{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Pemuda Johor bantu mangsa banjir

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

HAHASRIN Hashim (tengah, topi putih) bertanyakan khabar mangsa banjir di pusat pemindahan mangsa banjir di Kampung Pogoh 2, Segamat, Johor, kelmarin. - BERNAMA

SEGAMAT 7 Dis. - Seramai 50 orang sukarelawan Sekretariat Bertindak Bencana Pemuda UMNO Johor turun padang melawat beberapa pusat pemindahan banjir yang masih dibuka di daerah ini semalam sambil menghulurkan sedikit bantuan berupa barangan keperluan harian.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim berkata, usaha sukarelawan sekretariat yang baru ditubuhkan itu bertujuan membantu meringankan beban serta memberi semangat kepada mangsa yang sedang berdepan dengan musibah.

"Secara asasnya, gerakan ini merupakan pertama kali melibatkan setiap ahli Pemuda di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya negeri untuk turun membantu mangsa-mangsa banjir yang terdapat di pusat pemindahan seperti yang kami lakukan hari ini.

"Antara pusat pemindahan banjir yang kami kunjungi hari ini ialah di Balai Raya Gemereh 4, Kampung Batu Badak dan Balai Raya Kampung Pogoh 2 yang jumlah mangsa banjirnya masih mencatatkan jumlah yang ramai setakat hari ini," katanya kepada Utusan Malaysia.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Segamat, Bastien Onn dan Ketua Pemuda UMNO Sekijang, Salleheen Mohamad serta beberapa lagi ketua pucuk pimpinan Pemuda UMNO negeri.

Menurut Hahasrin, sukarelawan sekretariat itu akan bertindak sebagai satu pasukan untuk memberi bantuan sekiranya terdapat sebarang kejadian bencana di negeri ini selaras dengan usaha Pemuda UMNO Pusat yang menubuhkan Briged Kesatria yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Selain itu sekretariat tersebut juga mendapat kerjasama daripada Yayasan Sukarelawan Siswa dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk membantu melaksanakan kerja-kerja sukarelawan.

"Harapan kami ialah apa yang kami lakukan ini dapat memberi semangat serta kekuatan kepada mangsa untuk menghadapi musibah yang menimpa dengan penuh kesabaran dan sumbangan yang kami hulurkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.

"Kami juga telah mengadakan perbincangan dengan wakil pusat pemindahan bagi mengenal pasti barangan yang diperlukan dan seboleh-bolehnya tidak mahu sumbangan yang dihulurkan bertindih atau sama dengan sumbangan daripada agensi lain yang turut menghulurkan bantuan," katanya.

Unit khas kawal kebakaran bangunan bakal diwajibkan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

JOHOR BAHRU 7 Dis. - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan penubuhan Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) di semua bangunan dalam usaha mengurangkan kes kebakaran yang menyebabkan kerugian besar.

Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Daud berkata, pendekatan yang diusulkan tersebut kini diteliti kerana melihat kepentingan unit tersebut dalam tindakan awal memadamkan kebakaran apatah lagi bagi bangunan dalam kawasan perindustrian.

"Jika sebelum ini, pemilik hanya menepati syarat bagi mendapatkan sijil menduduki dengan penyediaan alat pemadam api dan salur bantu mula, tetapi kebanyakan mereka tidak tahu menggunakannya.

"Menyedari keadaan itu, penubuhan ERT harus dipandang serius kerana boleh memberi bantuan awal selain dapat mengawal kebakaran sekiranya terjadi dan boleh mengurangkan nilai kerugian," katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran dan Latihan Pemantapan ERT di sini semalam.

Menurut Ab. Ghani, buat masa ini sebanyak 1,103 kilang telah menyediakan ERT dan 102 di peringkat permohonan serta 36 dalam tindakan kelulusan.

Beliau berkata, unit tersebut sekurang-kurangnya terdiri daripada 10 orang yang disarankan agar bertugas mengikut syif selama 24 jam.

"Saya juga mencadangkan pekerja yang menyertai ERT diberikan insentif kerana selain menjalankan tugas hakiki sebagai pekerja mereka juga bertindak sebagai anggota penyelamat.

"Majikan juga dinasihatkan membeli kelengkapan, kemudahan dan pakaian sesuai bagi pasukan ERT," katanya.

Empat beradik yatim piatu mohon bantuan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Siti Nur Izzahtul Atiqah Suhami menunjukkan gambar Muhd. Nur Izzat Amirul Amin yang cacat dan Siti Nur Izzati Afiqah ketika ditemui di pejabat seorang ahli perniagaan yang prihatin di Impian Emas, Skudai, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 7 Dis. - Malang bertimpa bagi seorang gadis, Siti Nur Izzahtul Atiqah Suhami, 20, kerana bukan sahaja kehilangan ibu tercinta pada 26 November lalu malah kini menjadi satu-satunya sandaran harapan tiga adik-beradiknya.

Dengan keadaan kakak sulung, Siti Nur Izzah Rabiatul Adawiyah, 21, dan adik bongsu, Muhd Nur Izzat Amirul Amin, 11, yang dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) dan memerlukan perhatian setiap masa, gadis itu kini dalam keadaan tidak keruan genap seminggu ibu mereka, Zaiton Haliman, meninggal dunia akibat barah payu dara.

Menurut Siti Nur Izzahtul Atiqah, dia juga berasa kasihan dengan keadaan satu-satu adiknya yang normal, Siti Nur Izzati Afiqah, 17, pelajar Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru yang terpaksa menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun ketika ibu meninggal dunia.

"Dua tahun lalu bapa kami meninggal dunia pada hari yang sepatutnya menjadi sejarah membanggakan keluarga kerana dia mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Kali ini ibu pula meninggalkan kami dalam keadaan dia sedang menempuh SPM. Saya tidak tahu bagaimana perasaannya ketika dia menjawab soalan peperiksaan," katanya ketika ditemui di pejabat seorang ahli perniagaan yang prihatin di Impian Emas, Skudai di sini hari ini.

Siti Nur Izzahtul Atiqah berkata, setakat ini bantuan yang diterimanya ialah RM450 iaitu RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk kakak sulung dan bakinya untuk adik bongsu namun pemergian mengejut ibu membuatkan dia tersentak dengan suratan takdir.

Sewaktu ibu masih hidup, katanya, permohonan bantuan juga telah dihantar kepada Baitulmal namun gagal atas alasan keluarga mereka sudahpun menerima bantuan daripada JKM sedangkan pendapatan keluarga ketika itu tidak mencukupi.

"Saya akan cuba memohon sekali lagi kepada Baitulmal kerana gaji saya sebagai pekerja kilang tidak cukup untuk menampung kehidupan tiga beradik yang lain.

"Saya juga harap JKM dapat memberi bantuan lebih lagi kerana kini kami adalah anak yatim piatu tanpa tempat bergantung. Selain itu, saya juga berharap satu-satunya adik saya yang normal dapat meneruskan pelajarannya demi masa depan yang lebih cerah untuk dia dan kami sekeluarga," ujarnya.

Orang ramai yang prihatin dan berhasrat menghulur bantuan boleh berbuat demikian dengan membuat sumbangan ikhlas ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Siti Nur Izzahtul Atiqah, 01002-41- 00001290-3.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat