{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Membantu kelas pertengahan

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

Oleh Khairuddin Mohd. Zain

Pengumuman kenaikan harga minyak sebanyak RM0.20 mendatangkan reaksi yang cukup pelbagai di dalam media baru. Ada yang menggunakan unsur jenaka. Ada juga yang mengambil pendekatan propaganda, meletakkan tanda 'Terima Kasih' di stesen minyak tertentu. Masing-masing punya hak untuk menyatakan pandangan dan pendirian.

Sementara banyak yang menyatakan rasa tidak puas hati, ada juga yang merasakan ia tindakan yang masih boleh diterima akal. Soalnya, proses mencari titik persetujuan dalam isu yang sepanas ini dirasakan cukup sukar.

Satu tajuk status seorang sahabat penulis cukup menarik perhatian. Sebagai profesional muda, dia menyuarakan pandangan sama ada kerajaan benar-benar memikirkan kaedah untuk memberikan sedikit perhatian kepada nasib kelompok 'pertengahan', yang ditekan bukan sahaja dengan cukai, malah kos sara hidup yang tinggi.

Rasional mudah 'kami bayar cukai; orang lain yang menerima nikmat' itu mungkin perlu diperhalusi dalam konteks tanggungjawab 'bernegara' yang lebih besar.

Sebenarnya, perdebatan keperluan menjaga 'hati dan perasaan' kumpulan pertengahan ini bukan sahaja berlaku di negara kita. Ia juga turut menjadi mauduk perbincangan ekonomi penting di banyak negara, sama ada dalam status membangun mahupun maju.

Malaysia mungkin memerlukan satu bentuk kajian menyeluruh bagi mengenali demografi kumpulan pertengahan ini. Apa asas yang perlu kita guna pakai? Pendapatan? Tahap pendidikan? Milikan hartanah? Atau kita memerlukan garis ukur yang lebih holistik.

Hanya dengan data, angka dan statistik yang jelas, mampu kita menjana polisi awam yang inklusif dan tidak semberono. Berapa besar kelompok yang dikatakan sebagai 'golongan pertengahan' ini. Apa angkubah yang mahu kita guna pakai?

Kepentingan angka sebenar kumpulan pertengahan ini dapat kita rasai melalui kajian khusus yang dilakukan di banyak negara. Antara yang terbaru, adalah Economic Mobility and the Rise of the Latin American Middle Class yang turut mendapat kerjasama Bank Dunia.

Apa yang menarik mengenai kajian ini adalah tumpuan yang diberikan kepada konsep 'mobiliti ekonomi' (economic mobility) yang ada di dalam masyarakat di kawasan sana.

Teori asasnya adalah, kedudukan ekonomi manusia tidak statik. Andai kata lima tahun dahulu mereka berada di dalam kelompok miskin, hari ini mereka mungkin sudah berada di kelompok pertengahan.

Perubahan ini pastinya berlaku jika wujud ruang dan peluang buat mereka memajukan diri mahupun keluarga, bersesuaian dengan persekitaran ekonomi yang ada.

Malaysia memerlukan kajian yang sedemikian sifatnya. Kajian yang menjurus kepada data sebenar kumpulan pertengahan, malahan sejauh mana dalam kalangan mereka yang jatuh ke peringkat miskin, di atas apa sahaja masalah ekonomi yang ada. Kajian di Amerika Latin, membuktikan bahawa kemungkinan itu masih berlaku.

Selain daripada kajian yang akademik sifatnya, pendekatan yang lebih mudah turut digunakan di England. Great British Class Survey dijayakan dengan kerjasama BBC bagi mendapatkan tinjauan mengenai perkara sama. Amat menarik, kerana dalam tempoh masa tertentu, lebih 160,000 responden mengambil bahagian dalam kajian tersebut.

Penulis bukanlah seorang yang gemar membeza-bezakan rakyat mengikut 'kelas' dan sebagainya. Namun, artikel ini bertujuan untuk kita memastikan bahawa polisi dan dasar yang dijayakan kerajaan, dapat 'dirasai' oleh semua kumpulan masyarakat. Realiti ekonomi ini tidak mampu kita nafikan.

Walaupun mungkin tidak tergolong dalam kumpulan pertengahan, penulis merasakan mungkin ada perkara yang mampu kita ringankan sedikit kos sara hidup kumpulan ini.

Jangan kita nafikan, dengan gaji yang mungkin RM6 ribu sebulan, isteri seorang surirumah, mempunyai 3 anak bersekolah - 'isu ekonomi' kumpulan ini masih perlu disantuni.

Menurut Indeks Harga Pengguna (CPI), tiga komponen perbelanjaan terbesar bagi rakyat Malaysia adalah - makanan dan minuman bukan alkohol, perumahan dan utiliti, dan akhir sekali pengangkutan. Rangka perbelanjaan ini hampir sama untuk rakyat 'kelas' mana sekalipun.

Oleh yang demikian, penyelesaian yang mungkin mampu menjaga hati dan sensitiviti semua pihak perlu menjurus kepada tiga komponen utama ini.

Aku Janji

Antara perkara yang diberikan keutamaan dalam aku janji Barisan Nasional sebelum pilihan raya yang lalu adalah soal kos sara hidup. Sudah barang tentu, persoalan kos sara hidup ini tidak menjurus kepada BR1M dan perkara berkaitan dengannya.

Perlu ada strategi lebih tuntas dan besar, dalam memastikan pengurangan beban kos sara hidup dapat turut dinikmati pelbagai lapisan masyarakat. Kalaupun bukan dalam bentuk 'pemberian tunai', namun ia masih boleh diberikan dalam bentuk yang lain.

Momentum strategi menangani kos sara hidup yang dicadangkan sewaktu Bajet 2013 boleh dikekalkan, dengan memberi sedikit tumpuan kepada kumpulan pertengahan. Mahu dikatakan kumpulan ini tidak 'merasai' langsung nikmat Bajet 2013 juga adalah kenyataan yang meleset.

Bajet 2014 akan disusun di luar persekitaran suhu politik yang panas - selepas PRU. Mungkin wajar ia menjadi sedikit tegas dalam pendekatan ekonomi, namun masih menyusur jalan menyejahterakan rakyat dalam segenap segi. Akhirannya nanti, bukanlah 'kelas' yang dijadikan keutamaan - namun rakyat jua secara keseluruhannya.

Pendirian Malaysia elak ASEAN berpecah

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

Oleh Azmi Hassan
PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

ASEAN sering kali dituduh tidak sepakat apabila berhadapan dengan isu tuntutan bertindih sempadan maritim terutama sekali yang melibatkan Laut China Selatan. Lebih mengaibkan lagi adalah tuduhan tersebut bukan sahaja berpunca dari luar pertubuhan tersebut tetapi daripada kalangan ahli ASEAN itu sendiri.

Jika dibabitkan dengan isu tuntutan gugusan Pulau Spratly dan Paracel yang terletak di Laut China Selatan, empat negara ASEAN terlibat secara langsung iaitu Vietnam, Filipina, Brunei dan Malaysia. Walaupun terdapat pertindihan tuntutan di antara keempat-empat ahli ASEAN ini tetapi ia bukan menjadi masalah utama kerana yang lebih kritikalnya adalah pertindihan dengan China.

Secara dasarnya ASEAN mampu bersepakat untuk menghadapi China kerana apa yang dituntut oleh empat negara ASEAN yang terlibat juga dituntut oleh China. Berhadapan dengan China secara bersendirian akan memberi kelebihan kepada Beijing kerana negara kuasa besar itu mempunyai kuasa tentera dan pengaruh ekonomi yang lebih hebat.

Sebab itu Beijing sering menegaskan rundingan mengenai tuntutan bertindih Laut China Selatan hanya boleh dirundingkan secara bilateral iaitu secara langsung dengan negara terlibat dan bukannya dengan ASEAN. Tiada kesepakatan ASEAN sedikit sebanyak telah memberi kelebihan kepada China.

Bukan menjadi rahsia lagi terbentuknya dua kumpulan dalam ASEAN kerana Vietnam dan Filipina secara dasarnya menyokong penglibatan Amerika Syarikat (AS) yang pada ketika ini sudah terlibat secara langsung dengan mengguna dalil untuk menentukan kebebasan navigasi di perairan Laut China Selatan.

Manakala Brunei dan Malaysia pula dituduh lebih cenderung dan berpihak dengan China kerana tidak mengamalkan dasar menyokong penglibatan AS secara terbuka di Laut China Selatan. Lebih merumitkan lagi adalah enam lagi ahli ASEAN yang tidak terlibat secara langsung dalam tuntutan sempadan bertindih ini tidak mengambil sikap berkecuali tetapi berpihak sama ada kepada AS atau China.

Kegagalan ASEAN mengeluarkan kenyataan bersama selepas Persidangan Menteri-Menteri Luar yang diadakan di Phnom Penh pada 6-13 Julai 2012 lepas adalah berpunca daripada tiada kata sepakat dalam isu ini. Begitu mengaibkan kerana buat pertama kali dalam tempoh 45 tahun sejarah ASEAN, kenyataan bersama yang merupakan manifestasi kesepakatan mesyuarat gagal mencapai persetujuan semua ahli.

Punca utama adalah kerana Pengerusi ASEAN ketika itu iaitu Kemboja berkeras enggan menerima isu pergeseran Filipina dan China di Beting Scarborough dan definisi Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) yang masing-masing disarankan oleh Manila dan Hanoi sebagai kenyataan bersama ASEAN. Perlu ditegaskan keputusan tersebut diambil oleh Pengerusi kerana Kemboja lebih akrab dengan China.

Peristiwa tiada kata sepakat ASEAN yang berlaku di Phnom Penh bagaikan berulang di Bandar Seri Begawan minggu lepas ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang diadakan minggu lepas.

Malaysia dan Brunei sekali lagi dituduh terlalu berlembut dengan China dan paling membimbangkan sekali apabila kedua-dua ahli ASEAN ini dituduh pula berpihak dengan Beijing. Tuduhan sebegini sebenarnya tidak masuk akal kerana beberapa gugusan Kepulauan Spratly milik Malaysia seperti Pulau Ubi, Pulau Siput, Pulau Mathanena dan Pulau Peninjau juga dituntut sebahagian oleh Brunei dan secara keseluruhan oleh China.

Mana mungkin negara yang membuat tuntutan kawasan yang serupa boleh bersepakat kerana logiknya sukar untuk dipastikan. Tetapi itulah persepsi yang cuba digambarkan kerana mahu memaksa Malaysia dan Brunei supaya bersama-sama dengan Vietnam dan Filipina berhadapan dengan China.

Tiada ruginya jika keempat-empat ahli ASEAN bersepakat menghadapi China tetapi timbul masalah kerana Vietnam dan Filipina mahu menglibatkan AS secara langsung. Pendirian dasar luar yang diambil oleh Malaysia dan Brunei sebenarnya bukan mahu berpihak dengan China tetapi tidak mahu penglibatan kuasa luar yang hanya akan menyukarkan penyelesaian masalah tuntutan ini.

Malaysia dan Brunei tidak mahu Laut China Selatan dijadikan medan proksi bagi dua kuasa besar AS dan China mendoba pengaruh mereka yang antara lain sudah pasti melibatkan kekuatan ketenteraan. Lebih membimbangkan lagi ialah apabila Presiden AS Barack Obama telah mengisytiharkan strategi pertahanan yang lebih memberi tumpuan kepada rantau Asia Pasifik. Strategi yang digelar Pangsi Asia Pasifik telah pun bermula dengan penempatan askar marin AS di Darwin, Australia dan penempatan kapal perang pesisir Freedom di Pangkalan Laut Changi Singapura.

Mengambil pendirian berpuak sama ada menyebelahi AS atau China bukan kaedah terbaik dalam mencari penyelesaian tuntutan sempadan maritim bertindih Laut China Selatan. Pertembungan proksi antara AS dan China hanya akan merugikan rantau Asia Tenggara dan juga Asia Pasifik.

Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengulas pendirian Malaysia di ADMM menegaskan cara terbaik untuk meredakan keadaan adalah bekerjasama dalam penerokaan sumber asli terutama sekali minyak dan gas di kawasan bertindih.

Ketika membuat lawatan rasmi ke China pada Jun lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Malaysia tiada masalah bekerjasama dengan China untuk meneroka sumber asli di kawasan maritim tuntutan bertindih kerana strategi ini telah berjaya dilaksanakan di antara Malaysia dengan Thailand.

ASEAN sepatut lebih memahami pendirian Malaysia dan Brunei kerana apa yang cuba dilakukan adalah untuk menghindari pertubuhan itu berpuak sama ada kepada AS atau China kerana jika situasi ini berlaku, maka Asia Tenggara yang akan menjadi mangsa.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat