{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Realiti politik Melayu-Islam

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid

Semasa menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2013, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri menekankan bahawa demi masa depan yang gemilang, UMNO perlu mentransformasikan dirinya sebagai parti masa depan dan bukannya kekal sebagai parti masa silam.

Ertinya, semua pemimpin dan ahli UMNO perlu memahami semangat zaman. Dalam istilah sosiologi Jerman ialah zeitgeist. Berdasarkan pengertian istilah itu, setiap ahli UMNO mestilah tahu menyesuaikan diri dengan keperluan semasa dan tidak lagi boleh bernostalgia dengan masa silam, walaupun masa silam itu telah memunculkan era kegemilangannya.

Seorang pakar motivasi terkenal Zig Ziglar pernah berkata, orang tidak lagi kagum dengan seseorang yang mampu menjual sejuta unit dalam tempoh yang singkat pada suatu masa kalau orang itu tidak mampu mengatasi masalah semasa yang dihadapinya (baca Zig Ziglar, See You At The Top, 1975).

Begitu juga dengan UMNO. Untuk menjadi sebuah parti politik yang terus relevan dan kekal untuk tempoh yang lebih panjang, setiap ahlinya perlu melakukan transformasi selepas Perhimpunan Agung UMNO 2013 berakhir.

Masanya sudah dianggap suntuk, kerana untuk tempoh lima tahun akan datang, khususnya Pilihan Raya Umum Ke-14, sokongan golongan muda tetap menjadi sesuatu yang amat kritikal dan ketika itu, mereka dijangka membentuk lebih separuh daripada jumlah pengundi berdaftar.

Misalnya, Pergerakan Puteri UMNO mencadangkan agar mereka yang berumur 18 tahun ke atas dapat diterima secara automatik jadi ahli Puteri, tidak perlu bersusah payah mengisi borang dan cukup hanya dengan mendaftar diri.

Jika cadangan ini dilaksanakan, bermakna UMNO bakal mempunyai barisan pelapis yang besar dan perlu pula mentransformasikan penyampaiannya bukan lagi berdasarkan konsep satu saiz boleh muat atau padan dengan semua orang.

Memang diakui, UMNO sudah hampir pulih daripada gelora kemarahan golongan muda jika dibandingkan dengan pencapaian pada PRU-12. PRU-13, UMNO berjaya menguasai 88 kerusi Dewan Rakyat iaitu meningkat sebanyak 9 kerusi daripada PRU-12, tetapi itu belum menggambarkan parti itu berkeadaan selesa. Bagaimanapun, secara realitinya, undi popular yang diperoleh BN merosot berbanding sebelumnya.

Inilah sebenarnya yang perlu difikirkan sedalam-dalamnya oleh setiap ahli UMNO seandainya mahu mengekalkan kedudukan sebagai parti yang dominan pada masa depan. UMNO juga harus belajar daripada kesilapan sejarah, seperti mana yang disifatkan secara sinisnya oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, UMNO adalah sebuah parti yang sudah tua, yang mungkin akan lenyap pada bila-bila masa sekiranya proses peremajaan tidak berlaku dengan berkesan.

Pemimpin dan seluruh ahli UMNO perlu meneliti secara serius sejarah kegemilangan Islam di Andalusia, yang walaupun pernah menjadi sebuah kerajaan yang berpengaruh dan kuat selama hampir 800 tahun, akhirnya tumbang dengan mudah dibelasah oleh ketumbukan askar Kristian.

Analisis yang dibuat oleh seorang pakar sejarah berdasarkan sumber berbahasa Arab, Prof. Dr. Raghib as-Sirjani, Bangkit dan Runtuhnya Andalusia: Jejak Kejayaan Peradaban Islam di Sepanyol (edisi terjemahan bahasa Indonesia, 2013) begitu menarik untuk dijadikan teladan kerana beliau menyulaminya dengan apa yang telah digambarkan oleh Allah SWT dalam wahyu-Nya terhadap hakikat manusia apabila lupa diri ketika di puncak kuasa.

UMNO juga masih belum mampu menyingkirkan zon selesa sebahagian daripada pemimpinnya, yang bermati-matian mahu mempertahankan kedudukannya walaupun secara realitinya sudah tidak lagi boleh diterima oleh sebahagian besar ahlinya.

Tetapi, kelangsungan kuasanya hanya bergantung kepada keupayaan aset yang dimiliki secara peribadi, dan aset itulah juga digunakan untuk membeli sokongan.

Biarpun berkali-kali seruan ke atas pembanterasan politik wang diperkatakan, UMNO sebenarnya belum mampu menghapuskan sepenuhnya kerana masih lagi ahli dan pemimpin yang melakukannya secara tersembunyi.

Meskipun, Perhimpunan Agung UMNO 2013 diadakan selepas pemilihan jawatan dalam parti, kehadiran perwakilan turut ditaja oleh power broker, dan kerana ditaja itulah suasana gamat ketika perbahasan banyak pemerhati menganggapnya sebagai lelucon.

Sebaik-baik sahaja Timbalan Presiden dan Presiden memberikan ucapan dasar, sebahagian perwakilan tidak lagi menunjukkan kesungguhan meneliti butir-butir perbahasan.

Sebaliknya, mereka lebih menumpukan perhatian untuk memenuhi keranjang beli-belah, dan suasana itu menjadikan setiap kali Perhimpunan Agung UMNO tidak ubah seperti pesta beli-belah.

Itulah mungkin gambaran yang boleh disifatkan sebagai mencintai sesuatu yang bersifat fizikal berbanding memenuhi keperluan psikologi, yakni membuka minda dan hati bagaimana untuk menyatupadukan semua orang Melayu khususnya, dan semua orang Islam umumnya, agar mereka bukan sahaja mempunyai kuasa, bahkan kental dengan pegangan akidah dan keimanan.

Banyak perkara yang sepatutnya diberikan penjelasan atau dicarikan formula lengkap, termasuk menjadikan setiap orang sentiasa belajar. Sebaliknya, apabila konsep Pendidikan Islam Sepanjang Hayat dicadangkan, ramailah pemimpin UMNO bercakap bahawa peluang sudah terbuka, tentunya lebih banyak projek atau bangunan akan didirikan bagi merealisasikan dasar tersebut.

Inilah mentaliti sebahagian pemimpin UMNO, lebih mudah melihat bentuk fizikal daripada menyelam sedalam-dalamnya, bahawa konsep itu sebenarnya lebih merupakan perubahan sikap dan tindakan, yakni setiap orang sentiasa berusaha mencari ilmu tanpa jemu, kerana menuntut ilmu itu adalah suatu kewajipan bagi setiap muslim.

Persoalan tidak meletakkan ilmu di atas segala-galanya itulah juga menyebabkan mutiara keagungan Islam pada zaman silam mudah dihancurkan, kerana musuh-musuh Islam mencari kelemahan berdasarkan kerangka ilmu yang dibina berdasarkan semangat dan nilai mereka.

Itulah sebabnya, apabila hak dan kebebasan sudah dijadikan falsafah perjuangan, maka di situlah pula akan menjadikan nilai agama semakin berantakan, atau dianggap terlalu berkiblatkan dunia. Itulah sebenarnya yang terkandung dalam konsep semangat zaman atau zeitgeist, yang boleh dianggap sebagai trendy atau popular, tetapi tidak disusuli dengan nilai-nilai agama, moral dan budaya.

Andalusia yang mula didirikan sekitar tahun 711 oleh Tariq bin Ziyad, cukup banyak menyumbangkan proses peradaban tinggi sehingga melahirkan ramai pelopor dunia keintelektualan Islam yang bukan sahaja bersifat semasa, bahkan mendahulu zaman.

Bagaimanapun, setiap daripada mereka mempunyai tahap keimanan yang tinggi, kerana mereka bermula dengan memahami isi kandungan al-Quran, dan bukannya sebahagian daripada peradaban moden, lebih menguasai ilmu pengetahuan tetapi gagal menguasai kandungan al-Quran.

Nama-nama besar seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Ibnu al-Khatib, Ibu al-Firnas, Ibnu Khaldun dan Ibnu Batutah lahir semasa kegemilangan empayar Islam di Andalusia. Setelah empayar itu jatuh, dan diperintah oleh Ratu Isabella dan Raja Ferdinand pada 6 Januari 1492, jumlah penduduk Islam menjadi semakin mengecil dan kini dianggap sebagai kumpulan marginal.

Kenapakah perkara itu berlaku? Ialah kerana kegagalan umat Islam sendiri untuk membina benteng dan kekuatan ummah semasa berkuasa, lebih mengutamakan kepentingan material.

Pada tahun 1609, Raja Philips III yang memerintah menguatkuasakan satu Titah Diraja dengan memberi kata putus kepada pemeluk Islam (dianggarkan berjumlah 350,000 orang), sama ada bersedia menerima pembersihan etnik dan dihalau keluar dari Sepanyol atau menukarkan agama kepada Kristian. Mereka yang enggan menukarkan agama dibunuh dan disiksa manakala wanita pula dirogol.

Itulah hakikat yang wajar menjadi daya bertindak UMNO kalau tidak mahukan kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia menerima nasib yang sama sebagaimana terjadinya ke atas umat Islam di Sepanyol selepas ratusan tahun ditewaskan oleh pemerintahan Kristian.

UMNO tidak perlu tunduk kepada tekanan agar melaksanakan perubahan yang lebih besar sehingga menodai orang Melayu dan Islam semata-mata ingin meraih sokongan bukan Islam, kerana sejarah membuktikan setelah kedudukan mereka semakin kuat, mereka akan mengancam orang yang pernah memberikan mereka peluang.

Sejarah kejatuhan Islam di Andalusia sepatutnya dijadikan amaran awal yang besar kepada UMNO kalau mahu melihat parti itu benar-benar berjaya melakarkan peradaban besar pada masa depan dan meneruskan kelangsungannya.

Ingatlah, fakta sejarah akibat kerakusan memikirkan kuasa menyebabkan rakyat mula meluat dan bakal mencari jalan bagaimana menjatuhkan orang yang berkuasa.

Itulah fenomena sejarah yang berlaku dalam hampir semua peradaban, dan UMNO hari ini, tidak wajar menggunakan keagungan masa silamnya sebagai doktrin membalas budi, kerana lebih ramai yang mahu melihat hasilnya daripada membaca sejarah.

Penulis ialah Pengurus Besar Analisis dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Untuk apa UMNO dan Pas bermuzakarah?

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Oleh Dr. Ismail Ibrahim

UMNO dan Pas perlu bermuzakarah adalah untuk mendapatkan persefahaman tentang perlunya kesatuan pemikiran dan agenda umat Islam sebagai umat yang komited dalam mengamalkan Islam dan membangunkan Islam dalam perspektifnya yang betul di negara kita.

Untuk merealisasikan kesefahaman dan kesatuan umat Islam, maka seluruh umat Islam yang ikhlas haruslah memahami Islam berdasarkan world view yang sebenarnya tentang Islam dan umat Islam itu.

Memahami Islam berdasarkan ideologi politik sering menimbulkan konflik di antara umat Islam seluruhnya, iaitu tentang kefahaman istilah-istilah ilmu yang ditafsirkan dari sudut politik seperti sekularisme, kebangsaan, fanatik, dan sebagainya.

Kefahaman istilah inilah yang sering dijadikan senjata untuk melabelkan para pengikut parti politik yang tertentu ketika berusaha mencari keuntungan politik kepartian, terutamanya kerana ingin mendapatkan sokongan kepada partinya dan mendapatkan undi dalam pilihan raya.

Isu-isu ini melibatkan akidah dan akhlak Islamiah, iaitu yang berlaku selama ini di antara UMNO dan Pas. Perjuangan dan agenda kerja politik yang disebutkan sebagai sekular, kebangsaan dan sebagainya yang ditakrifkan sebagai tidak Islamik, sering mengelirukan umat Islam sendiri tentang pentafsiran istilah-istilah itu yang sebenarnya.

Malah istilah dan label ini sering menjadi persepsi umat Islam sendiri, yang dianggapnya sebagai betul dari sudut pentafsiran akidah dan syariah serta moralnya.

Akibat persepsi dan fatwa inilah maka timbul perpecahan dan prasangka sesama umat Islam sendiri, khususnya antara ahli dan para penyokong dua parti Melayu Islam iaitu Pas dan UMNO, dan lebih serius lagi ialah tanggapan yang telah ditanamkan dalam akidah orang Islam, bahawa pengikut parti yang tertentu adalah kafir dan telah tercemar akidahnya, satu keadaan yang amat serius yang sering mengakibatkan perpecahan kalangan umat Islam seluruhnya.

Agenda pelaksanaan syariat Islamiah di negara ini juga haruslah disepakati menurut perspektif yang betul dan benar-benar mengikut kaedah fikah, falsafah hukum, maslahah umum, terutamanya dalam masalah pokok dan dasar Islam itu sendiri, termasuk juga kesepaduan pembangunan Islam dalam kepelbagaian dimensinya dari segi ekonomi, pendidikan, kewangan dan perbankan, alam sekitar, akhlak dan etika serta dasar-dasar syariah pada umumnya.

Persefahaman dan pentafsiran yang luas dalam agenda Islam yang besar ini dapat mengelakkan salah faham masyarakat Islam dan antarabangsa yang selama ini memahami istilah menegakkan negara Islam dengan pandangan dan perspektif yang sempit, iaitu yang hanya berlegar di sekitar hukum hudud semata-mata apabila dikemukakan idea pemerintahan Islam bagi negara kita.

Maknanya, istilah Negara Islam itu sendiri haruslah difahami dengan pengertian yang lebih global dan menyeluruh sebagai satu penjelmaan konsep Islam sebagai satu sistem hidup yang lengkap atau istilah yang sering digunakan bagi Islam sebagai Ad-deen.

Muzakarah yang sekiranya dapat difokuskan seperti isu-isu di atas di samping isu-isu berkaitan yang lain, saya rasa akan dapat mendekatkan world view atau tasawur Islami yang sebenar di antara dua parti Melayu Islam yang terbesar di negara kita ini, dan yang selama ini menjadi duri dalam daging bagi kedua-duanya yang amat jarang sekali dibangkitkan secara berterus terang dalam arena ilmu dan dialog.

Isu-isu ini hanya lahir dalam konflik kepartian, dan sering menjadi bahan permusuhan antara pemimpin dan pengikut parti yang lebih bersifat partisan serta fanatik politik yang tegar.

Muzakarah ini haruslah diadakan dalam suasana berbaik sangka dan ikhlas serta jujur untuk mencari kebaikan bersama, terutamanya dalam suasana ketegangan sesama Islam yang dapat kita lihat dalam dunia Islam kini, malah yang sering membawa kepada pertumpahan darah atas nama jihad dan perjuangan untuk menegakkan Islam, sedangkan perkembangan ini amat mencemarkan imej dan nama suci Islam.

Muzakarah ini tidak seharusnya menjadi polemik politik untuk tujuan politik umat Islam dalam persaingan politik di negara kita, terutamanya yang dihubungkan dengan kebangkitan perkauman dan agama akhir-akhir ini.

Malah haruslah dielakkan sama sekali tujuan politik untuk mendapatkan dua pertiga suara di dalam Parlimen umpamanya bagi meminda Perlembagaan untuk tujuan-tujuan yang boleh menyentuh kaum dan penganut agama lain di negara ini.

Kalau hal ini menjadi agendanya maka kaum dan penganut agama lain juga akan mengambil tektik yang sama bagi kaum dan pengikut agama mereka.

Saya percaya sekiranya titik perbezaan dari segi ideologi politik, kefahaman agama, kesatuan pemikiran dan agenda pembangunan Islam di negara kita ini dapat di selesaikan, maka tindakan-tindakan yang berikutnya dapatlah dilaksanakan dalam jangka pendek dan jangka panjangnya.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah

Pengerusi Institut Profesional Baitulmal,

Wilayah Persekutuan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat