Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Legasi Melayu dalam tamadun Islam Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM SEMANGAT perpaduan yang ditegakkan oleh masyarakat Melayu/Islam jelas terpancar pada majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri setiap tahun. - Gambar hiasan BULAN Ramadan yang mulia ini, masyarakat Islam di negara kita menerima ujian daripada beberapa peristiwa yang boleh dianggap sebagai dugaan terhadap kesabaran dan kewarasan pemikiran umat ini. Pertama, peristiwa yang dikatakan berlaku di sebuah sekolah oleh tindakan yang berbentuk diskriminasi terhadap pelajar-pelajar bukan Islam dengan 'memaksa' mereka minum dan makan dekat 'tandas'. Kedua, keputusan mahkamah yang memutuskan bahawa tindakan seorang suami, bapa kepada tiga orang anak, mengislamkan anak-anaknya tanpa keizinan ibunya yang masih kekal dalam agama asalnya, tidak sah dan tidak mengikut Perlembagaan. Sebelum peristiwa ini pun, telah berlaku beberapa penghinaan terhadap umat Islam, termasuk lukisan dan komen sinikal daripada anak muda bukan Islam yang mempersenda ibadat puasa, iaitu menunjukkan sepasang manusia yang berbuka puasa dengan makanan yang bertanda logo Halal, tetapi mesejnya ialah makanan itu amatlah diragui tentang status halalnya. Peristiwa terbaru yang menguji kesabaran umat Islam juga, ialah penglibatan anak-anak gadis Islam di dalam peraduan Ratu Cantik Malaysia, dan komen-komen pro atau kontranya, termasuk daripada orang Islam sendiri. Malah, tidak lama dulu, satu keputusan telah pun dibuat di mahkamah tentang kebenaran peguam bukan Islam untuk menjadi peguam Syarie berdasarkan merit, bukan berdasarkan latar belakang agamanya. Di samping itu kes "kalimah Allah" juga sedang menunggu perintah mahkamah yang akan mendengar bantahan terhadap penggunaan kalimah ini tidak lama lagi, dan bakal menjadi satu lagi kes besar kepada masyarakat Islam dan masyarakat berbilang kaum di negara kita ini. Saya merasa kagum dan bersyukur kepada Allah SWT kerana nampaknya umat Islam yang menerima 'tamparan' yang agak hebat itu, tetap bersabar dan tidak menunjukkan sebarang reaksi kesal, marah secara melulu, atau bertindak di luar batas-batas tatasusila agama. Hal ini besar kemungkinan berpunca daripada tabiat umat Islam, terutamanya orang Melayu kita yang sememangnya sering bertindak secara rasional dan meletakkan kepentingan bangsa dan negara di atas segala-segalanya. Selain itu, kekuatan iman dan kepentingan sifat sabar yang sedang dipelajari daripada ajaran agama dalam bulan puasa ini, mungkin telah memberikan kekuatan kepada umat Islam sendiri supaya menambahkan ketenangan dan kesabarannya. Sebab itulah tidak ada sebarang reaksi mereka yang berdasarkan emosi atau sentimen melulu ketika menghadapi dugaan ini. Orang Islam sendiri pada mulanya telah menyatakan kekesalan dan kemarahan mereka terhadap berita yang mengatakan bahawa kanak-kanak bukan Islam terpaksa makan dan minum di dalam tandas dalam bulan Ramadan ini, dan akhirnya mereka menerima dengan baik hakikat yang sebenarnya bahawa peristiwa yang berlaku itu bukanlah sebenarnya begitu, malah tempat makan minum ini adalah di dalam bilik persalinan yang tidak digunakan sebagai tandas, dan telah pun digunakan beberapa bulan lalu oleh semua pelajar, tanpa mengira agama dan keturunan, kerana kesempitan ruang kantin sekolah. Alhamdulillah, nampaknya orang Islam tetap bersabar dan menyiasat kes ini dengan amat terbuka dan luas pemikiran, lalu tidaklah berlaku reaksi yang negatif, walaupun kemudiannya ternyata bahawa terdapat sesetengah kalangan yang ingin menjatuhkan pimpinan sekolah tersebut dan menghina umat Islam sendiri secara yang tidak langsung dengan menyebarkan gambar dan berita tersebut. Dalam isu yang diputuskan oleh mahkamah tentang pengislaman kanak-kanak itu pula, nampaknya seperti biasa, warga negara kita menerima keputusan mahkamah dengan rela hati, dan tidak memberikan sebarang reaksi yang tidak bertamadun, kerana umat Islam khasnya di negara ini sering menerima realiti bagi segala peristiwa yang berlaku di negara ini, termasuk isu yang menyentuh agama dan keturunan bangsa sendiri, setelah melalui proses perundangan yang diamalkan di negara kita. Negara kita mempunyai proses perundangan yang panjang untuk mencari keadilan pada akhirnya. Maka proses rayuan dan sebagainya tentulah akan diambil untuk mendapatkan keputusan mahkamah nanti. Inilah sebenarnya sikap dan akhlak Islam yang seharusnya kita kekalkan, kerana dalam Islam pintu perundingan dan penyelesaian masalah sentiasa terbuka, iaitu sebarang krisis dan isu yang timbul di dalam masyarakat, hendaklah diselesaikan dengan penuh ilmu dan hikmah. Malah bagi kita umat Islam di negara ini, tidak timbul jalan kekerasan atau keganasan untuk menyelesaikan sesuatu pertikaian dan konflik yang berlaku di antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam, malah jalan yang sama sering diambil ketika berlaku perselisihan dan krisis di antara umat Islam sesama umat seagamanya. Hal inilah yang saya rasakan bahawa orang Melayu yang menerima ajaran Islam dan menghayati akhlak dan moral Islam itu sememangnya amat komited kepada ajaran agamanya. Mereka menyedari tanggung jawabnya terhadap Allah dan Rasul-Nya, dan mereka sentiasa menyedari akan falsafah perjuangan dalam menegakkan agama ini, iaitu tanpa mengorbankan prinsip dan ajaran asas agama Islam sendiri. Melihat peristiwa yang berlaku di Mesir, Syria, Iraq, Tunisia dan lain-lain lagi di negara para Nabi dan Rasul yang amat bergolak pada masa kini, saya sering bertanya apakah umat Islam di negara-negara tersebut tidak mempunyai keupayaan lagi untuk menahan marah dan nafsu ledakan emosi dan sentimen mereka ketika menghadapi krisis dalam negara mereka pada masa kini? Apakah bulan puasa dan ibadat puasa yang sedang dilakukan pada masa kini juga tidak berdaya lagi mengajar mereka supaya bersabar dan berhikmah, dengan mencari jalan yang bijak untuk menyelesaikan masalah dan konflik mereka sesama sendiri itu? Apakah ertinya puasa mereka dalam bulan Ramadan yang berkat ini sekiranya ibadat mulia itu disertai oleh perbuatan yang jelas bertentangan dengan roh dan semangat Ramadan sendiri? Di manakah ajaran dan pendidikan yang seharusnya mereka hayati dalam menghadapi tekanan dan krisis sesama mereka sehingga mereka sanggup menghalalkan perbuatan mereka yang jelas bertentangan dengan matlamat ajaran agama Islam sendiri? Ini hanya sekadar beberapa perbandingan sepintas lalu tentang perbezaan tindakan umat Islam di rantau Nusantara, khususnya, umat Melayu, ketika menghadapi krisis yang amat mudah membangkitkan ledakan emosi dan sentimen keagamaan atau perkauman, malah taksub kepartian yang melulu. Maka dalam melihat ke dunia Islam lain inilah saya melihat bahawa keberkatan persefahaman di antara umat Melayu dan kaum-kaum lain di negara kita inilah yang memungkinkan Malaysia mengamalkan dasar toleransi yang tinggi dalam kepelbagaian dimensi kehidupan kita. Kita mengamalkan dasar 'perkongsian kuasa' (power sharing) yang amat bermakna dalam membangunkan negara dan bangsa kita, sehingga dasar ini telah membawa kita kepada kehidupan bersama secara aman dan damai (peaceful coexistence) selama ini. Banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh pelbagai kaum, termasuk orang Melayu dan umat Islam sendiri di negara ini, yang memungkinkan kita melahirkan satu masyarakat contoh yang terbaik dalam dunia ini dalam konteks masyarakat majmuk. Oleh itu, saya merasakan bahawa dalam meneruskan legasi kekuatan toleransi umat Islam dan Melayu di rantau ini, khususnya di negara kita, maka seluruh dunia haruslah menghormati sentimen dan persefahaman ini. Dalam konteks inilah juga saya telah mengemukakan idea agar legasi Melayu dalam perjuangan menegakkan Islam dengan segala contoh tauladan, kegigihan dan perjuangan yang penuh hikmah, pemikiran dan tamadunnya, seharusnya kita tonjolkan di dalam dunia umumnya, bahawa selain daripada masyarakat Asia Barat dan Afrika Utara, sebenarnya di sana terletak pusat pembangunan dan tamadun Islam, iaitu di tangan umat Islam dan orang Melayu, di rantau dunia yang terkenal sebagai Tanah Melayu dan bumi Nusantara yang selama ini diabaikan dalam sejarah pembangunan Islam dan tamadunnya. Dunia antarabangsa seharusnya dapat mengenali Islam dan tamadun serta pemikirannya melalui masyarakat Melayu, dan masyarakat bukan Islam juga seharusnya menghargai sumbangan Melayu dalam membangun dan memahkotakan Islam sebagai agama perdamaian dalam dunia yang serba bergolak ini. |
PPPM hak rakyat, bukan Dong Zong Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT Oleh ZULKIFLI JALIL MEMANG ada logiknya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpegang kepada keputusan untuk tetap mahu melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 6 September ini. Ini disebabkan PPPM itu sendiri dicapai hasil pertemuan dengan rakyat pelbagai lapisan yang mengutarakan pelbagai isu pendidikan - yang disifatkan suatu program luar biasa dalam sejarah pendidikan negara. Sebenarnya, tidak ada sudahnya pun untuk kita melayan kehendak dan tentangan menggila Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). PPPM dihasilkan dari Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang diadakan sejak 29 April tahun lepas di 15 lokasi di seluruh negara. Dalam suatu pertemuan penulis dengan Pengerusi Panel Dialog itu, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin (gambar), beliau sendiri melabelkan dialog berkenaan sebagai sesuatu yang 'fantastik'. Dalam program tersebut, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum tanpa mengira ideologi diberi ruang untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku dalam hati serta berpeluang mengesyorkan cadangan-cadangan untuk penambahbaikan sistem pendidikan. Malah, 11 lagi ahli panel menyanjungi usaha Kementerian Pendidikan menggerakkan dialog tersebut untuk merasai sendiri denyut nadi rakyat. "Merata-rata saya pergi (ke negeri-negeri berkenaan), mereka (orang ramai) datang bersemangat tanda respons mereka pada kerajaan. "Kalau kita lihat dalam satu-satu dewan itu, bukan 70 orang yang datang tetapi rata-rata di setiap lokasi melebihi 700 orang. "Di Pulau Pinang sebagai contoh, kita terpaksa bahagikan pula kepada dua seksyen... malah pemimpin UMNO, DAP dan PKR duduk semeja dalam dialog tersebut, di Tawau sesak manakala di Kelantan lebih 1,020 yang hadir. "Ini menunjukkan isu- isu pendidikan dirasakan semua orang dan merentasi segala perbezaan politik dan ideologi," katanya. Sebenarnya DNPN yang menghasilkan PPPM merupakan satu inisiatif Kementerian Pendidikan di bawah Kajian Semula Pendidikan. Ia adalah wadah bagi perkongsian idea dan lontaran pandangan semua lapisan masyarakat yang dapat dijadikan input kepada kementerian itu dalam menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan. Objektif dialog itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat mengemukakan idea dan pandangan ke arah transformasi pendidikan serta membina kesedaran bersama akan perancangan kementerian dalam membangunkan pendidikan melalui transformasi sistem pendidikan negara. Dialog tersebut menggunakan konsep townhall di mana orang ramai dijemput hadir secara walk-in di lokasi yang strategik bagi membolehkan mereka bebas untuk memberikan pandangan, kritikan dan cadangan yang akan dijadikan imput bagi Pelan Pembangunan Pendidikan untuk jangka masa 15 tahun akan datang. Wan Mohd. Zahid sendiri dan beberapa lagi panel berada pada setiap townhall itu bagi mendengar luahan dan aspirasi rakyat, luahan serta pandangan ini akan menjadi asas kepada Pelan Pembangunan Pendidikan itu. Selain menggunakan kaedah townhall, pihaknya turut mengadakan pertemuan meja bulat dengan kumpulan tertentu seperti beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan kesatuan guru, media, kumpulan komuniti, pesara, wakil politik dan lain-lain lagi. Bagi perjumpaan meja bulat itu, pihaknya hanya mengehadkan kepada 15 hingga 20 individu bagi sesuatu persidangan bagi memberi peluang kepada mereka bercakap lebih lama. Daripada siri persidangan meja bulat bagi dialog tersebut, rata-rata respons yang diberikan sangat memberangsangkan. Kata Wan Mohd. Zahid kepada penulis: "Walaupun berlainan ideologi dan fahaman politik, kumpulan-kumpulan ini mengamalkan sikap profesional dalam menyuarakan pendapat bagi kebaikan masa depan sistem pendidikan negara. "Tidak keterlaluan saya katakan bahawa pendidikan mampu menyatukan pelbagai pihak dan mendapati rakyat negara ini sepakat bahawa pendidikan berkualiti adalah penting bagi memastikan negara dapat bersaing di peringkat global." Dianggarkan lebih 11,000 orang daripada segenap lapisan masyarakat telah hadir bagi menyertai dialog berkenaan. Panel dialog juga dengan tangan terbuka sentiasa menerima input daripada masyarakat sama ada secara lisan ataupun bertulis, menghantar memorandum dan sebagainya. Penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter turut mendapat respons positif daripada masyarakat berhubung kajian semula pendidikan itu. Wan Mohd. Zahid menambah, dalam dialog tersebut, pihaknya memberi peluang sepenuhnya kepada orang ramai untuk menyatakan pendapat, kritikan dan cadangan bagi diguna pakai dalam kajian semula pendidikan negara ini. Pihaknya telah menganalisis sembilan perkara yang dikenalpasti merupakan keutamaan dalam transformasi pendidikan negara. Antaranya adalah guru, aspirasi, kokurikulum, kepimpinan sekolah, kualiti sekolah, kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian Kementerian Pelajaran Malaysia dan sebagainya. Kata beliau kepada penulis: "Kita mengambil pendekatan tidak mahu campur tangan dalam proses dialog itu. Bila kita bagi penerangan kita sebut, kita minta dia nyatakan pandangan mereka kepada sembilan perkara keutamaan yang telah dikenal pasti. "Namun, mereka juga boleh mengutarakan keutamaan lain daripada sembilan keutamaan itu. "Penglibatan kita sangat minimum, kita lebih memberi peluang kepada mereka menyatakan pendapat, pandangan mereka. Kalau dia tanya "bersetuju tak", kita tidak akan memberi jawapan kerana itu pandangan mereka. Kita sebenarnya mahu dengar pandangan dia." Jadi, kalau begitu kenyataannya bermakna PPPM adalah hasil suara dan hak rakyat pelbagai lapisan dan kaum. Maka dengan ini, bertepatanlah ketegasan Muhyiddin bahawa kerajaan tidak akan tunduk atau berasa takut dengan desakan Dong Zong kononnya PPPM akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah-sekolah vernakular. Malah agenda Dong Zong menyuarakan tuntutan terbabit amatlah diragui apabila Muhyiddin secara terbuka mencabar pertubuhan Cina itu membaca dan meneliti isi kandungan pelan berkenaan - yang tidak menyebut langsung usaha memansuhkan bahasa Mandarin atau sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil. Kita tidak tahu apa sebenarnya agenda Dong Zong. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |