Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN Omar Awang menunjukkan salah satu lokasi bahu jalan yang tidak dikambus dengan baik oleh kontraktor di Jalan Permata Jaya di Kampung Ampang Campuran, Ampang, Selangor. Gambar kanan pula menunjukkan air keluar dari kawasan yang dikorek dan tidak diturap semula, berkemungkinan akibat paip bocor. - UTUSAN/JEFFRI IRAN KUALA LUMPUR 10 Dis. - Kerja-kerja mengorek tanah di bahu jalan yang didakwa membabitkan kerja penggantian paip air menimbulkan tanda tanya kepada penduduk sekitar kawasan Kampung Ampang Campuran dekat sini. Penduduk mendakwa, kerja-kerja tersebut telah menyebabkan masalah gangguan bekalan air berlaku di sekitar kawasan berkenaan termasuk di Lorong Ikan Emas, Taman Permai Jaya, Taman Tasik Tambahan, Taman Faruza dan Kampung Tasik Permai. Aktivis masyarakat, Datuk Omar Awang berkata, masalah tersebut telah berlarutan sejak enam bulan lalu dan mereka tidak diberikan sebarang notis mengenai gangguan bekalan air. "Kami telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) berhubung masalah tersebut. Mereka mengatakan berlaku paip pecah di kawasan ini. "Mereka (Syabas) memberi jaminan akan menyiasat perkara tersebut. Namun, hingga kini gangguan bekalan air masih berulang dan berlaku tidak tentu masa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Menurut Omar, kerja-kerja tersebut juga telah menyebabkan permukaan jalan menjadi rosak dan berlubang selain kerja-kerja tidak disiapkan mengikut jadual. "Saya masih tidak tahu apa kerja yang mereka buat. Sebanyak 2,000 liter air tangki di rumah saya telah habis digunakan. "Paip-paip yang bergulung dibiarkan begitu sahaja dan tiada tindakan penyelesaian dibuat sehingga kini," jelasnya. Seorang penduduk yang ditemui, Zuraidah Isa, 49, jelas kecewa kerana gangguan bekalan air yang kerap melanda kawasan perumahan mereka di Lorong Ikan Emas. "Minggu lalu tiada bekalan air secara tiba-tiba. Sekejap ada sekejap tak ada. Nasib baik ada air tangki, kami juga tidak diberikan sebarang notis berhubung gangguan tersebut. Kejadian itu benar-benar mengganggu rutin kami sekeluarga," jelasnya. Seorang lagi penduduk, yang hanya mahu dikenali sebagai May, 50, pula berkata, masalah tersebut menjejaskan aktiviti harian mereka kerana beberapa kali gangguan bekalan air melanda kawasan perumahan itu. "Nak mencuci pakaian pun susah sebab tiada bekalan air. Kadang-kadang tekanan air amat rendah. Kami juga hairan kenapa masih berlaku hingga sekarang," dia merungut. Sehubungan itu, mereka mahu pihak Syabas memberikan penjelasan dan menyelesaikan masalah tersebut dengan segera. Sementara itu, Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata pihaknya akan menyiasat mengenai masalah itu sebelum memberi maklum balas dalam masa terdekat. |
Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST Oleh ABDUL RAZAK IDRIS Mohd. Jaafar Mohd. Atan (tiga dari kiri) mendengar penerangan dari kakitangan UFSM sambil diperhatikan oleh Matt Wilke (dua dari kiri) pada Program Chefmanship Academy di Wisma MBSA, Shah Alam, Selangor, semalam. SHAH ALAM 10 Dis. - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menempatkan penjaja-penjaja di bandar raya ini di bawah satu bumbung bagi meningkatkan mutu kebersihan penyediaan makanan. Datuk Bandar, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan berkata, konsep berniaga di bawah satu bumbung yang popular dalam kalangan peniaga kaum Cina bukan sahaja menguntungkan pemilik premis malah memberi manfaat dari segi kualiti masakan. "Kebiasaannya peniaga berketurunan Tionghua akan membuka pelbagai gerai di restoran miliknya. "Pemilik restoran tersebut hanya akan menjual minuman sahaja dan akan mendapat keuntungan daripada gerai-gerai yang disewakan. Konsep berkenaan akan kami laksanakan juga di Shah Alam," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Chefmanship Academy bersama Unilever Food Solutions Malaysia (UFSM) di Wisma MBSA di sini hari ini. Yang hadir sama ialah Pengurus Besar UFSM, Matt Wilke dan Timbalan Datuk Bandar, Mohtar Hani. Mohd. Jaafar berkata, cadangan pembelian bangunan bagi menempatkan penjaja-penjaja berkenaan akan dibentangkan kepada ahli-ahli MBSA bagi mendapatkan kelulusan. "Jika pembelian bangunan bagi tujuan penempatan penjaja tersebut diluluskan kemungkinan besar (konsep itu) akan mula beroperasi paling awal pada pertengahan 2014," katanya. Sementara itu, mengenai program Chefmanship Academy, Wilke berkata, UFSM akan terus bekerjasama dengan MBSA untuk mempromosikan amalan kebersihan dalam penyediaan makanan. "Saya gembira kerana kerjasama antara UFSM dan MBSA dapat diteruskan selepas pelancaran program Chefmanship Academy Julai lalu. Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memastikan peniaga makanan hanya menyediakan makanan yang bersih dan lazat untuk dihidangkan kepada orang ramai," katanya. |
Ibu tunggal gembira dapat menginap di PPR Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST P. Gunaseelan (duduk tiga dari kanan) beramah mesra dengan salah seorang daripada 22 penerima surat tawaran menduduki rumah PPR dalam majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini. KUALA LUMPUR 10 Dis. - Tiada yang lebih bermakna untuk menyambut tahun baharu 2014 bagi seorang ibu tunggal ini apabila akhirnya rumah yang menjadi idaman berjaya dimiliki. Walaupun hanya sebuah unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), namun jauh lebih baik daripada terpaksa menyewa sebuah bilik bersama dua yang lain di sebuah flat usang di Brickfields. Saraspathy Nadeesan 45, ibu tunggal kepada lima orang anak berkata, setelah hampir dua tahun menyewa sebuah bilik yang sempit bersama tiga orang anak, beliau begitu gembira kerana akhirnya akan berpindah ke rumahnya sendiri di PPR Bukit Jalil. "Seorang anak saya telah berkahwin, sudah tidak tinggal bersama saya manakala seorang lagi sedang mengikuti pengajian kedoktoran di Indonesia. Kami tidak sabar untuk berpindah ke rumah baharu," katanya. Beliau berkata demikian pada Utusan Malaysia selepas menerima surat tawaran berpindah ke rumah PPR yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), P. Gunaseelan di DBKL di sini, baru-baru ini. "Pemberian (surat tawaran) ini sangat bermakna buat ibu tunggal seperti saya. Setelah sekian lama menumpang di rumah saudara mara dan menyewa bilik, kini akhirnya mempunyai rumah saya sendiri. "Lebih-lebih lagi apabila rumah flat yang saya sewa akan dirobohkan tidak lama lagi kerana telah berusia lebih dari 40 tahun menyebabkan saya agak panik kerana tidak tahu hendak bawa diri ke mana. "Tetapi akhirnya setelah puas berulang alik ke pejabat MIC dan DBKL, akhirnya permohonan saya diterima untuk layak menerima sebuah rumah di PPR Bukit Jalil," katanya. Saraspathy turut berharap agar terdapat kemudahan pengangkutan awam untuk beliau berulang alik ke tempat kerja, iaitu di Hotel Istana. Saraspathy adalah antara 10 ibu tunggal dan 12 keluarga miskin yang menerima tawaran rumah PPR dari DBKL dengan kebanyakan mereka telah memohon lebih dari lima tahun untuk mendapat rumah tersebut. Gunaseelan berkata, sehingga kini hanya terdapat 3,000 buah rumah PPR yang mampu ditawarkan oleh DBKL sedangkan terdapat lebih daripada 50,000 permohonan untuk mendiami rumah berkenaan. "Maka pada hari ini memang terdapat satu keperluan yang sangat mendesak ke atas pihak kerajaan dan swasta bagi menyediakan lebih banyak rumah PPR dan rumah mampu milik untuk warga Kuala Lumpur. "Bagi setiap kawasan di Kuala Lumpur yang ada potensi untuk didirikan projek perumahan, saya berharap agar keutamaan diberikan kepada pembinaan rumah kos rendah atau mampu milik demi memberikan keselesaan kepada rakyat terutama bagi golongan sederhana dan miskin," katanya. Dalam pada itu beliau meminta agar pemohon-pemohon yang ingin mendapatkan rumah dari DBKL perlu mengemas kini permohonan mereka agar dapat diberi perhatian segera. "Oleh kerana kejayaan permohonan berdasarkan sistem merit, pemohon perlu mengemas kini rekod mereka pada kadar segera bagi membolehkan merit itu dinaikkan. "Jika dahulunya pemohon tidak mempunyai tanggungan atau tanggungannya semakin bertambah maka ini perlu diberitahu kepada DBKL supaya mereka yang benar-benar layak akan ditawarkan rumah-rumah bagi mengurangkan bebanan yang mereka tanggung dengan kadar sewa yang tetap, iaitu hanya RM124 sebulan atau RM4 sehari," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |