Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Kutipan zakat Maik meningkat
- Bot terbalik: Enam nelayan terselamat
- TKPM jadi alternatif mendepani cabaran sektor pertanian
Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST Mohd. Azri Abd. Rahman (berdiri empat dari kanan) bersama sebahagian peserta Konvoi Kembara Zakat II 2013 Zon Pantai Timur sempena sambutan Bulan Zakat Kebangsaan di Kota Bharu, kelmarin. KOTA BHARU 3 Dis. - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) berjaya mengutip zakat sebanyak RM114.85 juta sehingga kelmarin sekali gus mengatasi jumlah kutipan pada tahun lepas iaitu RM113.16 juta. Setiausaha Maik, Mohd. Azri Abd. Rahman berkata, trend pembayaran zakat pada Disember yang sering mencatatkan jumlah peningkatan mendadak berbanding bulan-bulan lain meyakinkan pihaknya bahawa sasaran zakat RM120 juta tahun ini tidak sukar dicapai. Beliau berkata, banyak pihak berminat membayar zakat di negeri ini kerana bilangan penduduk miskin dan golongan asnaf yang masih ramai. "Kami yakin melalui kempen dan pengagihan bantuan berterusan kepada golongan asnaf akan mencetuskan kesedaran lebih ramai lagi pembayar zakat untuk menunaikan tanggungjawab," katanya. Beliau berkata demikian selepas melancarkan Konvoi Kembara Zakat II 2013 Zon Pantai Timur sempena sambutan Bulan Zakat Kebangsaan, di sini semalam. Program tahunan anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dengan kerjasama Maik; Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (Muip) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) itu akan melalui lokasi terpilih di ketiga-tiga negeri bermula hari ini sehingga Selasa. Kembara tersebut disertai 14 kenderaan dan 70 peserta dari Kelantan, Terengganu dan Pahang. Sementara itu, Mohd. Azri berkata, ia bertujuan merapatkan hubungan antara kakitangan dan pegawai majlis agama dengan golongan asnaf melalui program ziarah selain menjadi kempen menyedarkan orang ramai membayar zakat. "Pada konvoi hari pertama ini, Maik menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM10,000 iaitu bantuan segera kepada tiga penerima yang dilawati di Kota Bharu yang mana dua daripadanya kehilangan rumah akibat kebakaran. "Konvoi ini juga akan singgah di daerah Machang bagi menyaksikan penyerahan kunci rumah agihan zakat Maik kepada 11 penerima bernilai RM385,000 kesemuanya sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu, Terengganu," katanya. Dalam pada itu, salah seorang penerima bantuan, Aisyah Sapein, 40, dari Kampung Baung, Pengkalan Chepa berkata, dia bersyukur kerana nasibnya yang hilang tempat tinggal akibat musibah kebakaran mendapat perhatian ramai pihak. Ibu kepada enam orang anak berusia antara enam hingga 16 tahun itu berkata, dia dan anak-anak sebelum ini mendiami rumah suami yang menghilangkan diri tanpa khabar berita sejak tiga tahun lalu tetapi ia terbakar September lalu. "Saya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan kini terpaksa menyewa rumah dengan kadar RM100 sebulan. "Saya berharap ada pihak yang sudi membantu saya dan anak-anak yang masih kecil memiliki rumah sendiri selepas ini," katanya yang menerima bantuan segera Maik berjumlah RM2,000 dan hamper bekalan makanan daripada peserta konvoi. Seorang lagi penerima bantuan, Rusli Ibrahim, 47, yang cacat pendengaran dari Kampung Pulau Melaka pula mendapat peruntukan zakat Maik sebanyak RM6,000 untuk membaiki rumah usangnya yang rosak teruk dihempap pokok. |
Bot terbalik: Enam nelayan terselamat Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST Orang ramai melihat bot milik Mat Yusof Jafar yang terkandas pada benteng pemecah ombak di Bachok, Kelantan, semalam. BACHOK 3 Dis. - Enam nelayan terdiri daripada seorang tekong dan lima awak-awak berdepan saat-saat mencemaskan selepas bot dinaiki mereka tenggelam akibat terlanggar beting pasir di muara Kuala Kemasin dekat sini semalam. Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi ketika bot itu dalam perjalanan dari Jeti Kuala Kemasin ke Pulau Perhentian sebelum terlanggar beting pasir berikutan keadaan muara yang sangat cetek. Kesemua nelayan tempatan itu sempat menyelamatkan diri dengan berenang sejauh 50 meter ke benteng pemecah ombak dalam keadaan hujan lebat dan angin kencang. Bagaimanapun identiti kesemua mangsa tidak diketahui. Pemilik bot berkenaan, Mat Yusof Jafar, (gambar) 52, mendakwa dia kerugian kira-kira RM700,000 akibat kerosakan enjin dan peralatan lain apabila botnya gagal didaratkan. Dia berkata, tekong yang memandu bot itu telah melepasi kuala berkenaan dalam jarak 50 meter dari benteng pemecah ombak tetapi gagal meneruskan perjalanan selepas tersekat pada timbunan pasir di dasar muara lalu terbalik. "Bot itu kemudian dipukul ombak dan dihanyutkan arus laut sehingga menghampiri sebelah kiri benteng pemecah ombak. "Kebiasaannya bahagian bawah bot akan mengalami kerosakan teruk jika merempuh batu besar beting di dasar muara. "Kejadian seumpama ini sering berlaku membabitkan bot laut dalam dan ini kali pertama berlaku kepada bot saya sejak lebih 11 tahun terlibat dalam sektor perikanan. "Sepatutnya muara cetek digali semula untuk mengelak kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pemilik bot yang terlibat," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Mat Yusof yang juga Nelayan Jaya Kebangsaan 2010 berkata, kos yang tinggi terpaksa ditanggung olehnya untuk menarik bot berkenaan menggunakan jentera dari darat bagi membawanya ke pantai. "Sekiranya bot itu gagal ditarik naik ke darat dalam tempoh yang terdekat dikhuatiri kerosakan yang lebih teruk terutama pada musim laut bergelora dan ombak besar sepanjang musim tengkujuh. "Apa pun saya tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya. |
TKPM jadi alternatif mendepani cabaran sektor pertanian Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST KOTA BHARU 3 Dis. - Kerajaan Pas Kelantan mengkhususkan beberapa kawasan sebagai sumber pengeluaran makanan di negeri ini yang kenali dengan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) sebagai alternatif mendepani beberapa cabaran dalam sektor pertanian. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sehingga kini, Kelantan mempunyai tiga TKPM iaitu di Batang Merbau, Lojing dan Telung. "Satu lagi dalam perancangan untuk dibangunkan iaitu di Lojing 2 di kawasan Gua Musang," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Pegawai Pengembangan dan Majlis Meraikan Persaraan/Pertukaran Kakitangan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan 2013 di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Pertanian negeri, Abdullah Ismail dan Timbalannya, Che Nor Endot. Sebanyak 63 pegawai pengembangan daripada Jabatan Pertanian negeri menyertai kursus bertajuk Prospek Tanaman Secara Fertigasi Tanah Rendah di Malaysia. Program itu bertujuan memberi kesedaran, pengetahuan secara menyeluruh dan pendedahan teknologi bagi melengkapkan pegawai-pegawai pengembangan dengan penggunaan teknologi semasa. Che Abdullah berkata, kepentingan atau penggunaan tanah menjadi cabaran utama dalam sektor berkenaan memandangkan terpaksa dikongsi untuk keperluan-keperluan lain termasuk perumahan dan industri. "Tanah sebagai sumber pertanian tetapi untuk kita jaga tanah pertanian supaya tidak berkurangan adalah perkara mustahil kerana keperluan terhadap tanah ini bukan sahaja untuk makanan. "Tanah ini walau macam mana pun akan terus membesar dengan pelbagai pembangunan termasuk perumahan dan sebagainya. Ini satu realiti yang akan berlaku di mana-mana, di seluruh dunia," katanya. Walau bagaimanapun, tambahnya, keadaan tersebut belum mencapai tahap kritikal di Kelantan memandangkan masih terdapat tanah terbiar bagi membolehkan penggunaan tanah untuk membangunkan sektor tersebut secara lebih meluas di negeri ini. Beliau berkata, kerajaan negeri turut menekankan kaedah penggunaan teknologi termasuk penyediaan benih yang lebih baik dalam usaha menghasilkan pengeluaran pertanian yang lebih tinggi. "Melalui benih yang lebih baik boleh menghasilkan pengeluaran yang banyak dan kaedah teknologi itu akan membantu memudahkan kerja dengan lebih cekap," kata beliau. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |