Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Ternak rusa, popularkan kampung Posted: Ternak rusa, popularkan kampungIMPIAN untuk melonjakkan nama Kampung Semeliang di Kuala Nerang dalam daerah Padang Terap, Kedah sebagai lokasi tumpuan pelancong giat diusahakan oleh seorang jurutera dengan membina sebuah pusat ternakan rusa. Pusat ternakan yang diusahakan sejak lima tahun lalu itu diberi nama Semeliang Agro Farm sempena nama kampung tersebut yang terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari Alor Setar. Pengusahanya, Nor Azhar Mohd. Noor, 41, berkata, minat yang mendalam terhadap haiwan sejak kecil mendorong dirinya membuka pusat ternakan rusa di tanah seluas 2.83 hektar. Bermula dengan lima ekor rusa, kini bilangan haiwan eksotik itu bertambah kepada 150 ekor yang terdiri daripada baka jenis Timoresis dan Axis. Menurut Nor Azhar, tahap matang bagi rusa ialah setahun enam bulan dan ketika ini rusa betina boleh bunting. "Tempoh bunting bagi seekor rusa ialah tujuh bulan dan tiga ekor rusa terhasil dalam jangka masa dua tahun. "Kebiasaannya rusa melahirkan seekor anak bagi setiap kelahiran. Ada juga rusa yang melahirkan anak kembar tetapi belum pernah berlaku di sini," katanya. Minat Nor Azhar terhadap rusa timbul selepas dia pulang berjumpa dengan seorang penternak rusa di Pokok Sena, Alor Setar yang menternak haiwan tersebut berhampiran kediamannya. "Saya dapati dia hanya menternak rusa di dalam kandang kambing dua tingkat. Dari situ saya mula terpikat dengan rusa kerana ia mudah dipelihara tanpa memerlukan tanah yang luas.
"Selain itu, saya ingin memperkenalkan rusa kepada orang kampung terutama penduduk di Kampung Semeliang yang sebelum ini lebih terdedah pada ternakan lembu, kambing dan ayam," katanya. Haiwan ternakan yang tahan lasak itu jelas Nor Azhar, mampu mengurangkan kos permulaan melaksanakan projek penternakan seperti kandang sebagai tempat berteduhnya. Rusa lebih mudah dijaga selain tahan lasak terhadap penyakit dan tidak cerewet dalam soal pemakanan. Rusa makan apa sahaja jenis rumput dan daun kayu. Ternak secara komersial "Ketahanan haiwan ini jelas dapat dilihat sewaktu banjir besar melanda pada tahun 2010. Pada banjir tersebut, rusa terendam dalam air selama dua hari, tetapi hanya beberapa ekor anak rusa sahaja yang mati akibat dihanyutkan arus," kata Nor Azhar yang masih bertugas sebagai jurutera secara sambilan. Dia juga turut menternak lembu bali, burung unta, kambing dan kibas di pusat ternakannya. Ternakan rusa yang dilakukan secara komersial sejak lima tahun lalu itu turut mendapat perhatian pelajar sekolah yang sering membuat lawatan Rusa mula diperkenalkan sebagai haiwan ternakan komersial oleh kerajaan sekitar tahun 1980-an, namun ia kurang mendapat tempat di hati orang ramai. Nor Azhar turut menyediakan khidmat nasihat terutama bagi mereka yang berminat untuk menternak rusa. Dia juga telah melatih dan memberi khidmat nasihat kepada lebih 30 penternak rusa di negeri Kedah. Nor Azhar yang turut menyediakan bekalan daging rusa dan mengakui permintaannya kini semakin meningkat terutama pada musim kenduri dan perayaan. "Rasa daging rusa memang sedap. Ia sesuai untuk dimasak kari atau kurma kerana rusa tinggi protein, rendah lemak dan kolesterol. SEMELIANG Agro Farm ditubuhkan sejak lima tahun lalu. "Namun, permintaannya yang terlalu tinggi menyebabkan bekalan kadangkala tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan," katanya. Ditanya bagaimana dia mendapat kekuatan untuk menternak haiwan tersebut, Nor Azhar memberitahu, pada awalnya dia mendapat kritikan hebat sewaktu menyuarakan hasrat untuk membuka pusat ternakan tersebut. Namun, semuanya dianggap sebagai satu cabaran dan membakar semangatnya untuk berjaya. "Ada yang kata, ada ke orang nak makan daging rusa, berapa lama nak bertahan, macam-macam lagi kata-kata negatif namun saya abaikan sahaja. "Itulah yang menjadikan saya masih bertahan sehingga hari ini dan bertekad untuk mengembangkan ternakan ini," katanya. Sokongan penduduk kampung Nor Azhar berkata, apa yang diusahakan ini merupakan baktinya untuk mengangkat nama Kampung Semeliang. Biarpun pada peringkat awal agak sukar mendapat kepercayaan daripada institusi kewangan untuk membuat pinjaman, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya. Dia juga banyak belajar tentang rusa berdasarkan kajian dan pengalaman. Berbekalkan modal RM20,000, kini Nor Azhar mampu menggajikan empat orang pekerja yang terdiri daripada penduduk tempatan. "Saya bersyukur kerana mendapat sokongan daripada penduduk kampung walaupun pada awalnya saya dikritik. Ibu bapa dan keluarga banyak memberi sokongan tanpa berbelah bahagi," katanya. Selain itu, usaha Nor Azhar untuk mengangkat nama Kampung Semeliang tidak terhenti di Semeliang Agro Farm. Kini, dia dalam perancangan untuk membuka homestay di kawasan tersebut. "Homestay ini dibuka untuk memberi kemudahan kepada mereka yang datang ke sini untuk mempelajari mengenai ternakan rusa. CALET yang terdapatdi Pedu Lake Resort, Padang Terap, Kedah. "Secara tidak langsung, ia mampu menarik pelancong ke sini bagi menikmati keindahan Kampung Semeliang yang dikelilingi dengan sawah padi dan pokok getah. "Harapan saya, apabila sebut sahaja rusa Kuala Nerang, orang akan sebut Kampung Semeliang dan terbayang rusa serta tahu lokasi pusat ternakan ini," katanya. Nor Azhar yang mahu melihat lebih ramai penternak rusa di negara ini sedia memberikan khidmat nasihat kepada mereka yang berminat. Dia boleh dihubungi di talian 012-408 9689. Sementara itu, pelanggan yang ditemui memuji perkhidmatan yang ditawarkan Nor Azhar. Abdullah Hashim, 48, berkata, pada zaman kanak-kanaknya untuk mendapatkan daging rusa, seseorang itu perlu keluar memburu haiwan tersebut di hutan yang mengambil masa hampir satu hari, namun belum tentu ia membuahkan hasil. "Pemburu rusa juga perlu berhati-hati sewaktu masuk ke hutan kerana pelbagai cabaran terpaksa dilalui. Mereka juga perlu mengetahui kawasan yang sering menjadi tempat haiwan itu berkumpul. "Namun berbeza dengan zaman sekarang, mudah sahaja. Saya hanya membuat tempahan dengan Nor Azhar dan mengambil bekalan daging pada hari yang ditetapkan," katanya. Abdullah pernah membeli seekor rusa seberat 75 kilogram (kg) pada harga kira-kira RM2,500 untuk dijadikan sebagai menu majlis kenduri. Katanya, agak sukar untuk mendapatkan daging rusa kerana tidak ramai yang menjalankan perniagaan tersebut berbanding lembu dan kambing. | |
Posted: Buang darah dalam longkangPEMBUANGAN darah kotor melalui kaedah bekam ini dipercayai mampu mengubati penyakit dengan segera. IBU kepada tiga orang anak, Lilavati Devi berdiri di bawah terik matahari di Delhi Lama sementara seorang pengamal perubatan dan pembantunya memeriksa urat darah di tangannya. Selepas membuat pemeriksaan, doktor berkenaan membenamkan mata pisau cukur ke dalam kulit Devi untuk membolehkan darah kotor mengalir keluar. Titisan darah itu dihalakan ke dalam sebuah longkang. Devi menderita penyakit artritis kronik. Dia percaya pengamal perubatan yang bernama Mohammed Gyas itu mempunyai kemahiran untuk menyembuhkan penyakit yang dihidapnya melalui rawatan kuno pengeluaran darah. "Perubatan moden dan sains telah gagal," ujar Devi sementara pembantu Mohammed menuangkan air sejuk di tangannya dan meletakkan serbuk herba berwarna kelabu di atas luka tersebut. Tambah wanita itu, rawatan yang dilakukan lelaki Muslim berusia 82 tahun itu merupakan satu-satunya cara untuk menghilangkan sakit sendi yang dialaminya selama ini. Sebelum ini, ramai doktor menggunakan kaedah yang telah berusia ribuan tahun itu untuk merawat pelbagai jenis penyakit sehingga akhir abad ke-19. Bagaimanapun, selepas kemunculan perubatan moden, rawatan tersebut semakin dipinggirkan. DERETAN pesakit menghalakan aliran darah yang keluar dari tangan masing-masing ke sebuah longkang yang terletak berhampiran klinik tersebut. Namun, ketika perkhidmatan perubatan sangat mahal dan senarai menunggu terlalu panjang, segelintir masyarakat miskin dan pedalaman di India memilih amalan tradisional seperti berbekam. Setiap hari kira-kira 50 pesakit beratur di klinik terbuka berhampiran dengan Masjid Jama, sebuah masjid terbesar di India, semata-mata untuk mendapatkan rawatan daripada Mohammed yang didakwa boleh menyembuhkan penyakit seperti diabetes, lumpuh dan kanser pangkal rahim. "Rukun asas terapi ini ialah kepercayaan bahawa darah kotor merupakan punca segala penyakit. Jadi, dengan membuang darah ini, masalah kesihatan dapat diatasi," jelas Mohammed yang mempelajari kemahiran tersebut daripada bapanya dan berpengalaman selama empat dekad dalam kaedah rawatan itu. Tambahnya, menjejak aliran darah kotor itu memerlukan kemahiran yang tersendiri. Torehan tidak dibuat secara rawak kerana setiap saluran darah perlu diperiksa. Bayaran Para pengamal perubatan itu mendapati, selepas hirisan dibuat untuk mengeluarkan darah kotor atau beku yang tersumbat, ia akan meningkatkan pengaliran darah seseorang individu. Sebelum memulakan rawatan, Mohammed akan meminta pesakit berdiri di bawah panas matahari selama 40 minit. Pembantunya akan mengikat jalur kain di bahagian anggota badan pesakit untuk menyekat aliran darah, sekali gus menonjolkan urat darah di permukaan kulit sebagai persediaan untuk ditoreh sedikit. Menurut Mohammed, dia tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pesakit kerana kebanyakan mereka terdiri daripada golongan miskin dan orang susah. Namun, mereka perlu membayar kira-kira 40 rupee (RM2.10) kepada pembantunya atas tugas yang dilakukan. Jumlah itu 10 kali ganda lebih rendah berbanding rawatan homeopati, salah satu rawatan alternatif popular di India. "Apabila mereka datang kepada saya, duit yang dibawa terlalu sedikit. Apa yang boleh saya ambil daripada orang-orang sebegini?" tuturnya. PROSES membuat insisi dilakukan dengan penuh berhati-hati di bahagian tangan yang sakit. Sumber kewangan lelaki ini bergantung pada anak lelakinya yang memiliki sebuah kedai, sementara seorang lagi anak lelakinya berminat mengikut jejak langkah beliau dalam mempelajari kemahiran rawatan tradisional ini. "Rawatan kami sama seperti bentuk perubatan tradisional yang lain. Kami bukan doktor komersial kerana kesejahteraan rakyat adalah keutamaan kami," ungkap anak lelaki Mohammed, Mohammed Iqbal. Berbekam masih lagi diamalkan di India tetapi doktor konvensional menolak teknik rawatan tersebut yang dianggap meragukan. Pakar penyakit diabetes, Rajesh Keswari menyatakan dia sering melihat pesakit yang sanggup mengambil risiko dengan melakukan terapi tidak saintifik seperti mengeluarkan darah dan minum ramuan herba. Meskipun India mempunyai kemudahan hospital bertaraf dunia, ramai rakyatnya tidak mampu menggunakan perkhidmatan tersebut. Pertumbuhan ekonomi yang pesat sejak sedekad lalu membolehkan kerajaan meningkatkan perbelanjaan ke atas masyarakat miskin dan luar bandar. Bagaimanapun, menurut laporan Oxfam 2013, sistem kesihatan awam masih terlalu rendah untuk memenuhi keperluan 1.2 bilion rakyat India. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |