Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 21 Dec 2013 10:01 AM PST NAY PYI TAW - Jumlah 40 pingat emas yang menjadi sasaran Malaysia akhirnya tercapai pada hari terakhir kontinjen negara beraksi pada Sukan SEA Myanmar 2013 dengan tambahan lima pingat emas berjaya dimenangi, semalam. Ia menjadikan emas keseluruhan yang dimenangi kontinjen negara adalah 43 pingat, melebihi tiga daripada yang disasarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan di samping 38 perak dan 74 gangsa. Namun, kejayaan di Myanmar itu gagal memperbaiki pencapaian pada edisi 2011 di Indonesia apabila Malaysia menamatkan saingan pada kedudukan keempat keseluruhan dengan meraih 59 emas, 50 perak dan 82 gangsa. Prestasi di Myanmar itu juga tidak mampu mengubah kedudukan kontinjen negara di tangga kelima pungutan pingat keseluruhan. Semalam, pasukan hoki lelaki tidak berdepan masalah membenam Singapura 5-0 pada perlawanan akhir untuk memungut emas. Dua lagi emas hadir daripada acara terjun melalui gandingan Ooi Tze Liang-Muhammad Nazreen Abdullah dalam acara 10 meter platform seirama lelaki, manakala Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri dalam 10 meter platform seirama wanita. Namun, paling mencuri tumpuan adalah dua emas yang berjaya dimenangi oleh sukan muay apabila dua wakil negara yang berentap di perlawanan akhir tidak mengecewakan harapan negara. Mohd. Lokman Akimi Mat Roji unggul dalam acara Bawah 51 kilogram lelaki apabila mudah mengalahkan Nguyen Ngo Trieu Nhat dengan keputusan 3-0 manakala Mohd. Faizal Ramli mendiamkan sorakan penonton tuan rumah dengan kemenangan 2-1 ke atas Aung Myint Win dari Myanmar. Kejayaan itu melebihi sasaran satu pingat emas yang telah diletakkan kepada sukan muay sebelum ini. Bagi Sukan SEA kali ini, karate boleh ditakrifkan sebagai kontinjen paling cemerlang apabila berjaya memenangi tujuh pingat emas, jauh melebihi sasaran tiga pingat yang diletakkan di peringkat awal. Kehebatan mendadak beberapa kumite wanita jelas menjadi punca kepada kejayaan tidak diduga karate yang kini mendapat bimbingan Andris Vasiljevs dari Latvia. Lapan emas daripada sukan terjun sememangnya sudah dijangka kerana jurang perbezaan kualiti antara penerjun negara dibandingkan dengan negara-negara lain di benua Asia Tenggara. Satu lagi sukan yang menjadi penyelamat kepada pencapaian atlet negara di Sukan SEA Myanmar adalah ekuestrian yang sebelum ini tidak diberikan harapan akhirnya menyumbang tiga emas. Namun, kekecewaan paling besar tertumpu kepada skuad bola sepak negara yang gagal mempertahankan ibu pingat emas. Bertambah perit, mereka pulang tangan kosong apabila kalah lagi kepada pasukan jiran, Singapura 1-2 pada penentuan gangsa. Seperti diramal, olahraga gagal mencapai sasaran apabila hanya menyumbang empat emas berbanding lima yang ditetapkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). Begitu juga Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) yang begitu yakin mampu membawa pulang tiga butir emas, akhirnya pulang tangan kosong. Memanah recurve lelaki pula menyumbang dua emas sementara acara compound gagal memberi cabaran. Sepak takraw lelaki walaupun tidak diletakkan sebarang sasaran memenangi emas, sebaliknya menang perak tetapi kekalahan dalam semua perlawanan bagi acara berpasukan, dianggap sebagai satu pencapaian terburuk dalam sejarah. - MINGGUAN |
Posted: 21 Dec 2013 10:01 AM PST NAY PYI TAW - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah kesal gejala rasuah kembali mewarnai dunia bola sepak negara selepas lima pemain Kuala Lumpur disabitkan dengan kesalahan tersebut, kelmarin. Tegas Sultan Ahmad Shah, tiada jalan singkat jika mahu mendapatkan kekayaan dengan cara yang mudah dan gejala mengatur perlawanan dalam bola sepak sesuatu yang tidak boleh diterima. ''Saya berasa dukacita tetapi perkara ini (rasuah dalam bola sepak) tidak dapat dielakkan dan isu ini terjadi di seluruh dunia. ''Pihak yang dihukum, saya berharap agar insaf dan mengambil iktibar dengan apa yang terjadi kerana kehidupan memang begitu jika anda membuat kesalahan. ''Pada masa yang sama, sesiapa sahaja selepas ini mesti berfikir banyak kali kerana tiada jalan pintas jika mahu mendapatkan kemewahan dalam kehidupan, kena faham risiko yang akan diterima. ''Saya simpati dengan mereka cuma tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang di negara kita," kata Presiden FAM itu selepas mempengerusikan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang ke-10 bagi sesi 2011/15 di Hotel Royal Kumudra di sini, semalam. Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan Datuk Taufek Razak, kelmarin menjatuhkan hukuman gantung seumur hidup kepada lima pemain Liga Perdana Kuala Lumpur 2013 dan jurulatih importnya dari Slovakia, Stanislav Lieskovsky serta dua pegawai pasukan. Mereka yang didapati terlibat mengatur keputusan perlawanan adalah Jeremy Danker, Khairul Anuar Shafie, Hafizi Roslee, Fadhlullah Yunsifar dan Phoo Kai Lun. Dua lagi pegawai yang terbabit adalah penolong pengurus pasukan, Rosli Omar dan pegawai pasukan, Shaari Jani, kesemua mereka didenda RM20,000 setiap seorang. Pada masa yang sama, Sultan Ahmad Shah tidak kesal dengan kegagalan Harimau Muda mempertahankan pingat emas Sukan SEA, sebaliknya mahu semua pihak mengkaji di mana kelemahan pasukan negara. ''Inilah bola sepak, mesti ada yang menang dan yang kalah, bagi pasukan Harimau Muda A, saya boleh menerima kegagalan kita dengan hati yang terbuka. ''Saya lihat mereka telah yang berikan terbaik cuma kita kalah melalui penentuan sepakan penalti, sebagai mana semua peminat, saya juga berasa sedih tetapi ini bukan penamat bagi segalanya," katanya. - MINGGUAN |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |