Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Lokasi penyu karah mendarat
- Kesedaran masyarakat penting lindungi penyu karah
- Nelayan seleweng bantuan ditegur
Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST Oleh NURSURAYA ZULKIFLI Adun Tanjung Bidara, Md. Rawi Mahmud (tengah) melepaskan anak penyu karah sempena Program Pembersihan Pantai dan Pemuliharaan Penyu di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, baru-baru ini. ALOR GAJAH 25 Dis. - Penyu karah atau penyu sisik dikenali dengan nama saintifiknya, Eretmochelys imbricata dan tergolong dalam keluarga Cheloniidae. Selain penyu jenis berkenaan, terdapat beberapa lagi spesies antaranya penyu Belimbing (Dermochelys coriacea), Agar atau Hijau (Chelonia mydas), dan Lipas (Lepidochelys olivacea). Penyu merupakan satu-satunya haiwan marin wujud sejak berjuta-juta tahun lalu yang masih kekal dan penyu karah dikelaskan sebagai spesies yang terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN). Penyu karah merupakan penyu tercantik di dunia berbanding spesies-spesies lain dan Melaka menjadi destinasi pendaratan terbanyak dan tertinggi di Asia Tenggara bagi hidupan laut berkenaan. Penyu karah sama seperti penyu-penyu laut yang lain bagaimana pun spesies ini boleh dibezakan melalui bentuk paruh mulutnya yang menyerupai paruh helang selain bahagian tepi cengkerangnya. Ia mempunyai karapas yang keras dan seperti sisik-sisik bertindih dengan warna badannya adalah coklat dan fizikalnya bersaiz sederhana. Pendaratan penyu karah di Melaka ini mengikut musim dengan merekodkan jumlah yang tinggi pada Julai iaitu lebih daripada 100 pendaratan, namun berkurangan pada September dan Oktober. Sebanyak 19 lokasi pendaratan penyu karah dikenal pasti di negeri ini antaranya di Pulau Upeh, Tanjung Kling dan Tanjung Bidara dan Pantai Kemunting, Masjid Tanah merupakan antara lokasi tetap pendaratan penyu berkenaan sejak dulu lagi. Jangka hayat habitat marin ini boleh hidup lama dan mengambil masa untuk matang antara 20 hingga 50 tahun sebelum kembali ke pantai berpasir untuk bertelur. Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali berkata, musim pendaratan penyu di negeri ini bermula dari bulan April hingga September setiap tahun. Menurutnya, secara purata sebanyak antara 250-350 ekor penyu karah melakukan pendaratan setiap tahun untuk bertelur. Beliau menambah, spesies itu dipercayai mencari makanan di Riau sebelum pulang semula ke pantai di negeri ini untuk bertelur kerana sifatnya yang semulajadi boleh merakam dan mengesan tempatnya bertelur. Pada tahun 2012, sebanyak 41,952 biji telur telah diperolehi dan bagi tahun ini sehingga November lalu sebanyak 58,708 biji telur berjaya dikumpulkan. Rosmawati berkata, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting, Majid Tanah di bawah naungan Jabatan Perikanan Malaysia mula beroperasi pada tahun 1990 yang menjalankan tugas pengurusan dan pemantauan aktiviti pendaratan penyu di pantai dan pulau di Melaka. Katanya, spesies itu dikawal di bawah Akta Perikanan 1985 Kaedah-kaedah Perikanan (penyu dan telur-telur penyu) 1989 bagi melindungi penyu dan melarang gangguan terhadap penyu dalam apa cara khususnya perjalanan pergi dan balik ke tempat bertelur mahupun sewaktu proses bertelur. "Akta ini juga tidak membenarkan sesiapa memindahkan atau mengambil telur penyu dari tempat bertelurnya tanpa memiliki lesen. "Hanya pemungut telur yang mempunyai lesen diamanahkan untuk menghantar semua hasil pungutan mereka ke pusat pengeraman dan kini terdapat 15 orang pemungut berlesen yang dikeluarkan oleh Pusat Pengurusan Penyu (TIC)," katanya. Baru-baru ini, PETRONAS Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd. (PP(M)SB) telah mengadakan Program Pembersihan Pantai dan Pemuliharaan Penyu di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak. Program itu diadakan sebagai memenuhi tanggungjawab sosial (CSR) yang turut melibatkan seramai 120 kakitangan PP(M)SB selain pelajar sekolah melakukan gotong-royong membersihkan pesisiran pantai. Program khidmat masyarakat itu bertujuan memupuk kesedaran dan sikap bertanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar dan para peserta diberi taklimat mengenai kepentingan menjaga ekosistem laut demi kepentingan penyu karah dan hidupan lain. Pada program berkenaan mereka turut diberi peluang melepaskan 120 ekor anak Penyu Karah di sekitar kawasan pantai berkenaan. Dalam pada itu Rosmawati berkata, pihaknya turut menggalakkan agensi swasta atau badan korporat untuk tampil bersama-sama membantu memberi tajaan mahu pun sumbangan melalui program penyu angkat. Katanya, dengan tajaan itu membolehkan pihaknya membayar sebanyak RM1.30 sebiji untuk bayaran telur yang berjaya dikutip dan kemudiannya dihantar kepada jabatan berkenaan untuk ditetaskan bagi tujuan memelihara dan memulihara sepesis penyu terbabit. "Pelbagai usaha dan aktiviti kesedaran turut dilaksanakan oleh jabatan ini dalam memastikan hidupan ini terus kekal hingga generasi akan datang," katanya. |
Kesedaran masyarakat penting lindungi penyu karah Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST Robert Leong (kiri) menerima replika cek sumbangan PETRONAS Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd. yang disampaikan oleh Sazali Hamzah (dua dari kanan) sempena Program Pembersihan Pantai dan Pemuliharaan Penyu di Pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, baru-baru ini. ALOR GAJAH 25 Dis. - Kesedaran orang ramai terhadap pemuliharaan hidupan laut terutamanya Penyu Karah perlu dipertingkatkan bagi memastikan kelangsungan spesies itu. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ar. Ismail Othman berkata, penyu merupakan satu-satunya reptilia marin yang wujud sejak berjuta tahun lalu dan merupakan antara khazanah alam yang perlu dilindungi kerana keunikannya. Menurutnya, ancaman terhadap hidupan laut berkenaan berpunca daripada beberapa faktor dengan manusia masih menjadi faktor utama selain pencemaran dan ancaman di laut. "Pencemaran yang berpunca daripada sikap manusia mampu mendatangkan kesan kepada kemusnahan habitat penyu seperti aktiviti pembangunan yang tidak terancang di kawasan pendaratan penyu, pencemaran, hakisan, penambakan pantai dan penggunaan alat menangkap ikan. "Perdagangan telur penyu dan penjualan telurnya secara haram turut menyumbang kepada kepupusan spesies berkenaan yang banyak mendarat di kawasan pesisiran pantai di negeri ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program Pembersihan Pantai dan Pemuliharaan Penyu anjuran Petronas Penapisan (Melaka) Sdn Bhd (PP(M)SB) di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, baru-baru ini. Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Md. Rawi Mahmud; Ketua Pegawai Eksekutif PP(M)SB, Sazali Hamzah dan Ketua Unit Perlesenan dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan negeri, Robert Leong. Ismail berkata, jumlah pendaratan Penyu Karah berbeza mengikut musim iaitu lebih 100 pendaratan pada Julai namun susut pada bulan September dan Oktober. Katanya, spesies berkenaan akan mendarat dalam tempoh 20 tahun selepas dilepaskan dan nisbah yang berjaya pulang adalah 1000:1. "Jika habitat haiwan itu bertelur diganggu dan telurnya diambil, ia akan membantutkan kelangsungan hidup penyu Karah dan boleh membawa kepada kepupusan. "Justeru, semua pihak perlu berkerjasama bagi memastikan khazanah hidupan laut ini dapat dikekalkan untuk tatapan generasi seterusnya," katanya. Sementara itu, Sazali berkata, program pembersihan pantai dan pemuliharaan penyu itu diadakan sempena sambutan Hari Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) PP(M)SB. Katanya, program itu bertujuan mendekati komuniti dalam membangkitkan kesedaran dan menggerakkan anggota masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. Pada majlis berkenaan, sebanyak RM5,000 disumbangkan oleh (PP(M)SB) selain RM2,000 daripada kakitangan PP(M)SB bagi dana inisiatif. |
Nelayan seleweng bantuan ditegur Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST Oleh FADZLY IZAB Hasan Abdul Rahman (kanan) bersama wakil nelayan melakukan tinjauan di Jeti Nelayan Serkam, semalam selepas menerima laporan terdapat peserta program e-Kasih menjual bantuan yang diterima mereka kepada pihak. JASIN 25 Dis. - Tindakan tegas akan diambil oleh kerajaan negeri terhadap segelintir nelayan terutama di selatan negeri ini yang didapati menjual peralatan menangkap ikan termasuk bot, enjin dan jala yang diterima oleh mereka melalui program e-Kasih. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, setakat ini beliau menerima laporan sebanyak empat nelayan telah dikenal pasti menjual bantuan yang diterima. Menurutnya, difahamkan terdapat beberapa nelayan lagi dipercayai turut terlibat kerana semata-mata ingin mencari keuntungan dalam masa yang singkat. "Kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana menyalahgunakan bantuan yang diberikan menerusi program e-Kasih untuk membantu mereka keluar dari garis kemiskinan. ''Sebaliknya, mereka menjual bot dan enjin yang diberikan hanya kerana ingin mengejar keuntungan semata-mata," katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Nelayan Serkam, di sini semalam. Hasan berkata, beliau akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat berhubung perkara tersebut. Beliau menambah, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat termasuk merampas kembali bot dan enjin bagi diberikan kepada mereka yang memerlukan. "Laporan lengkap akan diminta berkaitan jumlah penerima serta bantuan yang diterima mereka melalui program e-Kasih dari pihak terlibat termasuk pejabat daerah bagi memudahkan siasatan. "Malah, kita sendiri akan turun padang melihat sama ada barangan bantuan yang disalurkan itu masih ada atau tidak. Sekiranya didapati tiada, bantuan kepada peserta itu akan dihentikan dan serahkan kepada peserta lain," jelasnya. Katanya, golongan nelayan seharusnya bersyukur dan berterima kasih kerana mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan serta tidak dipinggirkan. "Pelbagai bantuan dan insentif disediakan kerajaan kepada golongan ini termasuklah pemberian bot, enjin, skim insurans, penempatan khas nelayan dan program membaiki rumah nelayan," ujarnya. Menurutnya, semua bantuan tersebut bertujuan menjaga kebajikan golongan nelayan di negeri ini agar terus terbela. Sepanjang tahun ini, sebanyak 120 peserta di negeri ini terlibat dalam program penerima bantuan e-Kasih melibatkan peruntukan sebanyak RM193,800. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |