{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Cabaran polis tangani jenayah berat

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

JENAYAH kekerasan yang berlaku di seluruh negara sejak kebelakangan ini mengundang kebimbangan semua pihak.

Pembunuhan demi pembunuhan yang berlaku menjadi tajuk-tajuk utama akhbar dan isu perbincangan utama pelbagai pihak.

Tatkala kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyuarakan ketegasan dalam menangani isu ini, segelintir pihak mengambil peluang menyalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kononnya bertindak tanpa mengikut prosedur untuk memburu penjenayah tegar yang masih bebas.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Tan Sri Zaman Khan ketika ditanya mengenai isu ini, melahirkan rasa simpati terhadap tohmahan yang dilemparkan kepada pasukan itu.

Ada sesetengah kata ada perkara dalam EO (Ordinan Darurat) itu ada dalam Akta Pencegahan Jenayah, memang betul. Tapi itu bukan untuk jenayah biasa namun bagi aktiviti menentang pengganas," katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR, SOFIAN BAHAROM dan jurugambar HANAFI KHAMIS ketika ditanya isu itu di Putrajaya baru-baru ini.

Bekas Pengarah Penjara Malaysia itu turut berkongsi maklumat dan pandangannya bagaimana menangani isu jenayah kekerasan ini berdasarkan kepada pengalamannya.

UTUSAN: Jenayah kekerasan contohnya tembak-menembak semakin berleluasa di negara ini. Apa pandangan Tan Sri?

ZAMAN KHAN: Tidak dinafikan kejadian tembak-menembak ini satu fenomena baharu. Semasa saya selaku pencegah jenayah di sepanjang kerjaya saya tidak pernah dengar begini. Ada memang ada tetapi tidak seperti ini. Ini saya rasa disebabkan, berdasarkan beberapa bukti bahawa sindiket pengedaran dadah ini mempunyai senjata api seolah-olah untuk mempertahankan kedudukan mereka sekiranya ada serbuan dan sebagainya.

Ada juga segelintir penjenayah ini menggunakan kekerasan termasuk menembak kerana dendam seperti di Kelantan sebelum ini. Jadi, perkara ini dilihat membimbangkan serta menakutkan masyarakat. Pada mulanya saya ingat pihak polis tidak mempunyai perisikan yang baik tetapi ia adalah tanggapan silap. Kalau kita perhatikan, dalam seminggu ini selepas kejadian tembak-menembak berlaku, polis mengetahui siapa dalangnya.

Ini bermakna pihak polis telah melakukan siasatan sebaik-baiknya. Orang awam perlu sedar bahawa polis ini bukan ahli silap mata. Mereka bergantung kepada maklumat yang dicari dan disampaikan. Melalui cara inilah, pegawai-pegawai turun padang ke kelab-kelab malam, kedai-kedai kopi dan sebagainya bukan untuk berjoli tetapi untuk mendapatkan maklumat sedikit-sebanyak.

Kita ada rangkaian juga dengan penjenayah dan bekas-bekas banduan yang insaf untuk mendapatkan maklumat. Namun begitu, maklumat daripada orang ramai adalah yang paling penting.

Tan Sri berkata sindiket pengedaran dadah mempunyai senjata api untuk mempertahankan kedudukan mereka, boleh Tan Sri jelaskan kenapa?

Saya percaya sindiket-sindiket ini mempunyai senjata api untuk mengongkong kawasan pengedaran dadah mereka. Ingat lagi Bentong Kali? Salah satu matlamatnya adalah menjadikan Kuala Lumpur kawasan kawalan pengedaran dadahnya. Sejak kes pertama saya dulu di Pulau Pinang, saya masih ingat ketika itu, polis mendapat maklumat berhubung kegiatan membawa dadah di Jelutong dan Ayer Hitam jadi kita lakukan serangan hendap. Apabila si pembawa itu ditahan polis, baru sahaja ditanya suspek sudah melepas tembakan.

Kami menembaknya mati dan mendapati terdapat sejumlah dadah yang cuba dibawa ke tempat lain. Ini perkara selalu berlaku dan ia dibuktikan apabila unit narkotik merampas dadah pasti terdapat senjata api bersama. Nampaknya, dadah bukan sahaja merosakkan masyarakat terutama golongan muda tetapi juga membawa kepada jenayah kekerasan di negara ini.

Orang kata, jalan penyelesaian kepada perkara ini adalah dengan menutup sempadan. Mereka perlu tahu sempadan kita panjang, saya tahu kerana saya juga berasal daripada kawasan sempadan. Di sempadan tersebut terdapat penduduk. Penduduk kedua-dua sempadan juga mempunyai pertalian yang sangat erat.

Malahan dahulu terdapat cadangan untuk memagari sempadan tersebut. Saya hanya tersenyum. Orang tanya kenapa tersenyum? Saya kata tidak guna memagari kawasan tersebut kerana masyarakat kedua-dua belah mengenali satu sama lain. Kalau hari ini letak pagar mungkin esok pagar tersebut akan dirobohkan. Itu sebab kita jadikan sempadan tersebut sebagai kawasan perdagangan bebas seperti di Tak Bai, Rantau Panjang, Padang Besar dan utara Perlis. Langkah itu bagi mencegah penyeludupan dan supaya orang kita tidak terdedah kepada ancaman-ancaman.

Terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan tindakan polis semasa melakukan operasi. Kenapa ini berlaku?

Pihak polis sekiranya dapat maklumat dalam kes berbahaya seperti tembak-menembak ini, kita akan ada perancangan. Jangan kata polis bertindak membuta-tuli. Sekiranya kita tengok insiden di Pulau Pinang, kekuatan operasi kita diambil dari Bukit Aman, Pulau Pinang dan Alor Setar. Ini semua anggota polis yang terlatih untuk berjaga-jaga dalam sebarang kemungkinan. Apabila kita ke tempat itu, kita sudah tahu sebelum ini sudah banyak kes polis ditembak. Takkan kita perlu menunggu mereka menembak dua tiga das dahulu sebelum bertindak?

Dalam keadaan tebusan dan sebagainya seperti saya yang dilatih dalam situasi tersebut, kita memasuki lokasi dan akan menembak suspek bukan untuk membunuhnya tetapi memastikan yang dia tidak menjadi ancaman kepada kita.

Saya bukan menjustifikasikan tindakan itu tetapi keadaan sedia cemas. Janganlah fikir polis perlu menunggu penjenayah menembak dahulu.

Tan Sri tadi ada menyebut polis menjadikan penjenayah sebagai sumber rangkaian maklumat. Boleh jelaskan berhubung kenapa? Apakah sehingga kini masih terdapat hubungan tersebut?

Mahu tidak mahu, kita perlu ada rangkaian ini. Kita baca cerita di Amerika Syarikat (AS), England dan sebagainya yang mana Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) terlibat dalam dadah, bukan mereka mahu berniaga dadah, cuma mereka mahu menyelidik perkara tersebut. Di Malaysia, kita ada tiga cara untuk mendapatkan maklumat iaitu kita cari sendiri, sumber daripada orang bersalah dan terbaik sekali adalah daripada orang ramai supaya siasatan dapat dijalankan.

Seperti yang selalu dikatakan kami, a dead body dont tell (orang yang mati tidak akan memberi maklumat), kita kalau boleh mahu maklumat daripada mereka yang berada di sekitar. Ada orang kata kita perlu menggunakan kaedah penyamaran apabila polis menjadi orang awam, kita buat. Sebagai contoh, kes-kes ragut cuba dikurangkan dengan anggota polis lelaki dan wanita menyamar menjadi pejalan kaki.

Ramai pihak yang bercakap, disebabkan ketiadaan Ordinan Darurat (EO) menyebabkan peningkatan jenayah berat ini?

Benar perkara tersebut. Memang tahanan tanpa bicara itu bertentangan dengan fahaman hak asasi manusia. Tetapi saya ingin tanya, itu hak asasi penjenayah, tetapi di mana hak saya dan orang lain?

Jadi kita perlu undang-undang ini untuk menahan mereka. Katakan saya penjenayah macam Botak Chin dahulu, kita tengok betapa susahnya dia untuk mati. Ramai orang tahu perkara ini, dia pergi ke Segambut atau Sentul, berjumpa dengan budak berketurunan India, dia akan beri wang dan mengucapkan Happy Deepavali kalau Cina dia kata Happy Chinese New Year.

Apabila keadaan seperti itu, masyarakat tidak akan memberi maklumat. Tetapi ada juga yang tidak suka perkara tersebut tetapi mereka takut untuk memberi keterangan di mahkamah. Tetapi bila kita minta mereka memberi kenyataan hanya untuk siasatan, mereka akan bekerjasama. Semua benda mereka tidak mahu pergi. Jadi kita merakam kenyataan, siasat dan melakukan kerjasama tersebut. Ini gunanya untuk mencegah kegiatan jenayah terutama gangsterisme, memeras ugut dan pengutipan wang perlindungan.

Pernah berlaku di Ampang, sebuah kedai India diganggu sekumpulan penjenayah, habis semua pekerja dan pelanggan takut. Semuanya disebabkan tidak membayar duit perlindungan.Mereka tidak mahu melaporkan kepada polis kerana mereka takut. Jadi dalam kes-kes begini, kita akan siasat. Kalau mereka kata kita aniaya dan sebagainya, wujudkan satu sistem ketat pula agar polis tidak menyalahguna kuasa. Sekarang ini terbukti, kebanyakan mereka yang keluar dari tahanan EO ini melakukan jenayah. Katakan awak menyebabkan saya meringkuk dalam penjara, bila saya keluar, saya akan cari awak. Begitulah.

Kalau kita sedar Tan Sri, terdapat juga pihak yang arif dengan undang-undang berkata, semua pihak tidak perlu khuatir dengan pemansuhan EO kerana terdapat juga akta lain seperti Akta Pencegahan Jenayah.

Memang betul ada akta lain tetapi kita tiada kuasa menahan seperti EO. Ada sesetengah kata ada sesetengah perkara dalam EO itu ada dalam Akta Pencegahan Jenayah, itu memang betul. Tetapi itu bukan untuk jenayah biasa namun bagi aktiviti menentang pengganas. Kalau kita boleh untuk pengganas, kenapa tidak kepada jenayah lain. Suasana kini, orang awam tidak takut kepada pengganas kerana tidak mengancam mereka secara menerus.

Orang kata ia tidak adil kerana orang kata seseorang tidak boleh dihukum sehingga terbukti salah menerusi keputusan mahkamah, saya setuju. Itu untuk hak asasi penjenayah sahaja tetapi bagaimana dengan awak dan saya? Saya rasa hak asasi seperti ini memang terlampau.

Ada juga kata bila orang ditahan oleh EO ini, mereka akan dianiaya. Tetapi silalah melawat mereka di penjara, memang sihat belaka di sana. Bukan dianiaya, tetapi mereka yang ditahan perlu mematuhi peraturan ditetapkan seperti bangun pagi pukul berapa dan melakukan aktiviti bersama-sama.

Ada cadangan juga untuk meminda akta tersebut dan apabila ditanya kepada polis, mereka meminta akta yang lebih kurang EO, apa pendapat Tan Sri berhubung bentuk akta baharu nanti?

Saya salah seorang daripada mereka yang juga mementingkan hak asasi manusia dan saya pernah hadir pada 2003 pada kursus hak asasi di University of Strasbourg, Perancis. Saya sedar tetapi perlu kita tahu bahawa hak orang lain perlu dihormati. Bukan sahaja diri kita sahaja. Jadi undang-undang yang diminta polis ini harus menjadi sebuah undang-undang bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan kepada mereka yang menjadi ancaman kepada masyarakat. Cuma, kalaulah orang kata ada salah guna kuasa, kita kena perketatkan mekanisme seperti cara kelulusan dan sebagainya. Apa yang patut dilakukan dan sebagainya.

Kita tidak suka kewujudan kongsi gelap dan sebagainya. Gangsterisme ini memang daripada dahulu ada, tetapi syukur Alhamdulillah, kita masih ada undang-undang membendung dan mematahkannya. Sekarang memang wujud kongsi gelap atau triad. Memang ada triad ini tetapi tidak seperti dahulu. Namun begitu, kalau kita tidak kawal, mereka akan naik semula. Pada saya, undang-undang ini sangat diperlukan. Kita minta ada keadilan untuk menyiasat betul-betul. Kalau ada bukti baru boleh didakwa ke mahkamah kalau tiada bukti tidak boleh. Takkan kita biarkan mereka sahaja?

Apa pandangan Tan Sri terhadap pendekatan pencegahan jenayah yang dilakukan KDN?

Banyak kerajaan sudah buat untuk mencegah jenayah. Kalau kita rujuk indeks jenayah terbaharu, jenayah biasa ada penurunan. Cuma jenayah kekerasan yang secara tiba-tiba menjadi masalah. Saya rasa puncanya dendam, menguasai kawasan, pengedaran dadah, memeras ugut dan sebagainya. Ini semua susah dikawal secara terbuka. Kita memerlukan undang-undang khusus berhubung perkara ini.

Salah satu langkah diambil polis adalah Op Cantas Khas, apa pandangan Tan Sri?

Masyarakat perlu ingat bahawa mereka tidak akan ditahan tanpa melakukan jenayah tetapi kerana melakukannya. Pada saya Op Cantas ini sangat bagus.

Walau bagaimanapun, Op Cantas juga mendapat kritikan.

Kita lihat persepsi segelintir kelompok masyarakat di negara ini. Satu ketika dulu penjenayah seperti Bentong Kali diangkat sebagai wira. Waktu itu, polis melakukan pengumuman berhubung pembunuhan Bentong Kali, ada bertanya, benarkah polis telah melakukannya? Saya kata benar. Hampir semua pemberita yang hadir ketika itu bertepuk tangan menyambut pengumuman tetapi ada juga yang tidak.

MIC dan peranan besar Palanivel menjelang 2016

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Oleh Hassan Mohd. Noor

BERGABUNG sebagai satu parti tunggal mewakili masyarakat India. Itulah mesej yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tengku Adnan Tengku Mansor ketika merasmikan persidangan perwakilan Parti Makkal Sakti Malaysia kali kelima di Kuala Lumpur semalam. Tujuan penggabungan itu adalah mewujudkan sebuah parti yang mewakili masyarakat India menjadi parti yang dapat menjalin kerjasama demi pembangunan dan kepentingan kaum itu. Mesej yang sama pernah dilontarkan pelbagai pihak sebelum ini tetapi tidak ada usaha-usaha yang konkrit dilakukan.

Harus diingat, penggabungan atau penyatuan ini memerlukan pengorbanan, kejujuran dan keikhlasan. Usaha penyatuan ini menjadi rumit disebabkan sikap ego, tidak mahu bertolak ansur serta tidak sanggup mengorbankan jawatan dan kedudukan masing-masing. Sikap jujur dan ikhlas amat penting dalam memenuhi matlamat penyatuan ini. Mungkin juga ada faktor lain yang menyebabkan penggabungan itu tidak dapat dilakukan. Pada satu masa dulu, MIC merupakan parti tunggal yang mewakili masyarakat India yang menjadi parti komponen BN dan sebelum itu Perikatan. Parti Progresif Penduduk (PPP) yang juga parti pelbagai kaum turut dianggotai majoriti masyarakat India. Selepas berlaku perselisihan dalaman MIC di bawah era kepemimpinan S.Samy Vellu, beberapa parti serpihan muncul yang dipimpin oleh bekas pemimpin kanan parti itu. Ada yang terus hidup sehingga ke hari ini dan ada yang berakhir begitu sahaja.

Kini, wujud beberapa parti yang mewakili masyarakat India berada di luar BN tetapi menyokong kerajaan termasuklah Makkal Sakti, Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) dan Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF).

Ku Nan melontarkan persoalan: Kenapa perlu berpecah?...Kenapa perlu wujud banyak parti yang memperjuangkan perkara yang sama? ...Barangkali perlu dibuat analisa atau duduk semeja untuk memikirkan bagaimana mengatasi masalah ini,.

Apa yang lebih penting, penggabungan itu adalah bagi meraih kembali sokongan pengundi masyarakat India. Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, BN hanya memperoleh 48 peratus sokongan kaum India. Jumlah itu perlu ditingkatkan kepada 60 hingga 70 peratus. Memang tepat saranan Ku Nan supaya MIC yang menjadi parti tertua mewakili masyarakat India bersikap lebih terbuka mendengar pendapat dan membuat analisa mengapa terlalu ramai masyarakat India membentuk parti politik baharu bagi mewakili kaum itu. MIC mesti mencari di mana silapnya sehingga lahir begitu banyak parti yang mewakili masyarakat India.

Mungkin perkara ini berlaku pada era lalu. Kini MIC di bawah kepemimpinan baru yang diterajui oleh G. Palanivel. Beliau boleh melihat perkara ini dengan lebih serius. Dengan tempoh sehingga jawatannya berakhir atas kehendaknya pada tahun 2016, Palanivel yang mempunyai corak kepemimpinan yang berbeza dengan presiden sebelum ini boleh mengorak langkah untuk merealisasikan saranan Ku Nan ini. Beliau boleh mengambil peluang ini untuk duduk semeja bersama parti-parti berkenaan untuk mencari formula penyatuan.

Mungkin MIC boleh menubuhkan majlis pemuafakatan parti politik masyarakat India ini bagi menggerakkan usahasama dan penyatuan.

Sebagai orang yang pernah bersama pemimpin terdahulu, Palanivel tentunya lebih arif di mana silapnya sehingga berlaku penolakan terhadap MIC dan membawa kepada penubuhan parti baharu. Eloklah Palanivel merintis jalan perpaduan ini. Jika berjaya, beliau pasti dikenang sebagai pemimpin yang dapat menyatukan seluruh parti masyarakat India melalui parti tunggal.

Dalam suasana sekarang serta berhadapan PRU akan datang, peranan atau tanggungjawab Palanivel nampak lebih besar. Beliau tentunya melihat keperluan ini dan memerlukan tempoh yang ada untuk memperkasakan parti MIC dan masyarakat India seluruhnya. Tanpa sebarang pertandingan bagi jawatan yang disandangnya kini, Palanivel yang mengambil alih jawatan itu daripada Samy Vellu pada Disember 2010 mempunyai lebih banyak masa untuk memikirkan soal penyatuan. Bukannya memikirkan soal pertandingan dalam parti yang hasilnya belum pasti mampu memperkukuhkan pengaruh dalam kalangan pengundi-pengundi.

Sejak dua bulan lalu, Palanivel sibuk mengadakan perjumpaan bersama semua ketua cawangan di seluruh negeri. Beliau turun ke akar umbi bagi menyelami dan mendekati anggota-anggota parti. Difahamkan, semasa perjumpaan tersebut, Palanivel lebih banyak bercakap mengenai usaha untuk memperkasakan MIC, mengembalikan semula kekuatan parti, mencadangkan perubahan perlembagaan dalam parti mengikut peredaran zaman, perpaduan dan peranan generasi muda.

Memang sudah tiba masanya, pemimpin MIC di semua peringkat memikirkan masa depan parti itu dengan lebih serius. Jangan terlalu fanatik, ghairah dan emosional tentang pemilihan parti kerana segala percaturan dalam parti tidak semestinya mewakili suara masyarakat India.

Penganalisis politik yang juga Ketua Penerangan MIC Wilayah Persekutuan, Anbumani Balan berkata, MIC perlu menerima hakikat yang sebenar mengenai segala kisah benar yang berlaku pada dua PRU lalu, 2008 dan 2013. Sebagai sebuah parti politik dominan yang mewakili masyarakat India di negara ini, semua pemimpin dan ahli MIC perlu mendahulukan masa depan masyarakat India - khususnya aspek pembangunan dan ekonomi - satu agenda yang lebih besar bagi menjamin harapan mereka. Pertandingan dalam parti hanyalah salah satu proses demokrasi tetapi ianya tidak dapat menyelesaikan masalah masyarakat India di negara ini khususnya ketika MIC berada di- persimpangan politik yang cukup kritilkal.

Diharapkan, Palanivel serta seluruh kepemimpinan MIC dapat menggunakan kesempatan yang ada ini untuk memantapkan parti. Palanivel perlu diberikan masa dan ruang yang secukupnya untuk melakukan segala proses penambahbaikan politik yang relevan untuk tempoh sehingga menghadapi PRU akan datang. Sebenarnya, masih banyak yang perlu dilakukan. Selain melihat sokongan masyarakat India, MIC dan barisan kepemimpinannya juga perlu melihat sokongan orang Melayu dan Cina terhadap parti itu terutama di kawasan-kawasan yang pernah mereka wakili.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat