Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 10 Aug 2013 10:10 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan FERZALFIE FAUZI Amri Yahyah (dua dari kiri) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol tunggal Malaysia XI menentang Barcelona di Stadium Shah Alam, malam tadi. Barcelona menang 3-1. - AP SHAH ALAM - Ramalan Harimau Malaya bakal diratah teruk oleh kelab gergasi dunia, Barcelona dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam ternyata meleset apabila skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu hanya sekadar tewas 1-3. Dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 45,000 penonton, Cesc Fabregas meletakkan Barcelona di hadapan pada minit ke-33 tetapi Mohd. Amri Yahyah menyamakan kedudukan buat Harimau Malaya tujuh minit kemudian, sebelum bintang Brazil, Neymar kembali meletakkan pelawat di depan pada minit ke-43. Gerard Pique memastikan juara Eropah empat kali itu tidak dimalukan apabila menyumbat gol ketiga pada minit ke-74 untuk mengesahkan kemenangan 3-1. Walaupun tewas, sekalung tahniah buat Harimau Malaya yang menampilkan aksi penuh disiplin dan kekal fokus sepanjang perlawanan, sekali gus menghampakan Barcelona untuk mengulangi jumlah jaringan yang sama ketika mereka membelasah kelab Brazil, Santos 8-0 dan Thailand 7-1, baru-baru ini. Keputusan itu mungkin dilihat meredakan sedikit tekanan buat Rajagobal yang sebelum ini dikritik hebat oleh media dan peminat apabila kalah dalam tiga perlawanan persahabatan di Jepun pada bulan lalu di tangan kelab J-League. Pertahanan negara, Mohd. Aidil Zafuan ternyata menjadi duri dalam daging kepada barisan serangan Barcelona apabila berulang kali dapat mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya selain kekentalan Mohd. Fadhli Mohd. Shas serta Asrarudin Putra Omar yang sentiasa berjaya mengekang gerakan lawan. Namun, penyokong Barcelona yang hadir ke stadium jelas berasa kempunan untuk melihat aksi pemain terbaik dunia, Lionel Messi dalam perlawanan berkenaan apabila dikhabarkan mengalami kecederaan dan Gerardo Martino tidak mahu menurunkan risiko membawa masuk bintang Argentina itu. Hanya aksi Neymar dan Andres Iniesta yang berjaya meraih perhatian para peminat Barcelona yang hadir ke stadium sementara pemain lain dilihat bermain di tahap sederhana termasuk Xavi dan Alexis Sanchez. Selepas 32 minit disekat Harimau Malaya, Barcelona akhirnya membuka tirai jaringan melalui Fabregas yang menanduk masuk hantaran silang Jordi Alba biarpun Khairul Fahmi dapat menepis percubaan tetapi bola tetap bergolek masuk ke dalam gawang. Pun begitu, jaringan tersebut langsung tidak melemahkan semangat anak-anak buah Rajagobal yang tetap memburu gol penyamaan dan pada minit ke-40, Harimau Malaya mengejutkan Barcelona. Dalam situasi yang tidak diduga, hantaran silang S. Kunanlan dari sebelah kiri sekadar disepak lemah Javier Mascherano dan Mohd. Amri Yahyah bijak mengambil kesempatan dengan merembat cantik menewaskan Victor Valdes yang kelihatan terkeluar sedikit daripada posisi. Kegembiraan penonton Malaysia yang bersorak dengan jaringan tersebut bagaimanapun hanya bertahan selama tiga minit apabila Neymar kembali meletakkan Barcelona di hadapan apabila mudah melepasi kawalan Mohd. Aidil Zafuan dan Mohd. Fadhli Shas sebelum menewaskan Khairul Fahmi. Perlawanan sedikit tegang apabila Fabregas dan Wan Zack Wan Haikal bercakaran sesama sendiri dalam kotak penalti negara apabila mereka bertembung sesama sendiri ketika merebut bola walaupun bekas pemain Arsenal itu berada dalam kedudukan ofsaid, mujur dapat ditenangkan oleh Neymar dan pengadil. |
Posted: 10 Aug 2013 10:10 AM PDT Lee Chong Wei mengalahkan Du Pengyu 20-22, 21-12, 21-15 pada aksi separuh akhir di Guangzhou, semalam. - BERNAMA GUANGZHOU - Sudah tiga kali Datuk Lee Chong Wei menangis kerana Lin Dan, dan dia berpeluang menghentikan badi bintang China itu apabila mereka dipertemukan sekali lagi pada perlawanan akhir merebut kejuaraan dunia hari ini. Begitupun jaguh No. 1 dunia itu mendapati, ranjau yang terpaksa dihadapi untuk merangkul kejuaraan dunia pertama di bumi China tidak mudah kerana dia bukan sahaja akan berdepan pemain yang telah banyak kali mengecewakannya, malah mendapati tuan rumah sanggup melakukan apa saja untuk menghalangnya daripada menewaskan Lin Dan. Sudahlah terpaksa bekerja keras untuk menjinakkan bintang muda tuan rumah, Du Pengyu 20-22, 21-12, 21-15 dalam pertarungan sengit 1 jam, 11 minit, malah Chong Wei mendapati dia perlu turun ke gelanggang hampir tujuh jam lebih lewat berbanding Lin Dan. Ketika Chong Wei berhempas pulas untuk menumpaskan pemain No. 3 dunia, Pengyu dan meninggalkan gelanggang pada jam 10.50 malam, Lin Dan yang beraksi pada jam 2 petang mungkin sudah mandi, makan serta berehat. Malah, juara dunia empat kali dan pemilik dua pingat emas Olimpik itu mengharungi laluan lebih mudah di separuh akhir apabila cuma mengambil masa 49 minit untuk menyingkirkan Nguyen Tien Minh dari Vietnam 21-17, 21-15. "Hari ini saya diberi jadual perlawanan kedua terakhir dan menghabiskan saingan sangat lewat, sedangkan esok saya harus bermain awal... Mungkin perlawanan yang pertama. "Ini semua taktikal mereka (tuan rumah), tidak mengapalah saya sudah bersedia. Mereka hendak sangat mengalahkan saya dan saya akan cuba memastikan mereka cuma menang set saja. "Adalah menjadi impian saya untuk menjadi juara dunia dan saya akan melakukan apa sahaja untuk memastikan saya dapat memenangi kejuaraan itu tahun ini. Hari ini, memang saya sangat penat kerana diberi tentangan sengit oleh Pengyu, tetapi esok adalah perlawanan terakhir saya, saya akan yakinkan diri sendiri untuk memberikan aksi terbaik," ujar Chong Wei, yang kalah 21 daripada 30 pertemuannya dengan Lin Dan. Walaupun tuan rumah seakan cuba untuk memberi segala kelebihan kepada Lin Dan yang turun untuk memburu kejuaraan dunia kelima, namun Chong Wei menegaskan, dia tidak akan membenarkan perkara itu menganggu tumpuannya hari ini. Lin Dan, yang kini menduduki ranking ke-286 dunia selepas hampir setahun tidak beraksi adalah orang yang bertanggungjawab memusnahkan impian jaguh No. 1 dunia itu untuk merangkul gelaran Olimpik dunia selama ini selepas mengecewakannya pada final Olimpik 2008 serta 2012, selain dalam pertarungan merebut kejuaraan dunia 2011. Malah, ini adalah percubaan ketujuh Chong Wei untuk bergelar juara dunia buat kali pertama selepas gagal dalam enam percubaan terdahulu, malah ia merupakan final kedua berturut-turut buat bintang perseorangan negara. - MINGGUAN |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |