Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- MB lantik tujuh pegawai khas
- Penarik beca rayu bantuan tingkat pendapatan
- Jalan Dato' Pati jadi tumpuan setiap Jumaat
Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA Badrol Hisham, Yusof Awang, Zakariah Ali, Rosli Mat KUALA TERENGGANU 16 Ogos - Kerajaan negeri telah melantik seramai tujuh orang Pegawai Khas Menteri Besar setakat ini yang dipercayai bagi memudahkan urusan pentadbiran khususnya di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang Barisan Nasional tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Langkah itu dilihat sebagai memenuhi janji Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said untuk mencari alternatif lain dalam usaha membantu penduduk di kawasan DUN yang dikuasai pembangkang selepas jawatan Pegawai Pembangunan DUN (PPD) dimansuhkan. Pelantikan pertama untuk jawatan itu dibuat pada 5 Ogos lalu melibatkan empat pegawai manakala pelantikan berikutnya dibuat seminggu kemudian dengan melibatkan tiga lagi pegawai yang termasuk kalangan calon calon yang tewas. Mereka yang dilantik ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki; Naib Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Yusof Awang Hitam bagi DUN Manir; bekas Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku bagi DUN Rhu Rendang dan bekas Pegawai Pelajaran Daerah Dungun, Zakariah Ali yang dipertanggungjawabkan untuk DUN Sura. Turut dilantik memegang jawatan itu ialah Ketua Pemuda UMNO negeri, Saiful Bahari Baharuddin; Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan serta bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said. Daripada kesemua tujuh pegawai tersebut, lima daripadanya merupakan calon Barisan Nasional (BN) yang tewas pada pilihan raya umum lalu iaitu Yusof (DUN Manir), Nik Dir (DUN Rhu Rendang), Zakariah (DUN Sura), Rosli (Parlimen Dungun) dan Abdul Rahin (DUN Kubang Pasu). Dua lagi pegawai yang dilantik iaitu Badrol Hisham dan Saiful Bahari pula tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini. Setakat ini tiada penjelasan rasmi oleh kepimpinan negeri mengenai rasional pelantikan yang dibuat dan jumlah sebenar pegawai khas yang akan dilantik. Sebanyak 15 kerusi DUN dikuasai pembangkang dalam pilihan raya umum lalu. Utusan Malaysia difahamkan, peranan yang akan dimainkan oleh kesemua tujuh Pegawai Khas berkenaan masih belum dimuktamadkan setakat ini sama ada mengikut portfolio Exco negeri atau perantara kerajaan dalam urusan di peringkat DUN. Premis yang akan digunakan ketika berkhidmat juga masih belum ditentukan namun berdasarkan sumber, pegawai-pegawai berkenaan mungkin akan ditempatkan di Wisma Darul Iman buat sementara waktu. Dalam perkembangan berkaitan, Zakariah yang juga merupakan salah seorang daripada pegawai yang dilantik untuk jawatan itu memberitahu, beliau akan cuba memikul amanah yang diberikan itu dengan sebaiknya. Sudah tentu saya bersyukur dan tidak menyangka Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) masih memberi peluang kepada saya untuk berbakti kepada rakyat khususnya di DUN Sura ini. Sama ada diberi peranan sama seperti PPD atau peranan baharu, saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk rakyat negeri Terengganu, insya-Allah," katanya. |
Penarik beca rayu bantuan tingkat pendapatan Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT Sebahagian daripada pengayuh beca yang masih aktif menjalankan aktiviti mereka di sekitar kawasan Pasir Mas, Kelantan, kelmarin. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH PASIR MAS 16 Ogos - Perkhidmatan beca di daerah ini memerlukan suntikan baharu bagi menarik sambutan dalam kalangan masyarakat sekali gus meningkatkan pendapatan dalam kalangan pengayuh beca. Rata-rata penarik beca di daerah ini berharap agar nasib mereka turut mendapat pembelaan daripada pihak berkenaan sebagaimana rakan-rakan di Kota Bharu. Seorang pengayuh beca, Mohamad Daud, 70, mengakui nasib pengayuh beca di daerah ini kurang mendapat pembelaan daripada pihak berkenaan. Menurutnya, bantuan dari segi kewangan mahu pun kemudahan lain seperti membaiki beca amat diperlukan kerana pendapatan yang diperoleh tidak menentu. "Pendapatan kami hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian keluarga, ditambah pula terpaksa bersaing dengan pengangkutan awam lain menyebabkan perkhidmatan beca semakin kurang menjadi pilihan. "Disebabkan kekangan kewangan, kami tidak mampu membaiki beca yang rosak dan terpaksa terus menggunakannya demi mencari rezeki bagi menyara keluarga," katanya ketika ditemui di sini semalam. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata pengayuh beca terbabit terdiri dari golongan warga emas dan kebanyakan beca yang digunakan untuk meraih rezeki sudah uzur serta perlu dibaik pulih segera bagi memastikan ia mampu menarik orang ramai menggunakan perkhidmatan berkenaan. Seorang lagi pengayuh beca, Abdullah Yusof, 65, memberitahu, dia dan rakan-rakan kini mengambil upah memunggah sayuran-sayuran dan pelbagai barangan lain sebagai punca utama pendapatan mereka. "Meskipun upah tersebut agak kecil sekitar RM10 sehari dan tidak menentu, namun saya tetap bersyukur kerana ia adalah rezeki bagi menyara keluarga. "Saya tidak mempunyai pilihan selain mengayuh beca, lagipun pekerjaan ini sudah sebati dengan diri saya," ujarnya. |
Jalan Dato' Pati jadi tumpuan setiap Jumaat Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT beginilah keadaan di Jalan Dato' Pati serta lorong sekitarnya yang menjadi tumpuan orang ramai untuk mendengar ceramah serta membeli-belah pada setiap pagi Jumaat. - UTUSAN/NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI KOTA BHARU 16 Ogos - Pada setiap pagi Jumaat, Jalan Dato' Pati serta lorong sekitarnya adalah lokasi utama yang akan menjadi tumpuan warga bandar termasuk penduduk dari daerah berhampiran. Lazimnya, orang ramai yang berkunjung ke kawasan itu adalah untuk mendengar kuliah mingguan yang disampaikan oleh penceramah di pejabat Pas negeri yang terletak di situ. Kehadiran begitu ramai pengunjung menjadikan Jalan Dato' Pati sesak ibarat Jalan Petaling dan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan masyarakat. Kedatangan begitu ramai pengunjung menjadikan kawasan tersebut tumpuan kalangan peniaga kecil untuk memasarkan pelbagai barangan sama ada keperluan harian, hasil pertanian, buku, majalah dan pakaian. Jadi, tidak hairan sekiranya Jalan Dato' Pati tiba-tiba berubah wajah pada setiap pagi Jumaat dengan pelbagai ragam peniaga dan pengunjung. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata yang ditemui sering datang ke kawasan itu setiap Jumaat untuk mendengar kuliah agama di samping membeli barangan keperluan. Kuliah tersebut bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga 11.30 pagi. Terdapat dua sesi kuliah agama yang disampaikan kepada orang ramai oleh dua penceramah berbeza. Seorang suri rumah, Wan Zizah Wan Ahmad, 57, berkata, dia sering datang ke kuliah agama itu bersama suaminya. "Memandangkan hari Jumaat merupakan hari minggu, inilah peluang saya untuk mendalami ilmu agama dengan mendengar ceramah yang disampaikan. "Keadaan di sini sangat meriah kerana selain dapat mendengar ceramah, orang ramai juga dapat membeli barangan keperluan yang turut dijual di sini," ujarnya. Seorang lagi pengunjung, Siti Fatimah Saat, 50, berkata, hampir setiap minggu dia tidak akan melepaskan peluang untuk datang mendengar ceramah di situ. "Sambil datang untuk mendengar ceramah, pengunjung di sini juga berpeluang membeli-belah kerana lokasi ini menjadi tumpuan peniaga menjual pelbagai jenis barangan. "Selepas mendengar ceramah, saya gemar mengunjungi gerai-gerai di sini bagi mendapatkan barangan keperluan kerana harga yang ditawarkan amat berpatutan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |