Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Nicky kini ibu lima anakDENGUSANNYA laju menyerkap ke pendengaran pengunjung di Taman Safari Bukit Gambang (TSBG), Kuantan, Pahang. Seluruh badan terpejong seketika tatkala mendengar ngauman sepasang pak belang dan mak belang yang menyedari ada jemputan tidak diundang hadir ke istananya. Sosok kenderaan bercorak harimau bintang yang dinaiki pengunjung seperti sudah biasa dilihat oleh haiwan tersebut. Kedua-dua harimau itu terus bersenda tanpa mempedulikan kenderaan yang memasuki wilayahnya. Berbeza sungguh bentuk tubuh Nicky, harimau betina yang pernah mencuri tumpuan orang ramai lapan tahun lalu jika dibandingkan keadaannya kini. Nicky kelihatan bertenaga, tegap dan sihat. Sebelum ini, Nicky yang ditempatkan di Zoo Melaka menjadi mangsa penyeludupan haiwan liar dari Pahang nyaris menjadi menu eksotik sebuah restoran Cina terkemuka di Kuala Lumpur. Nicky bagaimanapun telah diselamatkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Perdagangan Malaysia ke Papua New Guinea, Datuk S. H Foo. Ditangkap Foo menyedari mengenai anak harimau itu melalui perbualan rakan-rakannya yang memberitahu bahawa Nicky telah ditangkap oleh penduduk kampung di Rompin, Pahang untuk dijual ke restoran yang menjual makanan eksotik. Beliau mengambil keputusan membeli anak harimau berkenaan dengan sejumlah harga yang dirahsiakan dan menyerahkannya ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) Melaka sebelum ia diberi kepada pengurusan Zoo Melaka pada 11 Ogos 2005. KEADAAN Nicky ketika ditemui selepas dilaporkan hilang selama dua hari di Zoo Melaka. Nicky berusia tiga bulan ketika kejadian tersebut berlaku. Dalam tempoh kurang seminggu berada di Zoo Melaka, Nicky sekali lagi menggemparkan kakitangan zoo tersebut apabila ia dilaporkan hilang. Namun, selepas 62 jam, Nicky yang berumur tiga bulan ketika itu ditemui semula di kawasan semak berhampiran sangkar tempat kuarantin harimau belang di zoo itu. Selepas di tempatkan di zoo tersebut, Nicky menjadi tumpuan orang ramai dan tarikan zoo untuk melihatnya dari dekat. Pengurus TSBG, Shahrul Hizal Hamid berkata, Nicky dipindahkan ke TSBG dari Zoo Melaka bersama pasangan kelaminnya iaitu Dido sejak bulan Disember tahun lalu. "Harimau ni macam manusia juga, kalau berpindah mesti berpasangan. Kita tak boleh pisahkan salah seekor dan dipasangkan dengan harimau yang lain. "Sebenarnya, Nicky sudah lima kali melahirkan anak tetapi hanya lima ekor yang hidup. Secara fitrahnya, harimau betina terdorong untuk makan anak sendiri sebaik dilahirkan," jelasnya ketika ditemui di TSBG baru-baru ini. Menurut Shahrul Hizal, sepanjang tempoh bunting, harimau betina berasa anaknya selamat berada di dalam perut. Jadi, haiwan tersebut memakan anak yang dilahirkan kerana menyangka anak tersebut berada dalam bahaya jika dibiarkan hidup di luar badan si ibu. Sementara itu, rutin hidup Nicky diisi dengan jadual diet yang seimbang dan berdisiplin. Nicky akan diberi makan selama enam hari berturut-turut dan baki sehari lagi dijadualkan untuk berpuasa. SALAH seekor daripada empat anak Nicky yang berumur sembilan bulan yang terpaksa dipisahkan daripada ibunya atas faktor keselamatan. Diet yang disediakan untuk Nicky ialah dua ekor ayam sehari selama lima hari, dua kilogram daging pada hari keenam dan Nicky perlu berpuasa pada hari ketujuh. Jadual pemakanan tersebut perlu dipatuhi bagi memastikan tubuh badan Nicky kekal cergas. "Haiwan yang dibela di zoo berbeza dengan haiwan liar di hutan. Harimau di hutan hidup aktif kerana keluar berburu untuk mendapatkan makanan berlainan dengan harimau yang dipelihara. "Harimau di sini kurang bersenam untuk latihan kecergasan. Jadi, amalan berpuasa bagi haiwan liar adalah perkara biasa," ujarnya. Setakat ini, empat ekor anak Nicky daripada kelahiran lalu ditempatkan dalam kandang secara berasingan. Anak-anaknya yang diberikan nama Tam, Ten, Walker dan Johny sudah mencecah umur sembilan bulan. Seekor lagi anak Nicky daripada kelahiran kali keempat ditempatkan di Sungkai, Perak. Ia merupakan satu-satunya anak Nicky dan Dido yang berjaya hidup daripada kelahiran tersebut. Pembantu Renjer, Mohd. Rafizan Ghazali, 28, berkata, beliau bertanggungjawab untuk memastikan kawasan persekitaran tempat tinggal anak-anak Nicky bersih dan jadual pemakanan dilakukan secara teratur. "Saya beri mereka makanan seperti ayam, daging, susu formula dan vitamin. Selain itu, kesemua anak harimau akan dibawa keluar dari kandang untuk berlatih berjalan bagi menguatkan otot kaki dan membiasakan diri dengan manusia. "Latihan melompat atas kerusi pula dilakukan bagi menguatkan tulang anak harimau. Waktu tidur mereka pula adalah selama lapan jam sehari," kata lelaki yang baru bergelar renjer sejak Mac lalu. Anak-anak Nicky akan berada dalam jagaan nurseri selama 12 bulan sebelum boleh dilepaskan ke persekitaran hutan di TSBG. Keempat-empat anak Nicky yang tinggal bersama sejak kecil boleh tinggal bersama sehingga dewasa jika mereka sudah terbiasa hidup bersama. Difahamkan, sebanyak 23 harimau baka Malayan termasuk Nicky dan Dido ditempatkan di safari yang berkeluasan 55.84 hektar itu. TAMAN Safari Bukit Gambang merupakan safari yang terbesar di Malaysia dengan keluasan 55.84 hektar. Pernahkah anda terfikir bagaimana haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing patuh pada tuannya? Konsep yang sama digunakan ke atas haiwan pemakan daging seperti harimau iaitu melalui pemberian makanan dan bau badan penjaga. Harimau dapat mengecam orang yang memberinya makan dan tidak mengancam keselamatan si penjaga. Penjaga harimau juga mengamalkan kaedah menyapu peluh badan mereka pada harimau supaya haiwan tersebut mengenali siapa penjaganya. Selain diberi makanan yang mencukupi, Nicky akan diberikan ubat cacing setiap suku tahun bagi menyingkirkan parasit dalam ususnya. Jika ada luka pada badan pula, Nicky hanya diberi rawatan semburan antibiotik. | ||
Posted: Hero inspirasi kucing jalanan
PEMERGIAN kucing kudung bernama Hero pada 24 November lalu akibat penyakit leukemia meninggalkan kesan yang mendalam kepada pencinta haiwan di negara ini. Siapakah boleh melupakan kekejaman yang dilakukan ke atasnya oleh makhluk yang bergelar manusia? Hero kehilangan dua kaki hadapan setelah dipotong oleh individu kejam hanya gara-gara kucing malang itu 'mencuri' ikan mentah di sebuah restoran di Semenyih, Selangor lapan tahun lalu. Laman Facebook Kakimotong Fan Club dilimpahi dengan kata-kata takziah dan semangat kepada pemilik Hero atau lebih dikenali dengan Papa Hero, Mohd. Hairey Yahya. Teladan Satu-persatu ucapan di laman tersebut dibaca, Kosmo! tertarik dengan kisah yang dikongsikan oleh pemilik akaun Facebook, Nazirah Kay yang mungkin boleh dijadikan teladan kepada pembaca. "Semalam, mak cerita pasal orang kampung mendera kucing kerana makan ayam. Adakah patut dia ikat leher kucing itu dan gantung pada pokok? "Bila orang kampung tegur, dia ajak bergaduh dan dia ambil dawai dan cucuk leher kucing itu sampai mati. Selepas mati, dia biarkan sahaja berulat di pokok tersebut. "Tapi, Allah bayar tunai pada dia (orang tersebut) kerana tekaknya sakit dan tidak boleh menelan walaupun sudah dibedah. Suara sudah macam kucing," ujarnya. Satu lagi kisah yang dikongsikan Mira Amifa tidak kurang menyayat hati. Seekor kucing telah mencuri lauk yang akan dijual seorang peniaga pada keesokan harinya. Akibat perasaan geram, peniaga terbabit memberi makanan percuma yang telah dibubuh racun kepada semua kucing di kampungnya. Ekoran kejadian tersebut, terdapat beberapa ekor kucing mati setiap hari hingga menyusahkan orang kampung untuk mengutip dan menanam kesemua kucing berkenaan. Tidak lama kemudian, peniaga terbabit ditimpa penyakit misteri dan meraung seperti kucing dalam kesakitan ketika dia sedang nazak. Sementara itu, pesara kerajaan, Fatimah Ab. Rashid, 59, berkata, beliau mengenali Hero melalui media sejak tahun 2011.
Manja "Saya berusaha menghubungi Papa Hero melalui akaun Facebook miliknya lalu membuat temu janji untuk berjumpa. Luluh hati sehingga menitiskan air mata tatkala kali pertama menemui Hero. "Selepas pertemuan itu, keluarga kami menjadi rapat dan saling berkunjung ke rumah masing-masing," ujarnya ketika ditemui di Sydney, Australia baru-baru ini. Bagi Fatimah, sifat Hero yang amat manja menyentuh hati sesiapa yang berpeluang berjumpa dengan kucing berjiwa kental itu. Hero disifatkan amat berhati-hati dengan orang lain mungkin disebabkan trauma akibat dizalimi manusia. Raut wajahnya mampu menerbitkan rasa belas kasihan biarpun individu tersebut tidak suka terhadap kucing. Sepanjang mengenali Hero, Fatimah melihat Hero menunjukkan perasaan sayang ke atas 'adik-adik' kucing terbiar lain yang ada di rumah Mohd. Hairey. Ketika mula-mula mendapat tahu tentang ketiadaan Hero yang pergi buat selama-lamanya, dia tidak berhenti mengalirkan air mata. "Sebelum ini, saya sudah diberitahu bahawa Hero tidak sihat dan dimasukkan ke wad. Tidak sangka begitu cepat dia pergi dan saya amat terkilan kerana tidak sempat menemuinya buat kali terakhir. "Hanya tiga perkataan yang boleh menggambarkan apa yang terjadi kepada Hero iaitu 'manusia yang zalim'," ujarnya dalam nada kesal. Tambah Fatimah, aura yang ada pada kucing jalanan bernama Hero yang dizalimi secara fizikal sangat dan berjaya menyatukan rakyat Malaysia. Media merupakan perantara yang memainkan peranan besar dalam persepaduan tersebut kerana berjaya menonjolkan semangat juang Hero yang cekal. Hero telah menjadi inspirasi kepada orang ramai yang sebelum ini tidak mahu ambil peduli perihal kucing jalanan. Ketika ini, Mohd. Hairey merupakan orang paling terkesan dengan kehilangan Hero. Dia menjaga kucing malang itu seperti anaknya sendiri sehingga ramai kenalan Mohd. Hairey memanggilnya dengan nama Papa Hero. "Ramai yang bersimpati dengan apa yang menimpa Hero. Namun, apa yang orang ramai tidak tahu ialah Hero sebenarnya sumber inspirasi kepada diri saya dan pencinta haiwan yang lain. "Hero disifatkan sebagai penggerak kepada saya dan kawan-kawan untuk meneruskan usaha menyelamatkan haiwan yang teraniaya dan tidak bernasib baik," ujar Papa Hero ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Terkini, Papa Hero sedang bergiat aktif dalam menggerakkan satu pertubuhan bukan kerajaan yang didaftarkan secara rasmi di bawah nama Pertubuhan Aktivis Haiwan (HERO) pada 6 Disember lalu. Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertubuhan tersebut boleh ke akaun Facebook, Pertubuhan Aktivis Haiwan - HERO. - NADIA SHAIFUL BAHARI | ||
Posted: Legasi peniaga pedati kudaPUSAT perkumpulan para peniaga pedati kuda di Baltimore sebelum mereka keluar berjaja di sekeliling bandar. CUACA nyaman pada hari itu dihiburkan dengan bunyi hentakan kuda yang membawa pedati di Jalan Orchard dalam bandar Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat (AS). Pedati itu dikendalikan dua lelaki, Yusuf Abdullah, 25, dan Jerry Powell, 47. "Anda mesti beli di sini. Kami menjual buah-buahan yang terbaik di kawasan ini dan akan berkunjung ke kawasan perumahan di seluruh bandar," teriak Powell lantas mengetuk pintu-pintu rumah sambil Abdullah membungkus beberapa biji mangga dan gugusan anggur untuk pelanggan. Pasangan itu akan mengulangi rutin itu sehingga kesemua buah epal, oren, pisang, kobis, tomato, timun dan delima habis dijual sebelum kuda pembawa pedati, Tony dikembalikan ke kandang. Powell dan Abdullah merupakan peniaga buah dan sayur yang menjalankan urusan jual beli menerusi pedati berhias. Gelaran bagi peniaga seperti mereka ialah arabber. Biarpun kumpulan peniaga seperti mereka telah merosot di AS, kelibat mereka masih dapat dilihat di merata kawasan di Baltimore yang diberi jolokan Charm City. "Saya tidak menyangka arabber masih diteruskan di Baltimore. Daripada satu atau dua pedati beberapa tahun lalu, kini ia meningkat menjadi lapan. Kami berharap jumlah itu akan terus meningkat pada tahun depan," ujar Dan Van Allen, wakil Persatuan Pemeliharaan Arabber yang ditubuhkan pada tahun 1994 yang bertujuan menyokong peniaga arabber. Tiada siapa tahu sejarah tercetusnya gelaran arabber. Satu teori popular mengatakan ia merupakan slanga kuno dalam kalangan orang jalanan. Wartawan legenda Baltimore, H.L. Mencken yang lahir pada tahun 1880 melaporkan dia pernah mendengar panggilan itu ketika zaman remaja. BALTIMORE satu-satunya negeri dalam Amerika Syarikat yang masih memelihara tradisi perniagaan menggunakan pedati kuda. Kekalkan warisan Sejak bergenerasi, sebelum pembentukan bandar-bandar, pusat beli-belah dan pasar raya, menjual makanan menggunakan pedati kuda adalah pandangan biasa di kebanyakan tempat di AS. Namun kini hanya Baltimore yang masih teguh mengekalkan warisan tersebut. "Ketika saya mula berniaga, terdapat kira-kira 20 pedati dan ekonomi juga stabil," imbas Powell yang telah dua dekad bergelar arabber. Seawal Subuh, trak membawa barangan segar tiba dari pasar borong Baltimore. Kemudian para arabber menyusun setiap barangan jualan di dalam ruangan pedati masing-masing sebelum keluar berjaja. "Kebanyakan orang tua tidak larat keluar rumah. Jadi kami bawa barangan basah kepada mereka," tambah Powell yang telah melakukan pelbagai kerja tetapi memilih arabber sebagai profesion istimewa. Pelanggan-pelanggan terawal kebiasaannya terdiri daripada penunggang motosikal yang membeli beberapa biji buah sebagai sarapan. Pembantu Powell, Abdullah pula cekap mengira dan mengingati setiap harga barangan. Tanpa gangguan tuan tanah atau bil utiliti, kos modal arabber amat rendah dan secara tidak langsung membolehkan mereka menjual barangan pada harga lebih murah berbanding pasar raya. Di atas Bukit Marble yang menempatkan perumahan vintaj pula, Powell sering berurus niaga dengan pelanggan tetapnya, Bryant Alexander yang berusia 67 tahun. "Ia memudahkan saya dan barangan yang dijual mempunyai kualiti lebih baik berbanding pasar raya. Secara peribadi, arabber perlu disenaraikan dalam status sejarah," luah Alexander. Para arabber juga tidak berdepan masalah bagi mendapatkan kelengkapan pedati dan kuda kerana komuniti yang menjual barangan kuda tulen yang dipanggil Amish hanya berada berdekatan pusat bandar. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |