Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- 1TNB Kilat Bikers hulur bantuan
- Penduduk cerita pengalaman dahsyat musibah banjir
- 203 peniaga diambil tindakan
1TNB Kilat Bikers hulur bantuan Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN Mohd. Sufian Mohd. Yusoff (tujuh dari kiri) menyerahkan bantuan kepada seorang penduduk dalam misi bantuan kemasyarakatan TNB ke kawasan banjir di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini. JEMPOL 23 Dis. - Suara kemanusiaan berkumandang di pantai timur mengajak segenap lapisan masyarakat tampil membantu menghulurkan bantuan meringankan beban mangsa selepas dilanda banjir baru-baru ini. Penampilan menerusi Kelab 1TNB Kilat Bikers bersama Kelab Kilat Kuala Lumpur baru-baru ini telah melaksanakan program turun padang ke daerah Kemaman, Terengganu, dilihat antara usaha yang perlu diberikan pujian. Menurut Presiden Kelab 1TNB Kilat Bikers, Mohd. Sufian Mohd. Yusoff, pihaknya rasa terpanggil untuk menghulurkan bantuan apabila melihat kesengsaraan mangsa banjir dipaparkan di akhbar dan media elektronik. "Di dalam TNB kita mempunyai kelab kilat Bikers iaitu sebuah kelab sukan motosikal berkuasa tinggi yang dianggotai oleh warga TNB dari pelbagai negeri yang meminati sukan tersebut. "Hampir 20 warga TNB dari kelab ini termasuk dua wakil media dari negeri ini berpeluang mengikuti misi bantuan kemasyarakatan TNB ke kawasan banjir di daerah Kemaman, Terengganu. "Kita hulurkan bantuan kewangan serta barang keperluan harian seperti pakaian, makanan, selimut serta memberikan kata-kata semangat kepada mereka," jelasnya. Kata Mohd. Sufian, pihaknya mendapati kebanyakan mangsa banjir telah menerima pelbagai bantuan keperluan harian sejak dari hari pertama berlaku banjir, namun, bekalan tambahan diperlukan kerana kebanyakan mangsa tidak dapat keluar membeli barang keperluan. "Ada mangsa yang tidak mampu pergi ke kedai yang jauh kerana kenderaan rosak akibat banjir. Kedai yang dekat pula kebanyakan ditutup kerana turut menjadi mangsa banjir. "Kami bersyukur ketika kami sampai, keadaan banjir mula surut dan penduduk boleh membersihkan kediaman mereka. Dengan bantuan yang dihulurkan kami berharap ia mampu melegakan mereka," terangnya lagi. Mohd. Sufian memberitahu, misi bantuan telah tiba di beberapa buah perkampungan di daerah Kemaman, Terengganu termasuklah Kampung Serbang Tayor, Kampung Air Puteh, Kampung Sungai Lalang serta Kampung Bukit Teruna. "Kami juga berkesempatan melawat tiga buah rumah yang musnah di Kampung Air Putih. Kami akan cuba mencari jalan penyelesaian agar dapat membantu mangsa-mangsa tersebut dari sudut yang berbeza," terangnya lagi. Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi TNB, Datuk Mohd. Aminuddin Mohd. Amin berkata, pihaknya akan mempertimbangkan pembinaan lima buah rumah baharu di bawah Projek Baiti Jannati di Terengganu. "Kita dapati banjir pada kali ini turut memusnahkan kediaman penduduk. TNB sedang mengumpulkan data-data penduduk yang difikirkan layak untuk menerima kediaman baharu. Penerima perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan di bawah projek perumahan tersebut. "Jika layak, lima penduduk di Terengganu akan menerima rumah baharu yang segala kosnya di tanggung oleh TNB. Rumah yang akan dibina pada awal tahun hadapan ini dianggarkan bernilai RM40,000 ke RM50,000 seunit," jelasnya. |
Penduduk cerita pengalaman dahsyat musibah banjir Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST Mohamad Mahmud (tiga dari kanan) menunjukkan keadaan rumahnya dekat Kampung Pasir Gajah yang terbelah dua kepada warga TNB yang menyertai misi bantuan kemasyarakatan di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini. JEMPOL 23 Dis. - Tragedi banjir di beberapa negeri terutama di Pahang dan Terengganu ternyata mengejutkan banyak pihak, malah turut melahirkan rasa simpati masyarakat. Mangsa banjir bukan sahaja terpaksa 'menginap' di pusat pemindahan tetapi yang lebih malang, ada kalangan mereka hilang tempat tinggal. Menceritakan detik-detik cemas itu , Abdul Rahman Velu Abdullah 49, dari Kampung Air Putih, Kemaman, Terengganu memberitahu, dia hanya mampu tergamam selepas rumah yang didiami hampir 30 tahun musnah akibat banjir. "Saya mula berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kampung Air Putih pada 4 Disember lalu lebih kurang pukul dua pagi apabila hujan lebat dan tidak berhenti sejak dua hari lalu. "Keesokan harinya ada penduduk beritahu rumah saya musnah. Sebahagian rumah saya termasuk peralatan rumah ditemui di seberang jalan," katanya ketika ditemui sempena lawatan Kelab 1TNB Kilat Bikers ke kampung itu baru-baru ini. Dia tidak menyangka satu-satunya harta yang dimilikinya itu musnah dalam sekelip mata. Sementara itu, Mohamad Mahmud, 41, dari Kampung Pasir Gajah, Terengganu menceritakan, dia amat sedih melihat rumah pusaka miliknya 'terbelah' dipukul arus. Jelasnya dia berpindah ke pusat khidmat masyarakat pada minggu lalu sebelum pulang semula ke kediamannya beberapa hari kemudian untuk membersihkan rumah sebelum terkejut melihat sebuah rumah lain berada di situ. "Rupanya ia adalah rumah saya sendiri yang telah 'terbelah atau terbahagi' kepada dua bahagian. Bahagian dapur dan bilik utama terpisah. Keadaan ini menyebabkan kami sekeluarga terpaksa terus menumpang di pusat pemindahan banjir walaupun banjir sudah surut," terangnya lagi. Dalam masa sama, bapa kepada tiga cahaya mata ini menjelaskan, dia amat terharu apabila menerima pelbagai bantuan berupa wang tunai, makanan serta pakaian daripada pelbagai pihak. "Hari ini TNB datang melawat dan sempat meluangkan masa melihat keadaan rumah saya. Saya berbesar hati menerima kedatangan mereka yang sanggup menyalurkan bantuan," terangnya. Sayed Abdul Fatah, 48, dari Kampung Pasir Minal, Cukai pula memberitahu, dia sukar melupakan pengalaman terpaksa menginap bersama 111 penduduk kampung lain di dalam masjid. "Syukur masjid ini mempunyai tiga tingkat dan kami 'berkampung' selama tiga hari. Dari urusan masak sehingga tidur semuanya dilakukan di dalam masjid ini. Air masuk ke tingkat satu masjid menyukarkan pergerakan kami sekeluarga. "Penduduk alami kerugian yang sangat besar apabila kenderaan mereka turut musnah. Bayangkan air naik sehingga menenggelamkan kenderaan. Ini merupakan banjir terburuk yang pernah dialami penduduk sejak berpuluh-puluh tahun perkampungan ini dibuka," ujarnya lagi. |
Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST Oleh AMRAN MULUP Latiff Tamby Chik memeriksa harga barangan selepas majlis pelancaran Skim Kawalan Harga sempena sambutan Krismas di AEON Bandaraya, Melaka, semalam. MELAKA 23 Dis. - Sebanyak 203 peniaga diambil tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti gagal meletakkan tanda harga ke atas barangan jualan dan kesalahan menggunakan alat timbang tamat tempoh sepanjang tempoh 6 Julai hingga 20 Disember lalu. Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik berkata, sepanjang tempoh lima bulan itu sebanyak 10,916 premis telah diperiksa. Menurutnya, daripada jumlah tersebut ia melibatkan nilai rampasan berjumlah RM103,201.96 dan kompaun sebanyak RM25,130. ''Sebanyak 113 kes melibatkan peniaga gagal meletakkan tanda harga, 33 kes lagi adalah kerana gagal meletakkan tanda harga khas (merah jambu) iaitu sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri. ''Sebanyak empat kes kerana gagal meletakkan tanda harga khas pada perayaan Deepavali, satu kes melibatkan peniaga menjual harga terkawal melebihi harga yang telah ditetapkan dan satu kes lagi kerana tidak meletakkan label pengeluar," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Skim Kawalan Harga sempena sambutan Krismas di AEON Bandaraya di sini hari ini. Yang turut hadir Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK), Muhabir Ibrahim dan Timbalan Pengarah, Jamil Buang. Sebanyak 13 jenis barangan harga terkawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2013 akan mula dikuatkuasakan selama lima hari bermula hari ini hingga Jumaat. Skim itu akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 membabitkan ayam hidup, ayam (standard dan super), ayam belanda import, daging kambing dan biri-biri import bertulang, telur ayam (gred A,B dan C), tomato serta lada benggala hijau. Latiff berkata, sebanyak 51 kes pula adalah di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 bagi kesalahan menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh. Justeru, beliau mengingatkan kepada peniaga di seluruh negeri ini agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan jika mereka ingkar PPDNKK tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan. Ujarnya, peniaga wajib menjual barangan harga terkawal mengikut harga maksimum yang ditetapkan kerajaan dan mereka juga perlu meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu. ''Bagi skim kawalan harga musim perayaan Krismas bermula hari ini, saya harap peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya ke atas 13 jenis barangan yang telah ditetapkan," katanya. Sementara itu Muhabir berkata, bekalan barangan bagi musim perayaan Krismas adalah mencukupi dan masyarakat yang menyambut perayaan itu tidak perlu risau. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |