{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Tikus sawah ancam tanaman petani

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my

Petani bergotong-royong memburu tikus yang memusnahkan tanaman padi di kawasan tebing tali air Kampung Berangan, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini. - UTUSAN/Torek Sulong

PASIR PUTEH 12 Dis. - Tikus sawah atau nama saintifiknya Rattus Argentiventer adalah musuh utama tanaman padi.

Serangannya dalam kumpulan yang banyak menyebabkan petani kerugian apabila gagal menuai keseluruhan padi yang diusahakan.

Serangan tikus di sawah sudah bermula sebaik sahaja benih mula disemai. Haiwan perosak yang memiliki deria bau tajam itu turut gemar memakan biji benih yang sedang bercambah mengakibatkan tumbesaran dan pertumbuhan padi terbantut.

Manakala serangan kedua akan berlaku ketika tanaman padi sedang membunting dan dalam tempoh menunggu untuk dituai. Pada ketika ini tikus akan menggigit bahagian pangkal padi untuk memakan bahagian umbut dan bijian muda.

Haiwan berkumpulan ini lebih selesa menyerang padi di malam hari dan pada waktu siangnya tikus bersembunyi di dalam lubang dan semak di sekitar sawah yang gagal diuruskan.

Ia dikenali sebagai haiwan 'pengerat' yang mampu memusnahkan tanaman padi dalam jumlah melebihi keperluan pemakanannya kerana kajian mendapati ia agresif sebagai 'pengerat' yang gemar mengasah giginya selepas kenyang.

Di daerah ini, penduduk di dua bendang iaitu di Kampung Berangan dan Kampung Lepah yang sebelum ini mampu mengeluarkan hasil padi sebanyak tujuh metrik tan per hektar, terpaksa berputih mata baru-baru ini apabila sepanjang dua musim penanaman mereka gagal menuai sebarang hasil kerana dimusnahkan oleh ribuan tikus yang sukar untuk dihapuskan.

Ketua Unit Penanam Padi Kampung Berangan, Nik Yahya Nik Mustafa berkata, petani dari dua kawasan berkenaan terpaksa mengadakan gotong-royong membersih semak selama 14 hari di sekitar sawah dan tebing tali air sepanjang 11 kilometer (km) yang menjadi tempat tikus bersarang dan membiak sebagai ikhtiar terakhir menghapus haiwan perosak itu.

Beliau berkata, mereka terpaksa menggunakan mesin pemotong rumput untuk memotong semak dan menggunakan jentera bajak untuk meratakan tanah yang menjadi tempat tikus bersarang apabila penggunaan racun tikus tidak berkesan memandangkan kawasan terlibat terlalu luas iaitu sebanyak 54 hektar di Kampung Berangan dan berpuluh hektar lagi sawah di kawasan berdekatan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang memberi racun tikus dan prihatin terhadap masalah dihadapi petani.

"Kalau lihat pada masa ini, persekitaran tali air KADA sudah bersih dari semak kerana kami sepakat membanting tulang membersihkannya," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Nik Yahya berkata, sebelum ini petani seperti ketakutan apabila melihat ribuan tikus 'bermaharajalela' di bendang mereka pada waktu malam, namun selepas permuafakatan dan gotong-royong dilakukan, keadaan beransur baik.

Menurutnya, kira-kira 14,000 ekor tikus berjaya ditangkap sepanjang gotong-royong diadakan setiap hari dengan hanya menggunakan kaedah mengejar dan memukul haiwan itu dengan kayu.

Seorang petani, Azman Ibrahim, 43, berkata, kesan serangan tikus itu telah menyebabkan petani menanggung bebanan hutang bagi perbelanjaan pengurusan bendang, membeli semula benih padi, bekalan racun perosak dan kos membajak serta lain-lain proses penanaman semula.

"Kami terpaksa mencari sumber kewangan lain pada setiap musim penanaman. Sepanjang dua musim lalu, padi yang saya tanam di kawasan seluas 4.05 hektar sekadar menjadi juadah tikus liar sehingga mendesak kami bermuafakat memerangi haiwan perosak itu.

"Kami telah melakukan pelbagai kaedah untuk menghalau tikus termasuk menggunakan racun haiwan, mencurahkan minyak pelincir yang sudah digunakan (minyak hitam) di kawasan semak dan pinggir sawah, namun tidak berkesan.

"Pembiakannya terlalu cepat dan pendekatan terakhir, kami sepakat mengumpul dana untuk menggunakan jentera bajak bagi memusnahkan lubang tikus, membersihkan laluan tali air dengan mesin rumput dan masing-masing memegang sebatang kayu untuk membunuh tikus," katanya.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keamanan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung berkenaan, Nik Pa Nik Soh bersyukur apabila masalah itu mendapat perhatian Pengerusi KADA, Datuk Md. Alwi Che Ahmad yang tampil sendiri meninjau masalah dihadapi petani.

"Syukur dan terima kasih kerana KADA sudi menghulurkan bantuan semula benih padi dan menanggung sebahagian kos racun bagi membolehkan kerja penanaman semula dilakukan secara serentak pada musim ini," katanya yang turut mengusahakan tanaman padi seluas 20.2 hektar.

Beliau berkata, bantuan itu sekurang-kurangnya akan meringankan bebanan petani yang terpaksa menanggung bebanan hutang pada kadar paling minimum sebanyak RM7,000 dengan sebuah syarikat yang menyediakan kredit pembelian benih padi bermutu tinggi.

"Kami sentiasa berusaha membajak semula dan tetap bersemangat untuk bercucuk-tanam. Terima kasih kepada KADA yang turut peka dan meluluskan permohonan petani untuk mendapatkan bantuan baja subsidi," katanya.

Sementara itu, Md. Alwi ketika ditemui berkata, bagi mengelak pertumbuhan semak, penyelenggaraan yang berterusan dan berjadual menggunakan kaedah gotong-royong akan diteruskan pada masa hadapan.

Beliau berkata, penanam padi di kawasan itu perlu dibantu dan dibangunkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada tujuh kepada 12 metrik tan per hektar.

"Jalan ladang yang disediakan oleh KADA sepanjang 11km juga perlu dibangunkan sebagai laluan utama penduduk. Ia perlu diturap untuk memudahkan petani mengangkut hasil dan menghalang kawasan itu menjadi sarang tikus," katanya.

Satu lagi mercu tanda baharu

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

KUALA TERENGGANU 12 Dis. - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini diberitahu, projek bangunan baharu pejabat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bernilai RM141 juta telah diserahkan kepada kontraktor untuk dibangunkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, projek setinggi 30 tingkat berhampiran pantai di Kampung Tanjung dekat sini di kawasan seluas 2.2 hektar itu diletakkan di bawah seliaan Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri sebagai Pegawai Penguasa.

"Pejabat itu akan menjadi satu lagi mercu tanda baharu bandar raya Kuala Terengganu dan kos pembinaannya adalah di bawah peruntukan kerajaan negeri," katanya ketika menjawab soalan lisan Tengku Hassan Tengku Omar (Pas -Ladang) yang ingin tahu di peringkat mana perkembangan projek itu.

Menurut Ahmad, bangunan pejabat MBKT sekarang merupakan bangunan yang disewa milik Perbadanan Memajukan iktisad Negeri (PMINT) dan terpulang kepada PMINT untuk mencari penyewa lain atau menggunakan pejabat itu nanti untuk kegunaan sendiri.

Tambah beliau, PMINT juga akan berpindah ke bangunan baharu apabila menara berkembar milik perbadanan itu yang terletak tidak jauh daripada bangunan sedia ada, siap tidak lama lagi.

Katanya, bangunan baharu PMINT nanti juga bakal disewa dengan sebahagian besarnya oleh Jabatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Terengganu, sementara satu lagi menara akan dijadikan hotel.

Putu halba laris dalam musim tengkujuh

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Zizah Awang melayan dua pengunjung yang mahu membeli putu halba di gerainya di Kampung Berangan Apam, Pasir Mas, Kelantan, semalam.

PASIR MAS 12 Dis. - Ketibaan musim hujan memberi rezeki 'segera' kepada sebahagian penduduk di negeri ini.

Dengan ketibaan musim itu, ramai yang memilih untuk menjual sejenis kuih tradisional iaitu putu halba yang dibuat daripada ubi kayu.

Kuih tersebut dikukus di gerai-gerai sementara di sepanjang jalan-jalan utama bagi memudahkan orang ramai membeli kuih berkenaan.

Sambutan yang diberikan sungguh menggalakkan sehingga ada peniaga yang mampu memperoleh pendapatan RM100 sehari.

Perkara itu diakui oleh seorang suri rumah, Zizah Awang, 55, dari Kampung Berangan Apam di sini yang melahirkan rasa syukur kerana ketibaan musim hujan memberikannya peluang berniaga putu halba.

"Sejak minggu lalu, saya mula berniaga putu halba itu dan pendapatan yang diperoleh agak lumayan.

"Walaupun harga ubi kayu meningkat daripada RM2 ke RM4 sekilogram (kg), saya tetap menjual putu halba pada harga lama iaitu RM2 untuk lima ketul," katanya yang ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Zizah berkata, dia perlu mendapatkan kira-kira 30kg ubi kayu setiap hari untuk diproses menjadi serbuk sebelum dikukus sebagai putu halba.

Jelasnya, hasil jualan putu halba yang dimakan dengan gula melaka dan kelapa parut itu mampu menampung perbelanjaan harian keluarganya.

"Saya menjual air kelapa dan tuak sebelum ini tetapi terpaksa berhenti kerana minuman kurang laris semasa musim hujan tetapi putu halba pula laris dijual pada waktu sebegini," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat