{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Dunia

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Dunia


Pencerobohan pejuang bersenjata MNLF telah dibendung

Posted:

Pencerobohan pejuang bersenjata MNLF telah dibendung

Pencerobohan pejuang bersenjata MNLF telah dibendung

PRESIDEN Benigno Aquino (berdiri dua dari kanan) melawat askar-askar yang cedera di Hospital Kem Navarro di Zamboanga, selatan Filipina kelmarin. - Afp


ZAMBOANGA - Tentera Filipina menggempur saki-baki pejuang pemisah Islam selepas operasi selama enam hari di selatan negara berkenaan yang menyaksikan berpuluh-puluh anggota pemisah terbunuh manakala sejumlah tebusan turut menyelamatkan diri, kata pihak berkuasa semalam.

Polis menganggarkan kumpulan terakhir pejuang Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) kini menahan kira-kira tujuh tebusan di bandar pelabuhan ini, selatan Filipina berbanding 100 orang pada hari sebelumnya.

"Menjelang hari ini (semalam), pencerobohan oleh MNLF bukan sahaja dapat dibendung tetapi kami mula memasuki fasa pembersihan," kata Setiausaha Dalam Negeri, Mar Roxas.

Komen beliau meningkatkan harapan bahawa krisis yang menyebabkan seluruh kampung dibakar dan memaksa berpuluh-puluh ribu orang melarikan diri itu akan berakhir tidak lama lagi.

Jurucakap Tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, operasi siang dan malam oleh sekurang-kurangnya 3,000 askar elit kerajaan telah membunuh 43 pejuang pemisah manakala 19 lagi ditahan.

"Kini kami optimis bahawa operasi kami berkesan dan kami menyebabkan pihak musuh mengalami kekalahan teruk," katanya.

"Kami berharap operasi tentera ini akan dapat ditamatkan secepat mungkin," tambah Zagala.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa pejuang-pejuang bersenjata itu masih berbahaya manakala kehadiran orang awam di beberapa kawasan kejiranan tempat kumpulan MNLF itu bersembunyi menyebabkan pihak tentera hanya boleh menggunakan senjata ringan.

"Seramai enam anggota polis dan tentera maut manakala empat orang awam turut terbunuh dalam krisis kali ini," ujarnya.

Perkembangan positif itu beberapa jam selepas Naib Presiden Filipina, Jejomar Binay menawarkan gencatan senjata antara kerajaan dengan pemimpin MNLF, Nur Misuari.

Binay mengiringi Presiden Benigno Aquino ke bandar raya ini semalam untuk membincangkan pelan gencatan senjata yang dibangkitkan oleh beliau dengan Misuari.

"Gencatan senjata itu dijadualkan berkuat kuasa pada pukul 12 malam hari ini," kata seorang jurucakap Naib Presiden berkenaan.

Roxas mengesahkan tentang pertemuan antara Aquino dengan Binay tetapi Presiden berkenaan tidak mengarahkan tentera supaya menghentikan operasi ke atas MNLF.

Konflik tersebut bermula pada Isnin lalu apabila pasukan pejuang MNLF yang lengkap bersenjata memasuki beberapa daerah di sini dan menahan sejumlah tebusan.

Tindakan itu dilakukan bagi merosakkan rundingan damai antara Manila dengan kumpulan pemisah lain.

Pertempuran tersebut memaksa sejumlah 69,000 orang meninggalkan kediaman mereka.

Marsyal Jabatan Bomba Zamboanga, Dominador Zabala berkata, hampir 500 buah rumah dibakar oleh pejuang-pejuang MNLF.

"Mereka turut menembak ke arah jentera-jentera bomba yang dihantar untuk memadamkan kebakaran," katanya.

MNLF melancarkan perang gerila selama 25 tahun untuk mendapatkan kemerdekaan sebelum menandatangani perjanjian damai pada 1996 yang memberikan mereka pemerintahan sendiri terhad di selatan Filipina.

Misuari yang menuduh Manila melanggar syarat perjanjian 1996 dengan berunding dengan seteru MNLF telah menghilangkan diri beberapa hari sebelum pertempuran tercetus pada Isnin lalu.

Seteru Misuari, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) kini dalam peringkat akhir rundingan damai dengan Manila dan dijangka mengambil alih pentadbiran autonomi lebih meluas di selatan negara itu menjelang 2016.

Majoriti penduduk di selatan negara itu adalah beragama Islam.

Aquino memberitahu, rundingan damai dengan MILF bertujuan untuk menamatkan penentangan sejak beberapa dekad lalu yang meragut sebanyak 150,000 nyawa di negara itu. - AFP

Polis bertempur dengan guru di ibu kota Mexico

Posted:

Polis bertempur dengan guru di ibu kota Mexico

Polis bertempur dengan guru di ibu kota Mexico


PENUNJUK perasaan yang terdiri daripada guru dan orang ramai berundur dari Dataran Zocalo di Bandar Raya Mexico kelmarin. - REUTERS


MEXICO CITY - Beratus-ratus anggota polis pencegah rusuhan menguasai semula sebuah pusat bersejarah di ibu kota Mexico di sini selepas mereka menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk mengusir sekumpulan guru yang menunjuk perasaan di lokasi berkenaan.

Kumpulan tersebut bertindak balas dengan membaling bom-bom api ke arah pasukan keselamatan.

Sekurang-kurangnya 40 orang cedera dalam pertempuran kelmarin di Dataran Zocalo selepas ratusan penunjuk perasaan melanggar tarikh akhir untuk meninggalkan kawasan tersebut bagi membolehkan sambutan Hari Kemerdekaan Mexico diadakan hujung minggu ini.

Protes yang melibatkan beribu-ribu guru di dataran ini berlangsung sejak beberapa minggu lalu kerana membantah pembaharuan dalam sistem pendidikan Mexico.

Kumpulan pendidik berkenaan yang sebahagian besarnya bertopeng dan bersenjatakan kayu bertindak membakar sampah dan meletakkan penghadang besi bagi menghalang laluan masuk ke Dataran Zocalo.

Dataran berkenaan menempatkan Istana Negara, sebuah gereja utama dan beberapa tinggalan bersejarah tamadun Aztec.

Polis mengosongkan dataran itu dalam tempoh setengah jam. Sejam kemudian, sejumlah pekerja tiba untuk merobohkan khemah-khemah penunjuk perasaan dan membersihkan lokasi tersebut

Beberapa minit sebelum polis menyerbu Dataran Zocalo, kerajaan pimpinan Presiden Enrique Pena Nieto mengundang rakyat Mexico untuk menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan negara itu di lokasi berkenaan hari ini dan esok.

Dalam perkembangan berkaitan, Palang Merah Mexico menyatakan, sekurang-kurangnya 29 penunjuk perasaan dan 11 anggota polis cedera dalam konfrontasi itu.

Ketua Polis Persekutuan, Manuel Mondragon Kalb berkata, seramai 31 orang ditahan dalam protes tersebut.

"Mereka ditahan kerana memiliki pelbagai senjata termasuk tangki gas yang digunakan sebagai senapang api," katanya.

Pena Nieto menandatangani rang undang-undang pembaharuan pada minggu ini yang memerlukan guru menjalani penilaian prestasi mandatori.

Guru-guru di Mexico menentang peraturan baharu itu yang dianggap melanggar hak bekerja mereka. -AFP

Festival Rock di Rio tarik 85,000 penonton

Posted:

Festival Rock di Rio tarik 85,000 penonton

Festival Rock di Rio tarik 85,000 penonton


ORKESTRA Simfoni Brazil mengadakan persembahan pada hari pembukaan Rock di Rio kelmarin. - AfP


RIO DE JANEIRO - Bintang pop Amerika Syarikat, Beyonce dan deejay Perancis, Guetta membuka tirai konsert Rock di Rio semalam.

Ia merupakan antara festival muzik terbesar di dunia.

Kira-kira 85,000 orang dijangka menyaksikan konsert di festival berkenaan pada setiap hari selama seminggu. Rock di Rio menampilkan sebanyak 127 kumpulan muzik dan penyanyi solo.

Tarikan utama pada malam pembukaan, Beyonce beraksi sejurus selepas tengah malam dengan penyanyi itu berjanji akan mengubah kota rock tersebut menjadi Kota Pop.

Selain Beyonce, Justin Timberlake, kumpulan Metallica dan Alice in Chains dijangka menyertai barisan bintang antarabangsa dan tempatan yang akan beraksi pada konsert tersebut.

Festival itu diadakan di kawasan yang dikenali sebagai Kota Rock, di sini yang akan dibangunkan menjadi Perkampungan Olimpik untuk temasya sukan itu pada 2016.

Kawasan itu dibuka awal kelmarin bagi membolehkan peminat mendapatkan tempat mereka.

"Agak sukar untuk mendapatkan tempat yang bagus jadi saya bermalam di sini," kata seorang peguam berusia 32 tahun, Roberto Graell.

Dia datang dari bandar raya Minas Gerais, tenggara Brazil.

Sebelum persembahan Beyonce, para penonton dihiburkan dengan alunan Orkestra Simfoni Brazil yang memainkan beberapa lagu rock klasik seperti Satisfaction oleh Rolling Stones dan lagu popular Queen, Bohemian Rhapsody.

Pengasas Rock di Rio, Roberto Medina berkata, dia teruja untuk menonton konsert Bruce Springsteen.

"Saya kurang minat kumpulan muzik," kata Medina.

Festival mega itu pertama kali diadakan di bandar raya ini pada 1985 dengan menarik kehadiran 1.4 juta orang.

Sejak dari itu, bandar raya Lisbon dan Madrid turut menjadi tuan rumah pesta muzik terbesar tersebut.

Festival berkenaan berlangsung dari 13 hingga 22 September ini. - AFP

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat