Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Abdullah nafi tulis, taja buku Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT Oleh HUSSAINI AMRAN Abdullah Ahmad Badawi Menurut beliau, persetujuannya untuk diwawancara oleh penyusun-penyusun buku tersebut iaitu Prof. James Chin dan Prof. Bridget Welsh adalah berlandaskan kepada prinsip keterbukaan yang menjadi pegangannya. Sehubungan itu, Abdullah meminta semua pihak tidak membuat andaian kononnya buku itu ditulis beliau yang bersubahat dengan pakatan pembangkang untuk menentang UMNO. "Ini sudah memesong fakta dan menjadi fitnah. Apa juga teguran yang diberikan dalam wawancara saya yang dimuatkan di dalam buku ini dibuat kerana saya ingin melihat UMNO terus diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat. "Saya tidak pernah meninggalkan UMNO dan insya-Allah, bila tiba masanya nanti, saya akan menghembuskan nafas terakhir dengan masih lagi sebagai ahli UMNO yang cintakan negaranya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Buku Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia mencetuskan kontroversi selepas beberapa kandungannya dilihat menjurus kepada kritikan terhadap UMNO termasuk menyentuh mengenai hubungan Abdullah dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tambah Abdullah, pembabitannya dalam wawancara bersama James dan Welsh pada 2011 lebih tertumpu kepada menjawab soalan yang dibangkitkan penulis-penulis yang menyumbang kepada buku berkenaan serta memberi ruang kepada beliau menjelaskan beberapa perkara. Menurutnya, walaupun dimaklumkan buku itu bakal memuatkan rencana yang kritis dan kurang menyenangkan tentang kepemimpinannya, namun beliau tetap bersetuju diwawancara atas semangat keterbukaan demi perdebatan yang seimbang dengan mengambil kira semua sudut pandangan. Beliau berkata, analisis yang dihasilkan ahli akademik tentang sejarah politik negara adalah perkara biasa dan era pentadbirannya juga tidak terlepas daripada kajian ilmiah. Dalam masa sama, ujarnya, beliau tidak tahu, tidak diberitahu dan tidak bertanggungjawab atas mana-mana jemputan untuk membincangkan atau melancarkan buku tersebut. "Berita yang mengatakan pemimpin daripada parti pembangkang dijemput melancarkan buku ini di Singapura, kalau pun benar, adalah keputusan penerbit buku, bukan saya," katanya. Selain itu, Abdullah menegaskan, beliau tidak merancang menghadiri pelancaran buku berkenaan kerana tidak mahu orang ramai membuat andaian buku tersebut ditulis atau ditaja beliau. "Saya cuma menjawab soalan yang ditanya. Biarlah jawapan-jawapan saya menjadi tumpuan pembaca," katanya. |
DAP adakan mesyuarat tergempar Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL Lim Guan Eng mengelak bertemu wartawan yang ingin mendapatkan reaksi beliau sejurus mesyuarat tergempar parti DAP yang dipercayai berhubung pemilihan Jawatankuasa CEC di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur, semalam. PULAU PINANG 12 Ogos - DAP yang semakin tertekan akibat diarahkan mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti, akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan perkara berkenaan malam ini. Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, mesyuarat berkenaan akan berlangsung di Kuala Lumpur dan akan dihadiri oleh semua pemimpin utama parti itu. "Malam ini kita akan bincangkan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang berkeras mahukan DAP mengadakan semula pemilihan CEC walaupun kita tidak diberi sebab terperinci mengenai perkara itu. "Saya berpendapat mereka tidak ada penjelasan tepat mengapa DAP harus adakan pemilihan semula dan sebab itu mereka berbuat demikian," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini. Isu kepincangan pemilihan CEC parti itu pada Disember tahun lepas, terus berlarutan apabila DAP berdolak-dalik dan enggan mengadakan pemilihan semula atas alasan mereka telah membetulkan kesilapan memalukan itu. ROS pada 30 Julai lalu, mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan berkenaan selepas tidak berpuas hati dengan penjelasan DAP selain mendakwa tidak diberi kerjasama ketika siasatan dijalankan. Siasatan ROS dijalankan setelah ahli DAP berterusan mendesak parti itu mengadakan pemilihan semula CEC kerana mendakwa wujud penyelewengan dan manipulasi undi ketika pengundian. Antara dakwaan itu adalah DAP gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan anggota sah dan layak mengundi pada pemilihan CEC ketika Kongres Kebangsaan DAP Ke-16 di Pulau Pinang pada 15 Disember tahun lalu. Walaubagaimanapun, Guan Eng dilapor mempersoalkan peruntukan undang-undang yang digunakan ROS dalam keputusan tersebut dan tidak akan mematuhi arahan itu selagi tuntutannya mengenai perkara berkenaan tidak dijelaskan sepenuhnya Selain isu CEC, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, mereka turut akan membincangkan mengenai peningkatan kes jenayah yang berlaku sejak kebelakangan ini. Sementara itu, mesyuarat tersebut yang diadakan di Ibu Pejabat DAP di Pudu, Kuala Lumpur kira-kira pukul 8 malam ini berakhir kira-kira pukul 10 malam. Walau bagaimanapun, usaha pemberita mendapatkan kenyataan pemimpin DAP berhubung hasil mesyuarat itu gagal selepas Guan Eng dan Pengerusi DAP, Karpal Singh enggan memberi sebarang komen. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |