Kosmo Online - Horizon
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Horizon |
- Destinasi istirehat gamit pelancong
- Keramahan komuniti Islam Cina di Shadian
- Mengintip haiwan buas di Bumbun Rimau
Destinasi istirehat gamit pelancong Posted: Destinasi istirehat gamit pelancongOleh MULLER ASEN BUNYI desiran angin dan lambaian dedaun kelapa di sekitar Kampung Selalang, Sarikei sudah cukup menterjemahkannya sebagai destinasi istirehat yang ideal untuk pelancong. Terletak kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar Sarikei, perasaan tenang dapat dirasai sebaik menjejakkan kaki ke inap desa tersebut. Sepanjang menginap di Kampung Selalang, setiap pengunjung pasti dapat menghirup udara segar sambil ditemani dengan pelbagai aktviti yang disediakan. Pemilik inap desa itu, Penghulu Latifah Bujang Abdullah berkata, dengan menyediakan pakej menarik dan harga yang murah, pastinya percutian pelancong di situ pasti meninggalkan nostalgia terindah. Menurut Latifah, pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti kepada pelancong seperti persembahan kebudayaan tradisional selain belajar cara-cara mengutip siput sedut. "Aktiviti tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian yang diaturkan selain pelancong boleh memilih aktiviti mereka sendiri. "Kami turut menyediakan persembahan kebudayaan tradisional seperti bergendang (nopeng) dan tarian poco-poco," jelasnya ketika ditemui. Menyusuri sungai PELANCONG disajikan dengan persembahan tradisi masyarakat tempatan. Latifah menambah, bagi pengunjung yang inginkan cabaran, mereka berpeluang menjelajah dan menyusuri Sungai Selalang untuk melihat lebih dekat pelbagai spesies siput di situ. Pengunjung juga ujarnya, boleh mencuba kemudahan rekreasi seperti menguji keberanian dengan memancing sambil melayan cabaran gelora ombak. Beliau memberitahu, pihaknya juga menyajikan makanan masyarakat Melanau seperti umai dan sagu yang sentiasa menggamit selera pengunjung. "Bagi menjaga tahap perkhidmatan yang berkualiti dan suasana damai yang eksklusif, kami boleh menampung 10 orang tetamu dalam satu-satu masa. "Pengunjung pasti berpuas hati kerana inap desa Kampung Selalang menyediakan segala yang diperlukan dalam menikmati suasana rehat yang damai dan menyeronokkan," tambahnya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai Datuk Len Talif Salleh memberitahu, program inap desa di Rumah Nyuka Itam, Ulu Sarikei menjadi tarikan terbaharu industri pelancongan di Sarikei. Kata Len Talif, program yang disertai 13 peserta itu merupakan program inap desa pertama di bahagian tersebut. Menurutnya, setakat ini seramai 1,335 orang pelancong dari seluruh negara telah berkunjung dan menginap di rumah inap desa yang diketuai oleh Kaunselor Ikau Aji. "Ini termasuklah pelancong yang mengikuti pelayaran menyusuri Batang Rajang menaiki RV Orient Pandaw. Sejak akhir-akhir ini, kita juga menerima kedatangan pelancong yang dibawa oleh ejen-ejen pelancongan," katanya. KEINDAHAN semula jadi Sungai Sebangkoi di Taman Rimba Sebangkoi turut menjadi tarikan. Rumah Nyuka di Lubuk Lemba yang dibina pada tahun 1955 terletak kira-kira 17 kilometer dari simpang Jalan Bayong dan dianggarkan kira-kira 85 kilometer dari bandar Sibu. Air terjun Terdapat 45 keluarga dengan 300 orang penghuni dari suku masyarakat Iban mendiami rumah panjang ini. Len Talif menambah, peserta inap desa di situ cukup bertuah kerana dipilih oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk menghadiri latihan sebelum didaftarkan secara rasmi sebagai pengendali Program Homestay di Sarikei. RUMAH Inap Desa di Kampung Selalang sedia memberikan perkhidmatan kepada tetamu. "Selain struktur rumah panjang tradisional mereka dan budaya tradisional Iban, pengunjung ke rumah panjang ini juga berpeluang melawat air terjun yang terkenal iaitu air terjun Sungai Pau dan Sungai Munsoh. "Kedua-dua air terjun ini terletak tidak jauh dari rumah penjang dan boleh dikunjungi hanya dengan berjalan kaki. "Pengunjung juga berpeluang memasak makanan mereka sendiri seperti ayam masak dalam buluh (manuk pansuh), liar pakis, rebung dan banyak makanan hutan," ujarnya. Sarikei bermula dari sebuah kampung kecil masyarakat Selalang yang merupakan penduduk asal. Dengan jumlah penduduk kira-kira 130,000 orang ketika ini, masyarakat Sarikei terdiri daripada suku kaum Iban, Melanau, Melayu dan Cina. Katanya, terdapat empat daerah kecil yang meliputi Bahagian Sarikei iaitu Meradong, Julau, Pakan selain Sarikei yang berada di bawah pentadbiran seorang Residen. RUANG tidur yang selesa di Rumah Inap Desa. Berubah wajah Dalam tempoh tiga dekad lalu, deretan rumah kampung beratap usang menjadi pemandangan, namun kini Sarikei telah berubah wajah hasil pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan. "Kini, Sarikei dipenuhi ratusan buah kedai konkrit dan mempunyai jaringan pengangkutan yang baik dan sistem perparitan teratur," jelasnya. Kedudukannya yang strategik di laluan Batang Rajang menjadikan Sarikei mudah dihubungi dengan pengangkutan air ke kawasan-kawasan berhampiran seperti Tanjung Manis, Belawai, Daro, Matu dan Paloh. Daerah ini juga merupakan daerah kedua terbesar dalam Sarikei dengan keluasan 985 km persegi dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi iaitu 58,021 orang. Kaum Cina dan Iban merupakan kaum majoriti di Sarikei yang kebanyakannya mengusahakan tanaman seperti lada hitam, limau dan sayur-sayuran. Selain dipasarkan di daerah ini, produk tersebut juga dijual di Sibu, Bintulu dan Miri. Sarikei juga antara pengeluar utama lada hitam di Sarawak. Tahun lalu, daerah ini telah mengeluarkan sejumlah 2,640 tan metrik lada hitam dari kawasan seluas kira-kira 686 hektar. Pembangunan pertanian lain seperti buah limau juga giat dilaksanakan di sini. Tiga buah mini estet kelapa sawit turut dibangunkan di Sarikei iaitu di Kerapa sekitar 200 hektar, Ulu Pauh; 250 hektar dan Kerubong; 280 hektar yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian. | ||
Keramahan komuniti Islam Cina di Shadian Posted: Keramahan komuniti Islam Cina di ShadianDEWAN solat Grand Mosque of Shadian yang luas menjamin keselesaan muslimin. PENGALAMAN mengembara ke China merupakan kenangan yang menakjubkan. Ia lebih bermakna apabila saya berpeluang berkunjung ke sebuah tempat yang jarang dilawati iaitu Kunming di wilayah Yunnan, China. Di Kunming, saya mengunjungi Shadian yang terkenal dengan gelaran Asia's Most Hidden Gem. Kunjungan saya ke Shadian merupakan jemputan daripada seorang kenalan yang dikenali sebagai Brother Ma atau nama Islamnya Rusydi. Dia berasal dari Kunming.
Setibanya di lapangan terbang Kunming, Rusydi menyambut penulis bersama dua rakan wanita. Kedua-dua rakannya itu yang juga muslim memakai tudung. Gaya mereka bertudung tidak jauh beza dengan muslimah di Malaysia. Mereka memberi penulis sejambak bunga yang tercatat nota Forget-Me-Not sebagai simbol persahabatan. Dari lapangan terbang, ke hotel di bandar Kunming pembangunan giat dijalankan. Keadaan di Kunming agak sesak seperti bandar-bandar besar yang lain di China. Namun, ia mungkin tidak seteruk Beijing atau Shanghai. Keadaan persekitaran di Kunming sangat berdebu, kering dan cuacanya sejuk.
Motosikal elektrik Kebanyakan penduduknya menggunakan motosikal elektrik sebagai pengangkutan harian mereka. Setelah beberapa hari di Kunming, kami ke Shadian. Dengan menaiki van dari Kunming, perjalanan ke Shadian sepatutnya mengambil masa sekitar empat jam. Namun, kekerapan berhenti di beberapa pekan kecil menyebabkan perjalanan kami bertambah lebih dua jam daripada jangkaan asal. PEMANDANGAN tenang di pekarangan Grand Mosque of Shadian. Shadian merupakan kawasan subur dan kaya dengan aktiviti pertanian yang menjadi punca pendapatan penduduk setempat. Pemandangan beberapa buah masjid di sepanjang perjalanan ke Shadian turut menarik perhatian penulis. Menurut Rusydi, ramai komuniti Islam menetap di Shadian. Ketika berhenti di sebuah pekan kecil di Shadian, penulis mendapati pelbagai bahan logam seperti pedang dan pisau yang dijual secara terbuka. Ukiran dan reka bentuk hulu pedangnya unik dan mempunyai pengaruh budaya Cina kuno. Hajat di hati untuk membeli pedang itu sebagai hiasan dinding di rumah terpaksa dilupakan memikirkan pemeriksaan keselamatan yang ketat di lapangan terbang. ANTARA muslimah yang hadir sewaktu sesi diskusi. Kami tiba di Shadian hampir lewat petang. Kami terus dibawa ke Masjid Shadian atau dikenali sebagai Grand Mosque of Shadian bagi menunaikan solat Asar. Penulis amat kagum melihat sebuah masjid besar yang sangat indah seni binanya berdiri teguh di sebuah pekan terpencil di China. Penduduk setempat agak peramah dan mesra ketika kami ingin menunaikan solat jemaah. Ada juga yang menegur dan memberi salam, namun penulis hanya mampu membalas salam dan senyuman kerana kekangan bahasa menjadi masalah untuk berkomunikasi. Masjid Shadian merupakan masjid yang terbesar di wilayah tersebut. Menurut Rusydi, ia dibina atas ehsan wang penduduk setempat dan ahli-ahli perniagaan Muslim di sana. Apa yang mengagumkan, segala perbelanjaan untuk membina masjid tersebut langsung tidak menggunakan peruntukan pihak pemerintah. Menurut Rusydi, Shadian merupakan satu-satunya penempatan golongan Islam yang kaya. Wilayah eksklusif Kebanyakan mereka terlibat dengan aktiviti perlombongan bahan-bahan mineral yang menjadi sumber pendapatan. Tambah Rusydi, hasil perlombongan bahan-bahan mineral ini secara tidak langsung menjana sektor perdagangan dan pendapatan negara China. PENULIS (empat dari kiri) bersama Rusydi (tiga dari kiri) bergambar bersama penduduk Islam di Shadian. Berdasarkan pengamatan penulis, seni bina masjid ini direka berasaskan Masjid Nabawi di Madinah. Masjid tersebut siap dibina pada tahun 2009 dan kawasan itu didiami kira-kira 20,000 penduduk Islam. Dianggarkan terdapat 11 masjid lain di sekitar Shadian. Shadian hakikatnya merupakan sebuah wilayah eksklusif masyarakat muslim. Namun, apa yang menyentuh hati ialah mereka begitu terbuka menerima kunjungan pelancong berlainan agama. Keesokan harinya, penulis dan Rusydi bertemu dengan masyarakat Islam di Shadian. Setibanya kami di sebuah madrasah berdekatan, dewan telah pun dipenuhi dengan penduduk Islam tempatan. Kebanyakan mereka fasih bertutur dalam dialek tempatan, manakala sesetengahnya fasih berbahasa Arab. Mujurlah Rusydi ada pembantu untuk menterjemah perbualan mereka. Kami bertukar-tukar pendapat dan pengalaman. Sepanjang berada di sana, penulis dilayan mesra. Ada juga dalam kalangan mereka yang menjadikan penulis sebagai anak angkat. Tidak kurang yang menawarkan rumah mereka untuk penulis bermalam. Namun atas urusan kerja dan keluarga di Malaysia, semua tawaran itu terpaksa dilepaskan dengan hati yang berat. | ||
Mengintip haiwan buas di Bumbun Rimau Posted: Mengintip haiwan buas di Bumbun RimauOleh NADIA SHAIFUL BAHARI KELENGKAPAN peralatan mesra hutan ada dijual di SGI Outdoor yang terletak di pintu masuk Taman Negara Sungai Relau. SEBELUM tiba di destinasi tandang tamu pilihan, kru Kosmo! dibawa menaiki jip jauh ke dalam hutan belantara. Masa perjalanan dari pintu masuk utama Taman Negara Sungai Relau, Pahang ke laluan masuk lokasi yang ingin dituju kira-kira 10 minit. Sebaik deruan enjin dimatikan, kami tercari-cari lokasi penginapan yang diberi nama Bumbun Rimau. Pemandangan sekeliling hanya berlatar belakangkan hutan tebal, jalan raya usang dan bunyi unggas.
Rasa ragu-ragu mula menyelinap masuk tatkala kami diminta berjalan kaki ke dalam trek buatan sejauh hampir 200 meter dari lokasi jip ditinggalkan. Perasaan ingin tahu tentang ke mana agaknya arah renjer pengiring ingin membawa kami mula menerpa. Di sana, berdiri kukuh sebuah teratak tinggi yang dibina kira-kira lima meter dari aras tanah. Keadaan di dalam ruang tidur Bumbun Rimau kelihatan kelam dan hanya disinari cahaya matahari yang masuk melalui tingkap. Tiada bekalan elektrik disambungkan ke teratak tunggal yang terasing daripada dunia luar itu. Terdapat tiga buah katil dua tingkat yang bertilamkan permukaan papan buat pencinta rimba yang ingin menginap di situ. AKTIVITI menangkap ikan kelah dijalankan tidak jauh dari Bumbun Rimau. Pelancong dari Barcelona, Sepanyol, Jose Maria Martinez, 36, memilih untuk tidur di Bumbun Rimau bagi memerhati haiwan liar dengan lebih dekat biarpun tinggal berseorangan di dalam bangunan tersorok itu. Promosikan Malaysia "Saya sudah sebulan datang ke negara ini untuk bercuti kerana sukakan keadaan semula jadi di Malaysia. Saya mahu lihat haiwan seperti harimau, tapir dan gajah pada malam hari di Bumbun Rimau ini. MARTINEZ kagum dengan keindahan flora dan fauna negara ini yang sungguh berbeza dengan negara kelahirannya, Sepanyol. "Di Sepanyol memang ada hutan tetapi saiznya kecil tidak seperti di Malaysia. Saya akan mempromosikan keindahan alam negara ini kepada kawan-kawan di Sepanyol sekembalinya ke negara saya tidak lama lagi," katanya ketika ditemui di taman negara tersebut. Katanya, Taman Negara Pahang memang terkenal tetapi masih belum ramai yang tahu mengenai tarikan yang ada di bahagian pintu masuk Sungai Relau itu. Bagi anda yang merancang untuk mengalami sendiri keseronokan mendekati suasana di rimba, harga penginapan yang ditawarkan hanyalah RM10 seorang bagi satu malam. Namun sebelum itu, anda perlu membayar permit masuk sebanyak RM1 seorang yang membolehkan anda keluar masuk ke taman negara tersebut selama satu bulan. KEADAAN reka bentuk bangunan Bumbun Rimau di bahagian luaran. Jangan lupa untuk membawa kelengkapan asas seperti beg tidur, kelambu, krim penghalau serangga dan lampu suluh jika ingin tidur selesa di bumbun tersebut. Kelengkapan seperti itu tidak disediakan pihak pengurusan taman negara seiring dengan matlamat utamanya yang mahu pelawat benar-benar dekat dengan alam semula jadi. Bagaimanapun, jika anda terlupa membawa peralatan tersebut, anda masih boleh mendapatkannya di kedai SGI Outdoor yang terletak di pintu masuk taman negara. SGI Outdoor menjual peralatan aktiviti luar untuk mereka yang gemarkan sukan lasak seperti mendaki gunung dan meneroka gua. Selain Bumbun Rimau, terdapat tarikan lain yang boleh dilakukan di Taman Negara Pahang Sungai Relau seperti memberi makan kepada ikan kelah di santuari berdekatan, mengikuti kembara safari pada waktu malam dan menunggang kenderaan pelbagai permukaan (ATV). |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |