Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT Oleh FAIZAH IZZANI G. Palanivel (tengah) mengangkat tangan bersama Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (kanan) dan Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan sejurus diumumkan Presiden MIC di Wisma MIC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Rabban Jamian (Pelatih UiTM) KUALA LUMPUR 1 Sept. - Datuk Seri G. Palanivel kekal sebagai Presiden MIC apabila menang tanpa bertanding pada pemilihan Presiden parti itu yang diadakan di sini hari ini. Selepas pencalonan ditutup tepat pukul 12 tengah hari, Palanivel diumumkan memenangi jawatan itu dengan mendapat 617 pencalonan daripada peringkat bahagian parti. Hanya 50 pencalonan diperlukan oleh seseorang untuk melayakkannya bertanding jawatan Presiden MIC. Palanivel yang menyertai MIC pada 1968 turut menerima 3,702 atau 96 peratus pencalonan daripada peringkat cawangan parti itu di seluruh negara. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Presiden MIC, Tan Sri K. Kumaran ketika mengumumkan keputusan itu berkata, Palanivel akan memegang jawatan Presiden parti untuk tempoh tiga tahun sehingga 2016 atau sehingga pemilihan Presiden akan datang diadakan. Palanivel, yang mengambil alih pucuk pimpinan parti selepas bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berundur sebagai presiden parti pada 2010. Sementara itu, Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam sidang akhbar selepas itu berkata, beliau menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu petanda baik bagi parti dan kaum India di negara ini. Katanya, beliau akan bekerja keras selama tiga tahun ini bagi membangunkan aspek ekonomi, sosial dan pendidikan masyarakat India selain terus memperkukuhkan kedudukan parti bagi membantu Barisan Nasional (BN). Saya juga berazam untuk memperkukuhkan parti terutama dari segi kewangan serta memperbanyakkan keahlian MIC. Kita akan rekrut lebih ramai ahli, sekurang-kurangnya 600 orang setahun," katanya. Ditanya mengenai barisan kepimpinan MIC, Palanivel berkata, perkara itu akan diketahui sepenuhnya semasa pemilihan parti pada November nanti. Katanya, beliau akan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti dan Kumaran sebagai timbalan pada pemilihan itu nanti. Pemilihan bagi jawatan peringkat pusat yang lain iaitu Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pula akan diadakan pada November ini. Seramai 1,500 perwakilan peringkat bahagian MIC seluruh negara akan memilih barisan kepimpinan tersebut nanti. |
MIC bidas DAP politikkan tanah sekolah Tamil Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT IPOH 1 Sept. - Setiausaha Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, C. Sivarraajh membidas DAP kerana mempolitikkan pemberian tanah seluas 809 hektar oleh kerajaan negeri untuk pembangunan 134 sekolah Tamil di negeri itu. Beliau berkata, tuduhan oleh Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham dan Timbalannya, A. Sivanesan kononnya tanah tersebut diserahkan kepada kroni dan mereka yang tidak mempunyai kepentingan dalam pembangunan kaum India adalah tidak benar sama sekali. Menurutnya, Yayasan Pembangunan Pendidikan India Perak yang diberikan tanggungjawab menguruskan tanah tersebut dianggotai mereka yang berpengalaman serta mempunyai kepentingan dalam pendidikan kaum India di negeri ini dan diiktiraf oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. "Pengerusi yayasan itu, S. Muniandy adalah Pengerusi Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Tamil Perak. Apa yang melucukan Sivanesan yang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai selama dua penggal, kata, beliau tidak kenal Muniandy. "Ini menunjukkan pemimpin DAP tidak mengambil berat atau tahu mengenai pembangunan kaum India di Perak. Mereka hanya mementingkan politik tohmahan dan kritik bagi mengaut laba politik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Kelmarin, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir membuat pengumuman secara rasmi bahawa tanah tersebut diserahkan kepada Yayasan Pembangunan Pendidikan India Perak yang dianggotai oleh lapan individu yang dihormati dalam kalangan masyarakat India. Pengumuman tersebut sekali gus menamatkan polemik mengenai siapa yang bakal menguruskan tanah itu yang telah berlarutan sejak 2009 sehingga tidak dibangunkan sehingga sekarang. Mengulas lanjut, Sivarraajh berkata, isu tersebut tidak sepatutnya dipolitikkan kerana polemik yang berpanjangan hanya akan merugikan kaum India di negeri itu. "Peruntukan tanah untuk pembangunan sekolah merupakan salah satu cara yang paling penting dalam memastikan sekolah pelbagai aliran dapat berdiri sendiri tanpa mengharapkan sangat dana daripada kerajaan negeri," katanya. Menurut beliau, semasa 11 bulan memerintah negeri ini, pembangkang hanya memberi tanah untuk pembangunan sekolah persendirian Cina tetapi tidak kepada sekolah Tamil. "Saya percaya inilah bezanya antara pemimpin yang mementingkan rakyat dengan pemimpin mementingkan survival politik mereka," katanya. Sehubungan itu, beliau meminta Koo Ham dan Sivanesan supaya memohon maaf kepada Menteri Besar dan kaum India kerana tindakan yang mengelirukan serta fakta salah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |