{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Tsunami bukan sekadar bencana

Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Anggota penyelamat mengalihkan mayat-mayat mangsa tsunami di kawasan perkarangan Masjid Baiturrahman di Banda Aceh, pada 29 Disember 2004. - Reuters

''Dari jauh aku melihat seperti ada asap hitam yang tinggi dan tebal. Asap itu rasanya berjalan ke arah kami, makin lama asapnya makin tinggi sampai pohon kelapa. Tidak lama setelah itu asapnya turun dan merobohkan semua bangunan di depannya. Setelah itu aku baru sedar kalau itu bukan asap, itu gelombang air laut besar, TSUNAMI namanya."

Demikianlah yang dicoretkan oleh Nelva Amelia, seorang gadis Aceh berhubung peristiwa Tsunami yang melanda wilayah itu pada 26 Disember 2004.

Hari ini, genaplah sembilan tahun bencana alam yang melanda Asia Tenggara itu berlaku, bukan sahaja Aceh malah beberapa negara lain turut menerima hempasan ombak besar sehingga meragut ribuan nyawa.

Aceh paling teruk menerima kesannya apabila bukan sahaja ribuan rumah dan bangunan ranap, malah dianggarkan sekitar 220,000 rakyat wilayah itu terkorban.

Bagi penulis sendiri, yang merupakan antara wartawan pertama tiba di Aceh selepas tsunami melanda, masih terbayang bagaimana pemandangan kami dihiasi dengan runtuhan bangunan dan rumah. Sesetengah kawasan bagaikan padang jarak padang tekukur.

Ia belum lagi mengambil kira bagaimana mayat bergelimpangan di mana-mana sahaja bagaikan ikan dituba.

Untuk rekod, tsunami terburuk sebelum ini berlaku di Jepun pada 15 Jun 1896 yang menyaksikan 21,000 orang terbunuh.

Walaupun kini Aceh dan beberapa negara yang dilanda tsunami sudah hampir pulih dari segi infrastruktur, namun dari segi kesan psikologi ia masih lagi menghantui mangsa-mangsa yang terlibat khususnya di Aceh.

Bayangkanlah ada antara mereka hanya mengunjungi kubur-kubur besar yang menempatkan mangsa-mangsa yang terkorban tanpa mengetahui sama ada di dalam liang lahad itu ahli keluarga mereka berada di situ atau tidak.

Tetapi itu sahaja yang mampu mereka lakukan kerana tsunami menghanyutkan apa sahaja yang berada di hadapan arus deras yang mengalir.

Penulis masih ingat bagaimana penduduk Aceh menggambarkan, tsunami itu adalah ombak besar setinggi bangunan lima tingkat dan mengalir dalam kelajuan 500 kilometer hingga 600 kilometer sejam. Arus tersebut dikatakan hanya mengalir perlahan apabila melintasi perkarangan Masjid Baiturrahman di Banda Aceh.

Ketika mengunjungi sebuah kawasan penduduk di Kaju, penulis dimaklumkan di situ sahaja lebih 50,000 orang terkorban dan ribuan rumah hancur berkecai dihempas tsunami.

Bagaimanapun apa yang menarik dan menjadi ingatan penulis sehingga ke hari ini ialah hujah alim ulama Aceh terhadap kejadian tsunami itu. Sementara pakar sains dan geologi menganggap ia berpunca fenomena alam dengan memaparkan pelbagai teori, alim ulama dan penduduk Aceh mempunyai pandangan mereka sendiri.

Ada antara mereka menyatakan ia pembalasan Allah SWT terhadap satu kemungkaran yang berlaku sehari sebelum tsunami melanda. Ia dikaitkan dengan pesta mungkar yang dianjurkan oleh sekumpulan anggota keselamatan di pantai berhampiran makam ulama terkenal Aceh, Syiah Kuala.

Ada pula ia sebagai pembalasan Allah terhadap kegagalan pemerintah Aceh melaksanakan syariat Islam seperti mana mereka uar-uarkan sebelum ini.

Tidak kiralah apa pun hujahnya yang pasti bencana tsunami tidak harus dilupakan begitu sahaja dan bukan sekadar dicatatkan dalam sejarah bencana dunia semata-mata.

Sebaliknya, sebagai manusia khususnya umat Islam, tragedi sembilan tahun lalu perlu dijadikan peringatan tentang kekuasaan Allah dengan sentiasa mengikut perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya serta jangan sesekali melakukan kerosakan di muka bumi Allah ini.

Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 41 bermaksud:

''Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).''.

Tetapi mungkin ada yang akan bertanya tidakkah bencana besar seperti tsunami itu turut mengorbankan mereka yang tidak berdosa.

Dalam soal ini Allah SWT telah memberi peringatan melalui firman-Nya dalam surah Al-Anfal ayat 25 yang bermaksud:

''Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras seksaan-Nya.''

Atas sebab itulah, sebagai hamba-Nya dan bersempena peringatan bencana tsunami yang berlaku sembilan tahun lalu, marilah kita menginsafi dan menyedari siapakah diri kita sebenar.

Sentiasa menjadi insan yang tahu bersyukur dengan segala nikmat yang diperolehi dan bukannya sering sahaja mahu memuaskan kehendak sendiri dengan melakukan pelbagai tindakan yang boleh mendatangkan kerosakan.

Bagaimanapun puak seperti ini sering sahaja menafikan dakwaan itu dan menggambarkan seolah-olah merekalah kelompok terbaik di muka bumi Allah ini.

Kelompok seperti ini sudah dinyatakan oleh Allah SWT melalu firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 11 dan 12 yang bermaksud:

''Dan bila dikatakan kepada mereka, janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, mereka menjawab,''Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan.'' Ingatlah sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar.''

Tsunami Aceh adalah peringatan Allah kepada seluruh umat manusia. Mungkin selama ini, ada antara kita lalai dan merasakan kita boleh melakukan apa sahaja di alam fana ini.

Dalam al-Quran telah dinyatakan dengan jelas bahawa bencana itu merupakan teguran atau bala' (malapetaka) yang diberikan Allah SWT kepada kita yang ingkar akan petunjuk-Nya.

Sememangnya, kita bersyukur biarpun tempias tsunami turut melanda negara ini, namun kesannya tidaklah seteruk Aceh atau beberapa negara lain. Namun ini tidak bermakna kita harus melihat ia dari sudut bencana alam semata-mata tetapi kaji juga dari sudut Islam.

Atas sebab itulah, sementara Allah mengurniakan pelbagai rahmat dan nikmat kepada negara ini sehingga memungkinkan kita hidup aman dan damai, maka belajarlah mensyukuri semua itu dan bukannya melakukan tindakan sehingga kita termasuk dalam golongan yang tidak tahu bersyukur.

Berikutan itulah, dalam apa pun kita lakukan, laksanakan ia secara sederhana atau wassatiyah dan jangan sesekali kita melampaui batas. Kalau mahu berpolitik, berpolitik secara berhemah dan bukannya dengan pendekatan maki hamun dan cacian serta disulami dengan fitnah dan tohmahan.

Mungkin ada antara kita merasakan 'terselamat' dengan taktik politik yang diamalkan dengan berbuat demikian tetapi percayalah Allah maha mengetahui.

Mereka yang melakukan kemungkaran, sentiasa bergelumang dengan kepalsuan dan bersedia membuat apa sahaja demi memenuhi tuntutan nafsu diri sendiri, pasti akan menempah kebinasaan.

Apa yang berlaku dalam peristiwa tsunami sepatutnya memberikan pengajaran bahawa muka bumi ini bukan milik kita, ia adalah persinggahan sebelum kita melangkah ke alam lebih kekal iaitu akhirat.

Justeru jadikan peringatan tsunami kali ini sebagai titik permulaan agar kita tidak menjadi kelompok yang mengundang kemurkaan Allah.

Semoga dengan cara itu bumi bernama Malaysia ini jauh daripada segala bencana dan mala petaka akibat perbuatan kita sendiri.

Jong pecah, yu kenyang

Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST

Oleh Dr. Siva

ANTARA gelagat perayu undi kedua-dua parti di Sekolah Kebangsaan Sedaka, Yan, Kedah, pada Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau, November lalu. - utusan/NOORADZRENE MOHD. NOOR

TEMPOH 365 hari sudah hampir sampai ke penghujungnya untuk tahun 2013. Ketika diawal tahun 2013, cakap-cakap ketika itu adalah 2013 merupakan tahun Pilihan Raya Umum (PRU). Sepanjang empat bulan pertama 2013, kita melihat ia lebih bersifat usaha berterusan untuk memenangi hati rakyat dengan kad laporan mentadbir sejak PRU Ke-12 2008 sehingga ke April 2013.

Kedua-duanya, baik Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang menggunakan perubahan lanskap politik arus perdana untuk memerangi persepsi pengundi agar berkecenderungan untuk sama ada kekal atau berubah tampuk pemerintahan di Putrajaya. Ini Kalilah dan Lain Kali Lah menjadi sebutan ramai. Akhirnya, pada 5 Mei 2013, PRU Ke-13 diadakan. BN kekal memerintah dengan 133 kerusi yang dimenangi berbanding gabungan parti pembangkang sebanyak 89 kerusi.

Dua Pilihan Raya Kecil (PRK) juga telah diadakan sejak Mei 2013; kekosongan kerana kematian dan keputusannya bersifat status-quo baik di Kuala Besut (BN-Terengganu) mahupun Sungai Limau (Pas-Kedah).

Dengan berakhirnya PRU Ke-13, pasca PRU Ke-13 pula memaparkan senario untuk meneruskan warisan kepimpinan dan bagi gabungan parti pembangkang, sudah pasti rancangan disusun untuk tidak menggagalkan usaha menawan Putrajaya lagi walaupun sekitar tiga bulan pertama parti-parti politik di peringkat nasional agak kepenatan, lesu, panik dan cemas melihat kewajaran keputusan PRU tersebut walaupun cergas berhadapan dengan pemilihan dalam parti.

Pemilihan berlaku dalam parti UMNO, Gerakan, MIC, Pas, DAP dan MCA. Ia melengkapkan cakap-cakap politik tanah air di penghujung tahun walaupun tidak sehangat di awal tahun 2013.

Bagi BN, apakah langkah seterusnya apabila melihat cabaran yang perlu ditangani. Adakah keputusan 133 kerusi akan kekal, naik atau menurun jika PRU diadakan esok, misalnya?

Beberapa persoalan dasar boleh dinilai semula oleh BN dalam mengatur perancangan strategik untuk tahun akan datang. Antaranya, BN untuk siapa merupakan persoalan yang perlu dirungkai dan adakah kesemua parti komponen mempunyai jawapannya selepas berakhirnya pemilihan parti?

Kedua, adakah parti menguasai kerajaan atau kerajaan kuasai parti yang kini seolah-olah sering terlepas pandang walaupun saga politik berbeza. Ketiga, di manakah BN lima tahun akan datang; bersifat futuristik bukan bermakna melenyapkan sejarah parti tetapi membayangkan kedudukan masa depan dan bergerak 1,500 hari (anggaran kasar sebelum PRU Ke-14) ke belakang dalam menetapkan perancangan untuk menguasai sokongan dengan mengambil-kira senario terkini.

Peranan sebagai kerajaan dan pertubuhan politik adalah unik dan berbeza malahan barangkali ini akan membantu mencerna keadaan lesu pembabitan golongan belia dan beliawanis dalam parti hari ini. Proses imbang dan periksa amat diperlukan supaya suara-suara kritikal tidak dilihat membangkang tetapi merupakan suara keramat yang mahu pembaharuan berterusan dari dalam parti. Jika ini dihalusi, ia boleh membawa lonjakan drastik pembabitan golongan muda belia.

Yang penting untuk dijadikan sebagai asas untuk bergerak ke hadapan adalah proses mengurus kejayaan keputusan yang diperolehi dalam PRU lalu yang mungkin diidamkan oleh parti seperti Parti Kongres di India dan LDP di Jepun. Mengatur pengurusan negara yang sedang membangun berbanding yang sedang pesat membangun dan mahu merealisasikan Wawasan 2020 adalah berbeza pendekatannya.

Perubahan kadar celik huruf, perbandaran, prasarana, kemudahan dan infrastruktur menunjukkan pencapaian Malaysia dalam isu ekonomi dan sosial sudah berbeza. Ia juga menjadi faktor penarik dan penolak ke atas pemetaan pemikiran politik semasa kerana peka kepada perubahan cita rasa persekitaran yang dihuni.

Ini bermakna, setiap pergerakan diteliti akibat pencapaian kejayaan tetapi kegagalan mengurus kejayaan akan membawa kepada pertembungan bukan di antara kerajaan dan pihak lawan tetapi kerajaan dan massa yang mana dalam Malaysia ia masih stabil. Namun, adakah ia akan bersifat kekal mengikut tilikan pihak berwajib terutama dalam kalangan kelompok pertengahan atau atas pagar.

BN juga mesti melihat persoalan siapa jauhi siapa? Adakah ini lahir dari pengurusan kejayaan sehingga wujud kelompok yang sama ada bersama dalam proses mempertahankan kecemerlangan ataupun di sebaliknya. Ada yang ketika bersama pemimpin menyatakan semuanya baik belaka tetapi bila balik ke kawasan masing-masing memulakan perang saraf menentang kepimpinan tersebut mempengaruhi penyokong mereka kerana gagal dalam konteks perolehan peribadi dan bukan untuk parti.

Sokong bawa rebah amat berbahaya kepada parti kerana retorik ini akan sentiasa diingati oleh pengundi lima tahun lagi. Adakah sudah tiba masanya pendekatan kepimpinan perlu diubah tanpa bergantung kepada pihak tertentu tetapi melakukannya sendiri. Adakah pemimpin perlu menjadi pemandu teksi, pengunting rambut, pelayan kedai kopi atau wartawan mahupun penjual di pasar untuk memahami apa yang sedang dilalui oleh masyarakat agar tidak dilihat selesa dengan apa yang ada. Rondaan di waktu malam pernah dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab untuk mengenal denyut nadi rakyatnya.

Adakah isu muktahir seperti ungkapan petrol naik, elektrik naik, tol naik, gula naik, tambang bas naik, cukai pintu naik, tambang LRT naik, air naik, astro naik dan GST dibisik kepada kepimpinan atasan oleh pembesar politik akar umbi akan kesannya sebagaimana yang disenyapkan oleh sesetengah pihak untuk digunakan selepas 1500 hari lagi sebaik sahaja bermula kempen PRU Ke-14?

Apakah remedi yang terbaik atau kaedah alternatif untuk mengatasi kemelut ini bilamana akujanji PRU turut dipersoal oleh penyokong tegar sendiri yakni gurkha parti yang bertanggungjawab memastikan jong tidak pecah, yu kelaparan?

Barangkali, isu seperti ini memerlukan kompromi dan pengorbanan melangkaui ideologi politik agar kedua-duanya baik parti pemerintah mahupun pembangkang dapat duduk semeja melihat kepada masa depan kesejahteraan rakyat.

Politik berbakti@berhemah tidak boleh dipinggirkan kerana kelak Jong pecah, Yu kencang. Manifesto PRU sudah dijadikan kitab rujukan oleh pelbagai pihak dan jika ia dirungkai dalam jangkamasa 12 bulan akan datang, maka hasilnya akan memanfaatkan bukan sahaja massa tetapi parti sendiri.

Menilik semula apa yang sudah dilakukan sepanjang tujuh bulan lalu penting dalam mengorak langkah tahun 2014. Muhasabah dan perbetulkan kekhilafan sebagaimana yang pernah diungkap oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dijadikan nota kaki agar kekuatan untuk melakukan transformasi bersifat konsisten dan bukan lagi memikirkan cara untuk berubah.

Pasukan sudah dibina, pasukan ini juga harus pastikan perpaduan, mantapkan barisan, perkemaskan strategi agar bilamana taufan atau halilintar melanda sekalipun, jong belayar deras dan kental bersandarkan kebijakan keseluruhan mereka yang berada dalam jong tersebut; ia sukar digugat hanya kerana keazaman menyusun secara kreatif dan tidak lalai dalam kegusaran persekitarannya kerana yang menanti jong akan dikemudi kembali di pesisiran laut dengan selamat adalah mereka yang berharapan besar, menanti suluhan masa depan yang jauh lebih baik dari tahun 2013.

PROFESOR MADYA

DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat