistimewaan Bug Ezz memberi perkhidmatan pemeriksaan percuma untuk setiap premis di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. "Selain itu, kami turut menawarkan proses pembayaran ansuran sebanyak tiga kali," katanya. | ||
Posted: Nuraizah mahu tulis bukuOleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR NURAIZAH mengamalkan perbincangan secara terbuka bersama kakitangannya dan menganggap mereka seperti keluarganya. PELUANG bertemu dengan Pengarah Urusan Madcat World Sdn. Bhd., Nuraizah Shamsul Baharin, 42, sememangnya dinanti-nantikan kerana beliau boleh menjadi sumber inspirasi kepada wanita untuk berjaya dalam kehidupan. Hanya berpakaian santai, siapa sangka wanita ini pernah menjadi lima calon teratas di dalam kategori perniagaan bagi menggondol Anugerah Bella yang julung-julung kali dianjurkan ntv7. "Saya sememangnya mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang perniagaan. Namun, sebelum memiliki perniagaan sendiri, saya terlebih dahulu mendapat pengalaman dengan bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang elektronik. "Saya mempunyai sekumpulan rakan ketika bekerja di kilang itu yang mempunyai azam untuk memiliki perniagaan sendiri apabila kami menginjak usia 30 tahun. "Alhamdulillah, saya berjaya mencapai sasaran itu pada umur 32 tahun dengan menguruskan perniagaan perisian telefon bimbit pintar dan empat daripada enam orang rakan saya juga sudah berjaya merealisasikan impian mereka," ujar graduan dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat ini. Tambahnya, melibatkan diri di dalam bidang perisian telefon bimbit pintar sememangnya menjanjikan cabaran apatah lagi produk yang diketengahkan itu pula berunsurkan islamik. Menurut Nuraizah, sebanyak tiga produk utama diperkenalkannya. Produk itu ialah Beam, Nur Muslim dan Madcat. "Produk Beam lebih kepada bentuk perniagaan seperti terjemahan laman web untuk mencari kerja," jelasnya. Menurut wanita itu, produk Nur Muslim membolehkan surah-surah dan doa-doa harian dimuat turun menerusi telefon pintar. "Setakat ini, kami merupakan pembekal terbesar di Malaysia dan trend memuat turun aplikasi seperti itu tidak terhad pada bulan Ramadan sahaja. Malah, jumlah muat turun meningkat pada setiap tahun," katanya. Produk islamik Nuraizah berkata, produk Madcat pula merupakan aplikasi pelancongan yang juga mencatatkan jumlah muat turun yang paling tinggi setakat ini. "Saya berazam untuk mewujudkan produk yang berguna kepada masyarakat berdasarkan isi kandungannya. Cabang perniagaan ini dipilih kerana ia tiada sempadan, bergerak pantas dan teknologinya sentiasa berubah. "Justeru, saya perlu memastikan aplikasi yang dibangunkan seiring dengan teknologi pada masa kini. "Selain itu, para pengguna juga tidak kisah tentang latar belakang syarikat yang mencipta aplikasi itu. Bagi mereka (para penguna), apa yang penting adalah sama ada aplikasi itu bagus atau tidak," jelasnya. Dia memberitahu, tempoh masa selama satu hingga dua bulan diperlukan untuk membangunkan setiap aplikasi. Nuraizah memberitahu, ada kalanya dia mengalami kesukaran untuk memperkenalkan aplikasinya ketika berurusan di peringkat antarabangsa. "Saya pernah berdepan kesukaran ketika mewakili Malaysia pada Anugerah Utama Mobile 2010 di Barcelona, Sepanyol sehinggakan saya terpaksa menukar nama aplikasi yang diketengahkan ketika itu. APLIKASI pelancongan yang diperkenalkannya mencatat jumlah muat turun yang memberangsangkan. "Jika tidak, mereka (pihak penganjur) tidak mahu menerbitkan sebarang artikel mengenai perisian kami hanya kerana namanya yang berunsur keislaman iaitu Diary Muslim. Justeru, kami menukarnya menjadi My Diary," kata anak sulung kepada tiga adik-beradik ini. Wanita itu juga pernah memenangi beberapa anugerah termasuk pada Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2010, Anugerah Inovasi dan Reka Cipta ke-9 pada tahun 2010. Dia juga pemenang pertandingan Isi Kandungan Telefon Bimbit Interaktif MSC 2007 selain Anugerah Perikatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik pada tahun 2007. Jelas Nuraizah, dia mula menumpukan terhadap kandungan produk berunsur keislaman pada tahun 2008 selepas melakukan penyelidikan dan pembangunan. "Tidak sangka pula permintaan terhadap kandungan produk islamik berterusan sepanjang tahun kerana pada kebiasaannya, produk itu hanya akan laku pada bulan Ramadan sahaja. "Melihat permintaan yang memberangsangkan itu, ia menjadi penyebab kepada kami mengekalkan kandungan berunsur islamik kerana ia sememangnya boleh diketengahkan," ujarnya yang juga merupakan Presiden Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (WENA). Ketika ditanya tentang keputusan paling mencabar di dalam kehidupannya, Nuraizah memberitahu, tindakan menubuhkan sebuah syarikat yang hanya mempunyai lapan orang kakitangan ketika itu merupakan cabaran terbesar yang pernah dibuatnya. "Buat permulaan, agak mencabar juga kerana tanggungjawab yang dipikul sangat besar dan ia bukan untuk diri saya sahaja tetapi saya juga perlu memikirkan periuk nasi orang lain. "Namun, saya percaya rezeki itu datang daripada Allah SWT dan kita perlu berusaha untuk mencapainya," tambah wanita tersebut yang mempunyai pengalaman selama 17 tahun di dalam bidang perniagaan. Nuraizah berkata, dia sangat gembira dengan pencapaiannya sekarang kerana kini dia sudah menjalani kehidupan yang seimbang selain dapat menabur bakti kepada masyarakat melalui penglibatannya di dalam WENA. "Saya berkongsi pengalaman di dalam bidang perniagaan dengan menabur bakti melalui WENA yang memfokuskan kepada lima jenis cabang perniagaan iaitu perkhidmatan, pendidikan, teknologi maklumat, makanan, minuman, kecantikan dan kesihatan. "Setakat ini, kami sudah mempunyai 300 orang ahli di sekitar Lembah Klang dan setiap dua minggu sekali, kami menganjurkan sesi ceramah bagi membantu usahawan-usahawan wanita," ceritanya sambil memberitahu syarikatnya sudah mencapai status Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC). NURAIZAH menganggap setiap individu perlu mempunyai misi yang ingin dicapai di dalam hidup mereka. Tulis buku Mengulas lanjut, Nuraizah memberitahu, pada permulaan menubuhkan syarikatnya itu, dia amat kuat bekerja sehinggakan susah untuk meninggalkan pejabat dan tidak pernah bercuti. "Namun, selepas melihat satu kemalangan maut di depan mata, ia memberikan persepsi yang berbeza kepada saya kerana sejurus selepas itu, saya terus pergi bercuti untuk merehatkan minda. "Saya juga tidak gemar menonton televisyen atau melayari internet ketika waktu cuti atau masa lapang. Malah, di rumah juga, saya tidak mempunyai talian internet. "Sebaliknya, saya akan meluangkan masa untuk membaca buku motivasi dan perniagaan yang lebih merangsang minda. Ekoran itu, saya tidak mahu membawa kerja ke rumah," ujarnya yang pernah bekerja selama 20 jam sehari untuk berada pada kedudukan sekarang. Jelasnya, dia menjadikan aktiviti membeli-belah dan mengunjungi gimnasium sebagai salah satu usaha untuk melepaskan tekanan selepas penat bekerja. Mengenai cita-cita yang masih belum dicapai, Nuraizah berkata, dia sememangnya menyimpan impian untuk menulis sebuah buku berkaitan perniagaan. "Saya sudah mula mencari bahan untuk buku yang bakal diterbitkan itu sejak tahun 2012. Tapi, disebabkan sibuk menguruskan perniagaan, tergendalalah juga perancangan untuk menerbitkan buku itu. "Namun, saya tetap akan cuba menyiapkan buku tersebut untuk diterbitkan pada penghujung tahun ini bagi memberi inspirasi kepada wanita," tambahnya sambil memberitahu ibunya, Rohani Abdul Rahman, 63, merupakan individu yang banyak mempengaruhinya dalam membuat keputusan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |