Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
Masalah lif rosak tidak selesai Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT Oleh AZIAN AZIZ Penduduk mengadakan tunjuk perasaan tidak puas hati mereka terhadap pihak JMB dan agensi kerajaan negeri Selangor berhubung masalah lif rosak yang masih belum diselesaikan di Pangsapuri Taman Permai, Pandamaran Jaya di Klang, Selangor semalam. - Utusan/Mohd. Shaharani Saibi PELABUHAN KLANG 22 Sept. - Penduduk Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran Jaya di sini buntu apabila masalah kerosakan lif di empat blok bangunan yang menempatkan kira-kira 2,000 penghuni itu masih tidak selesai walaupun pelbagai aduan telah dibuat kepada pihak bertanggungjawab sejak 2008. Malah dakwaan kehilangan peruntukan sebanyak RM600,000 untuk membaik pulih sistem lif di pangsapuri 11 tingkat yang mempunyai 524 unit rumah itu juga masih belum diambil tindakan. Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM), A. Prakash, 41, yang juga wakil penduduk mendakwa, sehingga kini, mereka telah membuat aduan mengenai masalah itu kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerajaan negeri, pihak istana, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bagaimanapun, dakwa beliau, penduduk mula buntu dan putus harap apabila tiada tindakan diambil dan masalah kerosakan lif yang mereka hadapi masih tidak selesai. Selain itu, kata beliau, mereka terpaksa berhadapan dengan masalah lain antaranya keretakan bangunan yang menyebabkan penduduk terlibat sentiasa rasa tidak selamat. "Kami juga sedih kerana seorang pemimpin tempatan memberikan pelbagai alasan bila diajak datang untuk mendengar masalah rakyat hari ini. Kami rasa putus asa dan tidak tahu di mana lagi hendak meminta pertolongan," dakwa beliau dalam satu pertemuan bersama lebih 50 penduduk di sini hari ini. Laporan Utusan Malaysia pada 13 Jun lalu menyebut, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak lagi menanggung 100 peratus kos membaik pulih kemudahan lif di tiga buah pangsapuri di sekitar negeri ini yang didapati rosak akibat perbuatan vandalisme meskipun telah dibaiki dengan kos hampir RM1.63 juta sejak 2010. Antaranya kerja-kerja membaiki lapan buah lif Pangsapuri Taman Permai Indah yang telah dimulakan pada 22 Mac 2010 dengan peruntukan sebanyak RM600,000. Bagaimanapun, sekumpulan penduduk Pangsapuri Taman Permai Indah telah membuat aduan kepada kerajaan negeri kerana tiada sebarang tindakan membaik pulih lif dilakukan di pangsapuri mereka dan mendakwa peruntukan yang disediakan untuk tujuan itu telah hilang. Mereka juga telah menghantar memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafudddin Idris Shah setelah segala aduan dan laporan akhbar mengenai dakwaan kehilangan peruntukan RM600,000 itu tidak diendahkan oleh kerajaan negeri pada 19 Jun lalu. Dalam pada itu, Prakash berkata, para penduduk juga tidak berpuas hati dengan cara pelantikan ahli Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang tidak mengikut prosedur. Beliau mendakwa, pihak JMB juga melakukan tugas mereka secara sambil lewa antaranya tidak melantik pekerja yang pakar untuk membaiki lif sehingga lif yang baru berfungsi kembali rosak tidak sampai beberapa jam. "Setiap blok mempunyai dua buah lif tetapi hanya satu sahaja berfungsi, itu pun kerap rosak. Bagaimana jika ada kecemasan seperti ibu ingin melahirkan, kebakaran dan sebagainya. Penduduk juga tidak larat mendaki tangga setiap hari. "Jika masalah ini tiada penghujungnya, kami bercadang untuk menubuhkan persatuan baru bagi mengambil alih tugas JMB sedia ada," ujar beliau lagi. |
Laluan khas berkabel untuk pengguna basikal Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT Ahmad Phesal Talib (dua dari kanan) dan Naim Mohamad (tengah) mengetuai acara mengayuh basikal sebagai simbolik pelancaran sambutan Hari Bebas Kenderaan Peringkat Kuala Lumpur di perkarangan Stesen LRT Dang Wangi, Jalan Ampang, di ibu negara semalam. KUALA LUMPUR 22 Sept. - Usaha untuk menjadikan ibu kota sebagai bandar raya yang mesra pengguna basikal akan memasuki fasa baru dengan pengwujudan laluan khas berkabel untuk mereka di jalan-jalan utama menjelang tahun depan. Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya akan berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai perkara tersebut dalam usaha untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kota. "DBKL masih di peringkat merancang dan kami akan membawa usul berkenaan kepada TNB tidak lama lagi untuk dibincangkan bersama-sama. Kawasan dan laluan-laluan masih belum ditentukan lagi tetapi DBKL sedang dalam proses melengkapkan cadangan tersebut," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Bebas Kenderaan Sedunia peringkat Kuala Lumpur di perkarangan Stesen LRT Dang Wangi di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad. Terdahulu, sambutan Hari Bebas Kenderaan Sedunia 2013 yang julung kalinya dianjurkan oleh PKBM bersama DBKL mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 1,000 peserta yang berjalan kaki, berlari serta berbasikal sejauh 5.5 kilometer. Laluan yang digunakan untuk acara tersebut bermula dari Jalan Ampang (di hadapan Stesen LRT Dang Wangi), melalui Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi dan tamat di Jalan Ampang. Menurut Ahmad Phesal, usaha mewujudkan laluan basikal berkabel itu diharap dapat meniup semangat warga kota untuk memanfaatkan kemudahan tersebut sekali gus mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian di ibu kota. "Kita tahu banyak trek basikal yang dibina tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya atas faktor keselamatan seperti kawasan yang tidak berlampu terutamanya pada waktu malam dan sebagainya. "Oleh itu, dengan cadangan baharu bagi mewujudkan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat, kita akan menambah baik infrastruktur ini secepat mungkin," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |