Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- 711 terima bantuan KADA
- 56 pelajar SMK Cherang Ruku sertai ekspedisi merdeka
- Anjung Ilmu Terengganu lahirkan saintis Islam taraf dunia
Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT Oleh ROSMIZAN RESDI PASIR MAS 27 Ogos - Seramai 711 penanam sayur dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menerima pelbagai bantuan berjumlah sebanyak RM447,820 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Antara bantuan yang diberikan adalah baja kimia, baja cecair, baja organik serta peralatan serta mesin pertanian kecil. Pengerusi KADA yang baharu, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, pemberian insentif itu langkah baharu daripada kementerian bagi membantu meringankan beban penanam sayur di kawasan terbabit. "Bantuan ini diberi kerana memahami kerumitan yang terpaksa dihadapi oleh mereka berikutan kos pengeluaran melibatkan penggunaan baja serta peralatan pertanian yang semakin tinggi," katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian bantuan baja dan peralatan pertanian kepada penanam sayur-sayuran dalam kawasan KADA bagi 2013 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Sepat, Tendong, di sini hari ini. Menurut Md. Alwi, setiap penanam akan menerima jumlah bantuan yang berbeza kerana ia diberi berdasarkan keluasan tanah yang diusahakan. "Bagi pengusaha sayur seluas 0.08 hektar sehingga empat hektar, mereka akan menerima bantuan berjumlah RM400 bagi setiap kawasan bertanam dengan had maksimum sebanyak RM4,000 seorang. "Mereka yang menerima bantuan ini terdiri daripada penanam dari Pasir Mas, Kota Baharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh," katanya. Katanya lagi, antara jenis tanaman sayur-sayuran yang diberikan bantuan adalah cili, sawi, jagung, bayam, terung dan lain-lain. Beliau berkata, bantuan yang diberikan secara sekali ini juga diharap dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh penanam sayur khususnya berskala kecil. "Ini merupakan salah satu usaha kita bagi meningkatkan pengeluaran sayur tempatan serta mengurangkan kadar kebergantungan bekalan sayuran dari negara luar. "Selain itu, program ini juga diharap menggalakkan mereka memperluaskan kawasan penanaman sayur-sayuran bagi meningkatkan pendapatan golongan terbabit," katanya. |
56 pelajar SMK Cherang Ruku sertai ekspedisi merdeka Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT Sekumpulan 56 pelajar SMK Cherang Ruku dilepaskan untuk melakukan kayuhan basikalton sempena sambutan Kemerdekaan negara ke-56 dari Pasir Puteh ke Kem Bari, Terengganu, semalam. PASIR PUTEH 27 Ogos - Seramai 56 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku, dekat sini memulakan ekspedisi berbasikal ke Kem Bari, Terengganu selama dua hari menerusi Program Basikalton Ulang Tahun Kemerdekaan Negara Ke-56. Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu, Nor Khairiyah Khor Abdullah berkata, program yang membabitkan kayuhan sejauh 73.8 kilometer itu turut diiringi skuad bermotosikal guru pengiring yang berpakaian Jalur Gemilang dan anggota cawangan trafik Pasukan Polis Diraja (PDRM) Kelantan dan Terengganu. Menurutnya, perjalanan yang mengambil masa enam jam pergi dan balik itu disertai pelajar-pelajar dari tingkatan yang tidak menduduki peperiksaan utama. "Melalui program ini diharapkan pelajar dapat menghayati dan mencintai negara dengan semangat kental untuk mempertahankan kedaulatan negara," katanya kepada pemberita ketika melepaskan peserta ekspedisi di sekolah itu hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Che Hussin Yaakub. Nor Khairiah Khor berkata, selain menguji keupayaan fizikal ekspedisi itu juga menjadi landasan untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri pelajar terlibat. Beliau berkata, usaha memantapkan rasa kekitaan, kerja berpasukan dan kerjasama sepanjang ekspedisi berlangsung adalah sebahagian daripada pembelajaran di luar bilik darjah. "Beberapa aktiviti sivik dan kenegaraan turut dirancangkan sebagai inti pati untuk meningkatkan jati diri pelajar terbabit sebagai generasi yang mampu mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara pada masa hadapan," katanya. |
Anjung Ilmu Terengganu lahirkan saintis Islam taraf dunia Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT KUALA TERENGGANU 27 Ogos - Kerajaan negeri sedang dalam kajian merealisasikan projek melahirkan kelompok saintis Islam terulung bertaraf dunia daripada kalangan anak negeri lepasan sekolah-sekolah Imtiaz. Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, bagi tujuan itu, tumpuan diberikan kepada mereka yang cemerlang selain keupayaan mereka menghafaz al-Quran bagi memberi makna lebih besar kepada konsep negeri Anjung Ilmu. Beliau memberitahu, berdasarkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan dengan semua A dalam mata pelajaran, para pelajar itu akan dihantar menyambung pengajian ke luar negara di bawah tajaan biasiswa Yayasan Terengganu (YT) sebelum kembali berkhidmat di negeri ini. "Kita sedang dalam proses melahirkan golongan saintis Islam di bawah program Saintis Islam Anjung Ilmu dan kita akan gilap mereka yang dapat semua A serta boleh menghafaz 30 juzuk al-Quran. "Apabila mereka balik dari luar negara (tamat pengajian), mereka akan bekerja dan berkhidmat di negeri ini untuk buat kajian tentang al-Quran, seterusnya membantu kita melahirkan para saintis Islam terkenal seperti Ibnu Sina dan ramai lagi," katanya. Beliau ditemui pemberita dalam majlis Kesyukuran dan Sambutan Aidilfitri DUN Seberang Takir di Dataran Permata Kampung Baru Seberang Takir, dekat sini semalam. Ahmad Razif menjelaskan, kerajaan negeri akan mengadakan perjanjian serta kontrak dengan para pelajar cemerlang itu sebelum mereka melanjutkan pengajian ke luar negara menerusi tajaan biasiswa dan mereka akan terikat dan dikehendaki berkhidmat di Terengganu. Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri berkemungkinan menghantar tiga pelajar setahun ke luar negara dan buat masa ini, sebanyak 10 pelajar dihantar mengikuti pengajian mereka di luar negara setiap tahun di bawah biasiswa Sultan Mizan Zainal Abidin. "Sekarang, pelajar lepasan Sekolah Imtiaz dapat permintaan tinggi di pasaran pekerjaan, maka sudah tiba masa kita ambil mereka bekerja dengan kita, bukan seperti dakwaan kononnya tiada tindakan oleh kerajaan terhadap pelajar lepasan sekolah jenis ini," katanya. Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya masih dalam proses menyedia dan menyiapkan kertas kerja dengan dibantu seorang profesor dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Sebaik diperhalusi, kata beliau, kertas kerja itu akan dibentangkan kepada kerajaan negeri sebelum dilaksana kelak. Dalam masa sama, tambahnya, kepakaran serta khidmat golongan saintis berkenaan juga akan ditempatkan di Pusat Sains Terengganu di Chendering dekat sini, yang kini sudah 70 peratus siap dan pusat itu dijangka siap sepenuhnya tahun depan sebelum mula beroperasi pada 2015. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |