Berita Harian: Ratu
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Ratu |
Posted: 24 Dec 2013 09:33 AM PST Perniagaan rawatan, kecantikan rambut eratkan hubungan keluarga Menjengah masuk salun milik tiga generasi ini, aura kasih sayang menerpa apabila melihat kemesraan dan keakraban hubungan antara ibu, anak serta cucu yang masing-masing turut mewarisi bakat dalam dunia perawatan dan kecantikan rambut. Walaupun sibuk melayan kerenah pelanggan, keempat-empat wanita bergaya dan mempunyai minat sama ini, masih sempat bergurau sesama sendiri.
Kini, salun itu diusaha dan dibangunkan bersama-sama anak-beranak, sekali gus mengerat serta mengukuhkan lagi jalinan tiga generasi itu. Bagi menonjolkan rasa kasih sayang dan nilai kekeluargaan, nama salun dipilih sempena nama anak sulungnya, Grace Leong Lai Ching, 45. Selain Grace, adik bongsunya, Liza Leong Lai Yee, 38, juga mempunyai bakat sama dalam bidang kecantikan. Sementara itu, anak Grace, Melissa Leong Lai Ching, 19, turut bercita-cita meneruskan bakat tiga generasi ini, walaupun sedang mengikuti ijazah dalam bidang Seni Liberal di Amerika Syarikat. Grace berkata, bidang ini menjadi lebih istimewa kerana Madam Leong berkongsi ilmu dan pengalamannya dalam bidang dandanan kepada anak serta pekerjanya. "Ibu adalah inspirasi kami untuk mendalami bidang rawatan kecantikan yang diwarisi. Usaha dan semangatnya tidak pernah pudar. Dari usia belasan tahun, ibu yang berasal daripada keluarga susah berdikari untuk mendapat apa yang diinginkan. Walaupun datuk melarang beliau menjadi 'gadis salun', tiada istilah putus asa dalam hidupnya.
Wanita terawal bidang salun Dari keluasan hanya 152 meter persegi, kini Grace Salon berkeluasan lebih kurang 731.52 meter persegi. "Setiap apa yang dilihat berada dalam salun ini adalah hasil titik peluh ibu. Jadi, sebagai generasi seterusnya, saya, adik dan anak mahu meneruskan cita-cita ibu untuk lebih berjaya dan menyediakan perkhidmatan lebih baik. Ibu berjaya belajar di London pada 1970-an. Malah, tidak salah jika saya katakan dia antara wanita terawal dalam bidang penggayaan rambut di negara ini. "Salun ini dibuka dengan modal lebih kurang RM20,000. Perjuangan ibu bukan mudah kerana ketika bekerja di salun, dia tidak terus menggunting rambut pelanggan, tetapi disuruh melakukan pelbagai kerja seperti tukang masak di tempatnya bekerja. Kebanyakan ilmu diperoleh daripada pemerhatiannya dengan berlatih selepas pulang bekerja" katanya. Pada 1968, Grace Salon hanyalah sebuah kedai rambut kecil yang mempunyai tiga pekerja berbanding kini seramai 25 pekerja dan menjalankan perkhidmatan mencuci, mengkeriting dan membasuh rambut. Ketika itu, lokasi kedai ialah di Seksyen 4, Petaling Jaya. Kemudian, mereka sekeluarga mengambil keputusan berpindah ke Bangsar Village lima tahun lalu untuk membuka perniagaan lebih besar dan selesa kepada pelanggan. "Apabila melihat Grace Salon, ia bukan saja berkisarkan perniagaan warisan keluarga, tetapi juga membabitkan generasi pelanggan. "Jika saya adalah generasi kedua keluarga dalam salun ini, begitu juga pelanggan yang terus memberi sokongan dengan mengunjungi salun kami. Daripada ibu sehingga kepada anak pelanggan, mereka masih memilih untuk mendapatkan perkhidmatan kami. Ada pelanggan yang sudah 40 tahun mendapatkan perkhidmatan gunting rambut kami. "Saya percaya, semua ini berlaku sama seperti yang sering dipesan ibu. Katanya, apabila pelanggan mengunjungi salun, ia membabitkan kepercayaan dan keyakinan terhadap kami, jadi kami perlu pelihara kepercayaan itu," katanya. Walaupun sudah menginjak usia, Madam Leong masih mengajar pekerja mereka cara menggunting rambut pelanggan. Beralih bidang Sementara itu, demi meneruskan perjuangan ibu dalam bidang salun, Grace dan adiknya, Liza yang memiliki ijazah perakaunan dari London mengubah haluan dalam bidang berkenaan. Grace berkata, beliau berada di London selama tiga tahun untuk menamatkan pelajaran dan kemudian mengikuti kursus dalam bidang salun selama setahun. "Empat tahun bekerja sebagai akauntan, saya ambil keputusan untuk bekerja dengan ibu. Tiada paksaan kami adik-beradik dan semuanya timbul kerana minat. Setiap hujung minggu, Grace akan membantu ibunya di salun. "Saya memang sudah biasa dengan kerja membantu ibu sejak usia 13 tahun. Saya juga tidaklah bermula dengan kerja menggunting rambut. Ibu latih saya dan adik sama dengan apa yang dilaluinya. Saya mencuci lantai, tuala dan kemudian belajar mencuci rambut pelanggan pula. Selepas pulang dari kursus, barulah saya dapat mendekati pelanggan untuk perkhidmatan menggunting dan mewarna rambut," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Ratu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |