Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Ceroboh rumah, geledah makanan
- 58,335 calon duduki UPSR di Johor
- Jadikan kes dera, kekejaman terhadap kanak-kanak iktibar
Ceroboh rumah, geledah makanan Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT Oleh ZULHISHAM ISAHAK MONYET liar yang kerap mengganggu penduduk memanjat bumbung sebuah rumah di Lorong Haji Othman, Jalan Junid, Muar, semalam. MUAR 10 Sept. - Jika sebelum ini kawasan kampung sering menjadi sasaran monyet liar yang mengganggu ketenteraman penduduk, namun agak pelik apabila masalah itu turut menghantui kira-kira 30 penduduk di Lorong Haji Othman, Jalan Junid, di bandar ini. Penduduk mendakwa gangguan tersebut telah berlarutan lebih 50 tahun lalu dan semakin serius sejak kebelakangan ini selepas kumpulan monyet liar itu 'menyerang' rumah mereka tanpa mengira waktu. Penduduk, Abd. Rahman Osman, 69, berkata, kehadiran monyet ke kawasan itu semakin banyak selepas hutan berdekatan yang dipercayai menjadi habitat binatang tersebut diteroka. Menurutnya, sejak itu kumpulan monyet berkenaan sering berkeliaran dan memanjat bumbung rumah, selain turut melakukan kerosakan kediaman mereka. "Binatang ini datang dalam jumlah yang banyak melebihi 20 ekor membuatkan penduduk terutama kanak-kanak takut kerana terdapat antara monyet itu agak agresif. "Jika ada tingkap atau pintu yang terbuka, pasti monyet-monyet ini akan menceroboh dan menggeledah makanan di atas meja," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Abd. Rahman memberitahu, kumpulan monyet itu kerap datang ke rumah penduduk pada waktu pagi dan petang terutamanya apabila terbau masakan. Menurutnya, kumpulan monyet tersebut yang kelaparan turut menyelongkar tong sampah berhampiran jika tidak dapat masuk ke dalam rumah penduduk. "Saya pernah cedera ringan pada tangan kerana diserang seekor monyet yang menyangka saya mahu ambil anaknya yang baru dilahirkan," katanya. Sehubungan itu, dia sering menasihati dua cucunya yang berusia tiga dan lima tahun supaya tidak berada di luar rumah jika terdapat kumpulan monyet berhampiran kawasan rumah. "Penduduk sudah buntu untuk mengatasi masalah tersebut dan pernah membuat aduan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan selanjutnya, tetapi masalah itu tetap berlaku," katanya. |
58,335 calon duduki UPSR di Johor Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT MURID-MURID tahun enam Sekolah Kebangsaan Kompleks Uda mengaminkan doa sebelum masuk ke dewan peperiksaan pada hari pertama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah di Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI JOHOR BAHRU 10 Sept. - Sebanyak 58,335 calon menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari 906 buah sekolah kerajaan dan swasta di negeri ini bermula hari ini. Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Nor A Ghani berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 37,854 merupakan calon Sekolah Kebangsaan (SK), 17,424 calon Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) manakala 2,454 adalah calon Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan 603 adalah calon sekolah swasta. "Jumlah calon UPSR tahun ini kurang sedikit berbanding keseluruhan 64,973 calon pada tahun lalu melibatkan 967 buah pusat peperiksaan. "Sebanyak 5,852 petugas iaitu terdiri daripada 70 Penyelia Kawasan, 960 Ketua Pengawas, 960 Timbalan Ketua Pengawas, 2,802 pengawas peperiksaan dan 960 Pengemas Bilik akan mengendalikan peperiksaan selama tiga hari ini," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini. Mohd. Noor berkata, bagi menghadapi sebarang kemungkinan kepada calon semasa peperiksaan, pihak jabatan melantik 21 Ketua Pengawas yang akan bertugas di 21 buah hospital kerajaan dan swasta jika tenaga mereka diperlukan untuk mengendalikan peperiksaan di hospital. Tambahnya, bagi calon yang terdiri daripada golongan istimewa seperti buta, rabun, pekak, bisu, terencat akal dan sebagainya, mereka menerima pelbagai kemudahan semasa menduduki peperiksaan berkenaan seperti tambahan masa, soalan braille, kertas soalan cetakan besar, soalan moderasi (calon pekak), menggunakan komputer, pemindah tulis dan bilik berasingan. Menurutnya, Jabatan Pendidikan juga telah mengambil langkah rapi bagi menghadapi kes-kes di luar jangka semasa peperiksaan seperti banjir, wabak dan sebagainya dengan mengadakan bilik khas dan prosedur yang tersusun. "Kita juga telah membuat persediaan untuk menghadapi banjir sekiranya berlaku dengan mengeluarkan surat dan pekeliling bil 1/2001 (Operasi Payung) kepada semua guru besar dan Pejabat Pendidikan Daerah. "Pihak jabatan juga mendapat kerjasama rapat daripada badan kerajaan yang terlibat secara langsung seperti Jawatankuasa Banjir Tempatan, Jabatan Keselamatan negeri, polis serta bomba dan penyelamat," katanya. Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kompleks UDA, Noorsihah Derwish berkata, sebanyak 150 calon sekolah tersebut menduduki UPSR tahun ini berbanding 163 orang tahun lalu. "Pada UPSR tahun lalu, sebanyak 32 calon berjaya memperoleh 5A dan tahun ini kami sasarkan sebanyak 50 orang," katanya. |
Jadikan kes dera, kekejaman terhadap kanak-kanak iktibar Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT SEGAMAT 10 Sept. - Masyarakat disaran menjadikan kes penderaan dan kekejaman terhadap kanak-kanak yang pernah berlaku di negara ini sebagai iktibar agar kejadian sedemikian tidak berulang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, masyarakat setempat, ibu bapa dan penjaga harus sentiasa menjadi pelindung kepada kana-kanak, bukannya menganiaya mereka yang memerlukan kasih sayang. "Saya percaya beberapa kisah yang tragis membabitkan kanak-kanak seperti peristiwa adik Nurin Jazlin masih berbekas di hati rakyat kerana dua kanak-kanak tersebut yang tidak bersalah diperlakukan secara kejam oleh insan yang tidak berperikemanusiaan. "Sebagai seorang ibu, saya juga amat terkesan dan kecewa atas kejadian tersebut dan peristiwa seperti ini sepatutnya memberi kesedaran agar masyarakat membuka mata dan lebih peka terhadap keselamatan kanak- kanak," katanya semasa merasmikan Forum Keselamatan Kanak- Kanak: Isu Semasa Berkaitan Kanak-Kanak/ Remaja, Di Mana Penyelesaiannya di Balai Raya Taman Suria, Buloh Kasap, di sini kelmarin. Forum anjuran bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, JKM daerah, Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Daerah Segamat dan Ahli Jawatankuasa Penduduk Taman Suria, Buloh Kasap menampilkan ahli panel daripada tiga agensi iaitu hospital, polis dan ahli kaunseling. Yang turut hadir, Timbalan Pengarah 1 JKM negeri, Datuk Daud Arbah dan Pegawai JKM Daerah Segamat, Ansharey Matarsad. Norshida berkata, semua anak-anak perlu dididik untuk mempertahan dan melindungi diri mereka melalui didikan yang bermula dari rumah dengan ibu bapa memainkan peranan supaya mereka lebih waspada terhadap individu yang tidak dikenali. "Di peringkat sekolah pula, pendidikan keselamatan seharusnya diperhebatkan lagi dengan memberi pendedahan terhadap situasi yang boleh mengundang bahaya dan sebagainya," katanya sambil meminta supaya peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 diperketatkan agar pelaku jenayah kanak-kanak menerima hukuman yang berat. Selain itu, keganasan rumah tangga, aktiviti pemerdagangan manusia, penculikan dan pembunuhan adalah kegiatan yang perlu diperhatikan oleh pihak keselamatan dengan serius dan bertekad untuk membanterasnya. "Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk terlibat secara total dalam pembangunan masyarakat, khususnya dalam melindungi kanak-kanak," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |