Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 08 Sep 2013 06:30 AM PDT JIAN Yang bersama sebahagian daripada koleksi patung miliknya. SIAPA sangka di sebalik rekaan rumah yang moden dengan hiasan yang sederhana, lantai ruang tamu rumah tersebut berwarna merah jambu terang dan tersusun rapi lebih 6,000 koleksi patung Barbie pada rak di dinding. Koleksi patung Barbie dan lebih 3,000 patung lain mendominasi tiga bahagian dinding ruang tersebut serta bilik tidur dan ruang kerjanya. Menakjubkan, ia bukanlah koleksi seorang wanita, tetapi lelaki yang berusia 33 tahun dari Singapura yang langsung tidak menunjukkan ciri-ciri lelaki lembut. Tegas Jian Yang, dia adalah lelaki normal. Cuma hobinya sejak kecil itu memang lain dari yang lain dan akuinya ia sering membuatkan bekas teman wanitanya tidak yakin dengan diri sendiri. "Bekas-bekas teman wanita saya sering berasa kurang berkeyakinan dengan koleksi saya kerana ia umpama persaingan untuk mereka," ujarnya yang menghabiskan S$500,000 (RM1.2 juta) sejak 20 tahun untuk koleksinya. Ceritanya, minatnya terhadap patung bermula ketika dia berusia 13 tahun selepas dia membeli patung Barbie model Great Shape, patung Barbie memakai baju senaman berwarna firus dengan pemanas kaki yang berjalur-jalur. Ketika itu, dia sering menonton iklan patung Barbie di televisyen dan menyukainya dan membelinya apabila mula mendapat elaun daripada ibu bapa. Selain patung Barbie, Jian Yang turut mengumpul patung Bratz Girls, Monster High and Jem dan Holograms Lines. Koleksi paling tua miliknya merupakan patung Barbie tahun 1960-an iaitu patung jururawat yang memakai cermin mata. Dia turut menggemari patung Barbie edisi terhad yang menggayakan pakaian kebangsaan serta orang-orang ternama seperti Grace Kelly, Barbra Streisand, Carol Burnett dan Elizabeth Taylor. Di dalam rak ruang tamunya, Osama Laden sedang berkongsi minuman dengan Saddam Hussein, sambil dilihat ahli sihir jahat daripada fiksyen Sleeping Beauty, Jackie Onassis dan Puteri Diana. Di dalam rak satu lagi, terdapat patung Elvis Presley, Sean Connery sebagai James Bond dan karakter dari filem Harry Potter serta Star Trek tersusun rapi. Hobi uniknya itu disokong rakan-rakan dan keluarga yang turut sering menghadiahkan patung kepadanya. |
Posted: 08 Sep 2013 06:30 AM PDT Susunan MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN FOTO bertarikh 1 Mac 2012 menunjukkan staf Zoo Surabaya merawat zirafah bernama Kliwon. Haiwan tersebut mati akibat kebuluran kira-kira setahun kemudian dengan 20 kilogram plastik ditemui dalam perutnya. - AGENSI ZOO sepatutnya menjadi 'syurga' bagi haiwan yang diancam kepupusan ekoran pemodenan dan pembangunan dunia dengan mendapat perlindungan serta diberi makan dan penjagaan secukupnya. Selain itu, zoo menjadi tarikan bagi pengunjung terutamanya yang sudah berkeluarga untuk meluangkan masa membawa anak-anak mengenali spesies-spesies unik dan sukar ditemui. Namun, lain pula Zoo Surabaya yang terletak di Jawa Timur apabila pendedahan mengejutkan media sejak beberapa tahun lalu mendapati kehidupan kebanyakan haiwan di pusat pemuliharaan dan pemeliharaan tersebut tidak ubah seperti tinggal di dalam 'neraka.' Mana tidaknya, kebanyakan haiwan di zoo terbesar di Indonesia itu mengalami kebuluran ekoran tidak diberi makan secukupnya kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh pihak pengurusan. Malah, keadaan Zoo Surabaya juga sangat menyedihkan dan menjengkelkan mata pelawat yang mahu melihat aksi menarik haiwan seperti harimau, gajah, kuda, zirafah dan binatang lain yang ditempatkan di situ. Spesies harimau Malaya dan singa Afrika yang sepatutnya mencapai berat purata antara 100 kilogram (kg) hingga 120 kg bagi kategori dewasa, hanya mempunyai berat tidak sampai 50 kg akibat tidak diberi makan secukupnya. Keadaan fizikal dua haiwan tersebut sangat menyentuh hati kerana terlalu kurus dan tidak bermaya sehingga menampakkan bentuk tulang badan. Dalam kes lain yang lebih mengejutkan beberapa tahun lalu, penjaga zoo menemui sekurang-kurangnya 25 butir batu di dalam perut seekor buaya yang mati akibat kelaparan dan dipercayai memakan batu berkenaan. Ada dakwaan mengatakan antara punca masalah kekurangan makanan disebabkan tindakan pekerja zoo membawa pulang atau menjual makanan haiwan di zoo itu. Krisis kewangan yang dihadapi pihak zoo didedahkan media sejak beberapa tahun lalu apabila sebanyak 250 binatang mati dalam tempoh setahun. Selain kekurangan makanan, pihak zoo juga didapati tidak menyediakan kemudahan sepatutnya seperti pusat veterinar dan tempat tinggal sesuai untuk haiwan di situ. Ekoran itu, banyak kes haiwan mati tidak dirawat dilaporkan termasuk seekor gajah betina yang mati pada Julai lalu akibat kecederaan di lutut. Dianggarkan 25 haiwan mati setiap bulan, kebanyakannya akibat masalah paru-paru, dehidrasi yang disebabkan oleh cirit-birit dan kekurangan zat makanan, selain masalah persekitaran kotor, kekurangan makanan berkhasiat dan zoo yang sesak. Kisah penderitaan haiwan di Zoo Surabaya mendapat kumpulan aktivis pencinta haiwan yang menyuarakan keprihatinan mereka dengan melancarkan kempen bagi menyelamatkan semua haiwan di zoo berkenaan. Mereka melancarkan petisyen menerusi laman web http://preciousjules1985.wordpress.com/tag/surabaya-zoo/ bagi mendesak kerajaan Indonesia memaksa pihak berkuasa mengambil langkah menutup zoo tersebut dan memindahkan haiwan ke pusat penjagaan lain yang lebih baik. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |