Utusan Online - Rekreasi
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rekreasi |
Gelanggang badminton jadi tumpuan Posted: 09 Aug 2013 09:38 AM PDT Antara penduduk yang hadir untuk memberikan sokongan ketika perlawanan badminton di perkampungan Orang Asli Panchor, Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini. Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN MINAT yang mendalam dalam sukan badminton mendorong penduduk Orang Asli Kampung Panchor di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Jempol, Negeri Sembilan berkumpul di rumah seorang penduduk hampir setiap malam untuk menyertai perlawanan badminton. Walaupun terpaksa menggunakan gelanggang badminton yang kurang selesa dengan lantainya yang mula pecah, namun mereka tetap aktif bermain. Malah kekurangan itu tidak memadamkan hasrat mereka untuk melahirkan jaguh kampung yang berjaya ke peringkat yang lebih tinggi. Pemilik rumah, Bahar Batu, 35, memberitahu, gelanggang yang dianggarkan bernilai RM2,000 itu siap enam bulan lalu selepas dia mula membinanya secara beransur-ansur sejak tahun 2012. "Saya tidak mampu menyiapkannya dengan cepat kerana kekurangan wang. "Walaupun keadaan gelanggang ini tidak sempurna kerana ada bahagian yang menggunakan bahan terpakai, namun saya gembira apabila ia menjadi lokasi penduduk berkumpul dari petang sehingga lewat malam. "Malah saya turut memasang lampu di sini dan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penduduk. Niat saya hanya mahu penduduk di sini berkumpul, merapatkan hubungan dan mahu anak kampung berjaya dalam sukan ini," katanya. Syarliza Bahar, 13, pula berkata, kewujudan gelanggang itu mampu mengasah bakatnya dan bercita-cita untuk mengharumkan nama kampung itu dalam sukan berkenaan satu hari nanti. "Saya memang minat sukan badminton. Setiap hari, lebih kurang pukul 3 petang sehingga 5 petang, saya akan bermain badminton di sekolah saya, Sekolah Menengah Kebangsaan Bahau. "Apabila pulang ke rumah, saya akan terus bermain hingga pukul 8 malam. Selepas itu barulah saya akan mengulang kaji pelajaran bersama adik- beradik yang lain. "Minat saya dalam sukan ini bermula ketika saya berusia 12 tahun. Baru-baru ini, saya terpilih mewakili sekolah dalam sukan tersebut. Walaupun tidak berjaya mendapat tempat pertama, namun saya tidak akan berputus asa dan akan terus berusaha selepas ini," katanya. Sementara itu, Nor Mazrina Simpan, 38, berkata, terdapat sebuah gelanggang badminton yang dibina oleh kerajaan di kawasan tersebut. "Memang gelanggang itu baharu dan sangat cantik. Biasanya kami hanya menggunakan gelanggang itu pada waktu petang sahaja. Waktu malam kami akan bermain di sini kerana tidak mampu membayar kos penggunaan lampu gelanggang pada waktu malam sebanyak RM7 untuk sejam. "Rasanya lebih baik kami bermain di gelanggang penduduk sahaja kerana kami lebih seronok bermain di sini, malah setiap Sabtu kami akan mengadakan perlawanan badminton. "Perlawanan ini bukan sahaja disertai golongan belia, malah warga emas dan kanak-kanak juga terlibat," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |