{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Dalam Negeri

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Dalam Negeri


Pengusaha resort bakal berdepan tindakan tegas

Posted: 12 Aug 2013 03:11 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR dan FARIK SALLEH

PENDUDUK setempat berkumpul di hadapan surau sebuah resort di Tanjung Sedili yang dijadikan tempat ritual agama lain oleh pengusaha resort berkenaan, di Kota Tinggi hari ini. - UTUSAN

GAMBAR yang dirakam oleh penduduk kampung berhubung kejadian upacara agama Buddha yang dijalankan di dalam surau di sebuah resort di Tanjung Sedili, Kota Tinggi kelmarin sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam. - UTUSAN/FARIK SALLEH

KOTA TINGGI 12 Ogos - Tindakan terhadap pengusaha resort di Sedili yang membenarkan surau kawasan penginapan menjadi tempat ritual keagamaan selain Islam akan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri dalam tempoh terdekat.

Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin berkata, siasatan lebih mendalam akan dilakukan mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor namun beliau menegaskan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan masyarakat perlu sedia maklum bahawa masjid, surau atau musala hanya boleh 'dihidupkan' oleh orang Islam.

"Dalam al-Quran, Allah menerusi Surah at-Taubah berfirman sedemikian dan bukan sebaliknya, itu jelas dan tidak perlu dinafikan. Berdasarkan tinjauan, terdapat banyak keraguan dari segi reka bentuk surau ini iaitu kedudukan arah kiblat yang lari dari Kaabah malah menghadap luar dari kawasan Tanah Haram di Mekah.

"Kita ada enakmen dan undang-undang, jangan lekeh dan hina perlembagaan di Malaysia. Perkara yang berlaku ini jelas menghina kesucian agama Islam di sini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut di surau dalam kawasan resort di Kampung Sedili Besar hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd. Noorazam Osman dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi, Hasrin Kamal Hashim.

Kelmarin, penduduk sekitar perkampungan nelayan Sedili Besar gempar selepas bangunan yang didirikan di sebuah kawasan resort sebagai surau dicemari dengan upacara sembahyang agama lain.

Upacara sembahyang yang dijalankan dipercayai oleh penganut agama Buddha itu disedari seorang pengunjung resort yang ingin menunaikan solat asar.

Sementara itu Pegawai Daerah Kota Tinggi, Noor Azam Osman berkata, pengusaha terbabit bukan sahaja akan didenda atau disaman malah lesen operasi mereka juga boleh dibatalkan selain surau tersebut akan dirobohkan.

"Dari sudut pemilikan tanah, lokasi resort ini merupakan hak milik persendirian dan sudah diubah mengikut syarat rezab Melayu. Pegawai daripada Pejabat Tanah dan Galian akan terus menjalankan siasatan mengenainya dan yang paling penting pada waktu ini adalah keputusan Jawatankuasa Fatwa negeri dan Jabatan Agama Johor.

"Disebabkan resort ini berada dalam kawasan persendirian, kami nasihatkan orang ramai atau pelanggan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti dalam surau ini untuk sementara waktu," katanya. - UTUSAN ONLINE

Hati-hati beli barangan kulit, pinggan mangkuk

Posted: 12 Aug 2013 02:48 AM PDT

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pengguna Islam dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membeli barangan kulit dan pinggan mangkuk secara online atau dalam talian kerana dikhuatiri mengandungi unsur haram.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pembelian melalui Internet boleh menimbulkan kekeliruan kerana gambar yang tidak jelas.

"Sedangkan pembelian di kedai pun masyarakat boleh tersilap pilih, apa lagi sekadar melihat gambar di Internet. Contohnya, kalau dahulu ada tanda tiga titik pada barangan kulit, kita tahu ia diperbuat daripada kulit babi.

"Tetapi dengan teknologi moden masa kini, walaupun tidak mempunyai tanda tiga titik, ia tidak semestinya tidak diperbuat daripada kulit babi," katanya kepada Bernama.

Di samping itu Nadzim berkata, perkakasan dapur khususnya pinggan mangkuk juga perlu diberi perhatian kerana kebanyakan yang dibuat di luar negara berkemungkinan mengandungi campuran tulang.

"Bukan hanya sumber daripada babi itu haram tetapi pinggan yang mengandungi campuran tulang lembu juga haram sekiranya lembu itu tidak disembelih," katanya.

Nadzim berkata, pengguna Islam perlu memastikan produk yang dibeli diperbuat daripada sumber yang sah kerana ia adalah hak setiap umat untuk mendapatkan barangan yang bersih dan halal kerana ia mempengaruhi amalan serta ibadat.

Menurutnya, pengguna tidak harus menilai rupa bentuk dan harga murah yang ditawarkan semata-mata tetapi perlu mendapatkan jaminan penjual antaranya dengan menyertakan sijil sebagai bukti.

Katanya gaya hidup masyarakat yang lebih gemar membeli barangan unik dan dianggap eksklusif perlu diubah kerana untuk mendapatkan yang unik, orang ramai kadang kala tersilap langkah sehingga terbeli barangan yang tidak sepatutnya.

Justeru beliau menyarankan masyarakat supaya membeli sesuatu produk di kedai kerana ia bukan sahaja membolehkan pembeli berinteraksi secara terus dengan peniaga tetapi juga dapat menilai kualitinya. - BERNAMA

Pak Lah nafi tulis, taja atau minta buku itu diterbitkan

Posted: 12 Aug 2013 12:38 AM PDT

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan bahawa beliau menulis, menaja atau meminta supaya buku Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia diterbitkan.

Dalam kenyataan media hari ini, Abdullah atau lebih kerap dengan panggilan mesra Pak Lah" berkata beliau sedia diwawancara oleh dua ahli akademik, James Chin dan Bridget Welsh atas prinsip keterbukaan demi perdebatan seimbang dengan mengambil kira semua sudut pandangan.

Justeru, beliau meminta agar tiada pihak membuat andaian bahawa buku ini ditulis oleh "Pak Lah yang sudah bersubahat dengan pembangkang untuk menentang partinya sendiri".

"Itu sudah memesong fakta dan menjadi fitnah. Apa juga teguran yang diberikan dalam wawancara saya yang dimuatkan dalam buku ini dibuat kerana saya ingin melihat UMNO terus diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat.

"Saya tidak pernah meninggalkan UMNO dan insya-Allah bila tiba masanya nanti, saya akan menghembuskan nafas terakhir saya di dunia ini masih lagi sebagai ahli UMNO yang cintakan negaranya," katanya.

Mengenai buku itu, Abdullah menjelaskan bahawa beliau hanya terlibat dalam satu wawancara pada 2011 yang lebih kepada menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh penulis-penulis yang telah menyumbang kepada buku itu dan memberi ruang kepada beliau untuk menjelaskan beberapa perkara.

"Saya tidak menaja atau meminta buku tersebut diterbitkan. Sudah menjadi perkara biasa para akademik membuat analisis tentang sejarah politik negara kita dan sudah pasti era saya tidak terlepas dari kajian ilmiah.

"Saya cuma telah setuju untuk diwawancara agar suara, pendapat serta penjelasan saya dapat dimuatkan di dalam buku tersebut," katanya.

Selain itu, Abdullah berkata beliau tidak tahu, tidak diberitahu dan tidak bertanggungjawab di atas mana-mana jemputan untuk melancarkan atau membincangkan buku itu.

Katanya, beliau juga tidak merancang untuk menghadiri pelancaran buku itu kerana tidak mahu orang membuat andaian yang buku itu ditulis dan ditaja oleh beliau.

"Berita yang mengatakan pemimpin dari parti pembangkang dijemput untuk melancarkan buku ini di Singapura -- kalaupun benar -- adalah keputusan penerbit buku, bukan saya," tegas Pak Lah. - BERNAMA

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat