Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Taktik jahat Anwar jatuhkan Najib Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT KUALA LUMPUR 18 Ogos - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak membuat tawaran untuk membentuk kerajaan perpaduan dilihat sebagai satu lagi taktik jahat Ketua Pembangkang itu untuk menjatuhkan imej Perdana Menteri menjelang pemilihan UMNO akan datang. Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd. Noor mendakwa, Anwar sengaja ingin mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan ahli UMNO bahawa kononnya Najib sanggup berkompromi dengan musuh politiknya. "Anwar ingin mewujudkan kesangsian dalam kepimpinan UMNO seolah-olah Perdana Menteri yang mahu berkompromi dengannya. Ini manipulasi dan permainan jahat Anwar. "Saya tahu daripada rakan-rakan di Indonesia bahawa beliau (Anwar) yang sebenarnya mengusulkan perkara tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Ezam mengulas pendedahan beberapa blog yang mendakwa Anwar sebenarnya menawarkan kerajaan perpaduan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Barisan Nasional (BN) kepada Najib dengan tiga syarat yang disampaikan menerusi bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla ketika berkunjung ke Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu. Tiga syarat Anwar itu dakwa salah sebuah blog, http://www.rbfonline.net adalah melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri, melantik empat Ahli Parlimen PKR sebagai menteri, beliau akan memecat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Najib akan memilih siapa pengganti kekosongan itu tetapi semuanya ditolak oleh Najib. Anwar dalam wawancara bersama laman web Asia Sentinel pada Isnin lalu mendakwa, Perdana Menteri menghubunginya dan mencadangkan agar diadakan kerajaan perpaduan tersebut tetapi beliau menolaknya. Mengulas lanjut, Ezam berkata, tindakan Anwar menyatakan usul kerajaan perpaduan oleh Najib tidak masuk akal memandangkan pihak yang terdesak untuk meraih kuasa adalah Anwar, bukannya Perdana Menteri. "Anwar memerlukan kuasa untuk menyelesaikan masalahnya sendiri. Sebab itu saya tidak terkejut kerana saya cukup yakin Anwar dalam keadaan terdesak dan sebab itu dia yang mengusulkan kerajaan perpaduan supaya dapat kuasa, duduk dalam pemerintahan kerajaan," katanya. |
Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED KUALA LUMPUR 18 Ogos - Keengganan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui kesilapan berhubung kontroversi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) terus dikecam pelbagai pihak yang menyifatkan beliau sebagai 'pemimpin ego dan hipokrit'. Kalangan mereka juga menempelak dan mempersoalkan tindakan Guan Eng kerana mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke dalam isu dakwaan penyelewengan pemilihan jawatankuasa parti tersebut. Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong mendakwa, sikap Guan Eng yang tidak mengaku kesilapan, sebaliknya meletakkan kesalahan itu kepada pihak lain adalah perkara biasa bagi pemimpin sebuah parti yang kononnya 'memperjuangkan' ketelusan dan demokrasi itu. ''Kalau dia (Guan Eng) nak 'heret' Perdana Menteri dalam isu ini (kontroversi CEC), kenapa tidak Perdana Menteri terus mengarahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan sahaja pendaftaran DAP? ''Inilah perangai Guan Eng, dia tidak akan mengaku segala kesalahan dan akan kata ini konspirasi politik. Kita lihat sudah banyak kali dia menyalahkan UMNO atau Barisan Nasional (BN) dan perangai sedemikian sama dengan rakan sekutunya yang menyalahkan pihak lain,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas 'drama' terbaharu Guan Eng yang masih tidak mengaku kesilapan berhubung kontroversi CEC dengan mengheret Najib apabila bertindak mencabar Perdana Menteri agar memberi jaminan 'keselamatan'. Dakwa Guan Eng, DAP tidak teragak-agak mencabar arahan ROS melalui semakan kehakiman jika Perdana Menteri memberi jaminan bahawa ROS tidak akan membatalkan pendaftaran DAP sekiranya perkara terbabit dibawa ke mahkamah. Tindakan itu bertentangan dengan sikap 'gentlemen' Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengumumkan DAP akan mengadakan pemilihan semula CEC seperti arahan ROS setelah siasatan mendapati pemegang-pemegang jawatan dalam pemilihan Disember lalu tidak sah. Lum Yong berkata, Guan Eng selama ini hanya 'bermain' politik dan cukup ketara apabila mendakwa ROS akan mengeluarkan surat untuk membatalkan pendaftaran DAP semasa penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu. ''Sehingga kini ROS tidak bertindak sedemikian. Tindakan Guan Eng ini dilihat sebagai gimik politik semata-mata dan kita nak tanya, apa tindakan beliau jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiba-tiba kata keputusan pilihan raya umum lalu berlaku kesilapan teknikal? Mengulas perkara sama, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, sikap angkuh Guan Eng dalam berdepan dengan isu CEC bukan suatu perkara yang memeranjatkan. ''Ego Guan Eng makin meningkat selepas dua kali berjaya memegang Pulau Pinang dalam pilihan raya umum. Apa yang diputuskan ROS adalah berasaskan maklumat dan Karpal sendiri dapat menerimanya. ''Inilah Guan Eng, sikap pemimpin sebegini bukanlah contoh terbaik kepada negara. Amat malang mereka yang bernaung di bawah kepimpinan begini,'' ujarnya. Dalam pada itu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menyifatkan tindakan Guan Eng mengaitkan nama Najib dalam isu berkenaan sebagai merepek. Malah, beliau mendakwa Guan Eng telah melakukan pelbagai pembohongan termasuk turut menjadikannya mangsa dalam isu perhimpunan haram Bersih 3.0 tahun lalu. ''Ini gaya Guan Eng yang telah banyak membuat pembohongan demi pembohongan. Daripada isu kononnya menolong seorang gadis bawah umur, kemasukan pelaburan asing ke Pulau Pinang sehingga kontroversi CEC, dia sudah banyak berbohong. ''Dalam isu CEC, nak heret Perdana Menteri pula, nak cabar keputusan ROS melalui semakan kehakiman. DAP sebelum ini banyak pertikai mahkamah, polis dan SPR tetapi kini nak guna mahkamah pula? Merepek,'' katanya. Dalam pada itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah mengingatkan Guan Eng bahawa isu kepincangan pemilihan CEC DAP bukannya datang daripada ahli UMNO atau BN atau pihak lain tetapi disuarakan oleh akar umbi DAP sendiri. ''Kalau desakan mengadakan pemilihan semula CEC datang daripada pihak lain, sudah pasti itu ada perancangan tertentu tetapi ini desakan ahli DAP. Tetapi, kebiasaannya Guan Eng akan meletak segala kesilapan kepada orang lain termasuk UMNO dan BN sedangkan mereka ini tiada kena-mengena dengan DAP", katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |