{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


Enactus pupuk ilmu keusahawanan

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Sebahagian pelajar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan UTeM yang menyertai pertandingan Enactus Malaysia National Exposition 2013 di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MELAKA 13 Ogos - Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini menyertai pertandingan Enactus Malaysia National Exposition 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Dekan FPTT, Prof. Madya Dr. Md. Nor Hayati Tahir berkata, penyertaan dalam pertandingan itu merupakan galakan kepada usaha pelajar yang terlibat dengan aktiviti keusahawanan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Pendekatan diterapkan dalam Enactus adalah bersifat keusahawanan sosial yang turut memberikan impak terhadap aplikasi ilmu yang dipelajari dalam kelas untuk dipraktikkan dalam dunia sebenar," katanya.

Enactus merupakan pertubuhan yang menjalankan program keusahawanan dalam usaha memberi manfaat kepada penduduk setempat melalui projek-projek dilaksanakan pelajar institusi pendidikan di seluruh dunia.

Sementara itu, penasihat pasukan FPTT, Isma Addi Jumbri berkata, projek yang dibentangkan pada pertandingan itu dinamakan Green Compost Fertilizer merupakan kerjasama Enactus UTeM dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) Bukit Piatu, Melaka.

"Melalui projek ini, PPSPPA memberi tunjuk ajar mengenai cara penghasilan baja kompos dan seterusnya pasukan Enactus UTeM membimbing SMT Bukit Piatu untuk menghasil dan memasarkan produk bagi menjana pendapatan," jelasnya.

Jelas beliau, konsep itu bukan hanya membudayakan amalan keusahawanan di kalangan pelajar malah turut membentuk generasi muda yang sedar tentang konsep kelestarian alam.

"Ini dapat ditunjukkan di mana sisa makanan di kafetaria sekolah tersebut digunakan semula bagi menghasilkan baja kompos," ujarnya.

Promosi produk pelancongan desa

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 13 Ogos - Kerajaan negeri akan meningkatkan usaha mengembangkan produk-produk pelancongan di kawasan luar bandar raya ini bagi memastikan ia terus menjadi tarikan baharu kepada pelancong ke Melaka serta tidak dipinggirkan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad berkata, banyak produk pelancongan negeri sebelum ini hanya tertumpu di daerah Melaka Tengah.

Menurutnya, banyak lagi produk pelancongan di luar bandar seperti di daerah Alor Gajah dan Jasin yang menarik dan berpotensi memberi pulangan namun ia kurang dikunjungi.

"Oleh itu, kerajaan negeri akan memberi fokus untuk mengembang dan mempromosikan lagi produk-produk pelancongan luar bandar ini agar ia dapat dijadikan produk pelancongan tambahan yang memberi faedah kepada ekonomi penduduk setempat dan negeri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ghazale berkata, antara tempat-tempat menarik yang jarang dikunjungi termasuk Air Panas di Gadek dan Bemban serta Perigi Portugis di Merlimau.

"Selain itu, kita juga mempunyai Rumah Tradisional Penghulu Mad Natar, Merlimau serta Halaman Tiga Budaya di Asahan yang mana tapak itu menemukan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

"Produk pelancongan ini akan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi penduduk setempat jika dapat diketengahkan kepada orang ramai termasuk dari dalam dan luar negara.

"Usaha ini juga dilihat mampu mengagihkan perkembangan ekonomi kepada pelancongan luar bandar termasuk kepada para pengusaha kraf tangan, peniaga makanan dan lain-lain yang bergantung kepada kedatangan pengunjung," jelasnya.

Dalam masa sama katanya, kerajaan negeri turut akan sentiasa menambah baik produk-produk pelancongan di kawasan bandar untuk memastikan ia terus diminati pengunjung.

"Ini termasuk pembangunan fasa dua Sungai Melaka sejauh enam kilometer yang dilihat dapat memberikan tambahan produk pelancongan dan tarikan baharu kepada pelancong ke negeri ini," katanya.

Kelab Doktor Muda semai amalan cara hidup sihat

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Zainuddin Abas menyampaikan trofi dan sijil kepada Eiman Haqim Abu Bakar dari Sekolah Kebangsaan Seri Intan, Kluang, Johor selepas dinobatkan sebagai Tokoh Doktor Muda Peringkat Kebangsaan di Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 13 Ogos - Si kecil ini lagaknya cukup meyakinkan. Tutur katanya bagaikan mereka yang berpengalaman dalam bidang perubatan dengan alat stetoskop yang sentiasa tergantung di leher.

Malah khidmat mereka seringkali diperlukan apabila berlaku kes-kes kemalangan mahupun penyakit untuk dirawat terlebih dahulu sebelum menerima rawatan susulan di hospital berdekatan.

Apa yang membezakan adalah dari segi kelulusan yang mana mereka ini hanyalah ahli Kelab Doktor Muda yang masih belajar di sekolah yang berfungsi sebagai pembimbing dan pendorong kepada rakan sebaya dan anggota keluarga ke arah mengamalkan cara hidup sihat.

Penglibatan anak-anak kecil ini sudah pasti memperlihatkan usaha menyuburkan kesedaran murid-murid selain memperkukuhkan penglibatan guru serta warga sekolah lain dalam usaha meningkatkan kesihatan pelajar.

Program Doktor Muda yang diperkenalkan sejak tahun 1989 ini merupakan program promosi kesihatan yang telah mendapat pengiktirafan oleh Kementerian Pendidikan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, berdasarkan Laporan Pencapaian Program Doktor Muda, pada tahun lalu sahaja sejumlah 1,653 sekolah telah menubuhkan kelab berkenaan.

Jelasnya, ia merangkumi 21 peratus daripada bilangan sekolah rendah di seluruh negara yang telah menubuhkan Kelab Doktor Muda dengan penglibatan seramai 44,436 orang murid yang dilantik sebagai Doktor Muda.

"Jumlah ini secara langsung telah memberi manfaat kepada murid sekolah rendah yang telah didedahkan dengan ilmu kesihatan yang disampaikan oleh Doktor Muda menerusi aktiviti pendidikan rakan sebaya," katanya dalam Majlis Penutup Konvensyen Kelab Doktor Muda Kelima dan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Sihat Doktor Muda Peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Nilai dekat sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kesihatan, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli serta Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesihatan Kementerian Pendidikan, Zainuddin Abas.

Justeru katanya, pihaknya memohon kepada Kementerian Pendidikan sekiranya dapat memberi keistimewaan kepada pelaksanaan Kelab Doktor Muda secara wajib di sekolah.

Tambah beliau, dengan pelaksanaan itu pihaknya percaya hasil jangka panjangnya akan dapat melahirkan generasi yang sihat, apatah lagi murid-murid adalah pewaris negara dan sewajarnya perhatian perlu diberikan terhadap kesihatan mereka sebagaimana matlamat pelaksanaan Kelab Doktor Muda bagi meningkatkan amalan cara hidup sihat.

"Kita melihat bahawa sekolah merupakan tempat yang paling sesuai bagi mempromosikan kesihatan apatah lagi ia merupakan sebuah institusi terurus, tersusun dan mempunyai kemudahan serta sumber yang oleh dikongsi bersama dalam melaksanakan program itu.

"Dengan penglibatan aktif pelbagai peringkat anggota di Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelajaran saya percaya kedua-dua kementerian kelak akan dapat memperkukuhkan lagi perkongsian bestari dan pelaksanaan program ini," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat