Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Masjid Cina Ipoh catat sejarah Posted: Masjid Cina Ipoh catat sejarahOleh ZULHAFIZAH AHMAD ZAKI
KETIKA umat Islam masih meraikan sambutan Aidilfitri, Masjid Muhammadiah turut melakar satu peristiwa bersejarah. Ini dapat dilihat apabila bukan sahaja masyarakat Islam setempat malahan masyarakat Cina yang beragama Islam dari seluruh negara berkunjung ke sini. Masjid Muhammadiah yang terletak di Taman Tasek Jaya, Ipoh, Perak dibina dengan konsep seni bina Cina. Ia dikenali sebagai Masjid Cina dalam kalangan penduduk tempatan di samping menjadi satu lagi mercu tanda baharu kawasan berkenaan. Masjid yang mengambil nama sempena masjid lamanya, berasal daripada Madrasah Muhammadiah yang didirikan oleh Allahyarham Abdul Latif Mohd. Kassim bersama tujuh rakannya pada tahun 1973. Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Ipoh, Hafiz Ng Abdullah dalam satu temu bual baru-baru ini berkata, masjid itu kini diurus tadbir oleh gabungan dua buah jawatankuasa iaitu jawatankuasa Masjid Muhammadiah yang lama dan Persatuan Cina Muslim Cawangan Ipoh. Konsep pembinaan masjid ini mengambil sepenuhnya idea seni bina tradisional dan budaya Cina. Ia kemudian diterjemahkan di keseluruhan bangunan termasuk bumbung, pagar, dinding serta dewan solat menerusi prinsip simetri. Binaan lantai yang lebih tinggi daripada paras tanah, tiang-tiang besar berwarna merah dan sebuah menara berbumbung yang dihiasi motif hiasan Cina berwarna hijau, menambah keunikan masjid ini. Pintu masuk utama yang berwarna merah dihiasi tulisan Cina di bahagian kanan dan kiri manakala perkataan Masjid Muhammadiah dalam tulisan rumi di bahagian atas seolah-olah mencerminkan perjalanan sejarahnya yang tersendiri. RUANG solat utama boleh menampung jemaah seramai 800 orang. Perbezaan "Bagaimanapun jika diteliti, sebenarnya kita telah ubah seni hiasan bumbung kerana di China, mereka menggunakan motif bunga teratai tetapi di masjid ini kita menggunakan bunga raya merah iaitu bunga kebangsaan," katanya. Beliau berkata, warna cat yang dipilih bagi menghiasi keseluruhan bangunan masjid juga adalah berdasarkan warna utama dalam budaya masyarakat Cina iaitu merah, hijau dan putih. Ruang solat terbuka masjid berkenaan dihias dengan taman-taman kecil yang dipisahkan oleh laluan ke dewan solat dan ruang aktiviti di bahagian dalam masjid. Ketika ditanya mengenai perbezaan Masjid Muhammadiah dengan masjid Cina yang ada di negeri lain, Hafiz Ng berkata, perbezaan itu dapat dilihat dengan jelas seperti masjid di Rantau Panjang, Kelantan, yang seni binanya sedikit bercampur dengan budaya masyarakat Thailand. Hafiz Ng, yang juga timbalan pengerusi masjid berkenaan berkata, ruang aktiviti dengan konsep terbuka masjid itu membolehkan umat Islam mengadakan majlis ceramah, forum dan aktiviti budaya yang menepati syariat Islam. Masjid Muhammadiah yang menempatkan dewan solat dan ruang aktiviti itu adalah fasa pertama daripada keseluruhan kompleks dengan keluasan 0.4 hektar yang turut terdiri pusat dakwah serta rumah perlindungan. "Rumah perlindungan itu bertujuan memberi tempat tinggal sementara terutama kepada saudara baru yang mungkin disisih oleh keluarga," katanya. Selain itu, dewan solat wanita di bahagian atas boleh menempatkan 200 ahli jemaah manakala ruang solat bawah mampu memuatkan 800 orang. Pendakwah aktif itu berkata, kos bagi fasa pertama iaitu pembinaan bangunan masjid bernilai RM4 juta manakala fasa kedua merangkumi pembinaan pusat dakwah serta rumah perlindungan memerlukan kos sebanyak RM2.8 juta. Pada 8 Oktober 2009, Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), berkenan menyampaikan geran pelancaran bernilai RM2 juta bagi tujuan membina masjid berkenaan di samping memberi perkenan terhadap pelan dan seni rekanya. Kutipan derma TIANG bulat berwarna merah sangat sinonim dengan seni bina di negara China. "Bagi tujuan pembinaan fasa kedua, kutipan derma dan sumbangan oleh mana-mana pihak masih berjalan. Alhamdulillah, semasa kutipan untuk pembinaan masjid semua pihak memberi sokongan yang kuat untuk merealisasinya, begitu juga bagi fasa kedua," katanya. Beliau turut menjelaskan, cadangan pembinaan Masjid Muhammadiah ini dibincangkan oleh kedua-dua jawatankuasa pada November 2008 dan dimulakan pembinaannya pada Disember 2011. "InsyaAllah fasa pertama ini akan sempurna dalam tempoh sebulan lagi. Sekarang kita sedang melaksanakan kerja-kerja bagi perincian terakhir," katanya. Beliau berkata, tujuan pembinaan masjid baharu ini adalah bagi menampung kapasiti umat Islam yang semakin bertambah di kawasan sekitar khususnya bagi keperluan solat Jumaat. "Ia juga bagi menghimpunkan saudara seagama daripada masyarakat Cina yang segan dan malu untuk pergi ke masjid biasa. Masjid Muhammadiah ini juga membuka peluang kepada orang bukan Islam untuk mendapatkan maklumat mengenai Islam," katanya. Hafiz Ng berkata, sesiapa sahaja boleh datang ke masjid ini untuk merujuk atau bertanya mengenai agama Islam tanpa sebarang halangan dan ia adalah satu tarikan kepada orang bukan Islam untuk lebih mengenali Islam. "Kita juga mahu menjadikan masjid ini sebagai satu tarikan pelancongan di Perak. Ramai saudara baru Islam dan bukan Islam dari Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur hadir semasa masjid ini dibuka pada 4 Ogos lepas," katanya. – Bernama | |
Posted: Seni jujur kanak-kanakKIRI: Nadia merakam foto sekeping lukisan yang menarik perhatiannya. KARYA-KARYA yang digantung pada dinding di ruang pameran Annexe Gallery, Kuala Lumpur pada bulan Julai lalu kelihatan sangat naif dan ringkas. Sejujur usia para pelukis aneka lukisan tersebut iaitu antara tiga hingga 16 tahun, tema yang dibawa cuba menjentik kematangan mereka mengenai alam semula jadi. Terdapat lebih 20 keping lukisan yang rata-rata berkaitan alam tabii seperti gunung-ganang, pokok-pokok, bunga-bungaan segar dan sungai yang mengalir. Isu berkaitan alam sekitar seperti pencemaran dan kemungkinan jika dunia ini tidak dijaga turut dipaparkan oleh mereka menggunakan garisan-garisan berus lukisan dan warna yang terbit daripada rasa hati para pelukis. Kanak-kanak yang terlibat kebanyakan dari Malaysia, tetapi hasil karya kanak-kanak dari Afrika Selatan, Amerika Syarikat, China, Singapura, Hong Kong dan Australia turut dipamerkan. Pameran yang dianjurkan oleh Esse Organic Skincare itu merupakan satu kempen memberi semula kepada mereka yang memerlukan. Setiap hasil lukisan kanak-kanak mangsa itu yang berharga antara RM800 hingga RM1,000 disalurkan terus kepada Shelter Home for Children di Malaysia. Shelter Home for Children merupakan sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan sejak tahun 1981 bagi membantu kanak-kanak penderaan, terbiar, terabai atau berisiko. Pihak itu menyediakan penjagaan dan pendidikan kepada golongan tersebut selain meningkatkan kesedaran awam berkenaan penderaan serta perlindungan kanak-kanak. Terdapat sekeping lukisan yang menggunakan warna akrilik di atas kanvas bertajuk, Little Red Riding Hood and the Wolf on a Happy Outings. Catan itu dilukis oleh seorang kanak-kanak berusia lima tahun, Jason Hang dari Hong Kong. Biarpun menggunakan karakter cerita dongeng kanak-kanak, tetapi paparan gambaran yang diputar sedikit memberi makna mendalam pada lukisan berkenaan. Umum mengetahui bahawa watak Red Riding Hood bermusuhan dengan karakter musang kerana kejahatan haiwan itu. Namun, pelukis memberikan pandangan bahawa kedua-dua karakter tersebut bersahabat baik, malah bersiar-siar bersama pada waktu petang. LUKISAN bertajuk Little Red Riding Hood and the Wolf on Happy Outings ini dihasilkan oleh Hang. Menjaga kelestarian bumi Begitulah yang mahu ditonjolkan dan seharusnya dilakukan oleh setiap individu iaitu menjaga serta menyayangi flora serta fauna demi kelestarian bumi. Jika diperhatikan pada penggunaan warna dan lengkok berus, setiap warna serta campuran digunakan sesuai untuk karakter dalam karya masing-masing. Lengkok berus juga sangat praktikal serta berfungsi. Boleh dikatakan ia merupakan lukisan yang terperinci kerana pemerhati dapat melihat corak kain, sisiran rambut, lentikan bulu mata dan skaf. Warna latar belakang pula berwarna biru cerah dengan gumpalan awan menandakan cuaca yang baik, manakala rimbunan semak berwarna hijau pelbagai tona menunjukkan kawasan hutan masih tebal di dalam lukisan itu. "Pameran ini memberikan persepsi berbeza dengan mengajar mereka cara untuk menghargai alam sekitar," kata tetamu istimewa pada petang itu, Ratu Cantik Malaysia Dunia 2010/2011, Nadia Patullo Heng. Tema alam sekitar amat bertepatan dengan Esse yang sentiasa mempromosi alam sekitar yang mapan selain mengamalkan cara perdagangan yang adil dan beretika. Menurut pengasasnya, Trevor Steyn, bahan-bahan asas pembuatan produk Esse berasal dari pedalaman Afrika yang hasilnya dikutip oleh penduduk asli tempatan. Setiap kampung mempunyai kutipan hasil tumbuh-tumbuhan tersendiri yang didapati daripada pokok berusia beratus-ratus tahun seperti boabab, mamala dan rooibos. Semua bahan dikumpulkan di kilang Esse untuk diproses menjadi produk. Di negara-negara lain, kempen memberi semula kepada komuniti agak berlainan seperti di sini. - ADLAN JAAFAR | |
Jus durian Aroma King tarikan Melaka Posted: Jus durian Aroma King tarikan MelakaOleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
MELAKA cukup sinonim dengan asam pedas, gula Melaka, cencalok dan pelbagai menu yang menjadi identiti negeri bersejarah ini. Begitu juga dengan minuman coconut shake yang menjadi kegemaran orang ramai yang melalui jalan dari Pantai Klebang hingga ke Pantai Puteri. Selepas sambutan hangat yang diberikan terhadap produk tersebut, orang ramai termasuk pelancong bakal menikmati satu lagi menu istimewa iaitu jus durian asli selaku daya tarikan terbaharu negeri itu. Diberi nama Aroma King, jus tersebut merupakan minuman berperisa durian asli yang dijual oleh pengusaha dari Bukit Rambai, Norfaisal Omar. Dia menjalankan perniagaan itu bersama isteri, Noraini Abd. Wahab, 39, dan seorang rakan, Norfadilah Mohamad, 34. "Saya tertarik untuk mengetengahkan minuman itu sebagai satu kelainan. Produk ini masih di peringkat promosi dan kami merancang untuk membuka sebuah gerai jualan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Jus Durian Aroma King di Dataran 1Malaysia Klebang baru-baru ini. Menurut Norfaisal, 42, jus durian yang menggunakan buah segar itu mempunyai rasa manis asli tanpa campuran gula. Durian terbaik Katanya, pati jus itu pula bukan sekadar jus yang boleh diminum begitu sahaja malah mampu dipelbagaikan seperti ais kisar dan perisa kek, roti dan kuih. Dia yang enggan mendedahkan resipi jus tersebut menjelaskan, minuman itu dapat bertahan sehingga enam bulan jika dibekukan. Dengan tempoh yang panjang itu, jus tersebut boleh dinikmati sepanjang tahun. "Pati jus dihasilkan menggunakan buah durian terbaik," katanya. Noraini pula berkata, sebanyak 10 biji durian akan menghasilkan sebungkus beg plastik pati jus seberat 6.5 kilogram. NORFADILAH (kanan) melayan orang ramai menikmati jus durian Aroma King. Menurutnya, pati durian yang telah diinovasikan mampu bertahan antara enam bulan ke setahun. Ujarnya, jus durian Aroma King merupakan yang pertama di negeri itu. "Dengan modal serendah RM2,000, saya yakin sesiapa juga mampu menjalankan bisnes ini tetapi perlu mengambil pati durian daripada kami," katanya. Noraini berkata, dia dan suaminya akan mengkaji pasaran jus terlebih dahulu selain mahu membuat kajian untuk menghasilkan durian shake . Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Abu Bakar Mohd. Diah berkata, jus durian berkenaan berjaya dihasilkan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama tiga bulan dengan kerjasama kementerian terbabit. Kata beliau, pada masa yang sama pihaknya kini masih mengkaji kesesuaian buah tempatan itu dijadikan minuman shake yang boleh dijual pada harga yang lebih murah berbanding jus durian. Menurut Ahli Parlimen Tangga Batu itu, produk yang telah diinovasikan itu tidak memberi kesan sampingan kepada tubuh. "Produk ini sebenarnya telah dikaji selama tiga bulan sebelum diperkenalkan dan saya yakin ia mampu menjadi minuman yang popular sama ada kepada penduduk mahupun pelancong di Melaka," katanya yang turut hadir pada pelancaran jus durian Aroma King itu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |