Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
Posted: 19 Dec 2013 11:25 AM PST Oleh FAZRINA AYU RADUIAN Pengarah Pendidikan Selangor, Datuk Mahmud Karim berkata, pencapaian calon yang mendapat gred A menurun sebanyak 259 orang (0.04 peratus) iaitu daripada 6,739 orang (8.57 peratus) pada tahun 2012 kepada 6,480 orang (8.53 peratus) pada tahun 2013. "Gred Purata Negeri (GPN) menunjukkan peningkatan kualiti sebanyak 0.02 mata dari 2.59 pada 2012 kepada 2.57 pada 2013, manakala peratus lulus (ABCD) pada tahun ini meningkat sebanyak 1.27 peratus iaitu daripada 73.81 peratus pada tahun 2012 kepada 75.08 peratus pada 2013. "Malah, pencapaian bagi calon Berkeperluan Khas bagi tahun ini yang melepasi tahap penguasaan minimum (tidak termasuk semua A, AB dan ABC) tahun ini meningkat daripada 13 orang pada tahun 2012 kepada 53 orang pada tahun 2012," katanya ketika mengumumkan keputusan PMR 2013 di Pejabat Pelajaran Selangor di sini. Tambah Mahmud, bagi calon bandar dan luar bandar pula secara keseluruhannya menunjukkan pencapaian yang semakin baik di mana bilangan calon luar bandar yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran meningkat daripada 926 orang pada tahun 2012 kepada 1,045 pada tahun 2013. "Jurang perbezaan pelajar lulus (A, B, C, D) di antara bandar dan luar bandar semakin mengecil apabila perbezaan peratus lulus pada 2012 dan 2013 semakin berkurangan daripada 7.06 peratus kepada 6.30 peratus," katanya. Ketika ditanya mengenai peratusan lulus antara calon bandar dan luar bandar semakin mengecil, beliau berkata, kejayaan melaksanakan program 'dialog prestasi' kepada sekolah luar bandar pada tahun lalu membuahkan hasil apabila jurang semakin rendah. "Melalui dialog tersebut, kami telah mengenal pasti kelemahan dan memberi fokus kepada pelajar dan sekolah tersebut. Kami akan meneruskan program ini pada tahun depan dalam memastikan kualiti dan prestasi pelajar terus meningkat dari tahun ke tahun," katanya. |
Khairul Afhan hadiah kejayaan kepada ibu Posted: 19 Dec 2013 11:25 AM PST PUTRAJAYA 19 Dis. - Kehilangan ayah tersayang dan kemudian terpaksa memasuki kelas pemulihan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tidak mematahkan semangat seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Khairul Afhan Zawawi memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran. Khairul Afhan, 15, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata, pada mulanya dia tidak berkeyakinan untuk memperoleh keputusan cemerlang apabila mendapat keputusan kurang memberangsangkan dalam peperiksaan percubaan. Namun, katanya, berkat doa keluarga dan usaha berterusan tanpa jemu akhirnya berjaya membuahkan hasil. "Saya bersyukur dengan keputusan ini kerana dapat menghadiahkan kejayaan kepada ibu yang bersusah-payah membesarkan saya menerusi pendapatan menjahit sejak ayah sakit dan meninggal dunia akibat kanser usus pada tahun lepas. "Kehilangan ayah memberikan sumber kekuatan kepada saya untuk berjaya kerana ketika di akhir hayat arwah, dia sudah tidak mampu bercakap dan hanya terbaring menyebabkan saya menanam tekad untuk berjaya dan menjadi doktor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Dalam pada itu, seorang lagi calon cemerlang sekolah itu, Mohamad Izzuddin Abd. Ghafar, 15, mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua, terutama keluarga dan guru yang memberikan tunjuk ajar tanpa jemu. Anak bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud itu berkata, dia agak terkejut dengan keputusan cemerlang tersebut kerana ketika peperiksaan percubaan hanya memperoleh 1A sahaja. "Tekanan sebagai anak kepada Ketua Pengarah Pelajaran di samping perlu mendapat keputusan yang cemerlang memang memberi kesan kepada saya sehingga terpaksa berjumpa dengan kaunselor untuk mendapatkan nasihat. "Mujur saya mempunyai ibu bapa yang memahami, di samping mendapat tunjuk ajar daripada guru yang tidak memberikan sebarang tekanan untuk mencatatkan keputusan cemerlang," katanya. Sementara itu, pengetua sekolah itu, Haidzir Hussin berkata, prestasi sekolah tersebut meningkat tahun ini di mana sebanyak 85 peratus daripada 160 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran. "Seramai 133 calon berjaya memperoleh gred A dalam semua subjek berbanding hanya 109 calon yang mendapat keputusan sama pada tahun lalu. Kami juga berjaya mencatatkan keputusan tiada pelajar yang mendapat gred C atau D dalam mana-mana mata pelajaran. "Di samping itu, sekolah ini juga berjaya mendapat Gred Purata Nasional (GPN) 1.027 dan berjaya menempatkan diri dalam lingkungan lima buah sekolah berasrama penuh cemerlang di seluruh negara," katanya. |
Warga asing sewa PPR, PA diusir Posted: 19 Dec 2013 11:25 AM PST Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD ANGGOTA Penguat Kuasa DBKL terpaksa memotong kunci jeriji sebuah unit PPR selepas warga asing yang menghuninya enggan membuka pintu semasa operasi penguatkuasaan di Kuala Lumpur, malam semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON KUALA LUMPUR 19 Dis. - Ketika masih ramai pemohon belum mendapat rumah, segelintir penyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) mengkhianati negara ini apabila mengaut untung dengan menyewakan rumah mereka, malah kepada warga asing. Perbuatan khianat mereka membawa padah malam tadi apabila unit-unit terlibat diserbu oleh Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, selaku penyelia rumah jenis itu di ibu negara, dalam operasi malam tadi. Dalam operasi itu, 11 warga asing diusir dari dua PPR dan dua PA. Tiga unit rumah di PA Sri Kelantan, masing-masing sebuah di PA Sri Negeri Sembilan, PPR Taman Wahyu dan PPR Batu Muda turut disita pihak berkuasa tempatan itu. Timbalan Pengarah Kanan Unit Penguatkuasaan dan Pembangunan Komuniti, Jabatan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Shaari Yusof berkata, empat warga asing itu turut ditahan kerana tidak memiliki permit perjalanan yang sah. Menurutnya, tiga lelaki Bangladesh yang menyewa di PPR Taman Wahyu dan seorang wanita Indonesia yang tinggal di PA Sri Negeri Sembilan diserahkan kepada Jabatan Imigresen selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan masing-masing. Warga asing yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah pula dibenarkan membawa keluar barang masing-masing dari rumah yang didiami sebelum disita DBKL. "DBKL juga sudah menyenarai hitam penyewa asal yang terdiri daripada warga tempatan kerana menyewakan kediaman mereka kepada warga asing. "Mereka juga tidak dibenarkan merayu untuk mendapatkan kembali unit masing-masing ataupun bagi membuat permohonan baharu," katanya dalam sidang akhbar selepas operasi itu malam tadi. Seramai 50 kakitangan DBKL, 11 anggota Jabatan Imigresen dan sepuluh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam operasi yang bermula pukul 10 malam dan berakhir kira-kira dua jam kemudian. Yang turut hadir dalam operasi itu, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz dan Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Mohammad Ghazali Nor. Tambah Shaari, terdapat penyewa tempatan dikesan mengaut untung berlipat kali ganda apabila mengenakan sewa kepada warga asing sehingga RM600 sebulan berbanding kadar RM124 yang ditetapkan DBKL. "Malah, ada yang mengenakan bayaran mengikut kepala iaitu RM120 seorang dan menyebabkan rumah tersebut seperti 'tin sardin' kerana didiami hampir sepuluh warga asing," katanya. Tegas beliau, operasi tersebut akan diteruskan pihaknya dalam tempoh terdekat bagi memastikan kegiatan terbabit dibendung. Sementara itu, dalam operasi malam tadi, ada warga asing yang enggan membuka pintu rumah sehingga menyebabkan kakitangan DBKL terpaksa memecah masuk. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |