{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Cubaan seludup mercun gagal

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Wan Burhanuddin Yusof (kiri) bersama Wan Mat Wan Yakob (kanan) dan anggotanya menunjukkan mercun dan bunga api yang berjaya dirampas dalam serbuan di Kuala Besar, Kota Bharu, kelmarin. - utusan/ YATIMIN ABDULLAH

TUMPAT 7 Ogos - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pengkalan Kubor menggagalkan cubaan menyeludup mercun bernilai RM100,000 dari negara jiran menggunakan bot galah awal pagi semalam.

Kejayaan tersebut hasil serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota di Kuala Besar kira-kira pukul 3 pagi ini.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Kelantan, Kapten Maritim Wan Burhanuddin Yusof berkata, anggotanya daripada pasukan bot pengawal 13 telah terserempak dengan dua buah bot galah dipercayai milik penyeludup dalam keadaan gelap di perairan itu.

"Ketika operasi berkenaan dijalankan, pemandu bot berjaya melarikan diri dengan sebuah bot lagi di kawasan perairan tersebut.

"Sebuah lagi bot yang sarat dipenuhi dengan kotak-kotak dipercayai mercun dan bunga api ditinggalkan di perairan cetek di Kuala Besar, Kota Bharu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ketua Pangkalan Maritim Pengkalan Kubor, Wan Mat Wan Yakob.

Wan Burhanuddin memberitahu, bot berkenaan yang ditinggalkan, ditunda untuk dibawa balik ke pangkalan untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas bot itu, pihaknya menemukan 35 kotak yang sarat berisi mercun dan bunga api.

"Ini adalah kejayaan kedua Maritim Malaysia mematahkan cubaan seludup mercun dari Thailand. Jumlah rampasan mercun dan bot tersebut dianggarkan bernilai RM100,000," ujarnya.

Menurut beliau, Maritim Malaysia Kelantan akan meningkatkan kawalan di sepanjang perairan persempadanan maritim Malaysia-Thailand sepanjang musim cuti perayaan Aidilfitri ini demi menjaga dan mengawal keselamatan serta kedaulatan negara.

Mangsa mercun masih trauma, enggan keluar rumah

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

Keratan Utusan Malaysia 26 Julai 2013.

PASIR MAS 7 Ogos - "Saya tidak mahu lagi main mercun selepas ini. Jadikan apa yang berlaku kepada saya sebagai pengajaran buat kawan-kawan di luar sana".

Begitu ujar Mohd. Nor Hakim Mohd. Nawi, 11, yang cedera ketika membuat bunga api sendiri dalam kejadian kira pukul 4 petang, 25 Julai lalu di Kampung Padang Embun, dekat sini.

Letupan bunga api berkenaan mengakibatkan Mohd. Nor Hakim hampir buta mata kanannya dan mengalami kecederaan serius di muka.

Anak kesembilan daripada 12 adik beradik itu malah berjanji tidak akan menyentuh lagi mercun pada musim perayaan akan datang.

"Saya dah serik. Disebabkan mercun, saya jadi malu keluar berhari raya bersama rakan-rakan nanti," katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Tambahnya, dia mengakui masih trauma bunyi letupan mercun ditambah pula bila terkenangkan peristiwa berkenaan.

Jika sebelum ini, Mohd. Nor Hakim seorang yang periang dan sering mengikuti bapanya, Mohd. Nawi Wan Sulaiman, 57, ke masjid untuk solat tarawih tetapi kini dia lebih banyak mengisi masa di rumah sahaja.

Disebabkan itu juga, Mohd. Nor Hakim langsung tidak memikirkan tentang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.

Utusan Malaysia 26 Julai lalu melaporkan, pendedahan mengenai bahana bermain mercun sering disiarkan pihak media sepanjang bulan Ramadan namun masih ada yang tidak mengambil iktibar daripada kejadian sebelum ini.

Buktinya, tindakan 'kreatif' seorang kanak-kanak berusia 11 tahun membuat uji kaji dengan memasukkan belerang mercun bola ke dalam botol untuk dijadikan bunga api membawa padah kepadanya.

Belerang yang cuba dimasukkan dalam botol mineral itu tiba-tiba meletup ketika dicucuh, menyebabkan serpihannya terkena muka kanak-kanak itu di Kampung Padang Embun, Tendong, Pasir Mas.

Berikutan kejadian tersebut, Mohd. Nor Hakim murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Bechah Durian hampir buta mata kanannya dan mengalami kecederaan serius di muka.

Sementara itu, ibunya, Ropeah Ibrahim, 48, berkata, anaknya itu sehingga hari ini tidak berani untuk keluar rumah dan masanya banyak dihabiskan dengan berada di dalam bilik seorang diri.

"Apabila ditanya, dia hanya menjawab malu untuk keluar kerana semua orang sudah tahu apa yang berlaku. Lebih-lebih lagi luka yang ada di wajahnya masih belum sembuh sepenuhnya," katanya.

Bantuan wang zakat lebih tinggi tahun ini

Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT

KUALA TERENGGANU 7 Ogos - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperkenalkan kaedah baru pengagihan wang zakat kepada asnaf fakir dan miskin sempena Ramadan tahun ini yang membolehkan mereka secara umumnya mendapat bantuan dengan kadar lebih tinggi.

Melalui pendekatan yang diambil, kaedah bantuan zakat yang mula disalurkan hari ini menetapkan bantuan asas sebanyak RM300 dan pertambahan RM50 bagi setiap tanggungan mereka tanpa had, kepada yang benar-benar berhak menerimanya.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd. Rozali Saleh memberitahu, sebelum ini, Maidam mengagihkan RM350 bagi seorang hingga tiga tanggungan dan RM450 jika lebih tiga tanggungan.

"Pada tahun ini Maidam menyediakan bantuan sempena Ramadan kepada fakir dan miskin khasnya yang berdaftar dengan Maidam serta penerima bantuan lain, seperti program e-Kasih yang melibatkan lebih 6,000 orang," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, seramai 4,382 penerima zakat dari daerah ini menerima bantuan yang diagihkan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing, membabitkan peruntukan RM1.852 juta sepanjang dua hari mulai hari ini.

Mohd. Rozali berkata, pada tahun ini, jumlah ketua isi rumah di seluruh Terengganu yang layak menerima bantuan itu adalah seramai 7,018 dengan 24,162 ahli isi rumah yang melibatkan peruntukan RM2.962 juta.

"Fakir miskin yang ditetapkan oleh Maidam ialah berdasarkan kadar per kapita RM500 seorang pendapatan bulanan yang dikira berdasarkan pendapatan suami atau isteri yang dibahagikan kepada semua bilangan ahli isi rumah.

"Maidam bagaimanapun belum memuktamadkan jumlah keseluruhan penerima bantuan ini memandangkan kita percaya masih ada asnaf fakir dan miskin yang belum mengisi borang dan berdaftar dengan kita untuk siasatan lanjut serta kelulusan apakah bentuk bantuan yang sepatutnya layak mereka diterima," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat