Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Jambatan runtuh 2 bulan lalu
- Produk penjara Pengkalan Chepa diiktiraf Jakim
- 19 Ogos kempen Jalur Gemilang
Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT Oleh YATIMIN ABDULLAH RAJA Ruzman Raja Bidin menunjukkan jambatan di Kampung Kelar Tok Raja, Pasir Mas, Kelantan yang runtuh dan terbiar sejak dua bulan lalu. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH PASIR MAS 15 Ogos - Lebih 500 penduduk di tiga buah kampung iaitu Kelar Tok Raja, Bemban dan Binjai dekat sini berdepan kesulitan apabila jambatan yang menjadi laluan utama ke bandar Pasir Mas berdekatan Kampung Kelar Tok Raja Runtuh sejak dua bulan lalu. Akibat runtuhan tersebut, penduduk di tiga buah kampung berkenaan terpaksa berulang-alik menggunakan laluan alternatif sejauh tiga kilometer untuk ke jalan utama sebelum ke bandar Pasir Mas. Wakil penduduk, Raja Ruzman Raja Bidin berkata, jambatan berkenaan merupakan laluan utama penduduk di tiga buah kampung berkenaan untuk ke pusat bandar kerana jaraknya dari jalan utama hanya sejauh satu kilometer. Menurutnya, jambatan berusia lebih 30 tahun itu runtuh selepas sebuah lori yang sarat dengan muatan tar melaluinya. "Akibat lebihan muatan, jambatan tersebut tidak mampu menampung beban yang dibawa lori berkenaan mengakibatkan jambatan runtuh. "Sejak jambatan ini runtuh, aktiviti harian penduduk di tiga buah kampung ini terjejas. Jika masalah ini berterusan akan merumitkan aktiviti harian penduduk," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati struktur keseluruhan jambatan yang menjadi penghubung kepada penduduk di tiga buah kampung berkenaan runtuh sepenuhnya dan memerlukan binaan baharu. Jambatan tersebut merupakan laluan utama penduduk selain digunakan untuk membawa keluar hasil tanaman pertanian. Seorang penduduk, Nik Shahrul Azwan Nik Soh, 25, berharap pihak berkenaan dapat membina jambatan baharu bagi memberikan kemudahan kepada penduduk. Katanya, pembinaan jambatan baharu tersebut dijangka memberi lebih manfaat kepada penduduk kampung kerana ia merupakan laluan utama untuk ke Pasir Mas. |
Produk penjara Pengkalan Chepa diiktiraf Jakim Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT ZAWARI Abd. Rashid (kiri) bersama-sama Juruaudit Jabatan Audit Negara Negeri Kelantan dan juga wakil dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan melihat bengkel pastri di Pengkalan Chepa, Kelantan, baru-baru ini. KOTA BHARU 15 Ogos - Usaha penghuni Penjara Pengkalan Chepa kini mendapat pengiktirafan apabila pelbagai produk pastri keluaran mereka menerima sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Lebih 30 produk makanan yang dikeluarkan oleh institusi tersebut termasuk kek lapis Sarawak diakui mengikut piawaian dari segi pengurusan bengkel yang lebih bersih dan teratur. Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Zawari Abd. Rashid berkata, sijil halal tersebut dikeluarkan selepas disahkan oleh Juruaudit Jabatan Audit Negara Negeri Kelantan dan juga wakil dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK). "Sebelum ini, institusi penjara telah mengikuti piawaian yang ditetapkan dan ternyata usaha kami selama ini membuahkan hasil selepas menerima pengiktirafan ini. "Setiap produk yang dikeluarkan dari bengkel pastri ini terjamin kebersihannya dari segala pencemaran mahupun sebarang jangkitan penyakit," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di bengkel pastri Penjara Pengkalan Chepa, di sini baru-baru ini. Yang turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Wan Sani Abdul Latiff. Zawari berkata, pihaknya menerima tempahan pada Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana pengeluaran untuk sambutan perayaan itu sudah dijalankan sejak beberapa minggu lalu. "Kek lapis Sarawak merupakan satu-satunya produk yang paling istimewa dan ia menjadi produk utama di Penjara Pengkalan Chepa selain beberapa produk makanan baru yang dikeluarkan. "Antaranya seperti pulut bakar, pulut panggang, cucur badak, pau kacang, pau sardin, martabak mini, karipap ayam, karipap daging, roti dan donat yang boleh ditempah orang ramai," katanya. Beliau berkata, rata-rata pelatih yang bekerja di bengkel itu mempunyai kemahiran setelah menerima tunjuk ajar sepanjang mereka menjalani pemulihan di sini. Katanya, dengan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan antara RM40,000 hingga RM50,000 setahun, pihak penjara bersedia mengeluarkan pelbagai produk makanan sama ada untuk tempahan mahupun jualan. "Peruntukan tersebut dapat digunakan bagi membeli pelbagai bahan mentah, seperti tepung gandum, telur, marjerin, gula, mentega dan barangan lain seperti jem nenas, coklat masakan, keju, sardin, ayam, serbuk kari dan daging kisar untuk memproses karipap. "Dalam masa sehari, banduan dan lima pegawai penjara yang ditugaskan untuk menguruskan bengkel pastri ini mampu mengeluarkan kira-kira 10 biji kek Sarawak pelbagai perisa, kuih-muih dan puding mengikut tempahan," katanya. Tambah beliau, pihaknya berbangga apabila kebanyakan banduan yang bekerja dalam bengkel pastri itu menunjukkan sikap rajin dan bersedia untuk mempelajari kemahiran membuat pelbagai jenis kek dan kuih-muih. "Ini selaras dengan hasrat Jabatan Penjara Malaysia untuk melahirkan penghuni penjara yang memiliki sekurang-kurangnya satu kemahiran sebagai bekal yang dapat digunakan sebaik sahaja dibebaskan kelak," katanya. |
Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT KUALA TERENGGANU 15 Ogos - Majlis pelancaran sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-56 dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri akan diadakan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam pada petang 19 Ogos ini. Majlis akan diserikan dengan deklamasi puisi Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku diikuti perarakan masuk 56 Jalur Gemilang oleh Pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan menaikkan bendera serta penyerahan bendera Malaysia kepada pegawai-pegawai daerah. Penolong Setiausaha Kerajaan (Kerja Raya dan Pengangkutan), Nasran Abd. Halim berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said akan menyempurnakan pelancaran dan sebagai gimik beliau akan melekatkan Jalur Gemilang dan pelekat Hari Kemerdekaan di kenderaan kerajaan. Sementara itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan mengadakan Majlis Sambutan Kemerdekaan dan Penyerahan Jalur Gemilang Wilayah Ketengah Timur di Balai Orang Ramai Bandar Al-Muktafi Billah Shah di sini pada 18 Ogos ini. Pengurus Informasi, Komunikasi dan Khidmat Pelanggan, Rosli Ngah berkata, program bermula 2 petang itu akan dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud dan Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud. Katanya, dalam majlis itu, akan diadakan acara penyerahan Jalur Gemilang, deklamasi puisi, tarian kebudayaan dan penyampaian cenderamata kepada anak-anak merdeka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |