Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT BAGI golongan artis, penubuhan Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), badan khusus bagi menjaga kebajikan mereka adalah sesuatu yang amat dialu-alukan. Yayasan yang ditubuhkan sejak 25 Jun 2012 berperanan menyalurkan bantuan kewangan terutama kepada artis veteran yang sakit dan meninggal dunia. Dalam satu wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, AIZZUL A. MAJID baru-baru ini, Presiden yayasan itu, DATUK D.J. DAVE, 66, menceritakan bagaimana tercetusnya idea menubuhkan yayasan berkenaan dan susah payah yang dihadapi pihaknya bagi memastikan ia dapat terus beroperasi membela nasib artis tempatan. UTUSAN: Bagaimanakah bermulanya idea menubuhkan yayasan ini? D.J. DAVE: Sebenarnya idea ini tercetus ketika saya pergi melawat rakan-rakan artis yang sedang sakit dan yang telah meninggal dunia. Ketika itu saya terfikir kenapa saya tidak membuat sesuatu untuk membantu artis-artis yang seperjuangan dengan saya yang telah lama menghiburkan orang ramai. Artis-artis ini sebenarnya turut memberi sumbangan kepada pembangunan negara, tetapi saya lihat peranan mereka telah dilupai dan tidak mendapat pengiktirafan. Pada masa itulah, saya membuat keputusan untuk menubuhkan yayasan, supaya nasib artis terbela. Salah satu syarat untuk menubuhkan yayasan adalah ia perlu mempunyai dua individu sebagai pemegang amanah. Setelah bertungkus lumus selama lapan bulan, akhirnya saya berjaya mendaftar yayasan ini dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 25 Jun 2012. Selain saya, seorang lagi pemegang amanah adalah Datuk M. Nasir yang turut bertindak sebagai Naib Presiden. Exco-exco pula terdiri daripada Datuk Yusuf Haslam, Datuk A. Rahman Hassan, Kanaga dan Nancie Foo. Kita adalah yayasan untuk membantu artis semua kaum tanpa mengira bangsa dan agama. YA1M berbeza berbanding persatuan artis lain kerana kita memberi tumpuan untuk menjaga kebajikan artis dan tidak membuka keahlian secara langsung. Mereka yang ingin memohon bantuan perlu menjadi ahli persatuan artis seperti Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (Papita). Kenapa tumpuan diberikan bagi membantu artis veteran? Ini kerana artis baharu, pendapatan mereka sekarang boleh dikatakan agak lumayan. Misalnya, satu persembahan mereka boleh dapat RM5,000 atau RM10,000. Artis veteran pula walaupun telah lama berkecimpung dalam industri hiburan, pendapatan mereka ketika itu tidaklah banyak seperti sekarang. Apabila artis veteran ini sudah berusia, mereka tidak mempunyai wang simpanan yang banyak untuk menyara hidup dan keadaan mereka juga mungkin cukup daif apabila tiada anak-anak untuk menjaga mereka. Cukup malang sekali, para artis tidak mempunyai caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan insurans. Artis veteran juga tidak mendapat pencen. Bagaimanapun, kita akan menolong artis baharu jika mereka sakit. Pihak manakah yang menyumbang dana kepada yayasan? Semasa saya mengadakan konsert Journey Through Song - Ingin Bersua di Istana Budaya, Kuala Lumpur selama tiga hari dari 1 Jun sehingga 3 Jun 2012 saya telah menetapkan hasrat kalau ada wang lebih daripada jualan tiket dan sumbangan penaja, saya akan memberi RM50,000 daripada wang saya kepada YA1M. Alhamdulillah saya berjaya mengutip sedikit sebanyak dana terutama dengan sokongan daripada Celcom, Mah Sing Group dan Sogo. Lepas saya tolak semua perbelanjaan, saya dapat menderma jumlah yang dihasratkan kepada yayasan. Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sangat prihatin dengan nasib golongan artis ketika melancarkan yayasan pada 11 November 2012 telah mengumumkan dana RM5 juta kepada pihak kami untuk tempoh dua tahun. Jumlah sebanyak RM2 juta dalam bentuk geran telah diterima kita pada tahun lalu. Wang berkenaan sudah pun digunakan dan kita telah membuat permintaan pada tahun ini untuk mendapat dana selebihnya sebanyak RM3 juta. Bagaimanakah dana RM2 juta ini dibelanjakan? Dalam tempoh 10 bulan beroperasi, kita telah menyalurkan bantuan kewangan kepada 400 artis. Kita mengenal pasti artis-artis yang memerlukan bantuan melalui persatuan yang mewakili golongan berkenaan yang kebiasaannya akan menelefon kita. Selain melalui persatuan, artis yang memerlukan bantuan juga boleh datang sendiri ke pejabat yayasan di No. 62A, Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur atau menelefon 03-22721080. Setiap bantuan yang dipohon perlu mempunyai surat pengesahan daripada mana-mana persatuan artis. Turut layak menerima bantuan adalah artis Singapura yang berkecimpung dalam industri seni tanah air dengan syarat mereka telah lama menetap di negara ini dan mendapat taraf penduduk tetap Malaysia. Bila ada artis yang sakit dan dimasukkan ke hospital, kita akan memberikan wang RM2,000 dan jika artis meninggal dunia, kita akan memberikan RM3,000 kepada keluarga mereka. Mana-mana artis yang telah mencapai usia 60 tahun akan diberikan sagu hati RM2,000 sebagai penghargaan kepada mereka dan jumlah ini adalah jauh lebih baik berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Kita juga memberikan bantuan kewangan kepada artis yang ditempatkan di rumah orang tua seperti pelakon drama bersiri Empat Sekawan, Hoi Yuen Yuen, 60. Turut diberi bantuan adalah artis Sabah dan Sarawak yang telah banyak berjasa dalam menghiburkan masyarakat. Jika ada artis sakit yang memerlukan bantuan dari segi peralatan seperti alat penyaman udara, kita juga akan memberikan sumbangan. Bagaimanapun, bantuan kita tidak melibatkan sumbangan kepada artis yang mengalami kesempitan hidup atau miskin. Ini kerana kalau kita menolong, mereka akan menjadi terlalu selesa dan tidak mahu bekerja. Setiap artis perlu bekerja. Kemiskinan itu datang daripada kita sendiri, terutama apabila kita malas nak bekerja. Itu tak bolehlah. Kerajaan pun tak menggalakkan sikap seperti ini. Bagaimana Datuk melihat prestasi yayasan sekarang? Sebenarnya, saya telah meletakkan sasaran supaya YA1M diuruskan dengan cara yang sangat profesional dan dalam masa sama mengamalkan budaya berjimat cermat. Antaranya kita telah melantik akauntan dan juruaudit antarabangsa iaitu KPMG untuk memantau semua pengeluaran dana. Saya sedar ini adalah duit kebajikan, yang bukan duit saya, tetapi diamanahkan kepada saya. Sebagai langkah berjimat cermat, saya dan lain-lain Exco bekerja secara percuma dan tidak menerima sebarang gaji. Hanya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yayasan dan beberapa kakitangan sahaja yang dibayar gaji. Pejabat kita juga disewa dengan kadar yang cukup rendah iaitu RM2,000 sebulan. Apabila baru masuk ke pejabat ini kita perlu melakukan pengubahsuaian dan untuk menjimatkan kos kita telah membuat tender terbuka dan pembida yang menawarkan harga paling rendah yang telah dipilih. Perabot juga semuanya kita beli sendiri dari IKEA kerana harganya lebih rendah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM17,000. Kita memang berkira kerana mahu menjimatkan wang, untuk membolehkan sebanyak mungkin dana digunakan bagi membantu artis. Apakah perancangan bagi menambah dana? Kita sedar dana ini akan habis kalau tidak dijaga dengan baik. Sebab itu kita akan mengadakan konsert yang menampilkan 10 artis yang mempunyai nama bagi mengutip dana pada 3 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Orang perseorangan dan syarikat korporat yang ingin menyumbang boleh membeli meja-meja yang dijual pada majlis berkenaan pada harga RM5,000; RM10,000; RM50,000 dan RM100,000. Selain itu, saya juga berharap artis baharu yang mempunyai wang lebih, dermalah kepada yayasan. Belilah meja, kerana mereka juga akan menjadi tua satu hari nanti. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada mereka apabila tua nanti dan mereka mungkin akan memerlukan bantuan yayasan. Kalau mereka adakan konsert, bagilah sikit kepada kita. Saya juga telah menulis kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi meminta mereka supaya memberikan pengecualian cukai kepada syarikat yang menyumbang wang kepada yayasan. Apakah isu lain yang menghimpit artis? Ketika Perdana Menteri melancarkan yayasan pada tahun lalu saya telah membangkitkan beberapa perkara. Antaranya saya kata, eloklah kalau artis ini mendapat pencen selepas mereka mencapai umur 60 tahun. Perdana Menteri yang memberikan maklum balas segera telah menjelaskan, pencen untuk artis agak susah untuk dilaksanakan kerana sukar untuk menentukan kadar yang munasabah kerana setiap artis memberi sumbangan yang berbeza-beza, misalnya ada yang menghasilkan satu album dan ada pula mungkin mempunyai 30 album. Sebab itu, beliau memutuskan artis yang mencapai usia itu diberi bantuan kewangan sekali pada 2012 dan sekali lagi pada 2013. Kedua, saya juga meminta kerajaan memperkenalkan insurans untuk golongan artis. Saya dengar cadangan ini telah diluluskan oleh kementerian berkenaan yang akan melibatkan semua artis yang telah mencapai usia 55 tahun. Ketiga, saya telah meminta pengagihan royalti yang kini tidak munasabah dikaji semula supaya menepati piawaian antarabangsa. Sekarang artis mendapat sangat sedikit dan komposer yang mendapat lebih banyak. Contohnya, katakan saya telah menghasilkan 40 album. Kalau ikut standard antarabangsa saya tidak perlu bekerja kuat lagi kerana boleh hidup dengan bayaran royalti sahaja. Tetapi ini tidak berlaku sekarang dan jumlah yang saya terima sangat sedikit. Apa yang saya perjuangkan ini bukan untuk diri saya kerana saya sudah pun berusia 66 tahun. Sebaliknya saya harap, apa yang saya lakukan ini akan memberi manfaat kepada artis-artis baharu. Boleh komen sikap artis muda yang boros berbelanja? Inilah masalahnya apabila mereka mendapat pendapatan RM20,000 sebulan, mereka berbelanja RM25,000. Ini menyebabkan mereka terpaksa berhutang dan mengalami perbelanjaan defisit. Sepatutnya sebahagian wang itu disimpan untuk perbelanjaan hari tua atau dilaburkan ke dalam amanah saham. Sebab itu kita juga bercadang untuk mengadakan seminar bagi meningkatkan kesedaran artis muda mengenai bagaimana caranya untuk menguruskan wang mereka. Seminar ini juga akan turut memberi pendedahan kepada artis mengenai perlunya mereka membeli insurans dan menguruskan kesihatan mereka dengan sebaik mungkin. Saya harap mereka dapat hadir kerana ia akan diadakan secara percuma. Apakah nasihat kepada artis yang terjebak dalam aktiviti tidak bermoral? Imej seorang artis adalah sangat penting kerana mereka akan menjadi contoh kepada masyarakat. Apabila menyentuh soal imej, ia sudah tentu melibatkan soal moral. Kalau moral kita tidak baik, ia akan memberi mesej yang salah kepada umum. Rakyat sepatutnya dapat mempelajari sesuatu yang baik daripada kita, bukannya perkara-perkara yang tidak baik. Satu lagi perkara penting yang boleh menjejaskan imej artis adalah soal disiplin termasuk dalam cara kita berpakaian. Ingatlah, mana-mana artis yang tidak berdisiplin, mereka tidak boleh bertahan lama dalam industri hiburan. |
Kira selesaikah sekadar memohon maaf? Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT Oleh Fauziah Arof "DIA sudah meminta maaf. Dia minta maaf kepada semua kaum wanita tahu tak? Bila orang sudah meminta maaf, maafkanlah dia. Inikan Hari Raya." Itu kata-kata seorang rakan lelaki yang tiba-tiba masuk mencelah perbualan saya dan beberapa rakan wanita lain apabila kami membincangkan mengenai kenyataan maaf seorang penjawat awam yang kesnya kini dibawa ke mahkamah setelah aksinya memukul bertubi-tubi dan menendang isteri di depan anak-anak dirakamkan di dalam lif di sebuah hospital. Rakaman yang telah tersebar luas di media-media sosial itu memang menggemparkan semua. Satu Malaysia boleh menyaksikan bagaimana seorang wanita disepak terajang oleh seorang lelaki hingga keluar lif. Dan apabila kenyataan maaf dibuat oleh lelaki yang dituduh memukul sehingga mendatangkan kecederaan wanita itu di luar mahkamah, sudah tentu ia menimbulkan banyak reaksi dan persepsi yang bermacam-macam. Sebagai ahli masyarakat yang menyaksikan rakaman tersebut, soal mencampuri urusan rumahtangga orang lain bukan lagi menjadi isunya apabila melihat tangan dan kaki digunakan untuk menyakiti tubuh badan wanita tersebut. Ini adalah soal keganasan yang membabitkan soal nyawa dan keselamatan yang perlu diberi perhatian. Namun, saya tidak mahu mengulas panjang mengenai kes ini. Sudah jadi kes mahkamah. Biarlah ia diselesaikan melalui peruntukan undang-undang. Kita biarkan mahkamah yang arif menentukan nasib si suami ini. Dan biar apa yang berlaku menjadi iktibar kepada pasangan berkenaan dan kita semua. Yang menjadi isunya sekarang, kes-kes yang membabitkan keganasan dan penderaan wanita dikatakan semakin meningkat dan cara mangsa-mangsa itu disakiti memang tidak berperikemanusiaan. Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, kes keganasan terhadap wanita di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12 peratus apabila 2,576 kes dilaporkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding 2,295 kes bagi tempoh sama tahun lalu. Peningkatan tersebut membimbangkan kerana jenayah berkenaan tidak mengenal mangsa sama ada wanita dewasa mahupun kanak-kanak perempuan. Kini kita pun sudah biasa mendengar, kes-kes keganasan suami memukul isteri dengan macam-macam objek tali pinggang, kayu, besi atau dengan menyimbah asid, ada yang tergamak membakar isteri, membelasah teruk teman wanita dengan tangan, tukul dan macam-macam lagi. Ini adalah satu penyakit yang amat serius di mana wanita dan anak-anak kecil dijadikan tempat untuk lelaki yang sering dikaitkan dengan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi berbanding wanita, untuk melepaskan perasaan marah. Jika hendak mengajar pun, patutkah sampai kaki dan tangan naik ke tubuh badan seorang wanita? Apatah lagi seorang isteri sepatutnya dilindungi oleh suaminya daripada segala ancaman. Justeru mana-mana kes keganasan terhadap wanita tidak sepatutnya didiamkan. Ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa agar kita tidak menghalalkan perbuatan seperti ini. Mungkin ada banyak lagi kes keganasan yang dipendamkan atas sebab rasa sayang, takut atau menyerahkan nasib kepada takdir. Inilah masalahnya. Mangsa sendiri yang seolah-olah menggalakkan lelaki yang tidak dapat mengawal perasaan marah ini bertindak dengan sesuka hati. Mereka ini hanya berani menunjuk kuat dan berlagak samseng pada wanita dan kanak-kanak. Justeru Program Respek Wanita yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diharapkan memberi kesan yang positif dan dapat mengekang kes jenayah keganasan terhadap wanita. Sebelum-sebelum ini pun, kita sudah ada banyak kempen kesedaran yang membabitkan penderaan. Tetapi itulah, berapa banyak pun kempen kesedaran yang diadakan oleh kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tidak kiralah program kesedaran mengenai penderaan, pencegahan jenayah atau kempen jalan raya, ia selalunya dipandang remeh oleh kebanyakan daripada kita. Sebabnya, tentulah tiada kepentingan dan tidak kena pada batang hidung sendiri. Dan banyak kes lain yang bukan membabitkan kes penderaan pun tidak boleh dianggap selesai bila orang yang melakukan perbuatan itu atau mengeluarkan kenyataan yang sensitif yang menyentuh kepentingan mana-mana kaum di negara ini misalnya, meminta maaf. Jika semuanya boleh selesai dengan cara minta maaf, apa perlunya undang-undang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |