Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Kenyataan Koo Ham berbahaya - Zambry Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT IPOH 14 Ogos - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mempersoalkan kredibiliti badan kehakiman berhubung keputusan petisyen pilihan raya sebagai berbahaya dan tidak bertanggungjawab. Menurut beliau, Koo Ham tidak wajar memainkan sentimen negatif mengenai sistem kehakiman sehingga pada satu tahap seolah-olah cuba menghasut rakyat ke jalanan bagi membantah keputusan mahkamah menolak petisyen yang difailkan pakatan pembangkang. Dalam hal itu, tegas beliau, pembangkang sepatutnya tidak bersikap hipokrit kerana petisyen yang dibuat Barisan Nasional (BN) juga ditolak oleh mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang pilihan raya. "Mereka (pembangkang) pilih jalan itu (memfailkan petisyen) dan penghakiman juga sudah dibuat. Jangan fikir cara mereka sahaja kerana penghakiman turut menyaksikan petisyen yang difailkan BN juga ditolak. "Ini kenyataan tidak bertnggungjawab dan boleh menggugat keamanan negeri dan negara. Ini kenyataan menghasut, sangat berbahaya dan mereka harus bertanggungjawab," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini. Zambry diminta mengulas kenyataan Koo Ham dalam laman sosial Twitter baru-baru ini yang menyatakan rasa terkejut dengan keputusan mahkamah menolak petisyen pilihan raya pembangkang sehingga membolehkan BN mengekalkan kemenangan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Rungkup, Selama, Manjoi dan Lubuk Merbau. Koo Ham dalam laman sosial itu juga dipetik sebagai berkata: Courts the place to hear election grievances, if they refuse to hear they are sending a message to aggrieved parties to go to the streets. (Mahkamah tempat untuk mendengar aduan pilihan raya, jika mereka enggan mendengar mereka menghantar mesej kepada pihak terbabit untuk pergi ke jalanan). BN Perak yang tewas pada Pilihan Raya Umum 2008 pernah memfailkan petisyen di beberapa kerusi termasuk di DUN Kuala Kurau, Lubuk Merbau dan Kuala Sepetang tetapi kesemuanya ditolak dengan kos oleh mahkamah. Pada pilihan raya kali ini, BN mengemukakan 21 petisyen di seluruh negara yang setakat ini menyaksikan petisyen parti itu ditolak oleh mahkamah termasuk di DUN Penggaram, Johor yang dimenangi calon DAP. Selain itu, petisyen yang difailkan oleh pengundi bagi mencabar kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Lembah Pantai juga ditolak dengan kos oleh mahkamah pada 1 Ogos lalu. |
Menteri Besar Perak dedah sikap talam dua muka pembangkang Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT IPOH 14 Ogos - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mendedahkan sikap talam dua muka pembangkang yang menuduh kononnya wakil rakyat mereka tidak diberi peluang secara demokratik untuk melontarkan soalan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Menurut beliau, tindakan wakil rakyat pembangkang memuat naik soalan-soalan lisan di laman sosial kerana kononnya tidak berpeluang berbuat demikian di sidang DUN adalah usaha terdesak bagi mengelirukan serta membangkitkan kemarahan rakyat. Dalam hubungan itu, Zambry meminta wakil rakyat berkenaan bertanya kepada kepimpinan pakatan pembangkang di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan sama ada semua soalan yang dikemukakan wakil rakyat BN dijawab setiap kali sidang DUN berlangsung. "Saya juga mahu tanya, ketika mereka memerintah selama 11 bulan di Perak, adakah semua soalan wakil rakyat BN dijawab? Kalau betul mereka ini demokratik, kenapa tiada satu pun soalan saya dijawab dalam sidang DUN ketika itu? "Di Pulau Pinang baru-baru ini misalnya, sesi soal jawab pun tiada langsung. Jadi janganlah hendak berbohong kepada rakyat untuk kata anda demokratik, usah manipulasi fakta semata-mata mahu meraih sokongan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini. Beliau diminta mengulas tindakan beberapa wakil rakyat pembangkang memuat naik soalan-soalan lisan yang tidak dijawab dalam sidang DUN melalui laman sosial kerana mendakwa kononnya kesemuanya tidak dijawab dalam sidang berkenaan. Zambry berkata, pembangkang tidak wajar menganggap rakyat terlalu naif sehingga tidak dapat memahami prosedur proses perjalanan sidang DUN yang perlu dipatuhi. "Saya tanya semua ini kerana sistemnya begitu. Jawapan lisan misalnya biasa diberi sejam atau sejam setengah, jadi ada soalan yang sempat dijawab ada yang tidak, maka yang tidak sempat ini boleh dibahaskan selepas itu. "Kemudian ada jawatankuasa yang memilih soalan yang mungkin menyentuh sensitiviti atau bersifat nasional. Mereka tahu semua ini, tetapi sengaja manipulasi fakta kerana hendak tanam kebencian rakyat," katanya. Sementara itu ditanya mengenai rungutan berhubung projek Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Perwira khas untuk golongan tentera, Zambry berkata, perkara itu sudah diajukan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin. "Saya sudah minta beliau melihat perkara ini semula memandangkan terdapat beberapa kesulitan yang dihadapi dan beliau akan kemukakan laporan mengenainya selepas ini," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |