Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Transformasi hidup TegarKEHIDUPAN penyanyi Tegar Septian tidak seperti kebanyakan kanak-kanak lain yang berada di alam persekolahan. Sebaliknya, jadual hariannya lebih banyak dihabiskan di jalanan. Sudah mula menjadi penyanyi jalanan sejak berusia tujuh tahun, semuanya itu terpaksa dilakukan lantaran kehidupan keluarganya yang cukup miskin. Itulah pengorbanan yang cukup besar buat kanak-kanak sepertinya demi mencari sesuap nasi tetapi itu semua tinggal sejarah dan Tegar sekarang bukan seperti yang dahulu lagi. Hari ini namanya sudah meledak gara-gara lagu nyanyiannya iaitu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang semakin popular, bahkan salah sebuah klip video lagu berkenaan sudah ditonton sebanyak 4.9 juta kali di YouTube. Berbekalkan sebuah alat muzik yang dikenali sebagai ukulele yang sentiasa dibawa ke mana-mana sahaja, Tegar menjelajah ke seluruh Indonesia untuk membuat persembahan serta pernah berduet dengan beberapa penyanyi popular termasuk dengan kumpulan Noah, Setia Band dan Delima. Berkesempatan bertemu dengan penyanyi cilik itu dalam rangka promosi albumnya, Tegar Dan Sahabat di Malaysia minggu lalu, tidak dinafikan banyak kisah menarik tentang anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu. "Kalau mendengar lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang, itulah kisah diri saya sepanjang enam tahun menjadi penyanyi jalanan. Semuanya itu terpaksa dilakukan kerana kesempitan hidup. "Sekarang saya amat bersyukur kerana semuanya berubah dan tidak menyangka tindakan seseorang yang telah memuat naik video saya di YouTube ketika menyanyi di jalanan mengubah keseluruhan kehidupan saya," ujar penyanyi kelahiran daerah Indramayu, Indonesia itu. BERBEKALKAN ukulele, Tegar yang dahulu menjaja muziknya di jalanan kini tidak menang tangan memenuhi undangan nyanyian. Cerita Tegar berkenaan kebolehannya dalam nyanyian, dia menyatakan bakat sebagai seorang penyanyi yang dimilikinya itu diwarisi daripada ibunya yang turut bergelar seorang penyanyi jalanan. Ujarnya, pendapatan harian yang diraihnya pula sekitar RM30 sehari dan ia sekadar mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian keluarganya di sebuah kota yang besar. "Biasanya kalau ada duit lebih saya dan rakan-rakan lain gemar ke kafe siber dan sering membuka laman YouTube untuk mendengar lagu. Dengan cara sedemikian ia membantu saya mempelajari lebih banyak lagu untuk dipraktikkan semasa menyanyi di jalanan," ungkapnya. Merasakan hidup sebagai penyanyi jalanan sangat bebas dan menyenangkan, Tegar menyatakan, dia tidak terlepas daripada melakukan perkara negatif akibat kehidupan yang tidak terkawal. Tanpa berselindung menceritakan tentang cara hidup lampaunya, penyanyi berkenaan memberitahu, dia selalu menghisap rokok dan menghidu gam akibat terpengaruh dengan cara kebanyakan penyanyi jalanan di tempatnya itu. "Alhamdulillah, kehidupan saya sekarang ini sudah jauh berubah dan tidak lagi melakukan perbuatan sebegitu. Namun begitu, saya tetap merindui pekerjaan lama, meskipun sudah popular," jelasnya. Bantu keluarga Jika dahulu pendapatannya tidaklah terlalu lumayan kerana terpaksa bersaing dengan penyanyi jalanan lain, kini Tegar boleh berbangga kerana pada usia yang masih muda hidupnya jauh lebih mewah. Ujar Tegar, dia berasa gembira kerana segala yang dilakukannya sekarang telah membantu kewangan keluarga untuk mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna. "Perkara yang paling membanggakan saya sudah tentunya dapat membeli sebuah rumah dan motosikal. Ia memberikan suatu kepuasan tidak terhingga kepada diri saya. "Tidak dinafikan kehidupan saya cukup sibuk memenuhi undangan nyanyian di merata-rata tempat dan adakalanya berasa terlalu penat tetapi demi keluarga saya ketepikan semuanya," ujarnya. Memandangkan dahulu dia terpaksa menjadi penyanyi jalanan sehingga tidak ke sekolah, ia menyebabkan penyanyi cilik itu tidak dapat membaca dan menulis. "Kini pihak pengurusan saya telah mengupah seorang guru untuk mengajar saya di rumah. Disebabkan jadual saya yang padat, sudah tentu langkah sedemikian lebih berkesan berbanding masuk ke sekolah biasa," jelasnya.
Berbakat Kehadiran Tegar ke Malaysia untuk mempromosikan albumnya itu tidak berseorangan, sebaliknya ia turut ditemani pengurus yang merangkap bapa angkatnya iaitu Alfaas Hermansyah. Alfaas berkata, sebagai individu yang bertanggungjawab mengesan bakat dan membawanya ke studio rakaman Harpa Records, dia melihat Tegar seorang penyanyi berbakat besar serta memiliki tarikan sendiri. "Ternyata agak sukar untuk menjaganya dan harus bijak melayan kerenahnya. Semua ini berpunca kerana kehidupannya jalanan yang banyak mempengaruhi dirinya. "Pada usia yang masih kecil dia sudah menghisap rokok dan menghidu gam tetapi tidaklah sampai terjebak dalam najis dadah. Bagaimanapun, semuanya itu sudah ditinggalkannya, malah saya sendiri kurang merokok kerana mahu menunjukkan teladan yang baik," jelasnya. Sepanjang mengenali diri penyanyi cilik itu, Alfaas menerangkan bahawa Tegar seorang kanak-kanak yang mudah dibentuk dan berkeinginan tinggi untuk mengubah dirinya. Ujarnya, kegiatan yang kerap dilakukan iaitu pergi ke kafe siber semasa menjadi penyanyi jalanan dahulu turut membantu kerana dia selalu belajar menyanyi dengan melayari YouTube. "Kalau menyelusuri kehidupan Tegar ini cukup menarik dan disebabkan itu dia bakal terbabit dalam sebuah filem yang menceritakan tentang kehidupannya yang lalu sehingga bergelar penyanyi popular. "Mengikut perancangan dia akan mula menjalani penggambaran pada bulan hadapan, namun semuanya bergantung kepada jadualnya. Berkenaan tajuk pula kami masih belum menetapkannya lagi," jelasnya. | ||
Posted: Afdlin difitnah sudah muflisOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
SEJAK kebelakangan ini terdapat beberapa orang artis seperti Aweera Mojo, Farah AF2 dan Amy Search terpalit dengan kontroversi apabila telah diisytiharkan muflis. Terkini, isu mengenai muflis ini dikaitkan pula dengan seorang lagi artis yang cukup popular iaitu Afdlin Shauki kerana dikatakan gagal membuat bayaran terhadap satu pinjaman yang dibuat dengan sebuah bank. Sewaktu bertemu Afdlin sewaktu rakaman program Liga Lawak Superstar di Hulu Langat baru-baru ini, pemilik syarikat Vision Works (M) Sdn. Bhd. itu kelihatan tidak terkejut ketika diminta memberi komen mengenai perkara tersebut. Mengakui dia sendiri pernah mendengar cerita berkenaan, Afdlin dengan tegas menyatakan, ia adalah fitnah semata-mata yang telah disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kosmo!: Boleh jelaskan tentang dakwaan yang mengatakan Afdlin sudah muflis? AFDLIN: Kalaulah benar saya muflis sekarang ini, sudah tentu tidak ada stesen televisyen seperti TV3 dan Astro memberikan projek kepada syarikat saya untuk menghasilkan program. Untuk memberikan projek kepada sesebuah syarikat, mereka tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan kerana perlu melihat kedudukan terkini syarikat tersebut terlebih dahulu. Jadi, kenapa pula ada yang mendakwa saya sudah muflis. Adakah anda mengetahui pihak mana yang bertanggungjawab membuat dakwaan sedemikian? Seboleh-bolehnya saya tidak mahu memanjangkan isu ini dan beranggapan ia merupakan fitnah yang sangat berat. Biarlah apa yang orang hendak fitnah, saya tetap akan maafkan perbuatan mereka. Saya sekadar ingin memberi peringatan supaya selidik terlebih dahulu sesuatu perkara itu sebelum membuat dakwaan. Sekiranya tidak benar sudah tentulah ia satu fitnah dan dosanya sangat besar. Pada pandangan anda, bagaimanakah isu muflis ini boleh timbul? Saya akui sehingga kini masih lagi berhutang dengan SME Bank setelah membuat pinjaman ketika menghasilkan filem Los & Faun pada tahun 2008. Lagipun ia merupakan perkara biasa kerana memang ramai penerbit lain yang turut meminjam dengan bank berkenaan. Bagaimanapun, hutang tersebut masih lagi belum dapat dilangsaikan sepenuhnya tetapi proses bayaran masih terus dibuat dan rekod syarikat saya dengan bank masih baik.
Bagaimanakah reaksi anda ketika mendapat tahu ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan cerita tersebut? Saya tidaklah berasa terlalu terkejut sangat, meskipun ada beberapa rakan yang bertanya. Bagi saya, kalau kita melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan ikhlas dan jujur, semuanya akan selamat dan tiada apa yang perlu dirisaukan. Selain dakwaan sudah muflis, anda juga telah terpalit dengan isu mengenai projek iklan sempena Hari Kemerdekaan terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dengan peruntukan sebanyak RM450,000. Namun begitu, ada segelintir pihak tidak berpuas hati dan mengatakan iklan berkenaan tidak berkualiti. Apakah penjelasan anda mengenainya? Pertama sekali syarikat saya diberikan projek iklan itu kira-kira tiga minggu sebelum ditayangkan dan ia merupakan satu tempoh yang sangat singkat tetapi saya tetap berusaha untuk menghasilkan yang terbaik. Berkenaan peruntukan sebanyak RM450,000 pula, ia sebenarnya satu jumlah yang kecil. Kalau ada yang mahu mempertikaikannya, saya sedia untuk diaudit dan akan memberikan segala bukti tentang perbelanjaan sepanjang menghasilkan iklan berkenaan. Adakah anda mendapat keuntungan yang besar dengan melaksanakan projek berkenaan? Pasti ramai yang menyangka saya meraih pulangan yang lumayan, sedangkan hakikatnya saya terpaksa menanggung kerugian apabila kos meningkat kerana keadaan cuaca yang tidak menentu semasa penggambaran dan tempoh yang singkat. | ||
Konsert Dance Effect sasar kumpul RM100,000 Posted: Konsert Dance Effect sasar kumpul RM100,000Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
SIAPA sangka menari pun mampu mengumpul dana sehingga RM100,000 tapi itu hakikatnya, Konsert Dance Effect yang bakal diadakan buat pertama kali pada hari ini sudah hampir berjaya mencapai kutipan dana sebanyak itu. Menurut Pengasas Girl Effect, Apshy Vimal dan Aishy Vimal, sele- pas kejayaan besar mengumpulkan dana sebanyak RM10,000 pada tahun 2011 melalui empat siri flash mob di beberapa buah pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur, pasangan adik-beradik itu menyasarkan untuk mengumpul dana lebih besar. Kata Apshy, dana sebanyak RM100,000 yang disasarkan untuk dikumpulkan tahun ini menerusi Konsert Dance Effect akan disalurkan ke tiga buah organisasi yang terpilih iaitu IQ70Plus, Fugee School dan Children's Wish Socie- ty of Malaysia. "Inspirasi datang kepada kami untuk mengadakan konsert ini apabila melihat faktor kemiskinan menjadi isu utama masa kini, sepatutnya semua wanita layak mendapat hidup yang adil," katanya yang ditemui ketika sesi ramah mesra di Tropicana City Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Cabaran Tambah Aishy, RM90,000 telah berjaya dikumpulkan dalam tempoh kurang daripada enam bulan dan menyasarkan mampu mencapai kutipan lebih memberangsangkan pada malam Konsert Dance Effect. Konsert Dance Effect akan menampilkan 10 buah tarian berbeza daripada beberapa koreografer terkenal antaranya Shirena Hamzah, Clara Lim, CynDee Too dan Datuk Ramli Ibrahim. Antara tarian yang akan dipersembahkan pula merangkumi tarian balet, tap, Hawaii, India, moden dan kontemporari. Aishy dan Apshy dalam pada itu merupakan duta remaja Friends to Mankind iaitu sebuah pertubuhan kemanusiaan bukan kerajaan anta- rabangsa yang berpangkalan di Kanada. SERINDA telah mengenali pengasas Girl Effect yang merupakan pasangan adik-beradik, Apshy dan Aishy (kiri) sejak lima tahun lalu. Pasangan adik-beradik itu mengakui yang mereka berdepan kesukaran pada mulanya untuk mendapatkan sokongan daripada orang awam dan melihat usaha mereka mengumpul dana sebanyak RM100,000 adalah sia-sia. "Bagaimanapun, kami tidak mahu ketakutan itu mengganggu tumpuan kami, sekali gus menye- babkan kami berhenti melakukan perkara yang kami suka. "Mungkin cabaran terbesar bagi kami adalah menyusun langkah untuk menggerakkan acara. Kami perlukan tempoh masa yang panjang untuk mendapatkan penaja tapi apabila ia bermula, semuanya berjalan lancar," ujar Aishy. Menarik mengenai acara terbesar anjuran Girl Effect tahun ini, sele- briti terkenal Hollywood, Serinda Swan secara sukarela menyertai Konsert Dance Effect sebagai tanda sokongan tidak berbelah bagi untuk organisasi itu. "Serinda Swan merupakan salah seorang pengasas Friends to Mankind dan dia dimaklumkan menge- nai acara ini menerusi organisasi tersebut. Dia bersemangat untuk membantu golongan remaja dan dia sendiri yang sukarela untuk datang ke Malaysia mempromosi- kan konsert ini," ujar Apshy. Sokongan Sementara itu, kata Serinda, projek Konsert Dance Effect sangat istimewa baginya kerana mesej kesedaran yang cuba disampaikan kepada masyarakat berbeza daripada pembabitannya sebelum ini. "Saya suka apa yang pertubuhan Girl Effect lakukan dan mesej yang disampaikan menerusi konsert ini sangat menarik. Saya fikir mereka mampu meraih kesedaran kepada masyarakat terhadap langkah yang mereka lakukan. "Keduanya, saya mengenali Apshy dan Aishy selama lima tahun dan mereka mempunyai cita- cita tinggi, apa saja yang mereka lakukan saya pasti akan sokong," kata Serinda. Konsert Dance Effect akan berlangsung di Black Box Publika, Solaris Dutamas bermula pukul 6 petang hingga 10 malam ini. Maklumat lanjut di www. friendstomankind.org dan www. facebook.com/friendstomankind atau hubungi talian 012-334 6320. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |