Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Posted: 22 Dec 2013 04:38 AM PST Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH SAMPAI bila perlu makan gaji? Ayat ini mungkin tidak pernah dipedulikan oleh mereka yang sudah berada di 'zon selesa' walaupun kadang-kala pernah dicuit oleh persoalan itu. Pun begitu, mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan duduk di rumah untuk menjadi suri rumah sepenuh masa bagi wanita profesional seperti jurutera, doktor, peguam, pensyarah dan arkitek, mungkin sesuatu yang agak merugikan. Apatah lagi dengan jumlah tenaga wanita dalam bidang profesional di negara yang masih jauh berkurangan. Bagaimanapun perkembangan ini sebenarnya sesuatu yang baik buat ekonomi negara kerana wanita profesional ini memilih untuk membuka syarikat sendiri. Langkah wanita profesional seperti ini wajar dijadikan contoh kepada wanita lain di luar sana supaya tidak mensia-siakan kebolehan yang dimiliki. Vene Amylinda Mohd .Pilus, 42, antara wanita profesional yang makan gaji untuk 15 tahun sebelum ini. Bekas jurutera ini mengakui kerja makan gaji sebenarnya banyak menyekat kebolehan yang dimiliki oleh seseorang. "Nama pun bekerja dengan orang, tidak semua idea saya boleh diterima majikan. Kebetulan, bidang saya ini dimonopoli golongan lelaki. "Adatlah kerja makan gaji tetapi saya gunakan peluang itu untuk mempelajari selok-belok yang berguna jika ingin membuka perniagaan sendiri," katanya. Dari situ, Vene belajar tentang pengurusan perniagaan yang sememangnya memberikan pengalaman begitu berharga. Setelah selesa, Vene nekad berhenti kerja dan memberi fokus kepada perniagaan. "Di sini bergunanya pengalaman dalam bidang kejuruteraan untuk memulakan perniagaan sendiri," katanya. Cerita Vene, bertukar bidang bukan sesuatu perkara yang mudah tetapi pengalaman sebagai jurutera membiasakan dirinya dengan kerja lapangan, kajian dan penyelidikan. Pengalaman itu jugalah yang digunakan dalam menghasilkan produk terutama berkaitan kecantikan. Vene lebih selesa jika penyelidikan bahan dilakukan terlebih dahulu sebelum dijual kepada pengguna. Tidak hairanlah krim pelangsing Vene mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan. "Saya berhasil menghasilkan produk pertama Vene iaitu krim pelangsing dalam tempoh enam bulan. Ini semua hasil sokongan suami yang banyak membantu," katanya. Pencapaian itu suatu yang membanggakan memandangkan jangkaan awalnya dia hanya mahu menjadi suri rumah dan berniaga secara sambilan. Ekoran keserasiannya dengan dunia perniagaan, Vene mengembangkan perniagaan dengan memperkenalkan duta produknya yang juga pelakon, Wilma. Walaupun perlu berbelanja besar untuk promosi, dia menganggapnya berbaloi kerana hasilnya menyaksikan jualan produk yang memberangsangkan sehingga mencecah 50,000 unit. "Ada beberapa kriteria saya memilih Wilma. Mudah dan senang bekerja dengannya. Selain itu, dia bukan sahaja cantik tetapi matang. "Saya juga mahu Vene dikenali sebagai produk Muslimah dan Wilma menampilkan ciri-ciri yang saya mahukan itu. "Tambahan pula dia masih kelihatan menarik walaupun sudah beranak lima," katanya yang merancang memasarkan Vene ke Singapura, Indonesia dan Brunei dalam skala besar. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |