Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Terima dengan hati terbuka
- Harapkan padang dapat belukar
- Segera bertindak terhadap aduan lampu jalan tidak berfungsi
Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST Orang ramai boleh bersiar melihat keindahan alam semula jadi selepas Johor membuat pertukaran cuti mingguan kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuat kuasa 1 Januari tahun depan di Taman Negara Tanjung Piai, Pontian. - BERNAMA Saudara Pengarang, SEBAGAI anak jati Johor, kami menjunjung kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tentang pertukaran cuti mingguan kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuat kuasa 1 Januari tahun depan. Pelaksanaan cuti baharu dari hari Ahad kepada Jumaat itu adalah sesuatu yang sangat baik, apatah lagi hari Jumaat adalah penghulu segala hari bagi umat Islam. Sebagai umat Islam, kita seharusnya menggunakan keberkatan hari Jumaat untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut dan disunatkan, apatah lagi dapat dilakukan dengan keadaan yang lebih selesa. Ini kerana, jika kita perhatikan pada masa kini, orang lelaki terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat, waktu khutbah pula sering dijadikan sebagai waktu untuk berehat dan tidur. Selepas selesai solat Jumaat pula, mereka bergegas bangun dan meninggalkan masjid sehingga ada yang tidak sempat untuk menunggu imam membaca doa. Bagi saya, tiada masalah rakyat negeri ini cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu kerana Johor pernah menjadikan hari Jumaat sebagai cuti hujung minggu sebelum tahun 1994. Saya juga berpendapat bahawa cuti hujung minggu yang baharu ini juga secara tidak langsung akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan merancakkan aktiviti perniagaan penduduk di negeri ini. Ini kerana ramai pelancong warga Singapura yang gemar berkunjung dan membeli-belah di Johor pada waktu cuti khususnya pada hujung minggu. Justeru, pertukaran cuti itu memberi peluang kepada golongan peniaga di negeri itu untuk menumpukan aktiviti jual beli mereka pada hari Ahad berikutan ramai pelancong Singapura yang berkunjung ke Johor pada hari tersebut. Selain itu, hari Jumaat dan Sabtu boleh dimanfaatkan warga Johor untuk membeli-belah dan bersiar-siar tanpa perlu bersesak manakala hari Sabtu dan Ahad pula untuk warga Singapura dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya Johor Bahru dan bandar sekitarnya. Seperkara yang saya ingin sentuh supaya semua pihak dapat menerima titah Sultan Johor ini dengan hati terbuka. Jangan menggunakan emosi sehingga membuat kenyataan yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama di negara ini menerusi laman-laman sosial seperti Facebook dan sebagainya. Semoga tahun depan memberi lembaran baharu kepada kita semua. ANAK JATI JOHOR Johor Bahru |
Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST Kawasan yang sepatutnya dibina padang telah bertukar menjadi belukar di Batu 3, Jalan Lombong, Kota Tinggi, baru-baru ini. Saudara Pengarang, LEBIH dua tahun lalu penduduk di sekitar Batu 3, Jalan Lombong, Kota Tinggi mendapat khabar gembira apabila sebuah padang permainan atau bola sepak akan dibina di kawasan ini. Pembinaan padang tersebut menerusi Projek Infrastruktur Asas (Pias) adalah di bawah pelaksanaan Pejabat Daerah Kota Tinggi. Namun, apa yang dapat dilihat sekarang projek yang dijadualkan siap pada 29 Ogos 2011 itu sebenarnya boleh diungkapkan sebagai 'janji kosong' kerana sehingga kini padang tersebut masih tidak kelihatan. Lokasi yang sepatutnya menjadi kawasan riadah penduduk sekitar bertukar menjadi semak samun yang memungkinkan menjadi habitat binatang berbisa. Mungkin kerana kedudukannya yang tidak strategik menyebabkan sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu tidak akan menyedari wujudnya sebuah padang di situ, sebab itulah padang berkenaan tidak dibina. Tambahan pula simpang masuk ke kawasan itu yang kecil dan terlindung turut boleh mengundang bahaya kepada pengguna yang melalui jalan tersebut. Persoalannya, sampai bila kawasan yang dijanjikan menjadi sebuah padang itu dibiar begitu sahaja tanpa diselenggara dan dipantau pihak yang bertanggungjawab? |
Segera bertindak terhadap aduan lampu jalan tidak berfungsi Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST JUGA BEKERJA Saudara Pengarang, SAYA dapati lampu jalan di antara Pekan Jabi ke Kampung Rasau, Segamat tidak berfungsi dari waktu senja hingga ke pagi. Laluan tersebut gelap, berselekoh dan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan. Mustahil tiada sesiapa yang membuat aduan dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Segamat juga mustahil tidak melalui jalan tersebut. Saya pernah membuat aduan tentang lampu jalan yang tidak berfungsi pada waktu malam ini kepada pihak yang berkenaan. Penerimaan aduan memaklumkan pihak TNB akan mengambil tindakan dalam tempoh 48 jam. Mengapa 48 jam sedangkan lokasi yang dilaporkan tidak sampai 10 minit perjalanan kenderaan dari TNB Segamat. Malah, lokasi berkenaan juga adalah dalam taman perumahan, tidak jauh dari rumah salah seorang pegawai TNB daerah, bukan kawasan kampung yang sukar untuk dikunjungi. Suatu ketika dahulu, pihak TNB juga pernah memberi jawapan kerosakan lampu akan dibaiki jika petugas TNB melalui jalan berkenaan. Apabila aduan yang sama dimaklumkan kepada salah seorang saudara yang bertugas di ibu pejabat TNB Kuala Lumpur yang kemudiannya menghubungi petugas TNB daerah, boleh pula petugas TNB daerah tiba di lokasi yang dilaporkan tidak sampai sejam selepas itu. Sebagai pengguna, kami faham tugas TNB semakin bertambah seiring dengan pertambahan kawasan penempatan seperti juga tugas posmen, tetapi apabila menerima aduan diharap tindakan segera dapat diambil. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |