{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Ops Cantas Khas: 111 individu ditahan

Posted: 07 Sep 2013 11:22 AM PDT

Oleh MOHD. HAFIZ AB. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my

MAZLAN Lazim memeriksa logo kumpulan samseng ketika mengetuai Operasi Op Cantas Khas dalam sekatan Jalan Raya Cabang Empat Salam, Rantau Panjang, semalam. - MINGGUAN/IRWAN MAJID

RANTAU PANJANG 7 Sept. - Polis Kelantan menahan seramai 111 individu yang dipercayai melakukan pelbagai kesalahan dalam Op Cantas Khas bermula 17 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, sepanjang operasi berkenaan pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 4,384 individu serta 2,355 buah kenderaan selain giat memburu pesalah-pesalah yang dikenal pasti.

Beliau berkata, operasi itu dilakukan di beberapa kawasan panas yang telah dikenal pasti dan ia akan diperluaskan ke sempadan negara bagi mengekang penjenayah terutama ahli kongsi gelap melarikan diri ke negara jiran.

"Kita akan membuat pemeriksaan rapi dan teliti terhadap kenderaan yang melalui kawasan sempadan ini serta individu. Kita percaya tindakan ini dapat menghindar atau mengelakkan mereka melepasi kawasan sempadan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai Op Cantas Khas membabitkan 18 pegawai dan 36 anggota di sekatan jalan raya Cabang Empat Salam dekat sini semalam.

Mazlan berkata, operasi itu turut memberi perhatian kepada usaha mengekang aktiviti jenayah lain termasuk pemerdagangan manusia, penyeludupan pendatang asing dan senjata api serta pengedaran dadah.

Katanya, pihak polis tidak akan bertolak ansur dengan kumpulan gengster atau kongsi gelap kerana ia sudah sampai ke tahap mengancam keselamatan negara dan perlu dibanteras.

"Kita telah mengadakan mesyuarat dengan pihak Polis Thailand untuk menjalinkan kerjasama dan dalam mesyuarat berkenaan kita telah berbincang untuk mengadakan perkongsian maklumat dalam mengekang dan menghindarkan ahli-ahli kongsi gelap ini ke sana bagi tujuan mencari perlindungan atau untuk membuang tatu.

"Saya juga suka untuk menasihatkan penduduk di kawasan sempadan supaya dapat memberikan kerjasama yang baik dengan pihak polis, jangan lindungi mereka (penjenayah) ini, serah kepada kami.

"Jangan beri peluang kepada mereka ini untuk melakukan jenayah di kawasan sempadan ini. Maklumat yang kita peroleh ini dapat membantu polis untuk menentukan orang ramai yang tinggal di sempadan ini hidup dalam keadaan baik dan aman," ujarnya.

Mengulas kongsi gelap dan kumpulan gengster di Kelantan, Mazlan berkata, tiada ahli kongsi gelap dikesan di sini tetapi wujud pertubuhan haram yang menjalankan aktiviti seumpama itu.

"Kita pantau kumpulan ini supaya tidak dapat melakukan jenayah dan kita mengambil tindakan pada mereka," jelasnya.

Pelajar tajaan YT dialu-alukan berkhidmat untuk negeri

Posted: 07 Sep 2013 11:22 AM PDT

KUALA TERENGGANU 3 Sept. - Kerajaan negeri amat mengalu-alukan penuntut cemerlang di bawah tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang telah tamat pengajian di luar negara kembali berkhidmat untuk rakyat negeri ini terutama dalam bidang perubatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, selaku anak negeri, sumbangan yang mereka berikan kelak akan lebih bermakna apatah lagi kejayaan mereka hasil pembiayaan negeri.

Walau bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak pernah menyekat mana-mana pelajar bekerja di luar negara untuk menimba pengalaman setelah tamat pengajian.

"Namun, kerajaan negeri bersedia menawarkan peluang pekerjaan terutama dalam bidang perubatan berdasarkan perancangan kerajaan melalui penubuhan hospital pakar oleh anak syarikat kerajaan negeri.

"Peluang pelajar untuk berkhidmat di negeri ini amat luas," katanya kepada pemberita dalam Majlis Makan Malam Raya Aidilfitri Bersama Mahasiswa Luar Negara 2013 di Riyaz Heritage Resort, di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong.

Sebanyak 800 penuntut di bawah tajaan Yayasan Terengganu, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Awam dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hadir dalam majlis itu.

Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 20 pelajar cemerlang jurusan perubatan pulang ke negeri ini dan telah berkhidmat di beberapa hospital kerajaan dan swasta.

Ghazali menambah, daripada sejumlah 600 penuntut di bawah tajaan YT, sebanyak 128 penuntut ditawarkan biasiswa kerana menunjukkan prestasi cemerlang.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan penuntut di luar negara supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan di negara berkenaan dan tidak mencampuri urusan dalam negara terbabit.

Sementara itu katanya, YT membelanjakan kira-kira RM24 juta sebagai bantuan persediaan awal untuk anak Terengganu menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta sehingga kini.

Penduduk di sempadan tolak dakwaan jadi punca penyeludupan

Posted: 07 Sep 2013 11:22 AM PDT

TUMPAT 7 Sept. - Penduduk yang tinggal berhampiran tebing Sungai Golok menolak pandangan pihak tertentu kewujudan mereka berhampiran sempadan punca kepada kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Mereka sebaliknya menggesa pihak berkuasa meningkatkan pemeriksaan dan kawalan di kawasan itu bagi membanteras jenayah terbabit, bukannya memindahkan penempatan penduduk yang telah ada sejak sekian lama dan pastinya memakan belanja besar kepada kerajaan.

Rata-rata penduduk yang ditemui ternyata tidak bersetuju dengan cadangan supaya mereka dipindahkan dan menyifatkan langkah berkenaan bukanlah 'ramuan' terbaik bagi menyelesaikan masalah tersebut daripada terus berlaku.

Seorang penduduk, Arifin Awang Chik, 50-an, berkata, kerajaan perlu membuat kajian secara lebih mendalam sebelum mengemukakan cadangan tersebut.

Menurutnya, dia yakin penduduk yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

"Kebanyakan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan Sungai Golok mempunyai pertalian kekeluargaan dengan masyarakat di selatan Thailand dan berlaku sejak turun-temurun lagi.

"Lagipun kami sudah tinggal lama di sini. Jika kerajaan berhasrat meneruskan cadangan itu, ia akan melibatkan perbelanjaan besar kerana penduduk yang tinggal di sekitar kawasan sempadan mencecah ribuan orang," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Derdap, Pengkalan Kubor, di sini semalam.

Tambahnya, pemindahan ini juga akan mengakibatkan penduduk hilang mata pencarian yang kebanyakan bekerja sebagai nelayan dan petani.

Akhbar tempatan semalam melaporkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman meminta kerajaan negeri mengkaji cadangan memindahkan penduduk di sepanjang Sungai Golok dan mengkaji status penempatan di situ dalam usaha membanteras penyeludupan di sempadan.

Seorang lagi penduduk, Siti Bidah Bongsu, 80, turut tidak bersetuju cadangan memindahkan penempatan di pinggir Sungai Golok ke kawasan baharu kerana telah menetap di situ sejak sekian lama.

"Saya tinggal di sini sudah 80 tahun, saya tak akan pindah walaupun kerajaan bagi tanah baharu untuk kami diami, sukar nak terima cadangan itu," katanya mempunyai tujuh anak dan lebih 30 orang cucu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang enggan dikenali berkata, masalah penyeludupan boleh diatasi sekiranya pihak berkuasa berganding bahu membanteras kegiatan berkenaan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat